KUALA LUMPUR: Islam lebih awal mendahului Barat dalam melibatkan kaum wanita dengan politik pemerintahan negara, demikian menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Terangnya, ketika Nabi S.A.W mengadakan Bai'atul Aqabah yakni perjanjian dengan orang-orang Madinah untuk menegakkan negara melibatkan 70 pemimpin Aus dan Khazraj, terdapat dua wanita terlibat sama.

"(Sekitar) 1,000 tahun juga (Islam) mendahului Barat," ujarnya ketika menjawab soalan peserta program Memperingati Itqan al-Muluk Bita'dil as-Suluk di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Bagaimanapun katanya, kefahaman masyarakat Islam masih terkesan oleh penjajah dan tidak mengkaji Islam dengan mendalam sehingga hal pelantikan wakil rakyat wanita menjadi perdebatan begitu lama.

PAS katanya, oleh kerana menyedari pilihan raya begitu banyak cabaran kepada wanita dan mereka tidak sekuat lelaki untuk menghadapinya, maka telah mengambil keputusan menggalakkan wanita menjadi wakil rakyat yang dilantik termasuk Senator.

"Kita (pemerintahan di Terengganu) buat keputusan tahun 1999 dulu, sekiranya tidak ada kalangan wanita dipilih calon, maka Dewan Negeri boleh melantik wanita menjadi wakil rakyat yang dilantik.

"Ini untuk menonjolkan wanita dalam politik Islam. Kita kena sedar dalam sejarah Islam, bagaimana wanita ini juga terlibat dalam menegur pemimpin, menegur pemerintah," ujarnya merujuk kisah masyhur Khalifah Umar al-Khattab ditegur atas keputusan disampai dalam khutbahnya.

Jelas Tuan Guru, teguran wanita itu diakui Umar di mana peristiwa tersebut menunjukkan Islam melibatkan wanita dalam politik dan perkara itu menjadi asas PAS melaksanakan lantikan wanita dalam Dewan Negeri Terengganu. - HARAKAHDAILY 6/12/2018

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mempersoalkan apakah mekanisma yang boleh digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan berhubung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan kad kepada pelarian untuk menanggung kos bayaran vaksin.

Beliau membangkit soalan tersebut ketika mencelah waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

"Jika kita kenakan bayaran vaksin kepada golongan yang tidak mempunyai dokumen, sebahagian daripada mereka tinggal di kawasan pedalaman, mereka juga adalah pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR)," ujar beliau.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dari segi pemegang kad UNHCR, Malaysia masih belum lagi meratifikasi dan mengiktiraf mereka sebagai pelarian.

"Hal ini kerana kita dikekang dengan status dan situasi mereka sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI). Jadi mereka terpaksa dikenakan bayaran.

"Tetapi mereka diberikan belas ihsan kerana diberikan potongan sebanyak 50 peratus dari sudut pembayaran," katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kalabakan Ma'mun Sulaiman meminta Menteri Kesihatan menyatakan apakah prosedur untuk memastikan kanak-kanak yang lahir di Malaysia yang tidak memiliki dokumen lengkap seperti surat lahir boleh diberikan vaksin yang amat diperlukan untuk pertumbuhan pembesaran sempurna kanak-kanak tersebut. – HARAKAHDAILY 6/12/2018

KUALA LUMPUR: Itqanul Muluk Bita'dil as-Suluk adalah undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu yang menunjukkan kehebatan Sultan dan ulamak, di mana mengingatkan umat Islam mengenai perkara besar dalam Islam iaitulah kewajipan menegakkan negara dan pemerintahan.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, kewajipan khalifah yang disebut dalam al-Quran dengan makna menegakkan pemerintahan menjadi salah satu daripada tujuan Allah Taala menciptakan manusia.

Bahkan menurutnya, sepertimana dinyata al-Quran juga, semua Nabi-nabi A.S melibatkan diri dalam pemerintahan negara, sama ada mereka berjaya menegakkan negara ataupun tidak sempat melihat ianya ditegakkan.

Kerana itu jelasnya, Nabi Muhammad S.A.W berjuang tidak hanya di Makkah, tetapi juga berhijrah ke Madinah menegakkan negara dengan mempunyai Perlembagaan bertulis iaitu Sahifah Madinah memimpin masyarakat majmuk.

"Ramai kalangan kita tak sedar, Perlembagaan Madinah ini (ditulis) tahun 622 (iaitu) 1,000 tahun mendahului Revolusi Perancis tahun 1789 hingga 1799 (di mana) piagamnya menjadi kebanggaan Barat," ujarnya.

