KAMI berpendapat bahawa pendekatan PM Malaysia DS Najib terhadap mengukuhkan agenda ekonomi Amerika Syarikat (AS) adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Mengetahui agenda dan sikap Donald Trump yang penuh kontroversi di AS itu sendiri, menawarkan pelaburan besar Malaysia di AS untuk mengukuhkan ekonomi negara itu tidak sepatutnya dilakukan.

AS kini mempunyai imej yang tidak baik di mata dunia. Trump berdepan kritikan yang masih kuat dari rakyat AS sendiri terhadap pelbagai dasar dan pengumuman yang beliau bangkitkan.

Ketidaktentuan polisi adalah antara ciri yang ditunjuk oleh Trump dan ini dizahirkan ramai penganalisis di AS sendiri. Pengerusi Rizab Persekutuan, Alan Greenspan sendiri mulai menyatakan kerisauan terhadap cara kepimpinan Trump yang akan memberi risiko kepada ekonomi AS.

Prinsip "rule of law" dalam ekonomi pasaran nampaknya goyah di bawah Trump.
Ucapan dan komen spontan President Donald Trump menimbulkan persoalan mengenai apakah beliau menghormati prinsip ini.

Setelah menyerang kehakiman mengenai larangan beliau keluar negara awal tahun ini, memecat pengarah FBI yang menyiasat kempen Trump dalam pilihan raya Presiden AS dan membuang Peguam Negara, penganalisis di AS mulai khuatir bahawa AS bakal menerima implikasi buruk dengan gaya kepimpinan Trump.

Dengan menunjukkan hubungan tegang dengan sistem keadilan di AS serta meningkatkan komitmennya di luar AS, beliau mendedahkan AS kepada sekurang-kurangnya dua risiko.
Pertama ialah keyakinan pelabur kepada AS. Kedudukan politik beliau yang maseh sarat dikelilingi krisis kepercayaan termasuk campur tangan anaknya dalam hubungan dengan Russia ketika piliharan raya Presiden AS.

Jelas, urusan ekonomi dan perkembangan politik di AS sukar diasingkan. Kejutan besar boleh sahaja berlaku kepada ekonomi AS akibat siasatan yang maseh berterusan melibatkan Russia dan kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden AS yang lalu.

Kedua, ialah status AS sebagai pemimpin ekonomi dunia mulai tergugat. Trump berdepan dengan kesangsian pemimpin-pemimpin ekonomi negara maju yang lain akibat beliau tidak menunjukkan komitmen yang jelas dalam pelbagai perjanjian antarabangsa yang dimenterai sebelum beliau menjadi Presiden.

Trump akan berhadapan dengan Kongres yang didominasi oleh Republikan sama ada tindakannya menutup siasatan terhadap Russia berkemungkinan dibantah oleh ahli partinya sendiri.

Ketidakstabilan politik dan dasar yang tidak konsisten akan menjejaskan pelaburan global. Robert Zoellick, bekas Presiden Bank Dunia dan ramai pengamat antarabangsa sangat khuatir dengan sikap dan arah berfikir Trump mengenai polisi ekonomi AS.

AS dilihat oleh dunia sekarang sebagai tidak konsisten, malah sedang berkrisis dengan sistem mahkamahnya, agensi inteligennya serta Jabatan Keadilan negara sendiri. Rakyat AS tidak tahu bagaimana hendak mengikuti perubahan yang dibawa oleh Trump.
Malah penganalisis ekonomi melihat ini sebagai suatu peluang untuk pesaing AS seperti China mengambil alih tempat AS.

AS yang dilihat selama ini sebagai kuasa terpenting untuk terlibat mengatasi pelbagai masalah global seperti keselamatan, kesihatan awam, perlindungan alam sekitar dan bantuan kemanusiaan kini menjadi tandatanya. Ini akan mengakibatkan kos kepada rakyat AS bila AS memporakperandakan ekonomi global.

