PERSIAPAN menyambut sememangnya dituntut bagi menyatakan rasa syukur kita kepada Allah S.W.T setelah berjaya beramal ibadat semaksimun mungkin sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak. Kini tiba untuk meraikan Syawal atas keberkatan Ramadan dengan kembali kepada fitrah.
 
Namun begitu, dalam keghairahan melakukan persiapan menjelang hari raya, bersederhanalah dalam sesuatu perkara sebagaimana para alim ulamak yang telah banyak mengajarkan kita amalan Rasulullah S.A.W agar keimanan dan ketakwaan dijelmakan dalam hidup sejahtera. 
 
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan) baik hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Al-Ahzab: 21)
 
Apa yang menjadi kerisauan kita hari ini, masih terdapat segelintir masyarakat yang memandang enteng soal silaturrahim sesama manusia. Sedangkan dalam Riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Ayyub Khalid bin Zaid al-Ansari RA bahawasanya seorang lelaki berkata “Wahai Rasulullah, beritahu daku tentang amalan yang membolehkan aku masuk syurga.” Jawab Rasulullah, “Beribadatlah kepada Allah, janganlah menyekutukan dengan sesuatu, dirikan sembahyang, keluarkan zakat dan eratkan hubungan silaturahim.”
 
Firman Allah SWT dalam surah An Nisa', ayat 1:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."
 
Pesanan penting buat mereka yang sudah lama tidak balik kampung, pulanglah bertemu dan berziarah khususnya ibu bapa dan sanak saudara. Nescaya besar pahala memuliakan mereka. Fitrah kehidupan kita yang diciptakan Allah adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan itulah hikmah kejadian manusia sebagai khalifah di muka bumi.
 
Lebih dahsyat lagi ada yang membenci ibu bapa sendiri dek kerana peristiwa yang nampak di mata kita seolah-olah ibu bapa pilih kasih terhadap kita yang akhirnya tidak bertegur sapa adik beradik. Ambil lah peluang Ramadan yang masih berbaki dan Syawal ini untuk saling bermaafan agar hidup kita lebih bermanfaat dan rezeki bertambah berkat. 
 
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)."
(Al-Isra': 23)
 
Islam itu indah apabila dijaga hablun minallah (hubungan dengan Allah) dan hablun minannas (hubungan sesama manusia) dengan sempurna. Kebahagiaan hidup sebenar adalah apabila hadirnya ketenangan saat kita melakukan amal ibadat dan ketika berurusan dengan manusia. 
 
Dalam pada itu, di samping menziarahi ibu bapa, adik beradik, sanak saudara mahupun sahabat handai, perlulah kita bijak mengatur masanya yang bersesuaian yang tidak menyulitkan tuan rumah. Ada waktu tertentu yang dilarang dalam Islam sebagaimana dinyatakan bahawa, sesungguhnya kebiasaan Rasulullah S.A.W mengunjungi para sahabat pada waktu pagi dan petang. Kita dilarang berkunjung pada tiga waktu iaitu pertama sebelum masuknya waktu Subuh, keduanya sebelum masuknya waktu Zohor (waktu tidur siang di tengah hari) dan selepas solat Isyak.
 
Seperkara lagi apabila memasuki Syawal, diingatkan agar kita menghormati waktu solat khususnya dalam penganjuran majlis sambutan hari raya di pejabat atau peringkat komuniti serta majlis rumah terbuka. Seringkali  pihak penganjur seolah-olah tidak cakna apabila membuat jemputan atur cara pukul 7.30 malam atau pukul 1.00 petang sedangkan sudah hampir masuk waktu solat. 
 
Berilah ruang masa secukupnya untuk menyempurnakan tanggungjawab kita sebagai hamba-Nya. Sesungguhnya setiap pada kita mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam yang mana satu pertiga daripadanya mestilah disediakan masa berkialiti untuk Allah S.W.T, Tuhan pencipta sekalian alam. Sama-samalah kita bina kehidupan sejahtera dengan mengamalkan Islam secara menyeluruh, Insya-Allah. - HARAKAHDAILY 4/6/2019

SEBELUM kemunculan Monggol pada awal kurun ke-7, dunia hanya bersaing antara dua kuasa besar iaitu Kerajaan Islam dan Kerajaan Salib. Sehingga akhir kurun ke-6, Islam menguasai hampir satu perdua dunia. Bermula dari Barat China (Asia) hingga ke Barat Eropah di wilayah Andalus. Siri peperangan Salib yang bermula sejak era Salahuddin Al Ayyubi juga merupakan pertembungan yang memenatkan Kerajaan Eropah, kerana mereka lebih banyak tewas berbanding menang. 
 
Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 140 maksudnya: “dan itulah hari-hari yang kami gilirkan antara manusia…” Sebagai gambaran bahawa fasa kegemilangan itu bakal berakhir dan akan berlaku pula fasa kelemahan dan kejatuhan.
 
Ketika mana Abu Sufyan bin Al Harb, berkunjung ke Istana Raja Hiraklius ditanya mengenai ajaran Muhammad S.A.W, "Siapakah yang memenangi peperangan yang berlaku antara kamu?" Jawab Abu Sufyan, "Kadang-kadang Muhammad menang, kadang-kadang kami menang." Dijawab pula oleh Hiraklius, "Itulah ciri-ciri ajaran Muhammad S.A.W yang benar."
 
Kerajaan Islam di awal kurun ke tujuh berpecah kepada tujuh kerajaan.
 
Kerajaan  Bani  Abbasiah - yang merupakan kerajaan dan Pusat Pemerintahan, namun pada awal kurun ke-7 ia semakin hilang cengkamannya terhadap seluruh wilayah kekuasaan, dan hanya tertumpu di Iraq, dan berpusat di Kota Baghdad sahaja. 
 
Khilafah Abbasiah hanya menjadi perlambangan sahaja dan sudah tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya. Khalifah pada waktu itu sekadar menduduki takhta kekhalifan, tetapi hanya berfoya-foya dan mengumpul kekayaan. Yang menjadi keutamaan adalah kekal di atas takhta dalam apa jua keadaan. 
 
Kerajaan  Ayyubiah - Meliputi Mesir, Syam (Jordan, Syria, Lubnan, Palestin), Yaman dan Hijjaz
 
Semua mengetahui betapa besarnya jasa Sultan Salahuddin Al Ayyubi terhadap Islam. Namun malangnya, kegemilangan itu tidak diteruskan dalam kalangan keturunannya. Mereka saling berbalah dan merebut takhta terutama di Mesir dan Syam, seakan-akan Hijaz dan Yaman terpisah daripada Ayyubiah. Bahkan di Syam sahaja, Homs, Halab dan Damsyik ketiga-tiganya terasing, begitu juga Jordan dan Palestin. Seluruh wilayah yang telah disatukan oleh Salahuddin, kini terpecah-pecah dan saling berbalah sesama sendiri.
 
Kerajaan  Al  Muwahhidin -  Meliputi Andalus dan Morocco
 
Kesultanan Al Muwahhidin mula merosot selepas kekalahan teruk dalam peristiwa peperangan dengan Tentera Salib pada tahun 609H.
 
Kerajaan  Al  Khawarizmi - Meliputi wilayah Asia daripada Barat China hingga Barat Iran di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Khawarizmi Shah yang paling kuat pertentangannya dengan kerajaan Abbasiah. Bahkan Al Khawarizmi sentiasa melakukan perluasan kuasa dan bertembung dengan kekuasaan yang berhampiran termasuklah dengan Kerajaan Bani Saljuk dan Kerajaan Al Ghori. 
 
Kerajaan  Al  Ghori - Wilayah India di bawah kekuasaan Sultan Muhammad Al Ghuri. Juga sentiasa berlaku peperangan dan perbalahan dengan Kerajaan Al Khawarizmi kerana bersebelahan dengannya.
 
Kerajaan  Bani  Saljuk - Meliputi wilayah Turki (Anatolia) di bawah kekuasaan Sultan Alp Arsalan. Malangnya, sebagaimana Salahuddin Al Ayyubi, kegemilangan Alp Arsalan juga  tidak direnteti oleh generasi berikutnya.
 
Kerajaan  Parsi - Merupakan Iran sekarang, diperintah sebahagiannya di sebelah Barat di bawah Kerajaan Al Khawarizmi Shah, manakala yang bersebelahan dengan Kerajaan Abbasiah dikuasai oleh kumpulan Syiah Ismailiah yang disepakati oleh ulamak bahawa Ismailiah adalah sesat, berasal daripada Majusi dan menyelewengkan al Quran.
 
