ISU ini membawa diri saya kembali ke Republic of Ireland, negara pemastautinan saya selama hampir 9 tahun. Lima tahun sebagai pelajar perubatan dan 3 tahun lebih sebagai doktor di beberapa hospital serata Ireland.

Ireland adalah sebuah negara Katolik walaupun sejak beberapa tahun ini, kelihatannya Ireland sedang berubah kepada negara yang lebih Sekular yang kini dipimpin oleh seorang yang telah mengisytiharkan sebagai seorang gay. Pelajar dan penduduk Malaysia di Cork (bandar di mana saya bermastautin di Ireland), pasti tidak akan lupa dewan yang biasa disewa setiap kali ada majlis keramaian seperti hari raya, yang berdekatan dengan gereja di Wilton. Ya, ia dewan milik gereja. Nak ke dewan pasti melewati gereja yang berdekatan.

Saya berpeluang bekerja di Bon Secours Hospital, yang telah dibuka oleh sekumpulan nun. Di luar hospital terpampang salib yang cukup besar, begitu juga di dalam bangunannya. Upacara sembahyang di chapel yang ada dalam hospital disiarkan secara langsung maka para pesakit boleh menonton upacara berkenaan dari katil masing-masing. Paderi akan melakukan 'ward round' setiap hari memberikan wafer bulat yang berwarna putih kepada pesakit, ritual yang dikaitkan dengan the last supper.

Sebagai minoriti Muslim di negara majoriti Kristian, saya dan komuniti Muslim hanya mengharapkan kami dapat dipenuhi hak-hak asas untuk melaksanakan ibadah seperti solat, berpuasa, ada ruang solat, surau dan masjid, wanita dibenarkan memakai tudung, makanan halal dan seumpamanya. Alhamdulillah, di Cork, masjid yang terakhir saya dapat hadir adalah disewa daripada gudang. Di Dublin yang merupakan ibu negara Ireland, ada masjid yang diubahsuai daripada gereja yang sudah tidak digunakan lagi selain pusat Islam di Clonskeagh yang cukup selesa.

Adalah menjadi kewajipan kepada Muslim yang minoriti menghormati law of the land, di mana Ireland adalah sebuah negara yang majoritinya menganut agama Kristian. Maka, memperjuangkan negara Islam di sebuah negara majoriti Kristian bukanlah sesuatu yang wajar. Malah, apa akan jadi jika ada berbincang soal Islamic State di luar negara? Kemungkinannya akan ditangkap dan disoal selidik walaupun skop perbincangannya adalah berbeza sekali dengan propaganda jahat yang dibawa ISIS.

Inilah sebenarnya mesej yang perlu dihadam oleh seluruh rakyat Malaysia.

Dalam satu majlis diskusi yang saya sertai tahun lalu, seorang rakan saya yang beragama Kristian dan juga peneraju kepada sebuah NGO Kristian telah melontarkan sesuatu yang tidak pernah saya terfikir. Katanya, parti-parti politik yang majoriti Melayu Muslim akan kekal relevan sampai bila-bila. Peratusan Bumiputera meningkat setiap tahun dengan jangkaan bilangan masyarakat Islam menjadi 72.4 peratus pada tahun 2050.

Beberapa minggu lepas, semasa menunggu anak saya mempelajar kelas coding di Mont Kiara, saya sempat berbual dengan seorang lelaki Cina lingkungan usia 60-70-an. Beliau hadir menemani cucunya. Apabila saya menjawab soalannya bahawa saya punya 5 orang anak, dia sangat terkejut. "How do you deal with that? I have 2 grandchildren and it's already difficult". Apa yang dia mungkin tidak sedar adalah bahawa belia Muslim sekitar umur saya agak biasa dengan bilangan anak 5 malah di kalangan rakan saya, ramai yang ada lebih daripada 5 orang anak. Sedangkan jika kita bertanya kepada komuniti Cina, satu atau dua orang adalah bilangan anak yang biasa kita dapati.

Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, Yang Di Pertuan Agung sebagai Ketua Agama Islam, dan kita menerima bahawa Perdana Menteri adalah daripada kalangan orang Islam. Kita ada mahkamah khas untuk orang Islam dan banyak agensi khas berkenaan Islam bagi menguruskan hal ehwal orang Islam secara khusus seperti Tabung Haji, Jakim, Ikim, Yadim dan banyak lagi. Semua ini adalah sangat bertepatan dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang didiami masyarakat berbilang kaum dan agama yang dipelihara hak mereka beragama iaitu dalam konteks ibadah dan ritual-ritual agama.

Maka, adalah sesuatu yang wajar dan matang bagi komuniti bukan Islam yang minoriti menghormati pengamalan agama majoriti di Malaysia. Ia termasuk tidak berbincang soal penubuhan atau pembinaan negara agama berdasarkan agama lain. Jika ia dilihat tidak wajar bagi Muslim memperjuangkan Islamic State di negara majoriti Kristian maka begitulah jualah sepatutnya bagi bukan Islam di negara majoriti Muslim. As simple as that.
.
Timbul persoalan, apakah ia bermakna Muslim dan Kristian tidak boleh langsung berbicara soal Islamic State dan Kingdom of God sesama mereka. Mungkin jika ia dibuat secara tertutup dengan tujuan mencapai matlamat berkenaan di negara asal mereka, bagi saya ia boleh diterima. Tetapi jika dilaungkan dalam program yang jelas membawa mesej politik seperti yang berlaku dalam program "Naratif Malaysia Baharu” di Mega Chinese Methodist Church, Kota Damansara baru-baru ini, adalah agak sukar untuk diterima alasan YB Steven Sim bahawa ucapannya sekadar untuk memberi semangat kepada masyarakat Kristian di mana masyarakat Kristian yang berkenaan adalah penduduk dalam sebuah negara majoriti Muslim.