Perkara itu dikemukakannya ketika menjawab soalan moderator pada program Memperingati Itqan al-Muluk Bita'dil as-Suluk di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, kelmarin.

Terangnya, Itqanul Muluk menunjukkan dua aspek utama yang terdapat pada jemaah Sultan dan jemaah Menteri penggubal Perlembagaan tersebut iaitulah dari segi ilmu politik dan juga strategi politik.

Jelasnya, dari segi ilmu politik, Perlembagaan itu menunjukkan mereka berjaya menyempurnakan antara rukun penting bagi sebuah negara selain negeri atau tanah, rakyat, pemimpin dan kedaulatan.

"(Dari segi) Strategi politik, kita melihat Itqanul Muluk ini untuk memintas campur tangan British dan penjajah selepas Perjanjian Pangkor 1874 dan Perjanjian Bangkok antara British dengan Siam 1909," terang beliau.

Jelasnya, menjadi amalan diterima sebelum wujudnya undang-undang antarabangsa lagi di mana negara yang mempunyai perlembagaan diiktiraf kedaulatannya dan tidak boleh sewenang-wenangnya diceroboh.

Terakhir dicampur tangan

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, menariknya kesan Itqanul Muluk menjadikan Terengganu negeri paling akhir mendapat campur tangan daripada British iaitu tahun 1919 selepas wafat Sultan Zainal Abidin dan Tok Ku Paloh.

Tekanan selepas itu ceritanya, terlalu kuat selain lemahnya Kerajaan Uthmaniyah menyebabkan tidak ada yang melindungi dan Sultan Muhammad pula menjadi raja di mana bersikap keras dengan British tanpa diplomasi.

"Tekanan terlalu kuat, akhirnya Orang Besar buat keputusan terima Penasihat British campur tangan di Terengganu 1919. Oleh kerana Itqanul Muluk nyatakan mana-mana Raja menerima orang bukan Islam tak layak jadi raja, maka baginda letak jawatan.

"Kerana dia pegang zahir Itqanul Muluk. Pada saya dari segi politik itu tindakan salah, sepatutnya dia tak letak jawatan, kena lawan. Oleh kerana banyak Orang Besar setuju, hanya dua tiga orang tak setuju termasuk dia, maka dia letak jawatan.

"Menyebabkan Terengganu tak ada raja dan lantik Sultan Sulaiman yang masih muda. Maka berlakulah campur tangan British dan pemberontakan di Hulu Terengganu menyebabkannya gugur syahid," ceritanya lagi.

Menarik juga katanya, Terengganu menjadi negeri pertama dimenangi PAS mendahului Kelantan pada Pilihan Raya 1959, bagaimanapun kelemahan yang ada menyebabkan hanya sempat bertahan selama dua tahun setengah. - HARAKAHDAILY 6/12/2018

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Duta Turki ke Malaysia, H.E Dr. Merve Safa Kavakci yang sudi menerima kunjungan hormat beliau di Pejabat Kedutaan Turki, di sini, hari ini.

Menerusi tulisan di laman Facebook, Tuan Guru memaklumkan mereka bertukar pandangan mengenai perkembangan politik di Turki dan Malaysia.

“Setinggi penghargaan diucapkan kepada Duta Turki ke Malaysia, H.E Dr. Merve Safa Kavakci yang sudi menerima kunjungan hormat saya di Pejabat Kedutaan Turki, Kuala Lumpur.

“Kami bertukar pandangan mengenai perkembangan politik di Turki dan Malaysia, serta kepentingan untuk mengukuhkan kesatuan umat Islam di seluruh dunia.

“Semoga pertemuan hari ini memberi natijah yang baik kepada hubungan erat yang terjalin di antara Turki dan Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, di tweeter @turkishembinkl turut mengucapkan rasa gembira atas kunjungan Presiden PAS di kedutaannya hari ini.

"It was a pleasure hosting Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang @abdulhadiawang, Presiden of Malaysia's PAS Parti and his delegation at our Embassy," tulis di tweeter duta Turki.

Sedikit latar belakang mengenai Duta Turki Dr Kavakci, sebelum berkhidmat sebagai duta Turki ke Malaysia, beliau merupakan Pengarah Penyelidikan Pengajian Postcolonial (PAMER) di Universiti Ukskudar (2014-2017).

Pernah berkhidmat sebagai pensyarah Perhubungan Antarabangsa di Universiti George Washington dan Universiti Howard di Washington D.C (2004-2014).

Beliau dipilih untuk parlimen Turki, Perhimpunan Kebangsaan Besar Turki pada tahun 1999 sebagai wanita Islam pertama yang bertudung.

