PERMATANG PAUH: Lajnah Dakwah Muslimat PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan 'Street Dakwah' dengan mengedarkan risalah dan bubur lambuk di Bazar Ramadan Seberang Jaya, di sini semalam.

Secara khusus, fokus usaha disampaikan menerusi program itu adalah kesedaran mengenai batas pergaulan dalam Islam, lebih-lebih lagi perayaan Aidil Fitri yang bakal tiba pada Rabu nanti.

Risalah info grafik disediakan itu memberi penerangan khusus mengenai golongan mahram dan bukan mahram dalam memaklumatkan agar menjaga sentuhan dan aurat termasuk sesama ahli keluarga.

'Street Dakwah' ini telah dipimpin Ketua Muslimat PAS Pulau Pinang, Ustazah Hasanah Idrus dan disertai ahli Lajnah Dakwah dan Briged Muslimat serta Jabatan Amal Kawasan Permatang Pauh.

Menurut Hasanah, program tersebut diharap memberi kesedaran kepada setiap Muslim untuk memelihara batas aurat sekali gus menjaga pergaulan di mana ianya juga hal dipertanggungjawabkan di akhirat nanti. - HARAKAHDAILY 2/6/2019

PAGOH: PAS Negeri Johor telah mengadakan program kunjungan ziarah menyantuni penduduk setempat dan sumbangan kepada asnaf dalam Parlimen Pagoh, di sini kelmarin.
 
Aktiviti yang menggandakan ibadah di hari-hari akhir Ramadan itu bertujuan memasyarakatkan PAS serta menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.
 
Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz dan Ketua Muslimat PAS Johor, Fatimah Ismail telah bersama Adun Bukit Pasir, Kapten (B) Najib Lep di Bukit Pasir, pada sebelah paginya.
 
Sumbangan disediakan oleh Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Pagoh itu telah diserahkan mereka kepada para asnaf dengan berkunjung dari rumah ke rumah golongan tersebut.
 
Seterusnya bersama Pemuda PAS dan Ameerah Pagoh mengedarkan juadah istimewa pulut kuning di Bazar Bukit Pasir, Pasar Lambak Kundang Ulu dan gerai di Bukit Kepong, pada sebelah petangnya.
 
Inisiatif kebajikan itu terus diperluaskan apabila mereka bersama Jabatan Amal Malaysia Pagoh telah menyerahkan 300 bungkusan kepada para asnaf, sepanjang hari semalam.
 
Program yang turut dijayakan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Pagoh telah berziarah ke rumah asnaf di Tanjong Olak, Permatang Pasir dan Sungai Terap. - HARAKAHDAILY 2/6/2019
20190602 145855
 
20190602 145836
 
61378690 430013754222119 1822815568172941312 n
 
61818537 429939810896180 2471076117692284928 n

BUKIT GANTANG: PAS Kawasan Bukit Gantang telah melaksanakan agihan bantuan kepada 640 penduduk menerusi program Sumbangan Kasih Ramadan.
 
Inisiatif kebajikan untuk masyarakat yang memerlukan itu telah memberi manfaat kepada fakir miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal, sakut dan anak yatim.
 
Menurut Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad, program diadakan ini menyemarakkan amalan sedekah di bulan Ramadan melalui pemberian barangan keperluan asas.
 
"Kita beri sedikit sumbangan tunai dan barangan makanan asas sebagai tanda kasih kepada masyarakat setempat agar sama-sama meraikan Ramadan dan Syawal dengan rasa gembira dan syukur.
 
"Diharap bantuan ini dapat meringankan beban keluarga masing-masing seterusnya mereka merayakan Aidil Fitri dengan gembira sekali gus meningkatkan ukhuwah antara kita," katanya pada majlis sama di Kampung Sungai Petai, semalam.
 
Pimpinan PAS Bukit Gantang yang turut hadir Yang DiPertua, Ustaz Faisal Abdul Rahman dan Timbalan serta Naib Yang DiPertua, Ustaz Zulkefly Ahmad dan Rahim Ismail.
 
Program Sumbangan Kasih Ramadan ini telah bermula sejak 21 Mei lalu melibatkan 17 lokasi dalam Dun Kuala Sepetang, Dun Changkat Jering dan Dun Trong di mana berakhir semalam. - HARAKAHDAILY 2/6/2019
IMG 20190602 WA0020
 
IMG 20190602 WA0021
 
IMG 20190602 WA0022
 
IMG 20190602 WA0024
 
IMG 20190602 WA0025

BAGAN SERAI: Pemuda PAS Kawasan Bagan Serai telah memberikan sumbangan meraikan 70 guru dari 18 PASTI di bawah pentadbirannya pada majlis di Pejabat Pemuda PAS, di sini kelmarin.
 