Bayangkan jika program yang sama dilakukan oleh komuniti Muslim di sebuah negara Kristian. Anda boleh jangka apa yang akan terjadi. Steven Sim adalah seorang ahli Parlimen dan Timbalan Menteri, maka, ucapan seumpama itu pasti besar kesannya dan beliau sepatutnya lebih tahu apa yang wajar atau tidak wajar dilakukan sebagai pemimpin di kalangan komuniti bukan Islam dalam negara majoriti Muslim.

Kunci kepada apa yang kita lihat sekarang adalah pentingnya sikap menghormati kepada 'law of the land' tidak kira di mana sahaja kita berada. Sikap negatif yang ditunjukkan terhadap keputusan-keputusan yang melibatkan hal ehwal orang Islam seperti keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dalam kes pasangan Lesbian adalah juga bukti betapa semakin terhakisnya sikap menghormati hak rakyat majoriti negara di kalangan segelintir rakyat Malaysia, apatah lagi apabila ia dipelopori oleh orang-orang politik.

Natijah daripada sikap yang tidak sensitif dengan 'law of the land', agama dan budaya masyarakat majoriti dalam mana-mana negara akan mengakibatkan masyarakat majoriti akan bertindak balas demi menjaga survival mereka di negara masing-masing.

Bagi saya, inilah resepi yang paling baik dalam mencapai perpaduan dalam negara dengan erti kata yang sebenar selain daripada usaha demi usaha di kalangan rakyat Malaysia dalam meningkatkan kefahaman terhadap budaya dan agama lain agar sikap hormat itu benar-benar dapat diimplementasikan.

Prinsip ini seakan mudah sahaja jika dibincang secara ilmiah tetapi realitinya ia sangat sukar. Moga Allah mempermudahkan usaha para pejuang kedamaian demi generasi yang akan datang. Terima kasih kepada rakan-rakan Kristian yang menghantar mesej di pagi hari bertanyakan pandangan isu ini. Tidaklah mustahil untuk rakyat Malaysia membincangkan isu sensitif ini dengan nada dan suasana yang matang demi negara.

Salam perpaduan,

FAIRUZ AZMI.
Batu Caves,
Di mana letaknya kuil Hindu yang utama di Malaysia. - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyifatkan negeri itu belum menerima royalti sebagaimana dijanjikan kerana halangan di Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng punca antara faktor penyebab royalti minyak masih belum dibayar sehingga kini.

Katanya, kerajaan negeri berpegang kepada keputusan yang dibuat Mesyuarat Majlis Kewangan Negara supaya royalti minyak dibayar kepada Kelantan.

“Saya juga difahamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberikan arahan kepada kementerian tersebut supaya membayarnya.

"Ini keputusan Majlis Kewangan Negara. Menteri Besar dan saya telah bertemu dengan Perdana Menteri sebelum ini dan kami diberi maklum arahan bayaran telah diberikan kepada kementerian itu,” ujarnya selepas majlis Solat Hajat dan Motivasi Perdana Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah Panchor di Putik malam tadi.

Pada November 2018 Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu pusat tidak membayar royalti kepada Kelantan kerana disaman kerajaan negeri.

Bagaimanapun pada 24 Oktober tahun lepas kerajaan negeri mengumum menarik balik saman terhadap Petronas berikutan enggan membayar royalti petroleum  terhadap Kelantan. – HARAKAHDAILY 20/9/2019

MARANG: PAS tetap dengan pendirian mahu kepimpinan negara dapat diteruskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga tamat tempoh penggal Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana mahukan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tuan Guru berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan dipilih menjadi Perdana Menteri pada tahun 2020.

Menurutnya, pilihan sebagai jawatan Perdana Menteri itu hendaklah di kalangan tokoh yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen Malaysia.

Justeru, katanya pendirian PAS mahukan Dr Mahathir terus kekal memimpin negara ini sehingga habis tempoh penggal berkenaan.

“Dari segi peraturannya begitulah. Sebab, rakyat pilih pilihan raya (PRU14) baru ini, pilih Pakatan Harapan biar Tun jadi Perdana Menteri. Dia (Anwar) tak masuk pilihan raya pun masa itu. (Anwar) Masuk pilihan raya kemudian dan pilihan raya kecil tidak boleh jadi ukuran.

“Sebab itu, kepada kita biar Tun memimpin lagi. Biar beliau sendiri yang dapat mengendalikan urusan ini dan perlu seorang Perdana Menteri yang boleh diterima majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Dato’ Seri Anwar, parti dia sendiri pun tidak terima macam mana? Berpecah dua, sebahagian PKR ada yang terima dan tak terima dalam satu parti.

“Macam Tun Dr Mahathir ini, PAS boleh terima, Umno boleh terima, sebahagian PKR boleh terima. Sekarang ini kita melihat majoriti ahli-ahli parlimen ini dengan Tun.

“Sebab itulah alasan kita supaya Tun terus kekal sebagai Perdana Menteri. Jangan kata saya ‘batu api’ pula, saya tidak masuk mana-mana dalam parti yang krisis itu,” tegasnya selepas Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi. – HARAKAHDAILY 20/9/2019

KUALA LUMPUR: Keamanan akan terjamin apabila sebuah negara itu diperintah dan dikuasai politiknya oleh majoriti rakyat negara tersebut, demikian menurut Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam.

