MATLAMAT kita berpuasa untuk menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah. Ertinya kita akan berusaha sebaik mungkin menjadi manusia yang menjunjung perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya. Di bulan Ramadhan yang kita burunya ialah syurga dan jauhkan daripada neraka. Inilah yang dipesan oleh nabi SAW di dalam khutbah baginda di dalam Syaban supaya kita perbanyakkan di dalam bulan Ramadhan ialah Memohon keampunan dengan Allah SWT, Tahlil (menyebut Lailaha illa Allah, memohon kepada Allah syurga dan dijauhkan neraka.

Kenapa kita berpuasa? Kerana menjunjung perintah Allah SWT dan memburu darjat taqwa kepada Allah SWT. Taqwa  merupakan matlamat yang hendak dicari oleh orang yang berpuasa. Mendapat darjat taqwa Insya-Allah akan menjauhkan diri daripada neraka.

Orang yang bertaqwa sedar bahawa kematian bukan pengakhiran segala-galanya.   Selepas mati, ada siksa kubur, persoalan kubur, buku catatan amal, timbangan, titian dan yang paling akhir tidak tahu apakah kesudahan syurga atau neraka. Oleh itu mereka amat berhati-hati di dalam tindakan mereka.

Neraka suatu perkara yang menakutkan bagi orang beriman. Bergegar hati apabila ayat yang berkenaan neraka dibaca. Mereka tidak sanggup untuk menghadapinya. Bagi mereka yang keras hati dan biasa melakukan maksiat, persoalan neraka tidak memberi bekas kepada perlakuan mereka. Mereka anggap biasa dan berita yang berlalu begitu sahaja.

Mereka yang bertaqwa akan merasa neraka akan menerkam mereka. Sentiasa berada di dalam perlindungan Allah. Hidup di dalam manhaj Allah SWT. Seperti mana kata seorang pemuda yang soleh bernama Ibn Abi Maisarah  selalu menangis ketika menghampiri tempat tidurnya.

Dia berkata; “Alangkah baiknya jikalau ibu tidak melahirkannya"

Ibunya berkata; "Wahai anakku, Allah telah berbuat baik kepadamu dan membawa dirimu kepada Islam"

Dia berkata; “Wahai ibu, tapi Allah telah memberi tahu kita akan menghampiri neraka dan tidak tahu sama ada kita terlepas atau tidak."

Semua orang akan menemui neraka, ada yang selamat ada yang dihumban ke dalam neraka. Waliyazubillah.

Firman Allah SWT bermaksud;

"Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) ialah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Allah. Kemudian kami akan selamatkan orang yang bertaqwa, dan Kami akan biarkan orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu." (Surah Maryam 71-72)

Kita jarang memikirkan kiamat dan api neraka, kerana kita leka dengan dunia. Kita merasakan kiamat dan neraka masih jauh. Sedangkan kiamat boleh berlaku pada bila-bila masa dengan pantas. Seperti Firman Allah SWT

"Dan tiadalah hal kedatangan hari kiamat itu melainkan seperti  sekelip mata atau lebih cepat lagi".  (Al-Nahli 77)

Apakah kita sedar perkara ini?

Persoalan neraka ialah perkara sam'iyyat (yang didengar, bukan dilihat) oleh itu orang yang beriman sahaja yang merasa gerun dan menjaga batasan Allah. Sekiranya neraka boleh dilihat, nescaya tidak ada orang yang buat jahat. Semua pusat maksiat seperti kelab malam, pusat judi, pelacuran tidak laku. Pelaku rasuah tidak berani untuk mengambil rasuah dan mengambil harta awam. Tidak perlu ada polis dan penguatkuasa. Pemimpin negara tidak akan kianat amanah rakyat. Mereka akan tunaikan hak kepada mereka yang berhak.

Orang yang bertaqwa sentiasa meminta-meminta supaya dijauhkan daripada azab neraka. Firman Allah SWT bermaksud;

"Wahai Tuhan kami, sisihkan azab neraka Jahannam dari kami, sesungguhnya azab seksanya itu adalah mengerikan. Sesungguhnya neraka Jahannam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk". (Surah al Furqan 66).

Keadaan neraka yang digambarkan oleh Al-Quran

Firman Allah SWT bermaksud;

"Kami telah menyediakan orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya  neraka sebagai tempat bersenag-senang." (Surah al-Kahfi: 29)

Nabi Isa AS bersabda maksudnya;

"Berapa banyak badan yang baik cantik, lisan yang fasih, wajah yang berseri kelak berada di atas api neraka sambil berteriak kesakitan".

Nabi SAW ketika turunnya ayat yang bermaksud;

"Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang dekat. Maka Rasulullah SAW mengumpul kaum kerabatnya. Lalu baginda bersabda kepada mereka, Wahai semua orang Quraish, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai semua Bani Kaab, selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai Bani Hashim selamatkanlah diri kamu daripada api neraka. Wahai Fatimah binti Muhammad, selamatkanlah dirimu daripada api neraka, kerana aku tidak berkuasa melindungi kamu daripada seksaan Allah SWT."

Allahu Rabbi, bagaimana baginda peringatkan kepada keluarga terdekat supaya jauh daripada neraka. Baginda walaupun sebagai penghulu segala Nabi-nabi tidak boleh membantu kaum terdekat. Persoalannya adakah kita berpesan kepada keluarga kita mengenai azab neraka?

Jadikanlah Ramadhan untuk membebaskan diri kita dan keluarga kita daripada api neraka
1.Kerjakan amal soleh untuk menjadi hamba yang bertaqwa
2.Jauhkan maksiat
3.Jauhkan perkara haram.
4.Perbanyakkan amal sunat untuk tampung kecacatan amal fardu
5.Jaga hubungan dengan manusia
6.Laksanakan amar ma'ruf nahyu anil munkar.
7.Perbanyakkan zikir terutama al-Quran
8.Perbanyakan sedekah kerana sedekah boleh memadamkan api neraka.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
7 Ramadhan 1438/2 Jun 2017 – HARAKAHDAILY 2/6/2017

PULAU Pinang mempunyai latar politik Islam yang berbeza dengan negeri lain di Malaysia kerana inilah negeri yang pertama dijajah oleh British pada 1786, setelah sekian lama menjadi wilayah Kedah. Kehadiran British telah membawa sama imigran dari China dan India untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi di pulau itu. Orang-orang India dari pelbagai etnik telah berhijrah ke Pulau Pinang, termasuk sebahagiannya yang beragama Islam. Antara entik utama ialah Chulia (Tamil Muslim), Maraikkayar (Merican), Chettiar, Nagore, Rawther dan lain-lain. Berbanding dengan kebanyakkan etnik lain bermazhab Hanafi, kelompok Maraikkayar yang berasal dari Coromandel adalah bermazhab Syafie.