Trump sudah sampai ujian tempoh satu tahun sebagai Presiden. Apakah Trump bersedia meningkatkan had hutang negara hujung tahun ini. Jika beliau gagal untuk berbuat demikian maka taraf kebolehpercayaan kredit AS akan terjejas dimata dunia dan golongan korporat di AS.
Kongres Republikan kini sudah memperlihat keberatan untuk mengambil langkah tersebut dan Rumah Putih nampaknya tidak mempunyai strategi yang jelas dalam isu tersebut. Isu tebesar ialah keupayaan AS membayar hutang dalam krisis ekonomi.

AS sekarang dilihat oleh dunia sebagai kuasa yang tidak lagi boleh dipercayai atau boleh disandar. AS kehilangan kepercayaan dari dunia dan dengan itu statusnya sekarang sangat goyah.

Dengan menemui bukti-bukti baru terhadap siasatan mengenai kempen Trump berkait dengan hubungan dengan Russia ketika kempen Presiden AS berlangsung, jelas, Presiden AS ini bakal berdepan dengan krisis kepercayaan yang besar terhadapnya. Dalam hal ini beliau membayangkan cara beliau menyelesaikan isu ini dalam twitternya "complete power to pardon" (kuasa penuh untuk mengampun).

Dalam kondisi semua ini, kami melihat pelaburan besar yang dilulus oleh PM untuk KWSP dan Khazanah menambah pelaburan di AS adalah tidak tepat. Mungkin beliau telah mendapat nasihat dari para pakar pelaburan untuk menawarkan cadangan Malaysia untuk memperkukuhkan ekonomi Amerika, namun dalam keadaan ekonomi negara sendiri tidak kukuh, apakah wajar Malaysia pula yang mahu membantu ekonomi Amerika.

Banyak nasihat pakar kepada PM seperti penubuhan beberapa agensi pelaburan sudahpun berdepan dengan krisis hutang yang besar.

Persoalan yang lebih besar ialah untuk apa wang awam seperti KWSP dan Khazanah dikeluarkan ke negara luar sedangkan negara sendiri sedang berada dalam keadaan defisit bajet yang kritikal.

MOHD AZMI ABDUL HAMID
Pengerusi Kongres Rakyat

 

undipas

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak dan menyeru masyarakat untuk mendaftar sebagai pemilih dalam usaha untuk menukar kerajaan yang sedia ada supaya negara akan ditadbir dengan lebih baik dan kebajikan golongan miskin terbela.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Semarak Kasih Ramadhan yang merupakan program tahunan Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

Turut hadir Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat, Dr Rosni Adam,  Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad dan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Selangor, Dr Rani Osman.

Acara tahunan itu diadakan bertujuan untuk meraikan golongan miskin, gelandangan dan orang ramai di sekitar Lorong Haji Taib berhampiran Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, petang semalam.

Walaupun telah memasuki tahun yang kesembilan diadakan, Semarak Kasih Ramadhan terus mendapat sambutan dan perhatian daripada orang ramai di sekitar Kuala Lumpur khususnya sekitar Jalan Raja Laut.

Sekitar 300 orang pengunjung pelbagai kaum dan agama hadir di majlis itu dan menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat.

“Yang kaya terus kaya, manakala yang miskin dipinggirkan sedangkan terlalu ramai golongan yang miskin. Sebaiknya kekayaan itu dikongsi bersama agar semua orang medapat manfaat daripadanya,” ujar Tuan Ibrahim.

Beliau juga mengajak masyarakat yang hadir untuk sama-sama mendoakan PAS agar dapat memerintah Malaysia dengan jaya pada suatu hari nanti. - HARAKAHDAILY 19/6/2017

 

PASCA muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan di peringkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik. Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS di semua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita.

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.    

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masanya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah di medan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin! - HARAKAHDAILY 18/5/2017

Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat.

DALAM kalangan masyarakat hari ini menganggap dakwah sebagai tanggungjawap yang digalas oleh seseorang yang bergelar ustaz. Dakwah dilihat sebagai “lambang Islam” yang hanya layak bagi golongan berjubah dan berkopiah, manakala bagi mereka yang bukan bergelar ustaz dikecualikan daripada kerja-kerja dakwah.
       