Penampilan beliau bertudung menyebabkan beliau dilarang berkhidmat dan tidak boleh terlibat dalam politik selama lima tahun.

Parti politiknya disekat oleh Mahkamah Perlembagaan dan kewarganegaraan sebagai rakyat Turki dibatalkan.

Ibu kepada dua orang anak ini membawa kesnya ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah dan memenanginya pada tahun 2007.

Keberanian itu melayakkan beliau diiktiraf sebagai tokoh awam antarabangsa oleh Dewan Parlimen British, Hakim Hak Asasi Manusia PBB, Kongres AS Helsinki Commission dan Kesatuan Interparlimentary.

Dr Kavakci telah memberi ceramah banyak universiti terkenal di dunia dan beliau adalah antara 500 orang muslim yang paling berpengaruh. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

turki1

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini melawat Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang parah akibat diserang kumpulan perusuh di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, baru-baru ini.

“Hari ini saya berkesempatan untuk menziarahi Saudara Muhammad Adib, pegawai bomba yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Syukur kepada Allah, kesihatan beliau semakin positif dan baik,” ujarnya menerusi laman Facebook.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pegawai bomba, doktor, jururawat dan kakitangan IJN yang menjaga dan merawat Muhammad Adib dengan penuh rapi.

“Marilah kita mendoakan kesihatannya kembali pulih dan terus kuat.

“Begitu juga, dengan ayahnya sekeluarga, banyakkan berdoa dan bersabar,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

lawat1

KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Kelantan mengekalkan had umur perkahwinan bagi lelaki 18 tahun manakala perempuan 16 tahun.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas satu Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur: Penilaian dan Pendekatan Holistik di Kompleks Kota Darulnaim baru-baru ini.

"Hasil dari persidangan ini dibentangkan kepada kerajaan negeri dan kerajaan negeri menerima rumusan ini supaya dikekalkan had umur ini.

"Sekiranya perkahwinan dilakukan di bawah umur ini, dia mesti mendapat kebenaran pihak berkuasa dan mahkamah akan mengeluarkan surat selepas bertemu pengantin termasuk keluarganya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar menambah, keputusan itu dilakukan dengan menilai suasana golongan belia dalam masyarakat pada hari ini yang semakin terdedah kepada teknologi maklumat.

Tujuan utama kata beliau, bagi mengelakan berlaku perbuatan zina, malah dalam Islam sendiri mengalakan perkahwinan sekiranya persediaan dilakukan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta penjelasan daripada Kementerian Belia dan Sukan berkenaan dengan isu Stadium Sultan Muhammad IV yang dibina pada tahun 1965.

“Padang di stadium tersebut mungkin adalah padang yang tertua di Malaysia dan juga tertua di benua Asia. Adakah pihak kementerian mempunyai rancangan untuk menaik taraf stadium di Kota Bharu.

“Menteri Belia dan Sukan juga pernah menyatakan hasrat untuk melakukan sesuatu kepada stadium tersebut dan mungkin memberi peruntukan untuk membina stadium yang baru bagi negeri Kelantan,” tambahnya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut beliau, dalam butiran 030200 (Emolumen Kakitangan Kontrak), KBS telah menambah peruntukan daripada RM1 juta kepada RM18 juta bagi tahun 2019. Dalam butiran 030600 (Emolumen Kakitangan Kontrak) daripada RM84 juta kepada kosong pada tahun 2019.

“Saya ingin meminta penjelasan terperinci di sebalik perubahan mendadak bagi angka-angka ini. Walaupun kita tahu bahawa kakitangan kontrak yang tidak disambung itu daripada butiran PLKN.

“Saya ingin tahu setakat manakah siasatan yang dijalankan ke atas KBS mengenai skandal rasuah sebelum PRU14 yang melibatkan seorang pegawai kanan KBS. Kita dimaklumkan bahawa gred M54 dan jumlah yang terlibat sebanyak RM100 juta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary meminta penjelasan kerajaan apakah Lapangan Terbang Pengkalan Chepa berpotensi dijadikan Bandaraya Aeropolis pada masa hadapan.

Beliau mengemukakan soalan itu semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Kamarudin Jaffar berkata, Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bertindak sebagai sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan merupakan lapangan terbang domestik kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Lapangan terbang ini mengendalikan 171 operasi penerbangan seminggu. Buat masa ini kerajaan hanya fokus kepada pembangunan KLIA aeropolis yang dikenal pasti sebagai salah satu teras strategik dalam pelan perniagaan Malaysia Airport Holding Berhad,” ujar beliau.