Selain imigran dari India, terdapat juga komuniti Cina Islam dari Kwantung, orang Arab dan orang Aceh, di samping orang-orang Melayu yang merupakan penduduk asal Pulau Pinang. Dengan bertambahnya komuniti Islam di pulau ini, pada akhir abad ke-19 mula muncul usaha-usaha mewujudkan persatuan orang Islam, terutama setelah jatuhnya Kesultanan Mughal di India pada 1857 dan terbentuknya persatuan-persatuan Islam di Riau dan Singapura sejak 1880. Berbeza dengan orang Melayu, orang India Muslim yang menerima kesan langsung dari kejatuhan Kesultanan Mughal telah terlebih dahulu mempunyai kesedaran politik organisasi.

Pada 1892, persatuan Islam yang pertama ditubuhkan dengan nama Peranakan Club, diketuai oleh K Patchee. Pada 1894, telah diwujudkan pula "tempat berhimpun" atau kelab yang digunakan oleh Jawi Peranakan Club, Muhammadan Cricket Club, SM Jamsyid Club dan The Muslim Recreation Club. Kelab-kelab ini merupakan persatuan-persatuan sosial dan sukan orang Islam yang tidak berbau politik, tetapi menjadi sekumpulan organisasi orang Islam yang terawal wujud di Pulau Pinang menjelang abad ke-20.

Di samping itu juga sejak 1880-an telah wujud usaha menubuhkan badan perniagaan Islam di kalangan orang Tamil Muslim, Jawi Peranakan, Arab dan Aceh sehingga akhirnya berdiri Muslim Merchant Society pada 1912 dan Muslim Mahajana Sabha pada 1914. Sebuah pertubuhan yang lebih penting telah ditubuhkan sebagai kelab inteligen orang Islam di kalangan mereka yang terpelajar ialah Association of Young English Educated Muhammadan yang ditubuhkan pada 1 Januari 1911. Badan ini boleh dianggap yang pertama berbau politik di Pulau Pinang kerana tujuannya untuk menggalakkan orang Islam membaca akhbar, belajar bahasa asing dan juga membuat persediaan untuk menyertai perkhidmatan kerajaan.

Setelah itu ia mula berkembang pesat, dengan pengaruh Madrasah al-Mashoor yang didukung oleh ramai reformis Islam dan peranan akhbar seperti Jawi Standard, Cahaya Pulau Pinang, Tanjung Penegeri, Bintang Timor, Jajahan Melayu dan Saudara, kesedaran politik mulai meningkat pada dekad 1920-an. Ini didorong juga oleh pengaruh Gerakan Khalifat yang berpusat di India pada 1919-1921 di mana mereka berusaha mempertahankan Khilafah Othmaniyah daripada jatuh seperti Kesultanan Mughal sebelumnya. Kesedaran politik ini kemudiannya menyebabkan Association of Young English Educated Muhammadan bertukar menjadi pergerakan politik Islam yang lebih jelas dengan nama baru, The Young Muslim Union (YMU) pada 1926 yang dianggotai oleh golongan elit berpendidikan Inggeris.

YMU mempunyai tiga tujuan utama iaitu I) memelihara dan mengangkat nama anak-anak Islam di Pulau Pinang; II) melatih ahli-ahli supaya gemar membaca akhbar dan menjaga kesihatan; dan III) menggalakkan ahli-ahli bersahabat antara satu sama lain. Walaupun persatuan ini bersifat terhad dari segi keahliannya, tetapi ia memberi pengaruh yang besar terhadap kesedaran politik Islam pada dekad berikutnya. Pada 1927, orang-orang Melayu dan Jawi Peranakan telah menubuhkan pula Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang sebahagian pemimpinnya lahir dari YMU. Hasil dari galakan membaca yang dibuat, akhbar Saudara yang diterbitkan oleh Syed Sheikh al-Hadi di Pulau Pinang telah berjaya mewujudkan persatuan pembacanya dengan tertubuhnya Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM) pada 1935 dengan dipimpin oleh SM Zainal Abidin, tokoh yang diasuh oleh YMU. Pada 1945, muncul pula Persatuan Melayu Seberang Perai (PMSP) yang dipimpin oleh Haji Ahmad Badawi Abdullah.

Dalam bulan Mei 1946, PMSP, Kesatuan Melayu Pulau Pinang (KMPP) dan Pemenang telah menyertai Kongres Kebangsaan Melayu yang menubuhan Umno, di mana PMSP dan KMPP telah menyerap dalam Umno, sedangkan Pemenang kekal sebagai badan berasingan yang menyokong Umno. Tokoh-tokoh India Muslim, Arab, Jawi Peranakan dan Melayu yang diasuh oleh YMU terus memainkan peranan penting dalam politik Pulau Pinang apabila para ulamak menubuhkan PAS pada 1951.

Dalam Persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya pada 24 November 1951, beberapa tokoh YMU seperti BD Merican, Merican Mohd Yusof, Haji Ibrahim Aqibi, Baharum Shah Bukhari dan lain-lain turut hadir sebagai peserta persidangan yang menukar nama pertubuhan menjadi PAS. Dalam tahun 1952, dengan kesedaran politik yang terbina melalui YMU, mereka telah membuka cawangan PAS yang pertama di Tanah Melayu iaitu PAS Cawangan Bandar Pulau Pinang. Tokoh-tokoh mereka yang menonjol ialah Sheikh Ibrahim Aqibi, SA Rahman, MY Merican, BD Merican, Kassim Baba, Abdullah Mohd Mian Ibrahim, Kassim Ali Hashim Ali, Mohd Sulaiman Babachan dan Sharifah Rahmah al-Mashoor. Walau bagaimanapun, kerana krisis Kaum Muda - Kaum Tua, mereka tidak lagi aktif dalam PAS sejak akhir 1953.

Mohd Fadli Ghani
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
1 Jun 2017

1 Jun 2017, genaplah sebulan hamba Allah ini memikul amanah sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Sememangnya sejak hari pertama lagi, tiada tempoh bulan madu bagi seseorang yang memikul tanggungjawab kepimpinan dalam sebuah gerakan Islam. Tempoh khidmat sebulan pertama adalah neraca awal untuk menilai setiap kelebihan dan kekurangan bagi merancang perjalanan seterusnya.