Namun begitu, tanggapan itu meleset daripada erti sebenar dakwah. Konsep dakwah boleh ditafsirkan sebagai sebuah program lengkap yang merangkumi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup supaya mendapat hidayah dan panduan daripada Allah. Seseorang pendakwah perlu memiliki beberapa kriteria dan ciri-ciri yang boleh menarik sasaran pendakwah.
       
Pertama, menyampaikan dengan hikmah (kebijaksanaan). Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan-mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.” (surah An-Nahl, 16: 125).

Perkara asas yang perlu dimiliki bagi seorang pendakwah adalah dengan menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Apabila kita menyeru manusia, menegur atau menasihati mereka, kita perlu ada persediaan dan persiapan ilmu. Jangan menegur manusia tanpa persiapan dan terus menghukum “Perbuatan kamu ini salah, cara berwuduk kamu salah”. Manusia akan bertanya mengapa salah. Jika kita memberi jawapan ustaz kita mengatakan salah, orang yang ditegur juga mempunyai ustaz, ustaznya mengajar begitu. Sebab itu perlu adanya persediaan ilmu, setidak-tidaknya perlu memiliki beberapa fakta dan dalil yang difahami, dan dapat berhujah menggunakan alasan-alasan tersebut. Janganlah pula berhujah secara semberono.

Kedua, mempunyai kemahiran. Kemahiran ialah kecekapan dan kebijaksanaan dalam melakukan sesuatu. Kemahiran perlu disandarkan dengan ilmu pengetahuan supaya dapat mengawal dan menyusun strategi untuk menyebarkan dakwah. Kadangkala seseorang yang memiliki ilmu yang tinggi tetapi tidak mampu menyampaikan mesej dengan cara yang berkesan, seterusnya akan menyebabkan sasaran dakwah tidak sampai pada target yang sepatutnya. Antara kemahiran yang diperlukan bagi seorang pendakwah adalah kemahiran berhujah, pengucapan awam, menulis, bersosial, psikologi, interaksi dan komunikasi.

Ketiga, menggunakan pemikiran kontemporari. Seorang pendakwah mesti melihat kepada situasi sekeliling dan keadaan semasa. Dia harus mengambil kira kepelbagaian sikap, perangai dan jiwa sasaran dakwah. Maka sudah pasti cara pendekatan yang berbeza mengikut target sasaran. Selain itu, hindari cara berfikir yang mudah menghukum orang lain. Permulaan dakwah seharusnya dengan tindakan yang bijak. Satu persatu masalah perlu dianalisis dan ditafsir dengan pemikiran yang segar. Tidak bersifat menghukum tetapi mencari penyelesaian.

Terakhir, menasihati sebagai seorang kawan rapat. Sisi pandangan sindir atau serong kepada sasaran dakwah adalah satu “langkah sumbang” yang perlu dielakkan bagi setiap pendakwah. Cara melihat sebegini akan mempengaruhi cara pendekatan pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada kumpulan sasaran. Akhirnya mereka lari dan menimbulkan ketengangan antara kedua-dua pihak. Oleh itu, seorang pendakwah perlu menggunakan pendekatan yang boleh memberi ruang yang selesa kepada mereka untuk meluahkan tanpa malu dan segan. Kesannya, mereka akan menjadikan pendakwah tersebut sebagai teman rapat yang boleh dipercayai dan senang diajak berbincang.
       
Tuntasnya, tugas pendakwah bukan dilihat dari pemakaiannya sahaja tetapi dilihat melalui kriteria dan personaliti yang disebutkan di atas. Usaha ini bukanlah tertumpu kepada golongan ustaz dan ustazah sahaja, akan tetapi masyarakat sekeliling juga turut mengambil bahagian dalam melaksanakannya. Kemenangan dalam peperangan bergantung kepada strategi yang diatur, begitu juga dengan berdakwah. Sekiranya tindakan lebih pantas daripada berfikir, maka usaha itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

Penulis ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia

HULU SELANGOR: PASTI Negeri Selangor telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Guru yang berlangsung meriah diraikan 300 hadirin di Kelab Golf Bukit Beruntung, di sini semalam.

Perasmian majlis telah disempurnakan Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Ustaz Mohd Azam Abd Samat dan turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Sambutan ini sebagai meraikan para guru PASTI atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik, selain menyampaikan hadiah dan anugerah kepada guru dan tokoh terpilih.