Ketua Pemuda PAS Bagan Serai, Ustaz Akmal Sani Abdullah berkata, pemberian sumbangan tersebut adalah sebagai menghargai jasa besar mereka mendidik anak-anak PASTI.
 
Sumbangan ala kadar itu maklumnya, adalah tajaan NGO Muslim Brothers, selain sebahagiannya diusahakan sendiri pihaknya, termasuk juga dari sumbangan orang ramai.
 
"Guru-guru PASTI bukan ada gaji seperti guru-guru Tadika, Tabika atau Taski dan sebagainya. Tetapi mereka gigih mengajar dengan ikhlas untuk melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.
 
"Dengan jasa yang mereka tabur, lebih kepada secara sukarela kerana Allah, itu sudah sewajarnya dihargai," ujarnya selepas majlis sumbangan yang disempurnakan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria.
 
Pada majlis turut dihadiri Yang DiPertua PAS Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengerusi Muslim Brothers, Hanif Abdul Karim itu, pihaknya turut memberi sumbangan kepada guru SRITI Bistari dan duit raya kepada muridnya. - HARAKAHDAILY 2/6/2019
IMG 20190602 WA0014

SELEPAS tindakan biadab beberapa Adun DAP yang mengagihkan bantuan daripada Zakat Pulau Pinang untuk kepentingan politik, semalam Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuriraani Patto telah mengulangi perlakuan yang sama seolah-olah dengan sengaja terus mencabar sensitiviti serta campur tangan dalam urusan ibadat orang Islam. 
 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu Kawan bertegas menyatakan rasa tidak bersetuju dengan tindakan mengambil keuntungan politik dalam apa jua acara yang berkaitan zakat terutamanya oleh pemimpin bukan Islam. Zakat adalah rukun Islam. Kutipan zakat diambil oleh Amil (Muslim) daripada umat Islam dan dikendalikan oleh institusi agama Islam.
 
Merujuk keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 10 Mei 2001, orang bukan Islam tidak boleh sama sekali dilantik menjadi amil iaitu mengutip, mengurus dan mengagihkan zakat. Keputusan ini terpakai dalam isu mewakilkan orang bukan Islam dalam mengagihkan zakat. 
 
Biarpun ibadah zakat itu sah, tindakan Kasthuriraani Patto memperguna institusi zakat Islam untuk kepentingan peribadi beliau adalah merupakan satu penghinaan kepada seluruh masyarakat Islam di Malaysia dan bercanggah dengan sunnah malah merosakkan nilai-nilai dakwah yang ada pada ibadah zakat itu sendiri.
 
Justeru itu, kami menggesa Kasthuriraani Patto segera menghentikan sikap 'talam dua muka' beliau daripada memperguna masjid dan insitusi zakat sehingga sanggup berprogram di depan mimbar khutbah demi keuntungan politik. Umat Islam tidak pernah lupa segala penghinaan dan ejekan beliau terhadap Islam. 
 
Kami juga menyeru Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengambil tindakan serius mengenai isu ini agar ianya tidak berulang lagi. Jangan sampai umat Islam hilang keyakinan terhadap ketelusan institusi zakat itu sendiri. 
 
Umat Islam keseluruhannya sebagai pembayar zakat berhak untuk bersuara menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan tersebut. Jika kita sebagai umat Islam tidak menjaga dan memelihara kesucian Islam, siapa lagi yang kita mahu harapkan?
 
"Terus Mara"
"Islam Memimpin"
 
MOHD KAMIL AB HALIM
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Batu Kawan - HARAKAHDAILY 1/6/2019

KAMPAR: Disebalik kesibukan dan kemeriahan umat mempersiapkan kehadiran Aidil Fitri, masih terdapat saudara se-Islam yang masih menghitung kecukupan makan minum mereka di hari mendatang.
 
Memahami perkara tersebut, Jabatan Amal Malaysia Kawasan Kampar bersama Lajnah Kebajikan PAS Kampar pimpinan Ustaz Anuar Morat telah melancarkan Kit Kebajikan untuk para asnaf, semalam.
 
Dengan kit tersebut, delegasi PAS ini menyantuni para asnaf dengan berkunjung dan menyampaikan sumbangan tersebut kepada mereka di Malim Nawar, Tanjung Bangkung, Changkat Tin dan Bukit Pekan, di sini.
 
Komandan Amal Kampar, Abd Hadi Hashim berkata, pihaknya melaksanakan amanah penyumbang yang memberi kepercayaan kepada Jabatan Amal menyalurkan sumbangan tersebut.
 
