LOMBOK, Indonesia: Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) telah menyelesaikan Misi Bantuan Kemanusiaan Lombok 2.0 di Provinsi Nusa Tenggara Barat itu hari ini.

Delegasi ini akan berangkat pulang pada tengahari nanti setelah melaksanakan misi selama lima hari melibatkan kawasan penempatan gempa bumi di Pulau Lombok dan Pulau Sumbawa.

Misi kali ini turut disertai sama NGO daripada MAPIM Wilayah Utara, Yayasan Kubra, Syabab Care dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kedah dengan keseluruhan 28 anggota delegasi di mana telah dibantu NGO Indonesia, Gerak Bareng.

Ia telah membawa sumbangan berupa Rumah Sementara Untuk Kemanusiaan (RUSUK), beras, telekung solat, perigi, tong air dan pemeriksaan perubatan serta pembinaan musolla.

Misi dipimpin Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor ini telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa melibatkan 9 tan beras, 22 RUSUK, 10 musolla, satu perigi dan 26 tangki air.

Antara lokasi tumpuan sumbangan kali ini adalah Desa Bengkaung dan Desa Sandik di Lombok Barat, Desa Malaka dan Desa Berora di Lombok Utara, Desa Sembalun Bumbung di Lombok Timur dan Desa Usar Mapin di Sumbawa.

Menurut Sanusi, sumbangan disampaikan masih terlalu jauh dari memenuhi keperluan asas kebanyakan mangsa dan kawasan dilanda gempa di mana misi susulan akan terus dirangka.

Di semua lokasi dikunjungi delegasi mendapati kesan gempa bumi telah meranapkan banyak kediaman penduduk, infrastruktur awam termasuk merosakkan bangunan-bangunan kerajaan.

Walaupun telah dua bulan sejak kejadian pertama, penduduk kelihatannya masih trauma apabila mahu kekal berada di khemah sementara ketika ini, setelah pula gempa kecil-kecilan masih lagi berlaku menjadikan kebanyakan bangunan tidak selamat.

Lebih memilukan disebalik korban nyawa dan kemusnahan harta benda, penduduk Lombok umumnya dan mangsa khususnya menghadapi desakan ekonomi berikutan banyaknya aktiviti tergantung.

Turut dikenali sebagai Pulau Seribu Masjid, hotel-hotel dan kawasan kunjungan pelancong kini lengang, selain aktiviti pertanian serta lainnya tidak berlangsung sebagaimana sebelumnya, menjadikan keadaan seolah-olah lumpuh.

Sehubungan itu, PASRelief menurut Sanusi akan terus menggerakkan usaha bantuan pasca-gempa dengan lebih giat dan mengharap sokongan serta keprihatinan rakyat Malaysia untuk terus memberikan sumbangan.

Segala sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 5640 7061 1352 atas nama Tabung Kemanusiaan Antarabangsa atau 5640 7061 2333 atas nama PASRelief.

Turut serta dalam delegasi ini adalah Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman. -HARAKAHDAILY 27/9/2018















MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dan calon diumumkan malam esok.

“Kita melihat, kita bersetuju untuk bertanding. Umum calon malam besok di Port Dickson,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat di Rusila, malam ini. 

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mustaffa Daharun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Parlimen Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober ini, sementara penamaan calon pada 29 September manakala 9 Oktober bagi hari mengundi awal.

SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat, Dato' Mohamad Ariff Md Yusof pada 12 September lalu berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.132 Port Dickson berikutan penyandangnya Dato’ Danyal Balagopal Abdullah telah meletak jawatan pada 12 September. – HARAKAHDAILY 26/9/2018

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mewartakan 92,697 hektar (228,961 ekar) hutan simpan di seluruh negeri itu sebagai kawasan tadahan air baharu.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jumlah itu sebagai tambahan kepada kawasan sedia ada yang diwarta pada 2008 membabitkan keluasan 35,898 hektar (88,668 ekar).

Katanya dengan penambahan kawasan baharu itu menjadikan keluasan keseluruhan seluas 128,595 hektar (317,629 ekar).