Majlis menyempurnakan penyampaian Anugerah Jasamu Dikenang kepada mantan Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Abd Halim yang juga mantan Pengarah PASTI Selangor.

Anugerah Tokoh PASTI Selangor dinobatkan kepada Mohamad Rozi Malik, manakala Anugerah Tokoh Khidmat Setia kepada Rajimah Md Nor dan Anugerah Guru PASTI Selangor kepada Aishah Abd Rahman.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hanafi Zulkapli dalam ucapannya berpesan agar para guru terus menambah ilmu tanpa berhenti sekalipun telah bergelar sebagai guru.

Katanya, guru mestilah sentiasa menjadi qudwah kepada anak didik mereka, sekali gus mengangkat martabat institusi diwakili yakni PASTI sebagai imej dakwah yang diyakini masa kini.

Antara yang menarik hadirin pada majlis ini adalah kek gergasi bersaiz 8 kaki sebagai merai para ditaja Pemuda PAS Selangor dan Pemuda PAS Kawasan Hulu Selangor.

Pimpinan PAS Selangor yang hadir sama adalah Ketua Ulamak, Ustaz Rizuan Rahmat dan Naib Ketua Muslimat, Dr Uzaimah Ibrahim serta Pengerusi Majlis Guru PASTI, Norhayati Ab Razak. - HARAKAHDAILY 17/6/2019

IMG 20190617 WA0008

HUJAN lebat sepanjang hari dan tidak ada sistem perparitan yang baik menyebabkan beberapa kebun di Jalan Miri By-pass belakang Balai Bomba Lopeng, Miri mengalami banjir kilat.
 
Kebun buah-buahan seperti nenas, pisang, pokok rambutan, pokok durian belanda dan lain-lain telah musnah sepenuhnya kerana air tidak dapat mengalir dengan baik dan tersumbat menyebabkan kawasan tanaman menjadi banjir.
 
Kami menerima aduan antaranya daripada petani yang memaklumkan pokok buah-buahannya telah musnah kerana air banjir mengalir ke kawasan tanaman mereka. Dikatakan semua ini adalah disebabkan oleh pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo yang tidak menyediakan sistem perparitan yang baik yang menyebabkan limpahan air ke kebun berhampiran. 
 
Parit ditutup oleh timbunan tanah oleh pihak yang berkenaan dan air tidak boleh mengalir dengan baik antara penyebab kawasan tanaman mereka yang terjejas. Setakat ini airnya tidak dapat mengalir sehingga tanaman menjadi lemas oleh air yang tidak mengalir keluar.
 
Akibat projek lebuh raya tersebut, petani telah mengalami kerugian besar akibat air yang membanjiri kebun mereka telah menghancurkan tanaman yang telah mereka kerjakan selama ini.
 
Banjir kilat jarang berlaku di kawasan pertanian mereka tetapi kali ini ianya agak buruk kerana parit tersumbat yang penuh dengan sampah tidak dibersihkan sehingga air melimpah ke tanaman mereka.
 
Kami menggesa pihak berkuasa dan mereka yang terlibat segera membersihkan sampah dan memperdalam parit di kawasan yang terjejas. Kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo perlu membayar ganti rugi kepada petani yang tanamannya rosak teruk kerana tidak membuat saliran air yang baik menyebabkan kawasan tanaman mereka rosak.
 
Kami menggesa semua pihak yang terlibat bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera kerana petani yang mengharapkan hasil tanaman mereka selama ini telah mengalami kerugian besar akibat air yang tidak dapat mengalir dengan baik memusnahkan tanaman mereka.
 
Sekali lagi, kami menyeru pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk hal ehwal berkaitan, segera membersihkan kawasan yang terjejas untuk mengelakkan banjir kilat dan merosakkan tanaman. Kerjasama dengan pihak yang berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini dengan segera amat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Sarawak - HARAKAHDAILY 17/6/2019
IMG 20190617 WA0004
 
IMG 20190617 WA0005
 
IMG 20190617 WA0006

PEMUDA PAS Selangor berdiri teguh bersama kenyataan Tuan Guru Presiden PAS dalam muhabasah dan nasihat kepada anak muda pada PRU 14 agar matang dalam pemilihan dengan berbekalkan kefahaman Islam yang jelas.
 