Sejak hari pertama lagi, saya berazam bahawa adanya nama Azman bin Ibrahim dalam saf kepimpinan PAS Pusat bukan sekadar sebegai pelengkap bilangan. Tetapi saya perlu bekerja keras untuk memberikan satu impak yang berkesan dalam membantu Tuan Guru Presiden mengemudi bahtera perjuangan ini.

Bahtera besar ini adalah milik bersama semua pencinta perjuangan Islam. Untuk tempoh masa yang ada sekarang, Datuk Seri Tuan Guru Presiden adalah Nakhoda dan kami diamanahkan sebagai satu kumpulan kelasi yang berperanan di setiap sudut bahtera bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pelayarannya. Ada yang jaga enjin, ada yang jaga alat navigasi, ada yang jaga dapur penyedian makanan, ada yang jaga soal kebajikan penumpang, ada yang jaga bilik kawalan, ada tukang baca peta lalu merancang hala tuju pelayaran, ada yang jaga keselamatan dan ketenteraman serta pelbagai lagi tugasan.

Pelayaran yang jauh meredah lautan luas terbentang serta kadang kala dipukul badai dan gelombang sememangnya bukan suatu tugasan mudah. Ia normal kerana kita berada di sini bukan untuk mencari yang mudah sahaja. Di sini juga bukan tempat untuk mereka yang nak mencari kemudahan bagi diri sendiri. Tapi kita sangat yakin bahawa jalan perjuangan ini akan dipermudahkan Allah untuk kita laluinya.

Teman-teman seperjuangan di sekeliling menjadi faktor penyokong yang kuat. Mereka adalah sahabat yang memahami dan mengerti. Menghulurkan tangan ketika kita hampir jatuh, mengeluarkan isi poket ketika poket kita sendiri hampir kekeringan, dengan gagah memegang stereng memandu ke serata tanah air ketika kita yang berada di sebelah diberikan ruang untuk melelapkan mata seketika, teman berbual dan berbincang ketika suka dan duka. Sungguh indah persaudaraan yang diasaskan kerana Allah. Semua ini saya temui di sini, dalam sebuah jemaah Islam bernama PAS.

Di peringkat mana pun kita ditugaskan, saya ingat selalu pesan orang lama dalam parti bahawa akar umbi gerakan kita ialah di peringkat bawah sama ada Cawangan, DUN dan Kawasan. Jangan tinggalkan akar sebab pohon yang berdiri tanpa akar akan mudah tumbang. Ahli, penyokong dan aktivis parti yang sejati berada di sini. Tanpa mereka maka tempanglah perjalanan ini. Lihatlah beberapa orang pimpinan parti di peringkat pusat yang akhirnya hanyut tak bertepi, saya perhatikan antara karakter mereka ialah terus naik ke atas tanpa melalui tangga hieraki parti dari bawah.

Terus berada di atas tanpa berkesempatan bergelumang dengan lumpur di lapangan akan menjadikan kita pimpinan yang tak begitu tahu menghargai ahli dan penyokong bawahan. Nak buat apa-apa kepada parti, kita tak terbayang dan fikir akan lelehan keringat, jerit perih, air mata dan pengorbanan ahli bawahan untuk meletakkan perjuangan kita di persada seperti sekarang. Sejak dulu saya tak begitu dimotivasikan oleh ucapan bergegar pimpinan di atas pentas, tapi keringat di medan juang yang membasahi wajah sayu seorang tua buta huruf berjawatan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan lebih menyentuh hati dan memotivasikan diri ini.

Tempoh sebulan pertama adalah fasa penyusunan lajnah-lajnah dan gerak kerja parti peringkat pusat. Saya diamanahkan dengan dua tugasan di Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat dan Lembaga Pengurusan Kecemasan dan Bencana PAS Pusat (KHIDMAT MALAYSIA). Agak kerap juga perlu berulang alik ke Ibu Kota. Dua kali seminggu ke Kuala Lumpur kerana urusan parti adalah lumrah. Orang kampung ada bersungut, mungkin terasa sikit keterbatasan masa bersama tidak seperti dulu. Tapi Azman sekarang sama saja dengan yang dulu. Melepasi fasa penyusunan ini, gerak kerja akan balik seperti biasa dengan izin Allah.

Kudrat kita manusia terbatas berbanding dengan beban amanah yang dipikul. Lantaran itu kita perlu rapat dengan Allah. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man selalu pesan; “Pimpinan mesti jaga hubungan dengan Allah. Jaga solat tahajud, al-Quran mesti baca dan mesti amalkan wirid dan zikir tertentu sebagai amalan harian.” Apabila kita rapat dengan Allah maka Allah akan bantu kita dengan kudratnya yang tidak terbatas. Almarhum Ustaz Hassan Shukri kata, “Islam yang kita perjuangkan ini adalah agama yang ada Tuan. Tuan bagi Islam ialah Allah. Macam mana kita nak perjuangkan sesuatu yang kita tak rapat dengan Tuannya?”

Kawan-kawan menegur, “Nampak klinik semakin kerap tutup sekarang.” Saya hanya jawab dengan senyum. Senyum tak perlu kata apa-apa sebab mereka yang tegur sebenarnya sudah sangat faham akan situasi sebenar. Tapi biasalah kawan-kawan. Teguran dan sapaan kemesraan. Sikit sangat pengorbanan sekadar saya cagarkan operasi klinik untuk perjuangan. Orang lain berjuang sehingga meletakkan darah dan nyawa sebagai cagaran. Mereka adalah hamba yang berniaga dengan Allah. Suatu perniagaan yang pasti tak akan rugi. Buat kerja kerana Allah, kita tak runsing soal rezeki. Keluarga yang selalu ditinggalkan, kita yakin ada Allah yang menjaganya. Kita tidak berseorangan di medan ini. – HARAKAHDAILY 1/6/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

KETIKA Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cawangan Bukit Tanah, Jabi diasaskan kira-kira 29 tahun yang lalu atau lebih tepatnya pada tahun 1987, saya berada di tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Maarif Kampung Raja Besut. Memang saya bukan anak PASTI dan bukan juga anak TADIKA sebab saya tak pernah melalui peringkat pendidikan pra sekolah. Terus masuk darjah satu di Sekolah Kebangsaan Tembila, Besut.