“Jumlah berkenaan meliputi 20.97 peratus daripada keseluruhan hutan simpan kekal yang ada di negeri ini,” ujarnya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Menurutnya juga penambahan kawasan tadahan itu selaras dengan Seksyen 10(1)(e) Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 yang memberi kuasa kepada negeri.

Katanya, ia bertujuan untuk menyediakan seluas mungkin kawasan tadahan air di sesebuah negeri.

“Dua kawasan membabitkan Orang Asli iaitu Pos Dakoh dan Belatim di Gua Musang antara yang diwartakan sebagai tadahan air.

“Ini sekali gus menjadikan kawasan tersebut bebas daripada aktiviti pembalakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/9/2018

Gob

KOTA BHARU: Kerajaan Pusat bersetuju dengan tindakan yang diambil Kerajaan Kelantan bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah oleh Orang Asli di Gua Musang.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, R. Sivarasa berkata, dengan menjadikan beberapa kes mahkamah terdahulu sebagai garis panduan amat wajar diambil kira.

Menurutnya, begitu juga langkah diambil kerajaan negeri berhubung proses pewartaan tanah rizab masyarakat itu yang dibuat secara berperingkat.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengunjungi Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Pertemuan sejam itu diadakan di bilik pejabat timbalan menteri besar itu di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Pusat bersedia membantu kerajaan negeri melancarkan proses pewartaan itu yang kini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan.

"Secara dasarnya, pendirian Pusat mengenai isu tanah Orang Asli ini sama dengan dasar kerajaan negeri.

“Kita bersetuju supaya kes ini diselesaikan mengikut panduan daripada kes-kes mahkamah terdahulu,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Amar, mengucapkan terima kasih di atas kesudian timbalan menteri itu mengunjunginya.

Katanya, diharap kunjungan itu akan memberi kebaikan yang lebih baik untuk rakyat. - HARAKAHDAILY 24/9/2018

KUALA LUMPUR: Kerajaan Terengganu sentiasa menyokong apa jua misi kemanusiaan untuk membantu mangsa bencana di seluruh dunia bertujuan meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di Pulau Lombok, Indonesia umpamanya, kerajaan melalui anak-anak syarikatnya berkolaborasi menyediakan dana untuk tujuan tersebut.

Kali ini dana itu disalurkan melalui badan bukan kerajaan, PASRelief yang dapat mengumpul sebanyak RM100,000.

"Saya difahamkan, misi bantuan kemanusiaan itu adalah kali kedua. Kali pertama dibuat pada bulan Ogos dengan dana bantuan dibawa sebanyak RM50,000 dan empat orang anggota NGO itu terlibat," jelas beliau dipetik laman web teganukita.net.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 di Kuala Lumpur International Airport (KLIA), semalam. Hadir sama ialah Pengarah PASRelief, Mohd Sanusi Md Nor.dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu menyokong penuh usaha misi kemanusiaan sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang mengalami kesulitan akibat bencana dan selainnya.

“Keperluan asas yang diperlukan oleh mereka tentulah banyak. Makanan, minuman, tempat untuk mereka berteduh, penjagaan kesihatan dan sebagainya yang memerlukan usaha yang tidak sedikit,” katanya lagi.

Dr. Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa penglibatan pelbagai badan dan agensi dalam misi kemanusiaan ini dapat menambahkan lagi pengalaman dan jaringan sebagai sebuah organisasi NGO dengan negara luar.

“Saya percaya sedikit sebanyak apa yang cuba dibawa pada hari ini bukan sekadar membawa bantuan kewangan tetapi membawa roh dan semangat rakyat Malaysia.

"Kerajaan Negeri Terengganu secara khususnya bahawa apabila kita berhadapan dengan kesukaran, kita Insya-Allah akan hadir kerana kita tidak tahu satu hari nanti kita juga akan berdepan dengan kesukaran dan di saat itu kemungkinan kita juga mengharapkan rakan-rakan kita daripada luar datang membantu kita.