Pengajaran:
 
Apabila Allah mengkehendaki sesuatu kaum itu keburukan, Allah akan melazimkan mereka dengan pergaduhan dan ditegah dari mereka akan beramal. Ini tidak bermakna berdebat dan berbeza pandangan itu suatu yang buruk, tetapi ia akan menjadi buruk apabila digunakan bukan pada masanya yang sesuai. 
 
Umat Islam pada waktu ini seakan-akan hilang perasaan hazar (berjaga-jaga) dengan musuh sebenarnya, sebaliknya lebih gemar bertelagah dan menunjuk kekuatan sesama umat Islam itu sendiri. Walhal musuh sedang mengintai-ngintai ibarat
 
Serigala yang menanti masa untuk menerkam habuannya.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 3/6/2019
IMG 20190526 WA0032
 
IMG 20190526 WA0030
 
IMG 20190526 WA0029

MENYUSURI Ramadan yang kini telah berada di akhir perjalanan semakin mencabar sebenarnya. Malah pelbagai catatan pengalaman yang telah dilalui, kita seharusnya menilai prestasi kita sehingga saat ini. 
 
Adakah setakat ini sudah berjaya memenuhi apa yang sepatutnya kita laksanakan untuk mengisi Ramadan, menambahkan pahala kerana sepanjang bulan Ramadan pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka. Peluang sudah terhidang sementara Ramadan masih ada berbaki beberapa hari lagi. Usah menunggu atau bertangguh dalam melakukan kebaikan.
 
Firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah ayat 148:
“Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblatnya sendiri) yang mereka menghadap ke arahnya (ketika solat).  Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”. 
 
Sememangnya kita akan bertemu sekurang-kurangnya tiga golongan manusia di dalam bulan Ramadan ini. Pertamanya, golongan yang suka kedatangan Ramadan dan benar-benar memanfaatkan dengan amal ibadat yang akhirnya akan membentuk akhlak terpuji. Namun jumlahnya tidak ramai dan boleh dilihat ketika ini di penghujung Ramadan ini ternyata Masjid atau Surau sudah kekurangan para jemaahnya, entah apa puncanya.  
 
Jika disusun dari pukul 4.30 pagi, dimulakan dengan solat sunat tahajud beberapa rakaat, bersahur, membaca al-Quran dan solat Subuh serta solat-solat wajib lainnya, dan diakhiri dengan solat Isyak dan tarawih berjemaah di masjid dan membaca al-Quran lagi sebelum masuk tidur. 
 
Golongan kedua pula adalah kelompok terbesar dalam masyarakat sebenarnya. Tahapnya yang biasa-biasa sahaja kerana bagi mereka Ramadan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Bagi yang berkeluarga inilah masa sebenarnya untuk kita melatih anak-anak beribadat dengan ilmu yang sebenar. Perbuatan seharian kita dalam bulan Ramadan yang disusun rapi amal ibadatnya akan mendisiplinkan diri dan membentuk akhlak terpuji.
 
Rasullullah S.A.W pernah menegaskan, seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan. Jangan sampai kita tergolong dalam kelompok orang yang rugi berpanjangan.
 
Firman Allah dalam Surah Al-Asr:
“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”
 
Golongan yang ketiga paling ditakuti tetapi bilangan pun bukan sedikit. Mereka ini bencikan Ramadan malah terasa beban sepanjang bulan serta berterusan melakukan maksiat. Ada diantaranya turut mengambil kesempatan Ramadan dengan menipu dalam perniagaan. Mengambil keuntungan yang tidak masuk akal dan turut mengurangkan kuantiti serta timbangan. 
 
Begitu juga bagi yang terus kekal bekerja dalam bidang tertentu yang tidak patuh syariah antaranya penyanyi dan peniaga barangan terlarang antaranya mercun, rokok dan seumpamanya. Maka apabila diminta untuk mendoakan mereka dalam bisnes tidak patuh syariah atau mendoakan kemenangan mereka dalam menyertai pertandingan nyanyian dan tarian. Ianya sesuatu yang pelik sebenarnya kerana larangan Allah S.W.T masih dibuat tetapi dalam masa yang sama berhajat kepada-Nya. Di mana dan ke manakah akhlaknya?
 