Buat permulaannya, PASTI Cawangan Bukit Tanah beroperasi di satu sudut dari binaan surau kayu yang juga merangkap Markas PAS Cawangan Bukit Tanah. Pelajarnya ada beberapa belas orang. Duduk belajar sambil bersila sebelum ada kerusi. Cikgu masak guna dapur minyak. Gaji guru saya tak pasti berapa yang mampu dibayar. Rasanya sekitar tak melebihi RM100. Yuran pelajar PASTI hanya RM5 sebulan. Itu pun ramai ibu-bapa yang tak mampu bayar. Tentunya dengan yuran hanya RM5 yang dikutip dari pelajar berjumlah beberapa belas orang, tiada apa yang mampu diharapkan dari sumber yuran untuk menampung perjalanan PASTI sama ada alatan belajar, makan minum serta gaji guru.

Masih saya ingat bagaimana ibu bapa dan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan berpakat untuk secara bergilir-gilir bawa makanan semasa persekolahan anak-anak pelajar PASTI. Ada yang bawa nasi goreng, meehon goreng, roti cicah air teh o, mee goreng dan macam-macam lagi berdasarkan kemampuan. Yang penting anak-anak ada sesuatu untuk mengalas perut ketika rehat.

Zaman 80-an, kehidupan orang kampung memang susah. Ketika itu kebergantungan utama pendapatan adalah tanaman tembakau. Selepas musim tembakau, orang kampung tanam sayur dan ubi stelo (ubi keledek). Begitulah juga kedua ibu-bapa saya. Harga ubi stelo hanya sekitar 20 sen – 30 sen sekilo. Jual 100 kg ubi stelo baru dapat RM30.

Dari kampung Bukit Tanah nak ke Sekolah Menengah Agama Maarif di Kampung Raja dengan jarak sekitar 15 km, saya naik bas buruk yang sesaknya macam dalam tin sardin. Ibu hanya mampu bekalkan RM1 sehari duit belanja. Tambang bas 40 sen pergi dan 40 sen balik. Baki 20 sen boleh buat beli air sirap. Sekadar itu sahaja yang ada untuk isi perut sepanjang hari. Sedikit kisah untuk gambarkan kesukaran hidup orang kampung walau lari sikit dari tajuk.

PASTI Cawangan Bukit Tanah walau dalam kedhaifan tetap meneruskan persekolahan seperti biasa. Guru-guru mengajar dengan penuh keihklasan dan ketabahan walau imbuhan yang diterima sama sekali tak munasabah.

Ketika kedudukan kewangan PASTI hampir kosong, nak minta derma dari ahli PAS Cawangan, mereka pun tak ada duit. Masih segar diingatan, saya duduk bersila di tepi dinding papan Markas PAS Cawangan sambil dengar orang-orang tua bermesyuarat nak cari sumber kewangan. Masa itu kalau tak silap, Ayahanda adalah Bendahari PAS Cawangan. Bincang punya bincang, akhirnya keputusan diambil untuk usahakan sebidang tanah seluas kira-kira 1 ekar milik Ayahanda dengan tanaman ubi stelo.

Gotong-royong adalah kekuatan kita. Pada hari yang ditetapkan, orang kampung ahli PAS Cawangan pakat keluar dengan senjata cangkul. Buat batas dan tanam ubi. Sampai masa bubuh baja, ubi stelo dibajai juga dengan gotong-royong. Akhirnya tanam ubi, maka akan berisi. Tibalah hari ‘pesta gali ubi’. Masa itu gali ubi cuma guna tangan sahaja. Rezeki dari Allah, ubi stelo PASTI cukup berisi. Hasil jualannya dapat menampung beberapa bulan perbelanjaan PASTI. Modal gotong-royong hanyalah bubur kacang dan tulang empat kerat sahaja.

Ada suatu masa, Mesyuarat PAS Cawangan pernah buat keputusan untuk ahli menyumbang ayam kampung kepada PASTI. Bukan sumbang untuk sembelih buat gulai. Tapi tangkap ayam kampung yang berkeliaran bawah rumah dan bawa ke Markas. Ada peraih ayam kampung dengan motor Honda Cup ada raga rotan di belakang yang masuk kampung beli ayam. Hasil jualan ayam kampung dimasukkan dalam tabung PASTI.

Malah pernah orang kampung pakat kumpul buah kelapa untuk diberi kepada PASTI. Kelapa dijual lalu hasilnya masuk tabung PASTI. Pendek kata dengan segala daya dan upaya ahli PAS Cawangan telah berusaha untuk memastikan kesinambungan persekolahan tidak tergendala. Mereka tak ada wang tapi mereka ada tenaga, semangat, kesungguhan dan cita-cita perjuangan tanpa batas sempadan ditunjangkan dengan keikhlasan dan kesabaran.

Walau berdepan dengan pelbagai kesukaran, PASTI Cawangan Bukit Tanah yang sekarang ini dikenali dengan nama PASTI As-Syakirin telah memasuki usia ambang 30 tahun. Terus mendidik dan mendidik. Pelajarnya setiap tahun mencecah 50 orang. Malah ada orang Umno yang hantar anak untuk mendapat pendidikan PASTI. Bukan mereka tak tahu bahawa PASTI ialah institusi pendidikan PAS. Tapi mereka tetap hantar kerana kualiti yang dimiliki PASTI. Bilangan pelajar PASTI As-Syakirin jauh lebih ramai daripada TADIKA kemas. Bayangkan dalam tempoh hampir 30 tahun, betapa banyaknya PASTI As-Syakirin telah menabur jasa walau ia tak pernah meminta ucapan terima kasih.

Apabila diingat kembali kesukaran lalu, tanpa disedari air jernih menitis di pipi. Betapa orang tua kita meletakkan asas perjuangan ini dengan segala susah payah, tenaga, pengorbanan dan air mata.

Mereka tak berpendidikan tinggi, tapi mereka punya kebijaksanaan dan kesabaran dalam mengatur langkah demi langkah perjuangan. Tanam ubi stelo untuk perjuangan jauh lebih mulia dari sekadar bertanam tebu di tepi bibir. – HARAKAHDAILY 31/5/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

IBADAT puasa, seperti ibadah solat, adalah jalan utama memperolehi sifat TAQWA. Ia dinyatakan secara jelas di dalam ayat 183 surah al Baqarah.