Perubahan atas dasar semangat semata-mata tanpa mampu menapis sebarang info yang tersebar sama ada bersifat persepsi, fitnah atau fakta, kebenaran adalah sikap yang mesti diubah agar tidak mengulanginya pasca PRU 14 dan juga pada PRU 15 nanti.
 
Perubahan yang diseru oleh PAS adalah dengan ke arah membina sebuah negara sejahtera berteraskan kefahaman Islam. Sebab itu dalam perubahan yang diseru oleh PAS sewaktu PRU 14 dapat dilihat antaranya seperti berikut :
 
Isu integriti calon dan pimpinan
 
PAS membuktikan bagaimana pentadbiran kerajaan PAS di negeri Kelantan yang sifar dari sabitan kes rasuah sepanjang 27 tahun. Soal integriti ini pernah ditekankan oleh Tuan Guru Presiden PAS bahawa ia akan berjaya dengan asas iman dan taqwa serta berpegang dengan konsep dosa dan pahala dalam pengamalan berpolitik. 
 
Cukai berkebajikan berteras model zakat
 
PAS juga menolak GST kerana ia terkena ke atas golongan miskin dan rakyat secara umum. Maka dicadangkan sebagaimana dalam tawaran yang dikemukan Dokumen Hijau mengenai model cukai simpanan koperat dan cukai perdagangan saham yang mana cukai ke atas lebihan kekayaan atas golongan yang berpendapatan tanpa melibatkan golongan yang susah lagi miskin.
 
Namun PH yang menjanjikan menghapuskan GST dengan mengembalikan cukai SST tetap tidak mampu meringankan bebanan rakyat marhaen apatah lagi dalam mengharapkan penurunan harga barangan. 
 
Urus Tadbir Rabbani menjana dana kerajaan
 
Penelitian terhadap Laporan Audit Negara saban tahun mendapati ketirisan dan pembaziran pengurusan kewangan kerajaan Persekutuan ialah antara RM23 hingga RM40 bilion setahun. Malah setiap tahun hasil kerajaan meningkat sekitar RM20 bilion. Namun gagal menguruskan perbelanjaan secara berhemah.
 
Prinsip dalam penghakiman tuduhan kes
 
PAS konsisten dalam apa jua isu dan pihak yang tertuduh dengan berpegang teguh prinsip asas undang-undang jenayah iaitu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah atau dalam bahasa Inggerisnya “innocent until proven guilty”.
 
Persepsi jahat yang dimainkan dalam media PH seperti isu RM90 juta PAS-Umno, PAS bersekongkol dengan 1MDB dan lain-lain sehingga kini belum berjaya dibuktikan. Namun media pro PH tetap mengulang-ulang persepsi jahat tanpa berjaya membuktikan.
 
Sehubungan itu, perubahan yang berlaku dengan menukar kerajaan BN kepada kerajaan PH tanpa memikirkan secara matang tawaran dari PAS menerusi Gagasan Sejahtera dalam PRU 14 yang lalu adalah umpama kata pepatah "marahkan nyamuk habis kelambu dibakar".
 
Anak muda khususnya diajak untuk bersama PAS dalam memimpin perubahan pentadbiran negara yang lebih baik dengan tawaran-tawaran yang dikaji dengan lebih mendalam dalam satu-satu manifesto yang dikemukakan.
 
Malah, dengan sikap pimpinan Kerajaan PH pada hari ini, sewajarnya pengundi kalangan anak muda khususnya menyedari bahawa persepsi jahat mainan pro PH dalam PRU 14 telah menipu mereka. Ini dapat dilihat antaranya sikap mereka :
 
a. Tidak mengotakan janji dalam manifesto malah tidak berasa malu dengan menghina mengkhianatinya.
b. Isu Tol dan PTPTN yang menjadi tarikan besar anak muda sehingga kini tiada tindakan penyelesaian dari Kerajaan PH sedangkan semasa kempen PRU 14 pelbagai teori dan 'fakta' dibentangkan.
c. Bantuan sara hidup yang semakin mengecil malah kerisauan ke atas penjawat awam apabila PM hendak mengecilkan kuota.
 