Beliau mengemukakan realiti yang berlaku di beberapa negara atau wilayah dunia yang berkonflik ekoran daripada penduduk majoriti dan pemimpinnya berlainan kaum atau pegangan agama mereka.

"Isu Kashmir sekarang. Apabila India dan Pakistan mendapat kemerdekaan daripada British, mereka memberi wilayah-wilayah tertentu untuk memilih sama ada menyertai India ataupun Pakistan.

"Ada beberapa wilayah yang majoriti rakyatnya beragama Islam, tapi pemimpinnya (beragama) Hindu atau bukan Islam. Contoh Kashmirlah, majoriti beragama Islam dan rakyat hendak bergabung dengan Pakistan, tetapi pemimpin hendak India.

"Hyderabad, majoriti rakyat Hindu, tetapi pemimpin dia Islam. Pemimpin nak kepada Pakistan, tapi rakyat nak kepada India. Bila peringkat antarabangsa masuk campur, Hyderabad pergi kepada India mengikut majoriti rakyat.

"Tetapi Kashmir tidak begitu, diletakkan di bawah India dan diberi autonomi," ujarnya turut membuka wacana kepada dasar Apartheid di Afrika Selatan dahulu di mana majoriti bangsa kulit hitam diperintah minoriti kulit putih; menimbul huru-hara dan ketidakamanan.

Dengan itu juga sokongnya, pewartaan pendaftaran pengundi bermula seawal usia 18 tahun akan meningkatkan lagi jumlah majoriti rakyat yang akan menentukan hala tuju negara. - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KOTA BHARU: Masih terlalu awal untuk PAS dan Umno menubuh kerajaan campuran di negeri-negeri yang dikuasai kedua-dua parti.

Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerjasama Umno dan PAS yang dimeterai melalui Piagam Muafakat Nasional seumpama persefahaman secara rasmi.

Katanya, kerjasama itu masih awal dan hanya bersifat longgar.

"Muafakat Nasional lebih kepada MoU, kita meletakkan satu tanda secara rasmi memandangkan sebelum ini kerjasama tidak rasmi seperti dalam beberapa pilihan raya kecil.

"Apabila ditandatangani Piagam Muafakat Nasional kita rasmikan kerjasama. Ia lebih kepada garis panduan hubungan PAS dan Umno," katanya yang juga Timbalan Menteri Kelantan selepas menghadiri majlis solat hajat pelajar Sekolah Menengah Agama Tarbiyah Mardhiah, Panchor di sini malam tadi.

Semalam, Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli menjelaskan buat masa sekarang tiada keperluan untuk PAS turut menyertai pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Perlis.

“Kecualilah ada keputusan di peringkat pimpinan tertinggi kedua-dua parti, maka kita kena akur,” katanya.

Rabu lepas, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man berkata, kerajaan negeri sedia melantik wakil rakyat PAS untuk mengisi kekosongan Exco sekiranya mendapat lampu hijau pimpinan pusat. – HARAKAHDAILY 20/9/2019

SAYA rasa, tulisan ini amat sesuai bagi diri saya dan juga kepada rakan-rakan dalam PAS jika untuk muhasabah diri seketika setelah berperang dengan musuh. Muhasabah ini bagaikan kita balik ke pangkalan setelah berhari-hari bertempur dengan musuh di medan. Dalam kata lain, gencatan senjata. Apabila ada ruang gencatan senjata, kita segera akan melihat kekurangan, kerosakan, kecederaan atau mungkin juga kematian bagi merancang strategi seterusnya untuk perang akan datang. Ia bukanlah berehat terus, tetapi berehat sebentar.

Antara perkara yang patut kita rawat dalam masa kita berjuang atas apa yang kita namakan perjuangan berasaskan agama ialah hati. Hati, kata Rasulullah ibarat raja. Ia bertakhta di dalam istana, sambil memerintah pasukannya di luar untuk melakukan apa yang sesuai mengikut kehendak dan perancangannya. Begitulah kefahaman mudah atas maksud hati itu seumpama raja. Pesan Rasulullah, apabila baik hati itu, maka baiklah rakyatnya. Tetapi sebaliknya boleh bergoncang dunia jika ketulan daging itu jahat.

Tujuan utama kita dan jin diciptakan ialah beribadat kepada Allah. Iaitu mengerjakan segala suruhan, meninggalkan segala larangan, mengikut aturan-aturannya. Tidak diterima ibadat itu jika ianya tidak mengikut turutan yang telah disediakan oleh Allah dan Rasul melalui al-Quran dan Sunnah. Manakala mahu tidak mahu, panduan daripada ulamaklah yang memperjelaskan bagaimana kehendak kedua-dua rujukan utama ini, supaya menepati apa yang dikehendaki. Dan setelah itu, wajib ia digabungkan dengan hati, iaitu ikhlas dalam melakukan ibadat itu, baharulah ia diakui Allah.

Ikhlas ialah sesuatu yang ada di dalam hati. Ia tidak kelihatan pada pandangan mata manusia. Hanya Allah yang boleh mengetahuinya sama ada ikhlas atau tidak. Dikisahkan di dalam sebuah hadis, manusia yang hebat-hebat dengan ibadat ketika di dunia, dihumban ke neraka kerana tidak ikhlas dalam melakukan amal. Ada yang mengaji, kerana mahu dipanggil sebagai qari, ada bersedekah, mahu diketahui sebagai penderma, ada yang berperang, mahu dikenali sebagai syuhada. Semua itu rupanya tidak diterima Allah kerana riak. Dan mereka hanya mendapat pujian manusia di dunia, kosong di akhirat.