Ayat kefarduan puasa tersebut sebenarnya telah didahului oleh ayat-ayat terdahulu bermula daripada ayat 177 sehingga ayat 182 yang mengisyaratkan satu pernyataan yang menarik. Allah melalui ayat-ayat tersebut telah menyeru para hambaNya yang beriman kepada tiga arahan dan amalan iaitu;

Pertama, seruan melakukan amal kebajikan (al birr). Kedua, seruan melaksanakan al qisas (hukuman kesalahan jenayah). Ketiga, seruan agar berwasiat (hukum harta pusaka). Masing-masing ayat tersebut diakhiri dengan sifat TAQWA bagi mereka yang melaksanakannya. Malah, ayat yang menyeru kepada kewajiban al qisas adalah hampir sama dengan ayat yang menyeru kepada kewajiban berpuasa. Ia berakhir dengan "semoga kamu menjadi orang-orang yang BERTAQWA."

Jelas, sebagaimana ibadah rukun seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah bertujuan memimpin orang yang beriman kepada sifat TAQWA, begitulah halnya hukum-hukum syariat yang lain. Pelaksanaan syariat Islam akan menyemarakkan sifat TAQWA dalam kehidupan individu dan masyarakat Islam.

Justeru sebagaimana kita bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah solat dan puasa dengan matlamat memperolehi TAQWA, begitulah sayugia kita bersungguh-sungguh menyeru diri, masyarakat dan pemerintah agar memburu TAQWA dengan melaksanakan syariat Islam, hukum-hakam dan halal haramnya sepenuhnya.

Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata." (al Baqarah:208)

Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh. Ia tidak boleh dijuzuk-juzukkan, diambil dan ditinggalkan sesuka hati. Ia jelas menuruti jejak langkah syaitan dan menghilangkan sifat TAQWA dalam diri dan masyarakat. Mari bersama menyeru kepada Islam yang syumul.

Sedutan Kisah Sahabat: Jaafar bin Abi Talib
Pemilik Dua Sayap

Jaafar bin Abi Talib adalah saudara kepada Ali bin Abi Talib dan sepupu kepada baginda Rasulullah SAW. Beliau seorang yang amat dikasihi baginda. Ketika mengutuskan sahabat ke Habsyah, Rasulullah memerintahkan Jaafar untuk mengepalai delegasi tersebut.

Jaafar bersama orang Islam lain tinggal di Habsyah lebuh kurang 10 tahun. Pada tahun ke 7 hijrah, baru beliau berangkat meninggalkan Habsyah menuju ke Madinah. Pada waktu beliau sampai, umat Islam baru sahaja memenangi perang Khaibar ke atas orang Yahudi. Melihat kelibat sepupunya yang sudah 10 tahun berpisah itu, Rasulullah segera mendakap Jaafar dan mencium di antara kedua matanya. Baginda sangat teruja lalu bersabda:
"Aku tak tahu apakah yang lebih menggembirakan sekarang. Adakah pembukaan kota Khaibar atau ketibaan Jaafar.."

Namun Jaafar ditakdirkan tidak lama di Madinah. Pada tahun kelapan Hijrah, baginda mengutuskan satu pasukan ke Mu'tah. Baginda menugaskan Zaid bin Harithah sebagai panglima dan berpesan, jika syahid Zaid maka Jaafar perlu menggantikan dan jika Jaafar syahid maka Abdullah bin Rawahah.

Benar sebagaimana disabda. Zaid bin Harithah menemui syahid di sana. Panji yang dipegang segera disambut Jaafar dan terus meluru ke tengah kawanan musuh. Beliau bertarung sehingga putus tangan kanan yang memegang panji dicantas oleh tentera Rom. Panji itu segera disambut
panji dengan tangan kiri. Tetapi tangan kirinya juga telah dipotong selepas itu. Namun beliau tetap mempertahankan panji Islam itu dengan bahu dan tunggul tangan yang masih berbaki, sehingga beliau gugur syahid di tangan musuh.

Ringkas cerita, ketiga-tiga sahabat yang disebutkan baginda semuanya menemui shahid. Baginda sangat bersedih ketika menerima wahyu akan berita tersebut. Baginda pergi ke setiap rumah keluarga ketiga sahabat itu untuk menyampaikan berita kesyahidan mereka.

Sampai di rumah Jaafar, baginda SAW mendapati isteri beliau Asmaa binti Umais sedang melakukan persiapan untuk menyambut kepulangan suaminya. Adunan roti telah siap diuli. Anak-anak telah siap dimandikan, diwangikan dipakaikan pakaian indah.

Asmaa melihat wajah baginda sugul kesedihan tetapi tidak tergamak untuk bertanya. Baginda memanggil kesemua anak-anak mereka. Anak-anak itu dengan girang berlari datang ke arah baginda lalu kesemuanya didakap dan dipeluk seeratnya. Baginda cium setiap satu anak-anak kecil itu dalam linangan air mata yang mencurah-curah.

Asmaa tidak dapat bertahan lagi. Beliau terus bertanya.
"Demi ayah dan ibuku Ya Rasulullah. Kenapakah kamu menangis? Adakah apa-apa berita tentang Jaafar dan kedua saudaranya itu?"

Sabda baginda:
"Ya... kesemua mereka telah syahid.."

Tatkala itu hilang segala senyuman dari wajah anak-anak kecil tersebut, melihat ibunya menangis teresak-esak. Mereka semua kaku tidak mengerti.

Rasulullah SAW segera menyapu airmata dan berdoa:
"Ya Allah. Peliharakanlah anak-anak Jaafar.."
"Ya Allah. Peliharakanlah keluarga Jaafar.."

Kemudian baginda bersabda kepada mereka
"Aku telah melihat Jaafar kini bersama malaikat di Syurga, dikurniakan dua pasang sayap yang masih dibasahi dengan darah.."

Bergembiralah wahai keluarga Jaafar. Orang tersayang kalian sudah dijamin Rasulullah sebagai ahli Syurga sedang kalian masih di muka dunia. Bergembiralah dengan syafaat syuhada.

Bergembiralah jua buat semua kita yang kehilangan orang tersayang di medan juang. Pasti mereka juga kini sedang berada di syurga, menantikan giliran kita untuk mengurnia syafaat yang diizinkan tuhan.

Usah bersedih dengan perpisahan sementara ini. Jika orang kita sayang itu meninggal dalam perjuangan, pasti beliau kini bersama Jaafar. Dan kita, insyaAllah akan mendapat kemuliaan sebagaimana yang di disabdakan Nabi SAW:
"المرء مع من أحب"
"Seseorang itu (akan dihimpunkan di akhirat) bersama orang yang dikasihi."

2 Ramadhan 1438
28 Mei 2017

SEBAK mendengar cerita ibu kepada Almarhum Ustaz Daud berkenaan peristiwa yang berlaku sebelum ajal menjemput Almarhum.