Justeru, Pemuda PAS Selangor mengajak semua anak muda khususnya untuk mengambil nasihat dari Tuan Guru Presiden PAS agar kembali bangkit kali ini dengan tidak mengulangi tindakan yang sama dalam PRU14 lalu agar perubahan pada PRU15 kelak adalah terpimpin dengan kefahaman Islam.
 
Malah sebaran info di zaman teknologi canggih, bukanlah semua angka itu boleh dianggap fakta. Bahkan ia juga boleh menjadi kebarangkalian  adalah auta. Sebab itu, kita lihat berapa banyak angka yang dibentangkan kononnya ia adalah 'fakta' dari pakar-pakar parti kompenan PH namun gagal. Bukan sekadar itu, pakar-pakar yang membentangkannya turut senyap membisu dan menghilang dari persada politik pada hari ini.
 
Semoga kebijaksanaan anak muda di zaman canggih ini dipimpin dengan disiplin kefahaman Islam agar mampu membezakan antara fakta kebenaran dan auta serta persepsi jahat oleh mainan media pro PH.
 
"Bangkit; Pemuda Perintis Kebangkitan Ummah"
 
USTAZ HANAFI ZULKAPLI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor
Tarikh : 12 Syawal 1440 / 16 Jun 2019 - HARAKAHDAILY 16/6/2019

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman seharusnya bersikap matang membuat ulasan media dan bukan berpandukan laporan secara serong terhadap ucapan Presiden PAS, semalam. 
 
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, laporan MalaysiaKini ternyata cuba memberi gambaran kononnya Presiden PAS memburukkan golongan pengundi muda.
 
"Malang sekali, paling awal terperangkap dan melatah dengan berita jahat itu adalah individu pemimpin negara yakni yang mempunyai 'track  record' cakap tak serupa bikin dan penipu anak muda melalui janji-janji manis Manifesto PRU14. 
 
"Walhal, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bercakap di hadapan sidang Muktamar Muslimat PAS. Beliau menyenaraikan mengenai sebahagian golongan pengundi PH pada PRU14 lalu iaitu latar belakang, ciri dan sikap terhadap politik. 
 
"Ia bukan menghina atau mengecam orang muda. Tapi Syed Saddiq yang memberi tafsiran seperti itu. Sama ada dipengaruhi laporan tersebut, atau sengaja 'menangguk di air keruh' untuk memalitkan imej buruk kepada Presiden PAS kerana tandus isu  dan tercari-cari modal politik," ujarnya.
 
Jelas beliau, dengan hanya berpandukan laporan media yang terkenal dengan manipulasi dan putar belit itu dan tanpa tabayyun serta melihat perspektif ucapan, ulasan terburu-buru diberikan.
 
"Inilah makna mengaji dengan 'handphone', dengan media sosial. Dengan kefahaman atau kajian sekadar dua tiga minit, terus membuat reaksi balas seperti ulasannya itu.
 
"Harap Menteri muda dan pemimpin pemuda ini dapat jaga kredibiliti beliau. Lebih baik tumpu tangani Manifesto PH, kerana kalian sedang dilihat sebagai penipu anak muda,” nasihat jurutera muda itu.
 
Hakikatnya tegas beliau, PAS menawarkan sebuah pemerintahan berintegriti dan bermoral kepada generasi muda, berbeza dari pentadbiran PH yang semakin menghakis nilai integriti, moral dan tatasusila. - HARAKAHDAILY 16/6/2019

PETALING JAYA: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Selangor telah melakukan kerja-kerja pembersihan dua kediaman mangsa kebakaran di Kampung Lindungan, di sini pagi semalam.
 
Operasi ini diketuai Timbalan Pengarah 3 JAM Selangor, Normazali Zainal bersama lapan anggota dan turut dibantu Ketua Pemuda PAS Petaling Jaya, Ustaz Muhamad Hakimi Hussain.
 