Ikhlas ini juga diibaratkan sebagai seekor semut hitam, di malam gelap gelita. Tiada orang mengetahui akan pergerakan si semut itu kerana ia seperti tidak wujud langsung. Hanya Allah dengan ilmuNya tahu akan apa yang diperbuat oleh si semut tadi. Maka ikhlas ini sangat berat bagi manusia untuk melakukannya, apatah lagi mempertahankannya. Namun, ia bukan alasan bagi kita, untuk mengelak dari melaksanakan tanggungjawab kita seperti yang diperintahkan oleh Allah. Kewajipan tetap mesti dilaksanakan sama ada mencapai ikhlas atau tidak.

Amat bodoh jika seseorang membuat kenyataan bahawa, tidak perlu melakukan ibadat, jika tidak ikhlas. Contoh alasan terlaris di pasaran kejahilan ialah tidak perlu menutup aurat kerana hati sudah baik atau tiada keihklasan untuk melakukannya. Mungkin mereka perlu melihat bagaimana keadaan ahli sukan bola sepak yang berjaya sebagai misalan yang baik. Mereka itu bermula dari tidak pandai menendang bola. Berlatih, berlatih dan terus berlatih. Daripada kaki bangku, kepada pemain terhandal dan termahal atau mana-mana posisi sesuai mereka.

Akhirnya mereka mencapai anugerah tertinggi sukan seperti menjuarai Piala Dunia, atau apa-apa kejuaraan lain lagi. Penghargaan tertinggi inilah yang kita samakan sebagai ikhlas. Untuk mencapai tahap itu, mereka terus menerus melakukan latihan dan menyertai banyak pertandingan peringkat tertinggi yang mematangkan kemahiran mereka dalam bola sepak. Tiada pernah ada manusia yang lahirnya terus pandai bermain bola tanpa latihan. Alasan dangkal sebegini, hanya memperlihatkan kederhakaan mereka, bukan kebijaksanaan mereka. Ikhlas perlukan banyak latihan untuk menang perlawanan dengan syaitan, nafsu dan sebagainya.

Saya ada seorang rakan yang berkerja dengan PAS Terengganu. Saya gelarkan dia sebagai Mr X. Dia bukan pimpinan. Seingat saya, beliau berkerja dengan PAS semenjak dari lepas sekolah. Beliau berkelulusan biasa sahaja. Mendapat ilmu dalam melakukan kerja dalam PAS secara tidak formal, melalui latihan-latihan bersama rakan-rakan. Dahulu, apabila ada majlis-majlis PAS, Mr X adalah antara orang yang sampai awal menyiapkan keperluan tempat program dan sebagainya. Dan dia juga antara yang terakhir meninggalkan tapak. Dia sentiasa akan ada apabila dipanggil, jika tidak uzur.

Dia sentiasa diberi amanah yang banyak. Dia menjalankannya tanpa mengarut dan berkeluh kesah. Mengeluh kerana penat, itu biasa. Tetapi dia menolak kerja kerana marah atau seerti dengannya, saya berani katakan tidak berlaku. Semua lapisan jemaah sangat senang berurusan dengannya kerana caranya itu. Cakap yang tidak menyakitkan hati, mudah membantu dan tidak menonjolkan diri. Bagi yang biasa dengan pengurusan PAS, mereka akan tahu berapa gaji sukarelawan-sukarelawan PAS ini. Jika memikirkan duit, PAS bukan tempatnya. Hanya kerana Allah.

Sekarang, Mr X masih bersama PAS, setelah PAS menguasai Kerajaan Terengganu. Dia masih di situ, tidak meninggalkan Bukit Uhud, masih berjaga menuruti perintah pimpinan dengan beberapa orang lagi. Ramai yang sudah berpindah kerana arahan pimpinan. Ini biasa. Namun bagi Mr X, dia tetap sama seperti dahulu. Mengerjakan tugasan bagi jemaah dengan tekun. Dia masih ke sana ke sini bagi menyiapkan amanah parti. Banyak kali juga dia membantu Kerajaan Negeri melicinkan perjalanan program, walau dia tidak dibayar gaji. Bagi saya, nyata dia langsung tidak berubah.

Dia juga, walaupun sudah lama rapat dengan Presiden PAS, dia tidak melampau dalam segala urusan. Tidak menonjol bergambar dalam medsos menunjukkan dia sentiasa bersama dengan Presiden. Dia tidak pernah cuba mengambilalih tugasan pembantu Presiden semata-mata kerana dia duduk dekat dengan Presiden. Dia kekal berkerja di belakang tabir. Dia juga tidak dilihat menghantar apa-apa yang membanggakan diri sendiri, memburukkan jemaah, mahupun menyerang sesama jemaah dalam medsos. Dia tiada musuh. Dia kekalkan hubungan baik dengan semua lapisan dalam jemaah.

Dia juga tidak menunjuk-nunjuk kepandaiannya atau merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Baginya itu adalah kepandaian masing-masing. Bila ditanya, dia ajarkan kerana semua orang ingin memberikan khidmat kepada jemaah dengan maksima tapi mungkin ada kelemahan. Mr X juga mempunyai keluarga yang memberikan khidmat kepada jemaah dan Presiden terutamanya. Dia tidak pernah menjadikan diri dan keluarganya sebagai contoh terbaik dalam jemaah. Saya cukup bertuah kerana mempunyai sahabat seperti Mr X. Kami saling bantu membantu. Amat menyenangkan berkerja dengannya. Cakapnya kurang, kerjanya bagus.