"Laksanakanlah ibadah di bulan Ramadan tahun ini dengan bersungguh-sungguh. Boleh jadi Ramadan tahun ini adalah yang terakhir buat kita. Kita tak tahu sama ada sempat lagi atau tidak dengan Ramadan tahun hadapan". Pesan Almarhum Ustaz Daud dalam tazkirah malam pertama tarawih.

Almarhum juga membersihkan surau bersungguh-sungguh sehari sebelum tiba Ramadan, seolah-olah beliau tahu akan meninggalkan surau ini selama-lamanya.

Almarhum Ustaz Daud bersama isterinya Almarhumah Ustazah Maimun terkorban dalam satu kemalangan jalan raya petang 1 Ramadhan. Kereta Viva yang mereka naiki dilanggar kereta Nissan Latio mengakibatkan dua anak mereka cedera parah, salah seorang darinya Nor Najihah umur 11 tahun kritikal pendarahan dalam otak masih belum sedarkan diri.

Takdir Allah dalam sekelip mata sembilan anak mereka kehilangan ibu ayah tempat mereka bermanja selama ini.

Dari sembilan anak mereka hanya Nor Amalina Mastura sahaja yang sudah bekerja sebagai pembantu PASTI dan Najwa Liyana sudah berumah tangga.

Anak bongsu mereka Mohd Fadzil 9 tahun adalah seorang OKU. Setiap bulan arwah ayahnya akan bawa ke hospital. Fadzil turut tercedera dalam kemalangan ini, keadaannya terkini masih belum diketahui.

Anak-anak mereka yang lain Nor Aina Fasihah, Mohd Fitri juga seorang OKU, Mohd Syukri masih menuntut di Kolej Vokasional Kemaman, Nurul Izah masih di tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Dungun dan Nur Humairah tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Marang.

Almarhum Ustaz Daud bin Setapa 55 tahun turut aktif dalam kerja-kerja politik dan dakwah. Beliau diamanahkan sebagai Timbalan Ketua PAS Cawangan Kg Batangan, Marang. Manakala Isterinya Almarhumah Ustazah Maimun binti Mamat, 48 tahun sebagai SU Muslimat PAS Cawangan Batangan. Selain pertalian pasangan suami isteri, mereka juga adalah sepupu.

Pasangan syurga (Insya-Allah) ini meninggalkan kita selama-lamanya pada hari pertama Ramadan dan belum sempat berbuka puasa bersama keluarga tersayang. Berbukalah kau di sana bersama para solihin. Takziah dari kami kepada kaum keluarganya, moga tabah hadapi ujian Allah, semoga Allah tempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

Kami menyeru kepada semua pihak agar turut serta membantu bagi meringankan bebanan keluarga ini terutama dari sudut kewangan bagi menampung kos pengajian anak-anak yatim piatu ini. Contohilah Baginda Rasulullah di bulan Ramadan penuh barakah ini menjadi orang yang paling dermawan melebihi kedermawanannya di bulan-bulan lain.

Sumbangan anda boleh disalurkan melalui akaun Maybank 563019256220 atas nama PERTUBUHAN KEBAJIKAN. Mohon maklumkan jumlah sumbangan anda melalui sms@Whatsapp 0195452471

Semoga Allah murahkan rezeki dan memberkati seluruh hidup anda. Jazakumullah Khair atas keprihatinan dan kecaknaan anda.

 اللهم اغفرلهم وَارْحَمْهمُ وَعَافِهم وَاعْفُ عَنْهُم وَأَكْرِمْ نُزَُلهم وَوَسِعْ مَدْخَلهُم وَاغْْسلهم  بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنقهم مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتُ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِْلهم دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهمِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلهم وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهمِ ، وَأَدْخِلْهمُ الْجَنَّةَ ، وأَعِذْهم مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّار

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Prihatin Rakyat DPPM – HARAKAHDAILY 28/5/2017

UDaud 3

UDaud 2

RAMADAN adalah peluang terbesar bagi muslim mengecap ketaqwaan takut dan taat pada Allah). Melalui puasa yang matlamat akhir nya adalah takwa. Orang yang berpuasa telah melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Dalam surah al-Baqarah ayat 183, yang membahas tentang ibadah puasa.  Sebagaimana dalam ayat al-Qur’an yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang berimanu, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)

Sifat orang yang bertakwa ialah mereka beribadah, muamalat, bergaul, berbuat baik apabila teringat dalil yang menjanjikan ganjaran dari Allah SWT, bukan pada ikut-ikutan, tradisi, taklid buta, atau orientasi duniawi.

Begitu juga, orang yang bertakwa adalah sentiasa takut untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya, kerana dia teringat akan hujah-hujah yang mengancam dengan azab yang dahsyat. Dari sini kita tahu bahawa iman tidak mungkin tanpa cahaya Allah, ilmu terhadap dalil al-Quran dan sunnah Nabi Shallallahu'alaihi.

Jika seseorang memenuhi kriteria ini, layaklah ia menjadi hamba yang mulia di sisinya:

“Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian” (QS. Al Hujurat: 13)

Orang-orang yang berpuasa menahan diri daripada yang diharamkan oleh Allah dalam bentuk makan, minum, hubungan seks dan lain-lain. Manakala jiwa manusia mempunyai kecenderungan untuk semua itu dan ia telah meninggalkan semuanya untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripada-Nya. Ia adalah satu bentuk ketakwaan.

Orang yang berpuasa melatih dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah untuk menjauhkan diri dari perkara-perkara yang disukai oleh hawa nafsunya, sedangkan dia mampu untuk makan, minum atau berjimak tanpa dilihat, tetapi dia meninggalkannya kerana dia sedar bahawa Allah memerhatikannya.

Puasa menyempitkan pergerakan syaitan dalam aliran darah manusia, jadi pengaruh syaitan menjadi lemah. Akibat daripada perbuatan yang tidak bermoral boleh dikurangkan.

Berpuasa secara umum boleh memperbanyak ketaatan kepada Allah, dan ini adalah tabiat orang yang bertakwa.

Dengan berpuasa, orang kaya merasakan kesakitan kelaparan. Jadi ia akan menjadi lebih prihatin kepada orang-orang fakir yang kurang bernasib baik. Dan ini juga tingkah laku orang yang bertakwa.

Sempena dengan kedatangan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, PAS Sarawak ingin mengucapkan selamat melaksanakan ibadah puasa dengan penuh ketakwaan sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunnah Rasullullah.

Semoga amalan kita diterima Allah dan doa kita dikabulkan Allah untuk terus istiqamah hingga mencapai kejayaan baik di dunia mahu pun di akhirat kelak.