Selain kerja pembersihan ini, sumbangan wang tunai turut disampaikan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut bertujuan meringankan beban kerugian ditanggung.
 
Dua kediaman tersebut terkena tempias kebakaran yang berpunca dari rumah jiran bersebelahan di mana telah meragut tiga nyawa dalam tragedi sekitar jam 2:30 pagi semalam.
 
Tiga jentera bersama 20 anggota daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya telah bergegas memadamkan kebakaran rumah tersebut yang kini dikuarantin untuk siasatan. - HARAKAHDAILY 16/6/2019
IMG 20190616 WA0005

KUANTAN: Fahaman yang mengatakan politik adalah kotor merupakan fahaman yang dibawa anasir luar seperti fahaman barat yang telah masuk ke dalam minda masyarakat Malaysia secara perlahan-lahan, kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, politik dan agama tidak boleh dipisahkan, ia juga merupakan satu perintah agama yang mana asalnya suci dan juga mulia, begitu juga politik dan akhlak yang mana menjadi tuntutan dalam Islam, namun dikotorkan oleh sifat manusia.

"Jadi fahaman mengatakan politik satu amalan kotor, itu fahaman barat yang dimasukkan ke dalam masyarakat kita, sebab itu saya sebut tadi, jangan ada campur tangan asing dalam urusan politik kita ini," jelasnya ketika ditemui media selepas merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS (DMPM) ke-59 di Bukit Gambang Resort City, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau ketika ditanya sama ada berpendapat Malaysia sebuah negara yang mempunyai campur tangan luar dalam politik berkata, ia tidak mustahil kerana fahaman asing telah mengajar masyarakat dengan politik yang kotor.

Sementara itu, menyentuh isu muafakat bersama PAS-Umno bersama parti komponen Barisan Nasional iaitu Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA), Tuan Guru berkata, terdapat perkara positif berlaku di antara ketiga-tiga parti tersebut.

Antaranya lawatan MIC ke Pejabat Agung PAS berserta lawatan PAS ke Pejabat MIC serta partisipati PAS dalam membantu MCA di Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong.

"Itu sudah ada satu perkara yang positif, dan kita menyaksikan bagaimana bukan semua masyarakat Cina dan India boleh terima budaya ekstrem, kita tidak mahukan kerana nila setitik, merosakkan susu sebelanga, sebab itu perlu dibendung budaya politik ekstrem ini.

"Saya juga nasihatkan supaya kalangan bukan Islam ini perlu mengambil kira hubungan yang baik, jangan terpengaruh dengan budaya politik ekstrem," jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 15/6/2019

KUANTAN: Julung kali Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-59 di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City, hari ini.

Sebelum itu, Presiden telah melakukan pemeriksaan perbarisan oleh Briged Ameerah di pekarangan Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City.

Sejurus kemudian pimpinan DMPM, tetamu jemputan, pemerhati dan perwakilan bersama-sama mengalunkan Asmaul Husna, lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS di dewan Resort City.

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Ustaz Zulhasmi.

Pelancaran khas empat buah buku istimewa keluaran DMPM hasil nukilan Lajnah Politik, Tarbiyah dan Dakwah dan juga pelancaran Modul Baru Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) yang lebih dinamik antaranya buku Muslimat Krik...Krik...

Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA) adalah satu akademi di bawah Dewan Muslimat PAS Pusat yang melatih para muslimat ke arah Muslimat ‘AKIFI iaitu Muslimat yang berilmu, yang mahir dalam berharaki dan juga yang tunduk dan patuh pada perintah Allah SWT.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyampaikan ucaptama bertema `Islam Memimpin Wanita Sejahtera'.

Seterusnya beliau melancarkan derma jihad dan persembahan montaj mengenai aktiviti yang dilaksanakan oleh DMPP selama satu penggal.

Selepas ucapan perasmian, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi merasmikan gimik dengan meletakkan tangan di pengimbas. Sebelum itu Presiden dipimpin oleh dua orang kanak-kanak dan dibawa ke tempat perasmian.

Kanak-kanak yang ditampilkan dari pelajar sekolah rendah Islam Tahfiz Inetegrasi Mahkota di bawah rangkaian pendidikan di bawah PAS.