Dalam soalan asal, beliau meminta Menteri Pengangkutan menyatakan apakah Lapangan Terbang Pengkalan Chepa berpotensi dijadikan Bandaraya Aeropolis pada masa hadapan. Apakah Kerajaan bersetuju bahawa Kerajaan sebelum ini telah mendiskriminasikan Kelantan dalam soal pembangunan infra seperti yang berlaku kepada Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.

Marzuk turut mengemukakan soalan tambahan dengan mempersoalkan selain daripada KLIA yang disebut, di manakah lapangan terbang yang berada dalam rancangan pihak kementerian untuk dijadikan sebagai lapangan terbang aeropolis.

“Saya juga mohon penjelasan daripada pihak kementerian bagaimana dengan status pembesaran lapangan terbang Sultan Ismail Petra yang terletak di kawasan parlimen yang saya wakili,” tambah beliau.

Menjawab soalan tersebut, Kamarudin berkata bagi lapangan terbang selain KLIA, mereka akan mempelajari daripada kejayaan atau sebaliknya di KLIA terlebih dahulu.

Bagi lapangan terbang di Pengkalan Chepa, kawasan tersebut tidak mempunyai keluasan yang mencukupi untuk pembesaran. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

KUALA LUMPUR: Pengaruh anti-vaksin dalam kalangan ibu bapa kini semakin meluas dan sangat membimbangkan, kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Beliau mempersoalkan polisi terbaharu kerajaan bagi berhadapan dengan ibu bapa yang tidak mahu bayi mereka divaksinkan.

Menurutnya, perkara itu sangat membimbangkan sekiranya tiada pengawalan yang berkesan dilakukan terhadap golongan anti-vaksin.

Beliau bimbang seandainya tiada pengawalan berkesan, golongan anti-vaksin yang semakin bertambah ini akan menyebabkan penularan semula wabak penyakit yang sudah lama tidak muncul selepas vaksin diperkenalkan seperti difteria, tibi dan batuk kokol.

Beliau membangkitkan perkara tersebut ketika membahaskan usul Rang Undang-undang Pembekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di dalam Dewan Rakyat, semalam.

Marzuk berkata, beliau dimaklumkan bahawa ibu bapa yang anti-vaksin ini akan melalui proses kaunseling daripada pakar perubatan keluarga.

"Persoalannya sejauh mana keberkesanan sesi kaunseling ini dalam mempengaruhi ibu bapa untuk kembali memberi vaksin kepada anak-anak?

"Apakah kementerian berhasrat untuk melaksanakan polisi wajib vaksin?" soalnya.

Dalam masa yang sama Marzuk juga turut mempersoalkan kelulusan Kementerian Kesihatan berhubung iklan produk makanan kesihatan dan kosmetik di televisyen dan sebagainya.

Ujarnya, ramai pengguna yang terpedaya dengan iklan produk tersebut tanpa disedari produk yang digunakan mengandungi racun dan bahan terlarang.

"Sepatutnya pihak Kementerian Kesihatan perlu bertindak lebih proaktif melalui penguatkuasaan dan pengeluaran lesen.

"Mengapa produk beracun sudah terjual di pasaran kemudiannya barulah ada kenyataan daripada pengarah kesihatan atau pihak kementerian sendiri?" soalnya. – HARAKAHDAILY 5/12/2018

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid meminta pihak Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyertakan senarai projek dalam pembangunan skala kecil di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi setiap negeri.

Katanya, merujuk kepada butiran berkaitan projek kecil di kawasan PBT yang mendapati peruntukan diberikan dalam projek kecil kawasan PBT telah meningkat kepada RM82.76 juta.

Semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, beliau turut meminta pihak kerajaan bagi menyertakan bilangan projek yang masih dalam kajian serta dalam penangguhan ataupun akan dibatalkan.

Jika ada pembatalan dan juga penangguhan, beliau meminta agar pihak berkenaan menyatakan sebab di atas pembatalan serta penangguhan tersebut.

Berdasarkan perbelanjaan pembangunan yang diperuntukan dalam projek tersebut beliau turut mempersoalkan berkenaan pembahagian peruntukan yang akan diberikan kepada setiap negeri yang terlibat.

Malah beliau mempersoalkan apakah keutamaan dan syarat yang diberikan oleh pihak kementerian dalam menyalurkan bantuan dan peruntukan tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau mengharapkan peruntukan tersebut turut dapat disalurkan kepada Parlimen Kemaman khususnya Majlis Pembandaran Kemaman. – HARAKAHDAILY 4/12/2018

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff memohon pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya menaik taraf balai bomba Rantau Panjang.