Hadir sama menyampaikan Kit Ramadan itu kepada para penerima adalah Yang DiPertua PAS Kampar, Ustaz Mohd Sofian Rejab yang beriltizam usaha sedemikian dipanjangkan lagi selain bulan Ramadan. - HARAKAHDAILY 1/6/2019
IMG 20190601 WA0022

TAMBUN: Muslimat PAS Kawasan Tambun menyahut saranan Dewan Muslimat PAS Perak dengan mengadakan program MyQuranHour di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru, di sini semalam. 
 
Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Tambun, Ustazah Rahilah Khalid mengetuai majlis MyQuranHour tersebut dengan memimpin bacaan Surah Al Kahfi diikuti seluruh muslimat yang hadir. 
 
Selaku pengarah program, beliau juga mengingatkan para hadirin agar menjadikan tadabbur Al Quran ini sebagai amalan harian dan mengkhususkan masa untuknya dengan minimum satu jam sehari. 
 
Turut berlangsung sesi tadabbur kandungan Surah Al Kahfi oleh Pengerusi Lajnah Pendidikan Muslimat PAS Tambun, Ustazah Zaidah Mohd Radzi membicarakan ujian keimanan umat Islam yang perlu di ambil ibrah. 
 
Tegasnya sebagai muslimat haraki, hendaklah memastikan agar tiada niat untuk mendapatkan ganjaran yang khusus melainkan meletakkan keberadaan dalam perjuangan PAS untuk meninggikan kalimat Allah.
 
Program dijalankan pada ini merupakan perintis dan sebuah program yang akan dilangsungkan oleh Dewan Muslimat PAS Tambun akan datang sebagai usaha memantapkan keizzahan parti Islam itu. - HARAKAHDAILY 1/6/2019
IMG 20190601 WA0018

PARIT: Pihak berwajib diharap terus menitikberatkan hal kebajikan penduduk Orang Asal terutama bersungguh-sungguh dalam menggiatkan usaha dakwah kepada masyarakat tersebut.
 
Ketua Muslimat PAS Kawasan Parit, Dr Najihatussalehah Ahmad juga berharap kehidupan Akhirat mereka lebih terjamin melalui penerapan ilmu agama antaranya mewujudkan kelas KAFA.
 
Serunya, keperluan tersebut penting diadakan di perkampungan Orang Asal meskipun bilangan pelajar yang kecil bagi memastikan anak-anak setempat berpeluang mempelajari agama seperti masyarakat Muslim lain.
 
Perkara tersebut dikemukakan beliau setelah menjayakan program iftar jamaie bersama masyarakat Muslim Orang Asal di Kampung Suak Padi, Bota, di sini kelmarin.
 
Program ini turut diserikan dengan tazkirah Ramadan menampilkan pendakwah bertauliah yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah Muslimat PAS Parit, Ustazah Yasidah Abu Bakar.
 
Sempena majlis, Muslimat PAS Parit juga telah menyerahkan duit raya, bekalan susu tepung kepada kanak-kanak dan agihan baju raya terpakai untuk keluarga Muslim di kampung ini. - HARAKAHDAILY 1/6/2019

JOHOR BAHRU: Muslimat PAS Negeri Johor telah melaksanakan program Seindah Syawal di Wad Obstetrik dan Ginekologi, serta Wad 4B dan 4C Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semalam.
 
Program tersebut selaras 10 Arahan Presiden PAS supaya Dewan Muslimat mendepani pelbagai isu masyarakat dan menyentuh hati nurani rakyat melalui aktiviti kebajikan dan kekeluargaan.
 
Sehubungan itu, program ini memfokus menyantuni pesakit wanita dan para jururawat bertugas, termasuk ibu dan bayi yang baru bersalin atau masih menerima khidmat kesihatan.
 
Aktiviti kunjungan ziarah bercorak mesra wanita dengan menyampaikan sumbangan kuih, hamper dan duit raya ini telah dipimpin oleh Naib Ketua Muslimat PAS Johor, Sabariah Amin.
 
Ia merupakan program di bawah inisiatif Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Muslimat PAS Malaysia bersama LKK Muslimat PAS Johor dan juga Muslimat PAS Kawasan Tebrau.
 
Sabariah berharap program ini menambah keriangan Syawal dan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Jabatan Patologi HSI, Dr Khadijah Dawam yang bersama menjayakan aktiviti.
 