Walaupun ikhlas ialah sesuatu yang di dalam hati dan tidak nampak, tetapi ia ada mempunyai tanda-tanda khususnya. Apabila orang itu dikenali baik oleh orang-orang terdekat, disukai oleh orang baik-baik kerana kebaikannya, dia tetap sama walau dikelilingi dengan kemewahan, tidak meminta-minta, dan tidak menunjuk-nunjuk akan dirinya. Maka itulah tanda-tanda apa yang dilakukan itu insyaAllah datang dari kejernihan hatinya. Saya bukan memuji dia sembarangan kerana jika saya tuliskan namanya di sini, saya yakin, pasti tiada bantahan oleh jemaah yang kenal dia.

Saya juga tidak mahu meletakkan seseorang itu melebihi apa yang sepatutnya kerana hati sifatnya berbolak-balik. Tetapi tulisan ini adalah bagi memberikan sedikit panduan kepada semua orang yang inginkan kebaikan tersebar. Mr X adalah satu contoh yang hidup, nyata terjadi di hadapan mata kita. Saya mendoakan Mr X agar mati dalam keihklasan ini dan saya antara orang yang mendapat petunjuk untuk menjadi sebaik mungkin atas tauladannya.

Kisah-kisah sebegini, mungkin sudah biasa kita dengar dan tahu terjadi kepada pimpinan. Tetapi jika iktibar sebegini yang datang dari orang yang tidak dikenali, sebenarnya lebih menyentuh perasaan kita. Kita terasa yang kita hebat, sedangkan ada yang lebih hebat lagi. Jika kita suka uar-uarkan kerja kita, takut nanti ia dikira riak oleh Allah dan terjadi seperti dalam hadis di atas. Tidak salah untuk menghebahkan perbuatan baik kita kepada orang lain bagi menjadi ikutan mereka. Lebih besar pahalanya insyaAllah. Tetapi apabila hari-hari, atau berselang hari, sentiasa ada kisah kehebatan kita yang kita sendiri siarkan, dibimbangi ianya sudah lari dari tujuan asal.

Jadi kepada saya dan semua jemaah yang sangat suka menyebarkan hal dalaman atau serba serbi tidak kena, rasa tidak puas hati, menunjuk riak, hebat diri, hadamlah kisah Mr X ini. Dia tidak membuat apa-apa yang merugikan jemaah. Apabila ada sesuatu mengenai pimpinan, dia serahkan kepada kebijaksanaan mereka menyelesaikannya. Bukan dia menjadi hakim di FB. Ketika orang ramai menjadi seperti ahli jawatankuasa Hisbah, pantang ada kesalahan, terus dibicarakan dan ditularkan dalam medsos, dia tidak semberono mengkritik dan membawa hal dalaman keluar, kerana pastinya akan ada yang bertanya, kenapa, siapa, bagaimana, di mana, bila, lalu boleh membuka pintu fitnah.

Semoga Mr X menjadi semakin tawaduk dan ikhlas. Ramai lagi jemaah yang seperti dia yang ada, cuma saya khususkan kisah ini tentang dia sahaja. Ikhlaskan diri kita dalam kerja jemaah. Ia adalah senjata paling ampuh untuk menghadapi musuh. Ianya juga menjadi jaminan syurga kepada pengamalnya kerana itulah sasaran terakhir kita dalam berjuang, biar syahid ataupun kemenangan. Inilah yang akan membezakan jemaah kita dengan orang lain, beramal dengan betul dan kemuncaknya dengan seikhlas mungkin.

MOHD NASIR ABDULLAH
20 September 2019 - HARAKAHDAILY 20/9/2019

2019 merupakan era ke arah menjadikan manusia semakin hilang daya kekuatan akal untuk berfikir. Masing-masing semakin bergantung kepada mesin sama ada sedar atau tidak. Adakah mungkin satu hari nanti manusia sememangnya dikuasai oleh mesin atau robot?

Hakikatnya tak perlu tunggu lama. Hari ini sudah menyaksikan manusia sememangnya bergantung kepada mesin dan kemungkinan besar satu hari nanti akan dikuasai oleh mesin. Dengan kata mudah, dunia dikontrol oleh robot ciptaan manusia sendiri.

Berdasarkan perkembangan semasa hari ini, rasanya masa yang dikatakan ini tidak lama. Filem Terminator menggambarkan pertembungan yang dahsyat antara manusia dan mesin bermula pada 2017.

Akal semakin lemah daya fikir

Apabila manusia semakin lama bergantung kepada mesin, maka "akal semakin kurang daya fikir". Contohnya,

(1)     Dulu manusia menghafal nombor telefon. Hari ini terpaksa bergantung kepada handphone untuk menyimpan phone number.

(2)     Dulu manusia hafal jalan untuk ke mana-mana. Hari ini bergantung kepada aplikasi Waze atau Google Map.

(3)     Dulu manusia menulis dan menerbit menggunakan pen. Kemudian mesin type, kemudian komputer dan yang terkini guna handphone.

(4)     Dulu manusia mencari teksi secara manual, hari ini bergantung kepada "mesin" Grab untuk memanggil kereta sewa.

Dan banyak lagi.

Bergantung kepada mesin

Kebergantungan terhadap mesin ini lama kelamaan membawa kepada penguasaan mesin terhadap manusia. Hari ini kita hampir tidak dapat membayangkan kewajaran seseorang tidak memiliki handphone.

Kita juga tidak dapat membayangkan bagaimana kalau komputer tiada dalam sebuah pejabat. Bahkan tol juga sedang berubah ke arah automatik setelah basuh kereta juga menggunakan mesin automatik.

Tukang urut akan hilang pekerjaan sedikit demi sedikit dengan wujudnya kerusi urut yang semakin laris. Munculnya bas dan keretapi tanpa pemandu, kereta milenium tanpa stereng, dan mungkin juga pendidikan ke arah "tanpa guru".