Marilah sama-sama berusaha menjadi yang terbaik di mana jua kita berada, dalam apa sahaja keadaan kerana kita sedar dan faham akan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Sucikanlah hati daripada perasaan hasad dengki yang tidak berkesudahan.
 
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As R.A katanya, tidaklah Rasulullah S.A.W seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda:
“Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.” - HARAKAHDAILY 1/6/2019

SULTAN Muzaffar Saifuddin Qutuz menurut catatan yang masyhur, nama beliau adalah Mahmud bin Mamdud, berasal dari keturunan beraja melalui bapa saudaranya iaitu Jalaluddin Al Khawarizmi. Tatar mula menjarah bumi umat Islam bermula dengan Kerajaan Al Khawarizmi. Tidak didapati periwayatan yang menceritakan perihal awal kelahiran, keluarga mahupun adik beradiknya.
 
Ada juga pendapat yang mengejutkan Qutuz berasal dari keturunan Khasdasyiah di Mesir. Namun tidak banyak info yang boleh menyokong fakta ini.
 
Pada awalnya, umat Islam berjaya memenangi pertempuran, namun fasa berikutnya umat Islam mula tewas kerana jumlah Tatar yang terlalu besar. Ini menyebabkan Sultan Khawarizmi melarikan diri ke India. Manakala keluarganya ada yang dibunuh dan ada yang ditawan termasuklah Qutuz.
 
Qutuz tidak dibunuh, dan gelaran Qutuz itu diberikan oleh pihak Monggol kerana melihat karakter Mahmud pada waktu itu yang bengis dan penuh kebencian. Qutuz bermaksud anjing liar. Bermula dari sinilah Qutuz dibawa ke pasar-pasar untuk dijual sebagai hamba, yang akhirnya beliau dijual di pasar Damsyik dan dibeli oleh Kesultanan Ayyubiah di Mesir. 
 
Qutuz dibeli oleh Sultan Najmuddin Ayyub di Mesir, dibesarkan di istana bersama ramai lagi kanak-kanak yang lain. Suatu hikmah Allah yang tidak terduga, aturan Ilahi yang amat cantik, bahawa di Mesir inilah Qutuz mendapat tarbiyah yang mantap dan menjadi insan yang dimuliakan Allah!
 
Berbeza dengan mana-mana Sultan, kebiasaannya hamba yang dibeli akan dikerahkan tulang empat keratnya untuk melakukan kerja-kerja berat. Namun Sultan Najmuddin mengasingkan mereka di istana dan diberikan penginapan yang baik untuk mendidik mereka dengan ilmu agama yang mencukupi sebelum diajarkan mereka ilmu peperangan.
 
Kejayaan Sultan Najmuddin Ayyub mendidik golongan hamba dengan jumlah yang besar, akhirnya sampai ke tahap mereka dijadikan sebagai tentera kerajaan. Bermula dari sinilah Sultan Najmuddin Ayyub mengasaskan kerajaannya yang baru dengan nama Kerajaan Mamalik Bahriah yang diambil sempena golongan hamba (Mamluk) dan Bahriah sempena Istana pemerintahannya yang berada di tepi laut (Citadel Ayyubiah).
 
Walaupun peranan Kerajaan Mamalik ini sangat besar tehadap sejarah Islam, namun ia agak tenggelam disebabkan krisis umat yang terlalu dahsyat pada waktu itu. Bahkan krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah dan Mamalik itu sendiri juga menjadikan sejarah ini terlalu rumit untuk disampaikan. (Kerajaan Ayyubiah bermula tahun 569H hingga 648H).
 
Krisis dalaman Kerajaan Ayyubiah selepas kematian Sultan Najmuddin Soleh semakin memuncak. Singgahsana yang diberikan kepada anaknya Tauran Shah juga tidak bertahan lama. Syajaratu Dur yang mengambil alih takhta berdepan dengan pelbagai ancaman yang kuat untuk menurunkannya termasuk juga dari kalangan para ulamak yang mengingatkan sabdaan Nabi S.A.W akan pengharaman wanita menjadi pemimpin utama. Akhirnya Syajaratu Dur mengahwini salah seorang panglimanya iaitu Al Muiz Izzuddin Aibak yang kemudiannya ditabalkan menjadi Sultan. 
 