Menurutnya, balai bomba di Rantau Panjang sekarang ini berada pada tahap C dan perlu dinaik taraf ke gred A atau sekurang-kurangnya gred B agar dapat menambah kekuatan anggota bomba serta kelengkapan yang lebih baik.

Katanya, sekarang ini jumlah anggota bomba di balai Rantau Panjang hanya 29 orang yang amat tidak mencukupi terutama apabila berdepan dengan banjir besar dan apa-apa risiko yang berlaku di bahagian sempadan.

Beliau juga mempersoalkan berhubung bayaran elaun kritikal kepada anggota bomba yang bertugas.

"Jadi saya ingin tahu apa dasar kementerian untuk memastikan elaun kritikal yang dijanjikan dapat disegerakan kepada anggota bomba.

"Mereka telah banyak berkorban demi untuk negara kita," katanya ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zailah turut meminta penjelasan mengenai dasar yang dibuat oleh pihak kementerian berhubung kebajikan dan kenaikan anggota bomba supaya perkara ini dapat diselaraskan sebaik mungkin.

"Saya dapat makluman bahawa kenaikan pangkat anggota bomba ini tidak sama dengan anggota beruniform lain.

"Contohnya 'timebase' semakan kenaikan anggota bomba memerlukan perkhidmatan 13 tahun baru ada kenaikan. Sedangkan anggota beruniform yang lain seperti anggota polis dan tentera, semakkan timebase setiap 4 tahun hingga 6 tahun sahaja," ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/12/2018

KUALA LUMPUR: Jaminan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia jelas bermotif politik dan balas dendam yang berterusan.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, perkara tersebut tidak praktikal kerana sejarah adalah untuk dijadikan iktibar generasi akan datang, apatah lagi skandal 1MDB masih dalam siasatan.

"Tindakan Menteri untuk mengangkat isu 1MDB yang masih disiasat adalah satu gimik politik murahan. Ini bukan sahaja merosakkan reputasi Menteri berkenaan, malah rakyat akan rasa tertipu dengan Menteri dari Kerajaan PH.

"Jika nak berbuat demikian, siapkan juga Jawatankuasa Khas kaji sejarah peristiwa hitam Memali yang memakan korban. Siasat kembali dan selesaikan dengan telus. Angkat peristiwa tersebut sebagai satu bahan sejarah untuk diambil iktibar," gesanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Ahmad Marzuk Shaary berkata, untuk lebih berlaku adil dan tidak menipu serta menyembunyikan sejarah yang betul, maka perlu dimasukkan sama semua skandal lain.

Menurut beliau, agar tidak meninggalkan kelompangan di dalamnya, masukkan skandal-skandal selepas penubuhan Malaysia kerana buku teks Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia kini hanya terkandung fakta setakat penubuhan Malaysia.

"Skandal 1MDB hanya bermula tahun 2000 ke atas. Sedangkan skandal Memali, BMF, PKFZ, Perwaja, Forex, MAS, Petronas dan lain-lain, terutama semasa tempoh lama Perdana Menteri Keempat memerintah puluhan tahun.

"Banyak peristiwa berlaku (ketika itu). Tahanan ISA, tahanan reformasi politik, skandal nepotisme, kronisme. Pengkhianatan hak royalti 5 peratus kepada Kelantan dan hak pendaratan minyak di negeri Kelantan yang dilarikan ke Songkla, Thailand.

"Kalau (semua) perkara ini tidak dimasukkan dalam silibus sejarah dan terus kepada isu 1MDB, nanti sejarah kita akan lompang," ulas beliau.

Penyataan dalam nada dan gaya beremosi Maszlee itu telah diungkapkannya ketika menjawab celahan daripada Dato' Seri Ahmad Maslan (BN - Pontian) pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini semalam.

Beliau ketika itu sedang memberikan jawapan berhubung penggubalan kurikulum dan buku teks Sejarah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dari soalan asal oleh Ustaz Hasanuddin Yunus (PH - Hulu Langat).

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan itu menafikan laporan media yang mendakwanya menyebut kes 1MDB akan dimasukkan ke dalam silibus subjek Sejarah di sekolah, dalam satu kenyataan pada tengahari tadi.

Setiausaha Akhbarnya, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, perkataan sejarah yang disebut Maszlee tidak merujuk kepada sukatan pelajaran, sebaliknya merujuk kepada sejarah Malaysia secara am. - HARAKAHDAILY 4/12/2018