“Apa yang penting ialah kita meletakkan niat hanya kepada Allah SWT kerana pertolongan daripada Allah itu adalah pertolongan yang paling besar yang kita ini boleh saja merancang, merangka apa jua strategi, kaedah, tetapi akhirnya hendaklah kita serahkan kepada kekuasaan Allah SWT,” ujarnya lagi.

lbk2

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah meminta semua pihak yang membincangkan mengenai umur perkahwinan wajib mendahulukan pandangan syarak.   
PAS Sabah menyokong penuh kenyataan Mufti Sabah yang mencadangkan agar umur 14 tahun bagi wanita sudah boleh dibenarkan untuk berkahwin.
PAS Sabah melahirkan kerisauan terhadap ulasan dan pandangan pimpinan masyarakat dan orang awam di media sosial yang memperkecil dan ada juga yang seolah-olah mempermainkan pandangan tersebut.
PAS Sabah menganggap pandangan Mufti Sabah merupakan satu pandangan yang berasaskan ilmu dan pandangan agama. Pandangan tersebut juga sesuatu yang ada kredibiliti. Harus difahami bahawa pandangan tersebut bukannya menyuruh supaya wanita berkahwin pada umur 14 tahun tetapi ianya lebih kepada cadangan supaya sekiranya terdapat kes seumpama itu, pertimbangan syarak mesti didahulukan.
Pihak pembuat dasar dan pemerintah juga dinasihatkan agar mengutamakan pandangan para alim ulama dalam memutuskan hal sedemikian. Ini kerana pandangan agama datangnya daripada Allah SWT dan mesti didahulukan. 
PAS Sabah berharap agar pihak kerajaan mempertimbangkan sebaiknya segala cadangan daripada para mufti dan alim ulama.
MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
23 September 2018 -HARAKAHDAILY 23/9/2018

TAWAU: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tawau bersama Jamaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) PASTI Nurul Mawaddah telah menganjurkan Kursus Pengurusan Jenazah.
 
Seramai 25 peserta terdiri dari JIBG PASTI dan ahli-ahli PAS Cawangan Taman Ria mengikuti kursus ini bertempat di PASTI Taman Ria 3, di sini semalam.
 
Penyampai kursus, Ustazah Mulyani Jam Jam berkata, orang ramai mesti didedahkan ilmu fardu kifayah khususnya berkaitan pengurusan jenazah.
 
Kursus ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah pengurusan jenazah yang betul dan mengikut syariat.
 
"Kita harap dengan penganjuran kursus ini amalan-amalan khurafat dan bidaah yang mendarah daging dalam masyarakat dapat dikikis," ujarnya. -HARAKAHDAILY 23/9/2018
 

KUALA LUMPUR: Banyak sebab ahli PAS meninggalkan jamaah, antaranya tidak menghayati secara mendalam tentang sejarah perjuangan dan pembentukan parti, kata Ketua Sidang Assabiqun, Subky Latif.

“Sebagai Ketua Sidang Assabiqun dan pengerusi bersama Seminar Sejarah Asabiqun-KUIZM, saya memberitahu semasa penggulungan muktamar, bahawa seminar ini diadakan sebagai langkah mengelakkan ahli-ahli PAS keluar PAS dan membuka peluang yang telah keluar itu kembali ke pangkuan parti,” tulisnya dalam kolum akhbar Harakah.

Tambahnya, bagi penyokong yang tidak berparti, justeru tidak memahami sejarah parti itu mudah terkeliru dan dikelirukan apabila berlaku langkah-langkah perubahan yang parti ambil.

“Maka dengan seminar ini moga-moga dapat mengukuhkan pengetahun ahli tentang sejarah PAS dan boleh menjadi pihak yang dapat memberi yang betul dan tepat tentang sejarah PAS,” tambahnya.

Seminar Sejarah PAS bersiri empat kali anjuran bersama Assabiqun dan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) akan dilancarkan pada 3 November ini oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di kampus KUIZM, Taman Melewar, Kuala Lumpur. - HARAKAHDAILY 22/9/2018

TULISAN PENUH BELIAU DISIARKAN DALAM AKHBAR HARAKAH EDISI ISNIN DI PASARAN.