Perkara ini telah "diandaikan" oleh seorang professor Israel yang bernama Yuval Noah Harari di dalam bukunya "Homo Deus : A Brief History Of Tomorrow" yang mula diterbitkan pada 2015.

Beliau menyatakan bahawa di masa depan setiap keputusan atau ketetapan akan dibuat oleh mesin, manakala manusia hanya perlu mengikuti ketetapan mesin tersebut tanpa dikaitkan dengan pertimbangan pribadi

Tragedi kemalangan udara 1 Julai 2002

Salah satu peristiwa daripada ratusan peristiwa yang berkaitan pertembungan mesin dan manusia ialah kemalangan yang berlaku pada 1 Julai 2002 antara Bashkirian Airlines Flight 2937 dan DHL Cargo 757. Kedua-duanya menghampiri antara satu sama lain, dengan ketinggian 36000 kaki.

Traffic Collision Avoidance System (TCAS) adalah sebuah sistem yang dipasang bagi setiap kapal terbang untuk mengelak kemalangan. Apabila menghampiri antara satu sama lain, TCAS secara automatiknya akan mengeluarkan arahan supaya satu kapal terbang turun ke bawah (descend), dan satu lagi naik ke atas (climb) untuk mengelak bertembung.

Kapal DHL Cargo menerima arahan TCAS untuk turun, manakala Kapal Bashkirian diberi arahan naik. Tetapi Air Traffic Controller (ATC) yang dikawal oleh manusia, mengeluarkan arahan kepada Kapal Bashkirian untuk turun, berbeza dengan arahan TCAS yang dikawal oleh robot.

Akhir sekali kedua-duanya turun mengakibatkan perlanggaran yang dahsyat pada jam 11.35 malam. Kesemua 71 orang di dalam kedua-dua kapal terbunuh. Hasil daripada peristiwa ini, undang undang penerbangan memutuskan jika berlaku pertembungan laluan mesti mengikut arahan TCAS (mesin) bukan lagi ATC (manusia)

Artificial Intelligence

Artificial Intelligence (Ai) adalah istilah yang diberikan untuk mesin yang mampu melaksanakan tugas mengikut kemampuan daya fikir mereka melalui manipulasi kod-kod atau terma-terma dalam komputer agar mesin tersebut mampu bertindak dengan sendiri mengikut perubahan suasana.

Bahasa mudahnya ia adalah robot (mesin) yang cuba menandingi akal manusia. Sebagai contoh yang diimaginasikan oleh Barat melalui Filem Age Of Ultron 2015 yang menggambarkan teknologi Ai yang dicipta untuk melindungi bumi daripada ancaman. Setelah Ai tersebut mengumpulkan data sejarah dan sebagainya, ia menyimpulkan bahawa ancaman utama bumi ialah manusia itu sendiri. Lalu Ai yang bernama Ultron itu bertindak untuk memerangi manusia.

Sepertimana yang saya nyatakan tadi tentang kereta tanpa stereng (pemandu). Ia merupakan salah satu percubaan penerapan elemen Ai dalam pengangkutan jalan raya. Hanya perlu pilih lokasi yang ingin dituju, kemudian pilih keselesaan kelajuan, tekan button dan seterusnya kenderaan bergerak dengan sensor-sensor yang berfungsi.

Bimbang dalam jangkamasa yang panjang, bukan hanya kereta tanpa pemandu, tetapi lokasi kita ditetapkan oleh robot. Masa dan jadual seharian kita diatur oleh robot. Robot akan "setting" kebahagiaan keluarga kita melalui agenda-agenda kebahagiaan yang telah diprogramkan.

Akal yang dikuasai

Point yang pertama saya nyatakan tentang gejala kelemahan daya fikir oleh akal manusia. Generasi ke hadapan semakin malas berfikir. "Asalkan aku cukup makan itu sudah ok". Apabila lemahnya daya berfikir, ia akan meng"create" kebodohan.

Antara sebab kebodohan Bangsa Qibti ialah mereka selesa dengan pemerintahan Firaun. Perkara ini disebut oleh Allah S.W.T;

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُوا۟ قَوۡمࣰا فَـٰسِقِینَ

Imam Qurtubi di dalam tafsirnya menukilkan bahawa projek pembodohan yang dilakukan oleh Firaun itu disebabkan lemahnya daya fikir mereka. Ayat-ayat sebelumnya, Firaun mengungkit nikmat yang diberikan olehnya kepada rakyat Mesir (Qibti). Justeru dengan kesenangan dan kenikmatan itu, menjadikan mereka semakin malas berfikir, dan menerima sahaja ketetapan Firaun untuk mengikuti telunjuknya.

Adakah sejarah pembodohan Firaun ini akan diulangi oleh Ai? Apabila manusia merasa kesenangan "hidup bermesin", lama kelamaan manusia semakin malas berfikir, dan hanya ikut telunjuk mesin. Akhir sekali, mungkinkah manusia akan menganggap mesin itu segala galanya?

Lihatlah google. Seolah-olah hari ini kita telah menganggapnya mengetahui segala-galanya. Seolah-olah minda manusia ke arah dikawal oleh mesin. Apakah Dajjal di akhir zaman mengawal minda manusia dengan mesin-mesin ini?

- MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KUALA LUMPUR: PAS boleh bersama sesiapa sahaja termasuk yang menjadi lawan atau musuhnya kerana diikat oleh prinsip utama yakni juga tonggak dalam Perlembagaan PAS, iaitulah Islam.

Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, kerana itulah PAS yang dahulunya bergaduh dengan Umno boleh menjadi kawan kerana berganjak kepada perkara positif.

"Gaduh itu perkara yang negatif, kawan itu perkara yang positif. Kita kena berganjak daripada suatu benda yang buruk, yang negatif kepada yang positif.

"Tetapi kenapa ada juga orang yang tak suka, tak gembira?" ujarnya pada Wacana Sinar Harian bertajuk "PAS - Umno: Dulu Bergaduh Sekarang Berkawan" di Dewan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, semalam.

Jelasnya, pimpinan PAS terdahulu lebih awal menunjukkan teladan tersebut sebagaimana Almarhum Dato' Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah duduk sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau merujuk beberapa peristiwa penting kebersamaan dan penyertaan pimpinan PAS bersama 'lawan'nya ketika itu dalam isu Palestin terutamanya, serta beberapa isu yang lain.

Apatah lagi kata Dr Rosni, majoriti terbesar umat di negara ini adalah Bumiputera Melayu beragama Islam yang sudah tentu dan amat diyakini hanya Islam dapat menyatukan penduduk Malaysia.

Penyatuan ini juga jelasnya, adalah di atas dasar ta'awun yakni bertujuan kebajikan dan takwa, bukannya dalam perkara yang melibatkan dosa dan pencerobohan.

Malah katanya, PAS boleh berkawan dengan Umno tidak pelik setelah kedua-duanya bersetuju memimpin bersama Islam sebagaimana ibrah telah ditunjukkan Rasulullah S.A.W.

"Sebab sejarah dalam dunia, apabila kita memimpin bersama Islam, tidak pernah ada penganiayaan kepada orang bukan Islam ataupun golongan minoriti, tetapi menyatupadu masyarakat majmuk yang ada," hujahnya.- HARAKAHDAILY 20/9/2019

DEWAN Pemuda PAS Negeri Sarawak terharu dan berterima kasih kepada Panitia Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan PAS Pusat kerana memilih Bintulu sebagai lokasi Sambutan Hari Malaysia Kali Ke-56. Bagi kami ini menunjukkan manifestasi keseriusan PAS dalam menterjemah agenda Permuafakatan Nasional ke Kepulauan Borneo supaya turut diurus libat bersama. Apa yang lebih istimewa, sambutan kali ini dibuat di rumah panjang RH Gima Bintulu yang mana pendudukanya semua berbangsa Iban.

Kehadiran penuh pimpinan utama PAS Pusat ke Sarawak membuktikan PAS sedang memimpin agenda besar untuk Sarawak bukan sahaja dalam aspek politik semata-mata, bahkan juga dalam aspek sosial, ekonomi, pendidikan dan hubungan antara kaum dan bangsa.

Pemuda PAS Sarawak melihat kehadiran Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS ke Sarawak turut menerujakan sebahagian besar rakyat Sarawak khususnya penduduk di kawasan Bintulu dan Kuching. Apa yang menariknya? Setiap kali program bersama Tuan Guru Presiden PAS, ia senantiasa mendapat sambutan hangat dan menggalakkan dari penduduk setempat yang ingin melihat dari dekat akan watak dan ketokohan Presiden PAS.

Justeru, sambutan dan sokongan rakyat Sarawak muktahir ini kepada PAS sangat memberangsangkan, faktor ini di dorong dengan apa yang berlaku dalam sejarah politik Malaysia baru-baru ini, di mana PAS dan Umno yang merupakan parti politik terbesar Melayu menandatangani piagam yang diberi nama Permuafakatan Nasional untuk membentuk kuasa kolektif politik terbesar negara dalam berdepan PRU-15.

Keyakinan ini dibuktikan dengan berlakunya kunjung hormat Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Bin Tun Openg yang merupakan Pengerusi GPS. Dalam pertemuan itu, kelihatan kedua-dua pemimpin menunjukkan reaksi sangat positif akan kepentingan Permuafakatan Nasional yang sepatutnya Sarawak juga harus mengambil bahagian demi kesejahteraan penduduk Sarawak.

Di akhir pertemuan, kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk terus memastikan agar negara diurus dengan baik dan menolak agenda politik DAP yang senantiasa menganggu gugat perpaduan dan keamanan penduduk negara khususnya negeri Sarawak yang selama ini aman dan tenteram.

Dewan Pemuda PAS Sarawak bersedia dan berbesar hati untuk meneruskan agenda Permuafakatan Nasional peringkat Sarawak yang telah dibuka oleh Presiden PAS dan GPS untuk mengadakan sesi pertemuan muhibbah dengan Pemuda GPS dalam masa terdekat. Bagi kami, agenda pembinaan negara dan kemajuan bangsa merentas kepentingan politik. Inilah kehebatan dan aura kepimpinan yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Presiden PAS untuk memastikan usaha ini berjaya.

Mudah-mudahan usaha ini akan memastikan Kerajaan Negeri Sarawak terus kekal dan tidak jatuh ke tangan kuasa politik rakus DAP dan sekutunya.

"Demi Islam"

"Untukmu Sarawak"

"Pemuafakatan Nasional"

HAMDAN SANI
Ketua Pemuda PAS Sarawak - HARAKAHDAILY 20/9/2019

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia tidak sewajarnya menangguhkan peraturan penjualan arak murah hanya kerana desakan beberapa pengilang dan pengeluar serta penjual arak murah.

Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sedangkan mereka itu bukan mewakili masyarakat ataupun orang awam yang menjadi mangsa kepada penjualan arak murah.

Tegas beliau, Kementerian tidak seharusnya melayani desakan para pengilang, kerana mereka hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesan buruk daripada penjualan arak murah.