Apabila Muizzuddin Aibak naik takhta sebagai Sultan, yang sebenarnya perancangan awal Syajaratu Dur mahu menjadikan Aibak sebagai Sultan boneka semata-mata, rupa-rupanya Aibak juga mempunyai perancangannya sendiri. Untuk mengukuhkan kedudukannya Aibak mengisytiharkan pembentukan kerajaan dibawah kekuasaannya dengan nama Kerajaan Mamalik Al-Mu'izziah (sempena namanya) dan menjadikan Saifuddin Qutuz sebagai panglima kanannya. 
 
Malangnya Aibak dan Syajaratu Dur kedua-duanya dibunuh, lalu beralih kerusi raja kepada anaknya yang masih muda iaitu Sultan Mansur Nuruddin Ali bin Izzuddin Aibak yang umurnya baru 15 tahun. Dr Raghib As Sarjani menyebutkan, antara perkara yang sukar untuk diterima akal ialah pada waktu itu perebutan kuasa dengan menumpahkan darah ini seakan-akan terlalu biasa! Hanya dengan sedikit sangkaan buruk, sudah cukup untuk menjadi sebab Sultan dibunuh! Namun sejarah tetap sejarah yang perlu diceritakan.
 
Ketika krisis dalaman ini semakin parah, Qutuz yang pada waktu itu memihak kepada Aibak, seteru snya menjadi orang kanan kepada Sultan Nurudin Ali. Melihat kepada keadaan yang semakin memburuk, ditambah pula dengan ancaman rampasan kuasa oleh keluarga Ayyubiah lain yang mahukan tampuk pemerintahan, Qutuz membuat keputusan untuk mengambil alih kerusi Sultan daripada anaknya. 
 
Secara rasminya pada tanggal 655H, Saifuddin Qutuz diangkat menjadi Sultan Kerajaan Mamalik Al-Mu'izziah, selaku Raja bagi Negara Mesir dengan gelaran Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz.
 
Pengajaran:
 
Melalui kisah ini kita dapati naiknya Qutuz bukan dengan jalan yang mudah. Ia bukan sejarah yang indah sebagaimana kisah Sultan Muhammad Al Fateh. Terkadang kita perlu akui, seorang yang diuji dengan pelbagai ujian dan mengalami pelbagai kepayahan, nyata dia mampu menjadi seorang pemimpin yang baik.
 
Sejarah hitam itu tetap suatu sejarah yang tidak boleh kita ubah. Hanya kita jadikan ia sebagai sandaran untuk kehidupan pada hari ini supaya kita juga menyedari, tidak semua yang indah itu baik, dan tidak semua ujian buruk itu akan menjadikan hidup kita buruk!
 
Adalah menjadi kuasa Allah, untuk menaikkan dan menurunkan sesiapa sahaja yang dikehendaki! Āli `Imrān: 26:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
 
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 31/5/2019
 
Rujukan:
- Kisah Tatar dari awal hingga Peperangan Ain Jalut Dr Raghib As Sarjani
- Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz, panglima peperangan Ain Jalut Dr Qasim Abduh Qasim
- Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Monggol Dr Ali As Solabi

PADA 4 September 1993, Parliament of the World's Religion telah mengadakan satu kongres di Chicago, Amerika Syarikat bagi menandatangani satu deklarasi yang dinamakan 'Declaration Toward a Global Ethic'.
 
Antara persetujuan etika mereka, "We affirm that a common set of core values is found in the teachings of the religions." ("Kita bersetuju terdapat nilai teras yang sama dalam ajaran-ajaran agama")
 
Maka lahirlah satu prinsip yang ditetapkan oleh mereka sebagai "we must treat others as we wish others to treat us."
 
Prinsip ini dinamakan sebagai 'The Golden Rule' dan kononnya menjadi asas kerjasama pelbagai penganut agama.
 
Kelihatan sama dengan akhlak Islam tetapi ada perbezaan
 
عَنْ أَبِيْ حَمْزَةَ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ خَادِمِ رَسُوْل الله عَنْ النَّبِي قَالَ : لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
 
Rasulullah S.A.W bersabda:
 
“Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya sebagaimana dia mencintai untuk dirinya sendiri”.
[HR Imam Bukhari]
 
Imam Nawawi menjelaskan umum persaudaraan antara Muslim dan orang kafir adalah kita menyukai orang kafir untuk masuk ke dalam Islam sebagaimana kita kekal berada di dalam Islam.
 