ALOR SETAR: Ketua Dewan Ulamak PAS Kedah, Ustaz Mohd Rejab Md Akhir, dikejarkan ke hospital apabila tiba-tiba rebah di rumah salah seorang ahli usrah di Jerlun, tengah malam tadi.

Beliau disahkan doktor mengalami strok dan ditempatkan di zon merah Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, setelah didapati berlaku pendarahan di kepala.

Ketua Dewan Ulamak itu dimaklumkan menghadiri usrah yang diadakan di rumah Pengarah JPRK kawasan terbabit, namun rebah sebelum sempat usrah itu bermula.

Demikian menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Jerlun, Ustazah Fatimah Wan Teh kepada Harakahdaily ketika dihubungi.

Melalui maklumat terbaharu daripada anak Ustaz Mohd Rejab, setakat pukul 3.00 pagi tadi, doktor mengesahkan tiada pembekuan darah dikesan memandangkan saluran darah ke otaknya masih luas walaupun berlaku pendarahan yang banyak.

Oleh itu, pembedahan tidak perlu dilakukan buat masa ini dan berpontesi untuk sembuh semula. – HARAKAHDAILY 22/9/2018

KANGAR: Penangguhan tindakan oleh Kerajaan Negeri untuk menyelia urus puluhan ribu pokok jati di sepanjang jalan utama negeri ini menimbulkan persoalan disebalik kebimbangan tragedi menimpa.

Pokok-pokok yang berpotensi tumbang telah menjadi ancaman menakutkan kepada penduduk terutama pengguna jalan raya, setelah pula kejadian ribut kuat melanda negeri ini Isnin lalu.

Sehubungan itu, Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia menggesa penyelesaian segera dilaksanakan demi meredakan trauma pengguna atas kejadian yang direkodkan.

Menurut Pengerusinya, Nazman Che Iberahim, sebanyak 203 pokok tumbang, 139 rumah terjejas dan 6 kematian dicatatkan, selain 39 sekolah turut mengalami kerosakan akibat ribut berkelajuan 68.7km/j itu.

Sedangkan menurutnya, pihak Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan telahpun menebang dan memangkas sekitar 1,100 pokok jati, sentang dan mahogani pada Mac lalu, tetapi lanjutan tindakan tidak berterusan.

Bahkan katanya, pihak kerajaan telah beberapa kali menyatakan kesediaan menebang pokok yang merbahaya, tetapi ia masih tidak dilaksanakan hingga menimbulkan igauan pengguna terutama ketika hujan lebat dan ribut.

Perkara itu diutarakan beliau ketika membuat tinjauan dan melakukan kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas akibat ribut tersebut bersama Jabatan Amal Malaysia (JAM) Negeri Perlis, semalam.

"Rakyat marah dan keresahan, terutama apabila ia turut melibatkan kematian. Rakyat tidak mahu peduli soal tender penebangan itu murah atau mahal, mahupun melibatkan syarikat mana.

"Yang mereka nantikan ialah penyelesaian terhadap kemungkinan-kemungkinan boleh menimpa. Kami juga setuju langkah terbaik adalah pokok-pokok yang bahaya ditebang atau dipangkas.

"Kerajaan Perlis juga harus membuat kajian rapi sebelum melaksanakan penanaman spesis balak yang mungkin tidak sesuai dengan komposisi tanah serta akarnya hingga menyebabkan ia mudah tumbang.

"Tahniah kepada JAM Perlis yang melaksanakan pelbagai kerja segera membantu masyarakat yang menjadi mangsa dan pengguna jalan raya terkandas akibat kejadian ini," ujarnya.

Difahamkan, anggota JAM tersebut baru pulang bertugas dari Muktamar PAS di Terengganu dan singgah ke Usrah Pemuda PAS Perlis, sebelum terus menyahut panggilan kecemasan ribut tersebut.