"Kita menyokong penuh apa yang dinyatakan oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia atas keadaan ataupun kesan negatif yang semakin merebak akibat penjualan arak ini khususnya kepada golongan B40.

"Yang paling menjadi mangsa juga ialah warga India yang berada di estet-estet yang menyebabkan mereka ini sebahagiannya ketagihan samsu. Samsu yang dijual secara murah di kedai-kedai di dalam estet.

"Apa sebenarnya alasan Kementerian Kesihatan menerima saranan daripada pengilang ini sehingga menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan ini?

"Adakah Kementerian tidak melihat apa yang ada di depan mata mereka ketika mana begitu ramai rakyat di bawah ini yang menjadi mangsa kepada minuman arak yang murah ini, yang sangat bahaya kepada kesihatan.

"Malah menyebabkan ada yang sudah terkorban, berlaku kes tahun lepas, ramai yang telah mati akibat minum arak ini," ujarnya menyatakan sokongan kepada NGO Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia yang menghantar memorandum kepada Kementerian Kesihatan baru-baru ini.

Beliau mempersoalkan sama ada Kementerian Kesihatan mewakili rakyat untuk menjaga kesihatan rakyat ataupun sebenarnya mewakili pengilang-pengilang yang mereka itu secara sangat rakus mengaut keuntungan daripada pengeluaran produk mereka.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat mendesak supaya Kementerian mengambil segera saranan oleh Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia terhadap isu itu.

Katanya, seluruh rakyat sangat mengharapkan tidak ada lagi penjualan arak ini yang sama sekali telah memberi satu kerugian yang besar kepada negara dan kepada rakyat sendiri.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan sendiri akan menanggung kos kerugian akibat penjualan ini, kerana terpaksa meningkatkan kos perkhidmatan di hospital akibat ramainya rakyat terlibat dengan minuman arak.

"Kerana ada yang terpaksa membuat rawatan dan masuk ke wad hospital dan ada yang telah mati. Dan PAS akan membawa isu ini ke sidang Parlimen nanti pada bulan Oktober ini.

"InsyaAllah untuk menyokong usaha supaya kerajaan serius dengan tegas menyekat penjualan arak murah ini. Bahkan bagi PAS sendiri, kita menyarankan supaya masyarakat perlu sedar bahawa bahaya arak ini sama ada arak yang dijual secara sah ataupun tidak sah.

"Saranan dalam agama Islam sendiri bahawa arak itu adalah suatu punca kejahatan yang menyebabkan masyarakat menghadapi pelbagai keadaan yang sulit akibat arak ini, termasuklah konflik rumah tangga, masalah kesihatan, berlaku ketagihan, masalah sosial di kalangan remaja dan sebagainya," peringatnya. - HARAKAHDAILY 19/9/2019

ALOR SETAR: Dakwaan PAN bahawa PAS sememangnya berhasrat untuk bersama Umno sejak dahulu lagi adalah tidak benar dan memperlihatkan ketidakmatangan mereka merentasi politik semasa.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya, berkata, PAS tidak berhasrat mengadakan hubungan taawun bersama Umno ketika mereka sebagai kerajaan tetapi sekarang parti itu sudah menjadi pembangkang dan sama kedudukannya dengan PAS.

"Jadi tidak ada sebab untuk sesama pembangkang bergaduh atau berkelahi apatah lagi di saat agama Islam dan hak orang Melayu diinjak dan dipertikaikan.

"Perkembangan semasa merubah keadaan, takkan mereka tidak faham," ujar beliau ketika ditemui Harakahdaily petang tadi.

Katanya lagi, ungkapan kononnya ‘tidak serik nanti dipatuk sekali lagi’, ‘akan disingkirkan seperti yang pernah berlaku dahulu’, semuanya tidak berasas dan sengaja diungkap untuk memperkecilkan penyatuan ummah antara kedua-dua parti itu.

"Nak patuk siapa? Nak tendang siapa? PAS tidak hanya mempunyai sejarah bekerjasama dengan Umno sahaja. PAS pernah bersama Semangat 46, PKR dan DAP.

"Ini membuktikan PAS tidak putus asa demi kebaikan agama, bangsa, rakyat dan negara," balas beliau.

Tegasnya juga, dahulu dan sekarang mempunyai perbezaan sepertimana DAP boleh bersama Tun Dr Mahathir sedangkan dahulu Perdana Menteri itu tidak boleh diterima oleh parti berkenaan.

Begitu juga, ujarnya dengan pemimpin PAN di mana suatu ketika dahulu amat memusuhi Tun Mahathir sehingga pelbagai gelaran diberikan.

"Oleh itu, apa masalahnya sekiranya PAS dan Umno boleh bersama sekarang?" soal beliau.– HARAKAHDAILY 19/9/2019

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Belia yang sepatutnya diadakan selama dua hari bermula Ahad ini ditangguh kerana masalah teknikal.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Ustaz Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata, kerja-kerja membaiki Dewan Undangan Negeri Kelantan belum selesai sepenuhnya.

“Tarikh baru akan dimaklumkan kemudian oleh Speaker DUN Belia Kelantan Zuraidin Abdullah,” katanya di sini.

Pada akhir April lepas persidangan pertama Dun Belia Kelantan diadakan di Dewan Bunga Raya Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Seramai 45 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belia menghadiri persidangan itu yang lebih berkonsep kongres.

Program berkenaan julung kali diadakan di Kelantan sebagai usaha mengetengahkan bakat anak-anak muda menyuara isu tempatan dan nasional di dewan perwakilan. – HARAKAHDAILY 19/9/2019