يُحِبُّ
juga membawa maksud keinginan kepada kebaikan dan manfaat yang bersifat Islam.
 
Apapun segala norma baik adalah wujud di dalam Islam dan bersifat menyeluruh dan sempurna.
 
Kelemahan The Golden Rule yang dibuat Barat
 
Tidak mampu diaplikasikan dalam semua keadaan, objektif yang tidak jelas, situasi setiap sesuatu berbeza, dan panduan piawaian pelaksanaan adalah tidak menyeluruh.
 
Barat tidak mampu meletakkan perbezaan antara hak dan batil, baik dan buruk kerana norma baik diukur mengikut akal dan hawa nafsu masing-masing.
 
Malah konsep 'The Golden Rule' terbukti tidak mampu membanteras kebejatan sosial dan kezaliman pemerintah keatas rakyat.
 
Jika konsep 'The Golden Rule' dipakai oleh umat Islam, sekiranya orang kafir membudayakan minum arak dan dianggap satu norma yang baik, maka orang Islam turut perlu meraikan dan minum bersama.
 
Bahaya menyamaratakan Islam dengan agama lain
 
i)    Menganggap Islam sebagai satu kebudayaan mengikut kaum. Islam untuk Arab semata.
 
ii)    Taraf Nabi Muhammad Saw diletak sama seperti tokoh agama lain.
 
iii)    Syariah Islam dijadikan sama dengan adat resam manusia.
 
iv)    Kebenaran dan kebatilan tidak dapat diketahui perbezaan.
 
Dakwah Islam adalah kita mengajak orang-orang kafir semakin mendekati Islam bukan kita yang semakin longgar dan akhirnya tertanggal dengan prinsip-prinsip Islam. Hal ini memerlukan kita untuk kembali yakin dan menyakinkan orang lain akan keutamaan Islam berbanding agama-agama lain.
 
Moga Allah S.W.T perteguhkan iman kita.
 
MUHAMMAD HANIF AHMAD ZABIDI
29 Mei 2019 - HARAKAHDAILY 29/5/2019

Era kebangkitan kuasa baru
 
Suatu sunnatullah yang diatur oleh Allah, bahawa setiap fasa kegemilangan pasti akan berlakunya fasa kejatuhan. Saidina Umar Al Khattab R.A tatkala turunnya surah al-Maidah ayat 3 beliau bersedih. Lalu ada Sahabat yang bertanya mengapa Umar bersedih sedangkan ia merupakan kegembiraan kerana Islam telah sempurna kesemuanya. Jawab Umar, selepas kesempurnaan, pasti akan ada kekurangan (merujuk kepada kewafatan Nabi S.A.W).
 
Allah Ta`ala mentakdirkan sebelum Islam menguasai dunia, kuasa besar sebelumnya adalah Rom dan Parsi. Islam datang kemudian sebagai kuasa besar yang ketiga, bangun tanpa bergantung pada mana-mana kuasa sama ada dari Rom mahupun Parsi. 
 
Era kegemilangan Abbasiah telah berlalu, kini memasuki fasa kejatuhan yang bermula dengan pertembungan sesama kerajaan-kerajaan kecil dan perpecahan yang parah.
 
Dalam artikel lalu menceritakan bagaimana Tatar muncul dan berkembang di bawah kekuasaan Khan Agung. Genghis Khan atau Temujin. Bermula di Asia Tengah, pergelutan dalam sesama mereka untuk merebut penguasaan total berakhir dengan Genghis Khan memenangi pertempuran epik dengan saudaranya, Jamukha. Seterusnya, Genghis Khan merenung untuk meluaskan lagi jajahannya merentasi wilayah Kerajaan Abbasiah.
 
Semangat perluasan jajahan 
 
Peperangan demi peperangan yang dimenangi oleh Genghis Khan menjadikan beliau semakin ghairah untuk menakluk wilayah yang baru. Bersebelahan dengan sempadan jajahannya adalah wilayah di bawah kekuasaan Kerajaan Al-Khawarizmi, Sultan Muhammad Al-Khawarizmi Shah yang sangat berseteru dengan Kerajaan Abbasiah.
 