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 26/5/2017

PASSwakR

SABDA Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

"Apabila Ramadhan telah tiba, maka pintu-pintu syurga akan dibuka, lalu pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun akan dirantai." (Riwayat Imam Muslim Dalam Sahihnya; Kitab Puasa)

UMustaqimAlhamdulillah Ramadan bakal menjelma. Bulan yang menjadi medan ibadah yang dijanjikan oleh Allah Taala buat insan yang beriman.

Rebutlah kesempatan bulan Ramadan kali ini untuk kita sebagai umat Islam membentuk kualiti ibadah, kebaikan akhlak, dan membina semangat perjuangan bagi memastikan Islam sentiasa dijulang.

Mewakili barisan kepimpinan Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah, saya mengucapkan "Selamat Menjalani Ibadah Di Bulan Ramadan" buat seluruh umat Islam khususnya di negeri Sabah. Semoga Allah mengurniakan kita kesihatan berpanjangan dan kesejahteraan hidup.

Jadikanlah Ramadan kali ini sebagai pembakar semangat kita umat Islam untuk terus membela agama Allah ini agar ia membawa keamanan dan kesejahteraan buat seluruh umat manusia. Akhirnya semoga negeri Sabah tercinta menjadi "Baldatun Thoyyibatun Wa Rabbun Ghafur" iaitu negeri sejahtera yang diredhai Allah Taala.

USTAZ MUSTAQIM ALING
Ketua
Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah
25 Mei 2017M / 28 Syaaban 1438H – HARAKAHDAILY 25/5/2017

SAYA telah menghabiskan masa selama 2 jam 45 minit, iaitu dari pukul 2.15 petang ke pukul 5.00 petang, untuk memberikan keterangan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam, Kedah, pada 22 Mei 2017, sehubungan dengan laporan polis Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya merangkap Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, terhadap saya pada 15 Mei 2017 dan laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh pada 17 Mei 2017.

Ada antara rakan-rakan peguam yang menanyakan sama ada saya memerlukan bantuan pihak peguam untuk berhadapan dengan pihak polis tetapi saya meyakinkan mereka bahawa saya tidak memerlukannya. Alhamdulillah, pegawai penyiasat melayan saya dengan baik dan saya juga memberikan kerjasama yang penuh dengan menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh beliau sehingga akhirnya lahirlah kenyataan setebal lapan muka surat.

Apa yang mahu saya tekankan kembali adalah hakikat bahawa saya bukanlah seorang ekstrimis seperti yang dituduh oleh ramai pemimpin DAP. Ini termasuklah tuduhan Penasihat DAP merangkap Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, bahawa laporan polis saya adalah bukti kegagalan untuk mempromosi wasatiyyah di Malaysia; tuduhan Naib Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, bahawa saya gila, berpandangan sempit dan ekstrimis; tuduhan Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, bahawa saya adalah ekstrimis dan berpandangan sempit; dan tuduhan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, bahawa saya adalah pelampau.

Kepada semua pemimpin DAP ini, sukalah saya minta mereka mendengar sendiri rakaman ucapan Setiausaha Agung DAP merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, di Lecture Theatre, Student Wing, Block S3.1 Level B3, Rajaratnam School of International Studies, Nanyang Technological University, Singapura, pada 10 Disember 2014 ini.

Di dalam ucapan ini, Lim Guan Eng secara terang-terangan menghasut dengan menuduh Barisan Nasional tidak akan menyerahkan kuasa jika pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 dan bahawa jika ini berlaku maka “perkara ini mesti diselesaikan di jalan-jalan raya dan ia akan diselesaikan di jalan-jalan raya”.

Belum lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 berlangsung, sudah tertanam dalam fikiran Lim Guan Eng hasrat untuk menyelesaikan perebutan kuasa di jalan-jalan raya.

Wahai Lim Kit Siang, sayakah atau anak kamu, Lim Guan Eng, yang ekstrimis?

UCAPAN LIM GUAN ENG
“We know that Barisan Nasional are sore losers. They are really sore losers and they will not give up power that easily. Now, what will happen if they refuse to give up power? And I think this is one very important question in people’s minds, especially in the last election when we won the popular mandate but not the number of seats, we can see the huge mess if this issue comes out. Now, if we win power, both in terms of popular votes, that means the popular votes, but (also) in terms of the number of seats, and then we are not allowed to take power, I think the matter has to be resolved on the streets and it will be resolved on the streets.”

TERJEMAHAN UCAPAN LIM GUAN ENG
“Kita tahu bahawa Barisan Nasional adalah jenis yang tidak berpuas hati jika kalah. Mereka adalah jenis yang sangat tidak berpuas hati jika kalah dan mereka tidak akan menyerahkan kuasa dengan mudah. Sekarang, apa akan berlaku jika mereka enggan menyerahkan kuasa? Dan saya fikir ini adalah satu soalan yang sangat penting dalam minda rakyat, terutamanya dalam pilihan raya lepas bila kita menang mandat popular tetapi bukan bilangan kerusi, kita boleh lihat kacau-bilau besar jika isu ini timbul. Sekarang, jika kita mendapat kuasa, di dalam kedua-dua dari segi undi popular, maknanya tentunya undi popular, tetapi (juga) dari segi bilangan kerusi, dan kemudian kita tidak dibenarkan untuk mengambil-alih kuasa, saya fikir perkara ini mesti diselesaikan di jalan-jalan raya dan ia akan diselesaikan di jalan-jalan raya.” – HARAKAHDAILY 23/5/2017

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) kehilangan seorang strategis dan pemikir yang baik serta sangat ikhlas untuk agama dan perjuangannya, Almarhum Dr. Mohamad Khazani Abdullah. Beliau telah kembali menemui الله pagi ini.

Almarhum Dr. Mohd Khazani Abdullah merupakan Pengarah Institut Strategi PAS (ISP). Beliau yang saya kenali adalah seorang thinker dan tulang belakang dalam perbincangan Roadmap PAS dan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Kami bekerja bersama dalam Lajnah Pemerkasaan Parti yang dipimpin oleh Timbalan Presiden PAS.

Berikut merupakan biodata insan hebat ini yang banyak menyumbang kepada jamaah, ummah dan dunia kejuruteraan:

Prof Dr Mohdamad Khazani Abdullah – Chief Technology Officer.

Mohamad Khazani Abdullah was born in Terenganu, Malaysia, in 1968. He obtained his B.Sc. and M.Sc. degrees in Electrical Engineering from University of Missouri at Rolla, USA, in 1990 and 1993, respectively, and a Ph.D. degree in Physics from University Malaya, in 1999.