Slot seterusnya DMPM memberi cenderahati tanda penghargaan atas pengorbanan dan jasa mereka, ada empat katogeri yang dipertandingkan, anugerah Tokoh Asma' Abu Bakar, Dr Uyun Manik, 36, dari Selangor dan terlibat dalam PAS dari 2011 hingga sekarang.

Tokoh Sayidatina Khadijah dianugerahkan kepada YB Siti Zailah Mohd Yusof, 56. Pernah memegang jawatan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia dan sekarang Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan dan Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Tokoh Ummu Waraqah, Ustazah Dr Asiah Ali, 66, Ketua Pengarah Ilham.

Anugerah Perpaduan Ummah, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang sering menjadi wakil PAS dan negara di peringkat antarabangsa terutama di Timur Tengah.

Lebih istemewa, DMPM memberi peluang kepada isteri Tuan Guru, Dr Norzita Taat menyarungkan sendiri jubah dan selempang tokoh kepada Tuan Guru. (Foto atas)

Semua tokoh mendapat selempang tokoh, plak penghargaan, wang tunai, sejambak bunga dan sepasang persalinan yang disampaikan Ketua DMPM, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Jumlah kutipan derma jihad tunai RM25,460 dan juga 5 dollar Brunei, 100 yen Jepun, 1 gram emas golba 999, 3 utas rantai, 1 bentuk cincin dengan anggaran jumlah RM12,000.

Muktamar DMPP kali ini, menampilkan pengantara istimewa oleh juru bahasa isyarat yang sama-sama akan menyampaikan komunikasi untuk pemerhati di kalangan orang kelainan upaya (OKU) khususnya masalah pendengaran.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia mencatat sejarah apabila diadakan di Bukit Gambang Resort City dan diadakan awal seminggu daripada Muktamar Tahunan PAS.

Penyertaan perwakilan dari 179 kawasan dari seluruh negara dan 2,000 pemerhati. Turut dihadiri perwakilan Muslimat Libaran, Sabah yang baharu diluluskan penubuhannya.

Muktamar DMPM kali 59 dijangka akan berakhir dengan slot persembahan khas Lajnah Kesenian dan Kebudayaan.

Tepat jam 12 tengah hari semua perwakilan Muslimat membuat undian untuk memilih Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2019/2021.

Pemerhati dari PAS Pusat, AJK Kamaruzaman Mohamad dan Ustaz Mokhtar Senik.

Antara tetamu yang hadir, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad; Ketua Wanita DHPP, Kamutha Rahman; degelasi Wanita Umno, Purnama Kelantan diketuai, Datin Seri Siti Zabedah Abd Hamid, Harusnisa' Terengganu diketuai, Toh Puan Zainab Awang, wakil Isma. - HARAKAHDALY 15/6/2019

KUANTAN: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Fuad Mohd Salleh selamat mengumumkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) bagi sesi 2019-2021, malam ini.

Berikut adalah senarai keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja DMPM yang diumumkan di Pusat Konvensyen, Bukit Gambang Resort City sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia ke-59.

Ketua DMPM: Ustazah Nuridah Mohd Salleh (menang tanpa bertanding)

Timbalan Ketua: Dr Rosni Adam (menang tanpa bertanding)
Naib Ketua: Salamiah Mohd Nor (menang tanpa bertanding)

Pengerusi Tetap: Husna Saidun (menang tanpa bertanding)
Timbalan Pengerusi: Nor Azlina Azhar (menang tanpa bertanding)

Ahli Jawatankuasa Kerja DMPM sesi 2019-2021:

1. Dr Najihatussalehah Ahmad
2. Wan Hasrina Wan Hassan
3. Dr U'yun Abdul Malek
4. Dr Nurul Hani Ali
5. Dr Halimah Ali
6. Dato’ Siti Aisyah Ghazali
7. Noraini Hussin
8. Asmak Hussin
9. Dr Uswah Tahrir
10. Nuri Muhammad
11. Husna Hashim
12. Dr Azimah Ibrahim

Pemeriksa kira-kira, Basmatul U'yun Yusof serta Normilan Mamat. – HARAKAHDAILY 15/6/2019