Menurut Dr Raghib As-Sarjani dalam bukunya Kisah Tatar, menyebutkan ketika ini Tentera Salib ataupun Bangsa Eropah mula melihat kebangkitan Monggol dengan pandangan yang positif. Ini kerana bukan sahaja Kerajaan Islam yang mengalami fasa kelemahan, bahkan Kerajaan Salib juga mengalami isu yang sama. Lalu mereka menghantar utusan untuk bertemu dengan Genghis Khan dengan tujuan memujuk dan merayu untuk membantu mereka melawan Kerajaan Islam! 
 
Untuk menjarah Kerajaan Islam, Genghis Khan perlulah mencari tapak sebagai markaz baru yang lebih dekat dengan Baghdad, sama ada di sekitar Afghanistan atau Uzbekistan. Jarak yang amat jauh antara China dan Iraq akan memayahkan sebarang gerak kerja ketenteraan. Antara wilayah yang amat difikirkan sesuai adalah wilayah Kaukas (juga disebut Kaukasus atau Kaukasia). Sebuah wilayah yang terletak di Eropah Timur dan Asia Barat di antara Laut Hitam dan Laut Kaspia.
 
Mencari titik permusuhan
 
Untuk menyerang wilayah kekuasaan Islam, Genghis Khan memerlukan satu alasan yang kukuh. Ia dimulakan dengan mengadakan hubungan perdagangan yang berakhir dengan tragedi yang menjadi punca utama mengapa Tatar mula menjarah bumi umat Islam. Disimpulkan punca ini dalam beberapa butiran:
 
• Hubungan dagangan dimulakan di Kota Atrar yang terletak di hujung Timur sempadan Kerajaan Al-Khawarizmi, yang dipimpin oleh Sultan Yanal Shah. Rombongan perdagangan ini dibunuh dan semua hartanya dirampas dengan beberapa sebab yang direkodkan. Antaranya kerana menganggap mereka adalah pengintip, dan ada juga yang menyebutkan ia berpunca di atas ketamakan Sultan Yanal Shah terhadap harta dagangan yang dibawa.
 
• Berita pembunuhan ini sampai ke pengetahuan Genghis Khan. Lalu beliau menghantar utusan menghadap Sultan Muhammad Khawarizmi Shah untuk meminta penjelasan. Malangnya, Sultan Khawarizmi bertindak membunuh utusan tersebut. Pembunuhan utusan inilah dianggap sebagai pintu permulaan permusuhan Tatar terhadap Islam.
 
• Ada juga riwayat yang menyebutkan, kerajaan pusat Abbasiah di Kota Baghdad, ketika itu di bawah kekuasaan Sultan Nasir Li Dinillah yang menghantar surat kepada Genghis Khan untuk menyerang Kerajaan Khawarizmi. Ini kerana disebabkan pertentangan Khawarizmi dengan Sultan Nasir. Pendapat ini ditolak oleh Dr Ali As Solabi dan menyatakan apa yang dilakukan oleh Khawarizmi itu pun sudah cukup untuk membangkitkan kemarahan Genghis Khan.
 
• Sekalipun di sudut pandang Sultan Khawarizmi, memberikan pelbagai jawapan untuk membenarkan tindakannya, namun di sisi Genghis Khan yang lebih utama adalah rakyatnya dibunuh, dan ia mesti dibela!
 
Bermulalah titik hitam dalam sejarah umat Islam
 
Serangan Monggol bermula pada tanggal 616H dengan kerahan bala tenteranya yang dahsyat di Timur Sungai Seihun (kini dikenali dengan sungai Sardaraya di negara Khazakhtan). Diriwayatkan kedua-dua belah pihak mendapat korban dengan jumlah yang besar. Masing-masing mengorbankan 20,000 tentera, akan tetapi ia hanya suatu permulaan di pihak Monggol. 
 
Genghis Khan terus menerus menghantar ketumbukannya tanpa henti menyebabkan di pihak Al-Khawarizmi Shah mula cemas. Lalu baginda meminta bantuan tentera dari seluruh wilayah di bawah kekuasaannya, namun nyata masih tidak mampu menandingi Monggol.
 