Turut serta dalam delegasi ini antaranya ialah Pengerusi LKK Muslimat PAS Johor, Arbakyah Kasman dan Ketua Muslimat PAS Tebrau, Rohaiza Razali. - HARAKAHDAILY 1/6/2019
IMG 20190601 WA0001
 
IMG 20190601 WA0002

KOTA BHARU: Bekas Adun Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim meninggal dunia di hospital di Makkah kira kira jam 2.45 petang waktu tempatan.

Menurut maklumat keluarga, arwah tidak sedarkan diri ketika dirawat di hospital di Makkah sejak semalam.

Difahamkan berlaku jangkitan kuman di bahagian otaknya menyebabkan beliau tidak sedarkan diri.

Arwah ke Makkah menunaikan umrah bersama isteri dan empat anak, mengikut jadual dijangka pulang ke tanah air pada 2 Syawal.

Jenazahnya difahamkan disolat jutaan umat Islam di Masjidilharam selepas solat Isyak malam ini.

Lebih 2 juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Makkah pada 10 akhir Ramadan.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob dan pimpinan kerajaan negeri merakam ucapah takziah kepada keluarganya.

“Ucapan takziah kepada seluruh keluarga Haji Zaki Ibrahim, mantan Adun Kelaboran atas kembalinya beliau ke rahmatullah pada petang Jumaat terakhir di Makkah Al-Mukarramah, pada 31 Mei 2019 bersamaan 27 Ramadan 1440 Hijrah.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat Allah, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di kalangan orang yang soleh,” ujar beliau menerusi laman Facebook.

Pada Pilihanraya Umum lepas Mohd Zaki tidak bertanding selepas mempertahankan Dun Kelaboran beberapa penggal. - al Fatihah – HARAKAHDAILY 31/5/2019

PARIT BUNTAR: Adun Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya telah meluangkan masa meraikan anak-anak yatim dan fakir miskin pada program yang diadakan di Mydin Mall, di sini semalam.
 
Majlis berbuka puasa dan sumbangan baju dan duit raya kepada semua anak yatim dan fakir miskin dari Dun Kubu Gajah itu adalah hasil inisiatif NGO Khairat As-Syabab dan NGO Semarak.
 
Pihak Mydin turut menaja beberapa keperluan anak yatim tersebut, manakala tokoh korporat bergelar Dato' yang enggan disiarkan namanya telah menaja berbuka puasa di restoran makanan segera, Marrybrown.
 
Menurut Pengerusi Khairat As-Syabab, Ahmad Fadhil Muhammad, program tahunan setiap Ramadan itu telah membantu sekitar 1,500 penerima dari golongan asnaf di seluruh Parlimen Larut.
 
Atas komitmen itu, pihak Pengerusi Semarak, Ustaz Fairuz Hafiz Othman turut menawarkan bantuan bagi menyantuni golongan demikian agar dapat merasai kegembiraan di Aidil Fitri nanti.
 
Para dermawan juga dapat menyokong usaha ini dengan sumbangan ke akaun Maybank 5582 1131 3335 Khairat As-Syabab atau hubungi Fadhil di talian 019-457 0688 atau Mohd Faizol Azmil Md Zan 011-4069 5874. - HARAKAHDAILY 31/5/2019
IMG 20190531 WA0025

PERMATANG PAUH: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Permatang Pauh mengukuhkan hubungan kedua parti melalui majlis berbuka puasa bersama, kelmarin.
 
Majlis dipimpin Yang DiPertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan bersama Ketua Umno Permatang Pauh, Dato' Mohamad Zaidi Saad telah diadakan di Masjid Jamek Seberang Jaya, di sini.
 
Sempena majlis tersebut juga, turut diadakan penyampaian sumbangan duit raya kepada golongan memerlukan yang sentiasa diberi perhatian kebajikan mereka oleh kedua pihak.
 
Malah, kesempatan pertemuan yang semakin mengukuh kerjasama politik PAS-Umno ini, turut diserlahkan lagi dengan rakaman takbir Aidil Fitri melibatkan Ahli Jawatankuasa kedua-dia pihak.
 
Omar dan Zaidi juga dalam ucapan mereka seia-sekata bahawa kerjasama antara PAS dan Umno Permatang Pauh perlu disegerakan dan perjumpaan susulan akan diadakan selepas Aidil Fitri nanti.
 
Membayangkan hubungan kedua pihak akan dimeterai bagi merealisasikan kerjasama politik secara rasmi, perkara tersebut maklum mereka, adalah tertakluk kepada keputusan peringkat Pusat.
 
Turut menjadi saksi dan memeriahkan pertemuan berbuka puasa kedua pihak ini serta bersama dalam rakaman takbir raya adalah Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek tersebut. - HARAKAHDAILY 31/5/2019
IMG 20190531 WA0013