Riadah berbasikal pusing Teluk Intan 30km

Sukan & Budaya
Typography

TELUK INTAN:  PAS Kawasan Teluk Intan dengan kerjasama KMKM Alternative Cycling Club Teluk Intan telah menganjurkan riadah berbasikal yang telah disertai 92 peserta dalam kalangan masyarakat setempat.

Pelepasan para peserta telah dilakukan sebagai perasmian majlis oleh Naib Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Azhar Rafie yang dalam ucapannya berharap lahir masyarakat cergas, cerdas dan tangkas dari aktiviti sedemikian.

Pengarah Program, Roslan Salim memberitahu, objektif utama aktiviti ini adalah untuk memasyarakatkan PAS menerusi acara riadah disamping menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu beliau yang juga Pengerusi Jabatan Sukan Pemuda PAS Teluk Intan berkata, ia menjadi medan untuk saling mengenali dan mengeratkan hubungan, serta menyebar amalan berfaedah dalam masyarakat.

Program ini membabitkan kayuhan sejauh 30 kilometer bermula dari Bazar Nanas Selabak merentasi Kampung Glouster, Kampung Merdeka, Kampung Selat Manggis, Parit 4 Sungai Manik, Sungai Kerawai, Taman Melor hingga kembali semula ke Bazar Nanas.

Pergerakan peserta sepanjang kayuhan telah dikawal oleh Pasukan Unit Rondaan Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dan juga Jabatan Amal Malaysia Teluk Intan yang memastikan keselamatan para peserta. - HARAKAHDAILY 24/9/2019  

IMG 20190924 WA0043

IMG 20190924 WA0045