Biarpun keletihan dan belum sempat pulang ke rumah, mereka ternyata komited memberikan khidmat bakti demi kemaslahatan penduduk selaras motto "Beramal Kerana Allah". - HARAKAHDAILY 22/9/2018

KOTA BHARU: PAS menyifatkan tindakan Dato' Seri Mustapa Mohamed dan Dato' Seri Anifah Aman keluar Umno bukan perkara baru selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 9 Mei lalu.

Malah Naib Presiden PAS, Dato' Mohd Amar Nik Abdullah percaya langkah tersebut sebagai permulaan yang akan diikuti oleh lebih ramai ahli serta pimpinan tertinggi Umno lain.

Beliau berkata, situasi itu disebabkan mereka hidup dalam kemewahan selepas 60 tahun pemerintahan BN di negara ini serta kurang pengalaman sebagai pembangkang.

"Ini mungkin proses kesudahan Umno, saya rasa bukan Dato' Pa dengan Dato' Anifah sahaja, saya percaya ramai lagi yang akan mengikut mereka selepas ini.

"Sebab mereka ini sudah biasa hidup senang jadi kerajaan, dia tiada pengalaman jadi pembangkang, bila jadi pembangkang ini sudah perit sebagaimana dirasai PAS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan beliau di Medan Ilmu Jalan Dato' Pati di sini pagi tadi.

Mohd Amar turut menafikan tindakan pimpinan tertinggi Umno itu berpunca daripada Muktamar PAS di Terengganu baru-baru ini.

"Kami tiada apa-apa hubungan lagi antara PAS dan Umno, cuma baru duduk sekali, minum air sekali, mengorat pun belum, bertunang jauh sekali.

"Jadi apa yang menjadi masalahnya, tidak tahu ke mana lagi," soal beliau kepada pemberita sekali gus menjawab tuduhan musuh parti bahawa PAS sudah bergabung dengan Umno.

Ditanya mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan yang mendakwa PAS merupakan dalang perpecahan orang Melayu, jawab beliau, PAS mempunyai sejarah yang panjang bersama Perdana Menteri ketujuh itu sudah mengenali siapa serta tindak tanduk beliau dalam arena politik.

"Tun Dr. Mahathir ini sifat dia suka melawan orang, bermula zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman pun dia lawan sampai keluar Umno, naik pentas PAS lawan Tunku.

"Zaman Pak Lah dan Najib pun begitu juga, semua orang dia lawan, itu perangai dia, kita hendak kata macam mana," katanya sambil menegaskan PAS terbuka kepada semua pihak. - HARAKAHDAILY 21/9/2018

KOTA BHARU: Pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik) diingatkan memberi tumpuan kepada pelajaran sepanjang berada di luar negara termasuk Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan pada masa yang sama mengingatkan pelajar tidak mengunjungi tempat yang berisiko bahaya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas seorang pelajar Yayasan Islam Kelantan yang meninggal dunia Ahad lalu setelah lemas di Sungai Nil, Qanatir, Mesir.

Anak Kelahiran Pasir Putih, Muhammad Arif Aiman Mohd. Husaida, 21, dilaporkan lemas ketika memancing bersama-sama rakannya.

Mohamed Fadzli menambah, untuk meluangkan waktu yang ada digalakkan, bagaimanapun jauhi tempat-tempat bahaya.

“Jaga diri sendiri sewaktu berada jauh di perantauan,” ujarnya hari ini.

Sebaik sahaja dimaklumkan perkara tersebut, Fadzli bersama Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Yakob bergegas ke Mesir.

Abdullah mengimami solat jenazah di masjid yang berdekatan dengan Wisma Sultan Muhammad V, Hayyu Sabi' Kaherah.

Turut menyempurnakan solat jenazah rakan-rakan pelajar anak Kelantan di sana.

Sehari berikutnya Exco kerajaan negeri, Mumtaz Md Nawi mengunjungi keluarga berkenaan di Kampung Cherang Ruku, Semerak Pasir Putih.

Beliau menyampaikan sumbangan kepada ibu bapa allahyarham, Nor Tek Ab Wahab, 45, dan Mohd Husaida Mat Shahih, 52. (foto atas) – HARAKAHDAILY 20/9/2018