He was awarded the Malaysian National Young Scientist award for the year 2001 for his various contributions in the field of optical fiber communications. He has won several medals at various international expositions including Best Design in the Asia Pacific Region at INPEX-Pittsburgh, 2004 and Special Award at Eureka, Brussels 2005.

He has successfully filed 11 patents for his inventions and scientific works.Professor Abdullah, a member of IEEE LEOS-Malaysian Chapter, was the Deputy Dean of Graduate School, and Head of the Photonics and Fiber Optic Systems Laboratory, Universiti Putra Malaysia (UPM) until April 2008. Currently, he is the Director and Chief Technology Officer at Significant Technologies Sdn Bhd, a company specializing in fiber optic products and services (www.sigtech.com.my). He also currently serves as an Adjunct Professor at the Electronics and Communications Engineering Dept., Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).His research interest includes fiber optics devices, non-linear optics, DWDM, OSCDMA systems and digital communications techniques. His research finding on Optical Amplifiers was reported in Photonics Spectra, a leading scientific magazine in the field of photonics. His latest research focus is on a novel multiplexing technique known as Duty Cycle Division Multiplexing (DCDM).

Dr. Khazani is currently serving as a reviewer for various international publications including top-ten journals in photonics/optics. He has published 64 articles in Citation-Indexed journals and 168 in other journals/conferences. He also has the experience in commercializing various RnD products into local and oversea markets, and has spun off 5 start-up companies. Recently he has obtained the Trade Mark for his new knowledge-based invention known as K-Chart™, an effective tool for research project planning and management. In graduate thesis supervision he has produced 25 Masters and 10 PhD holders, some with the assistance of K-Chart™.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنْ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنْ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلًا خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

"Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, cucilah kesalahannya sebagaimana Engkau mencuci pakaian putih dari kotoran, gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik, gantilah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantilah isterinya dengan isteri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa Neraka."

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah Al-Ankabut ayat 57:

كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan."

Doakan saya istiqamah dalam kebaikan dan kekal berada dalam jalan dakwah liridhalLah. Semoga kita semua istiqamah sampai mati.  

“Ya Allah, kami memohon perlindungan daripadaMu daripada habisnya usia sebelum habisnya siap sedia." Allahumma Aamiin. – HARAKAHDAILY 20/5/2017

SAYA menonton rakaman kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysiakini di pautan berikut: http://www.kinitv.com/video/48416O74 . Di antara yang disebut oleh beliau dengan merujuk kepada Mursyidul Am PAS ialah, “.. dan ada juga kenyataan yang saya baca mengatakan mungkin dia akan buat keputusan mana kerusi UMNO, PAS tak akan bertanding. Mana kerusi PAS, mereka UMNO tak akan bertanding. Jadi bagi kami, baguslah buat begitu, memudahkan kita untuk membezakan PAS ini samada dia third force ataupun dia sebenarnya dia masuk bersubahat dengan UMNO. Dan kita nak bagitahu kalau begitu halnya, sokong PAS bermakna sokong UMNO.Mudah untuk kita mengatur strategi..”

Saya melihat Muhyidin sudah mula terikut-ikut dengan politik gaya Mahathir yang sedang menyerang PAS habis-habisan sehingga tergamak mengungkit balik nama almarhum Tuan Guru Nik Aziz. Sepatutnya, Muhyidin tidak perlu mengambil pendekatan demikian apatah lagi gaya politik Mahathir sudah sampai ke penghujugnya. Gaya politik seperti itu sudah ketinggalan zaman, politik membantai dan menyondol bagaikan penasaran hanya boleh menikam diri sendiri. Ibarat kata Daivd Teo, “sekali air pantai sampai ke pantai..” (sambungannya tidak sempat diketahui).

Muhyidin sebenarnya memberikan respon terhadap kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS seperti yang dilaporkan di portal Free Malaysia Today di pautan : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/05/16/pas-umno-mungkin-sepakat-tak-lawan-di-kerusi-sama/ .

Persoalannya, adakah benar adanya kenyataan Mursyidul Am PAS yang menyatakan PAS akan mewujudkan kesepakatan dengan UMNO dengan persetujuan bahawa kerusi PAS tidak ditandingi oleh UMNO dan begitu juga sebaliknya?

Sebagai seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, sekalipun diapit oleh pemimpin-pemimpin PAN dan DAP, adalah tidak wajar Muhyidin melontarkan komen demikian dengan hanya merujuk kepada laman cabuk seperti itu. Apakah salahnya jika Muhyidin berkata, “saya perlu membuat pengesahan terlebih dahulu adakah benar kenyataan tersebut daripada Mursyidul Am atau sebaliknya sebelum membuat ulasan..” ? Tidakkah ia kelihatan lebih berseni dan bertoma’ninah?

Kita tidak berhasrat untuk mengambil langkah menyerang parti baru ini namun mengharapkan untuk kita memeluk tubuh di saat PAS diserang adalah sama sekali tidak mungkin.

Untuk pengetahuan Muhyidin, setelah dibuat pengesahan dengan Mursyidul Am PAS, ayat-ayat tersebut tidak pernah keluar dari mulut beliau. Hanya beliau mengulangi semangat yang telah ditegaskan oleh Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sebelum ini bahawa 'jika UMNO terima Islam, PAS boleh bubar'. Apa yang disebut oleh beliau ialah PAS boleh bekerjasama dengan mana mana pihak yang boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan PAS. Tidak pernah wujud dalam perbincangan PAS untuk memberikan laluan kepada UMNO di kerusi-kerusi tertentu dan menuntut balasan yang sama daripada UMNO. Ia hanyalah omong-omong kosong pelari kerusi yang melarikan diri setelah tewas di gelanggang parti.

Saya tertarik untuk menggunakan analogi yang sama yang digunakan oleh Muhyidin apabila melontarkan fatwa bahawa “undi PAS ialah undi UMNO” kerana katanya PAS tidak akan bertanding bersama UMNO di kerusi yang sama. Justeru, apabila telah sahih Parti Pribumi Bersatu tidak akan bertanding di kerusi sama yang ditandingi DAP, secara mudahnya menurut sifir tersebut, undi BERSATU bererti undi DAP.

Saya mengira Tan Sri Muhyidin bahkan Mahathir sekalipun akan bersetuju jika kita menyebut secara jelas dan terang, dengan lidah yang fasih, Undi Bersatu bererti Undi DAP! - HARAKAHDAILY 19/5/2017