Lalu mengapa wilayah yang lain tidak membantu Sultan Al-Khawarizmi Shah? Dan mengapa Sultan sendiri tidak meminta bantuan daripada wilayah berdekatan seumpama Kerajaan Al-Ghuri?
 
Insya Allah, akan dijawab dalam tulisan seterusnya krisis umat Islam di akhir kurun ke enam.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 29/5/2019
 
Rujukan:
- Kisah Tatar dari awal hingga Ain Jalut Dr Raghib As Sarjani
- Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Monggol Dr Ali As Solabi
- Al Kamil Fi Tarikh Ibnu Athir

"YA ALLAH, berkatilah kami dalam Bulan Ramadan dan sampaikanlah kami di malam Al-qadr," doa ini berterusan di baca, di ulang berkali-kali semoga Allah S.W.T mengizinkan kita bertemu dan diberikan keupayaan untuk beribadat pada malam tersebut. 
 
Bukan sekadar menjejaki malam-malam tertentu sahaja, sebaliknya ia perlu dilatih jiwa kita bersama daripada awal Ramadan malah para Sahabat dahulu telah mempersiap diri enam bulan sebelumnya dan berterusan berdoa kepada Allah S.W.T enam bulan selepasnya mengharapkan segala amal kebaikan sepanjang Ramadan di terima oleh Allah S.W.T.
 
Mu’alla bin Al-Fadhl, salah satu ulamak tabiu’ tabiin berkata, “Dulu para sahabat, selama enam bulan sebelum datang Ramadan, mereka berdoa agar Allah mempertemukan mereka dengan bulan Ramadan. Kemudian, selama enam bulan sesudah Ramadan, mereka berdoa agar Allah menerima amal mereka selama bulan Ramadan.” (Lathaif  Al-Ma’arif, hlm. 264).
 
Indahnya hidup bersyariat mengatasi adat masyarakat dalam beribadat khususnya di bulan Ramadan yang mulia. Banyak amal kebajikan seperti sekadar memenuhi adat berbuat aktiviti kebajikan atau hadir ke Masjid atau Surau untuk beribadat tetapi masih mengabaikan soal aurat dan ikhtilat.
 
Di sana sini kelihatan dan kedengaran majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, asnaf fakir miskin, warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan. Sama ada di Masjid atau di Surau atau di pejabat atau di hotel masih lagi ada pihak penganjur sekadar memenuhi adat program menjemput mereka tanpa diraikan sebagai tetamu yang akan membawa rahmat kepada keseluruhan hadirin.
 
Lebih menyedihkan lagi, pengisian program yang bercampur perkara maksiat seperti jemputan artis wanita terdedah aurat menghiburkan majlis selepas berbuka puasa sehinggakan solat Maghrib boleh lupa atau sengaja tidak diendah. Walhal sepatutnya difahami bahawa syariat Islam datang dengan penuh hikmah untuk kita manfaatkan peluang yang ada membanyakkan pahala dan mengurangkan dosa.
 
Allah Ta’ala berfirman:
 
وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.”
(An Nuur: 31)
 
Maka dengan itu, masih belum terlambat buat kita untuk kembali ke landasan sebenar, mencari pahala Ramadan berdasarkan ilmu yang disyariatkan Islam, syurga destinasi akhir kita, InsyaAllah. Perbanyakkan istighfar dan solat taubat, mudah-mudahan Allah SWT lorongkan kita ke jalan yang benar serta memanfaatkan Ramadan untuk berhijrah ke arah kesempurnaan hidup bertunjangkan syariat Islam yang sebenar berdasarkan Al-Qur'an dan As-Sunnah.
 
Justeru, marilah sama-sama kita bermuhasabah dan mengamalkan Islam secara menyeluruh agar kita layak dianugerahkan takwa di sisi Allah S.W.T setelah melalui Ramadan pada kali ini. Kita bersama-sama menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran sebagai tanggungjawab kita sesama Muslim.
 
Maksud Hadis yang telah diriwatkan oleh Rasulullah S.A.W:
 
“Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, dia hendaklah mencegahnya dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu (mencegah dengan tangan  - kuasa), maka hendaklah dia mengubah dengan menggunakan lidahnya (teguran dan nasihat), maka sekiranya ia tidak mampu juga hendaklah ia mengubah dengan hatinya (iaitu tidak reda dan benci) dan demikian itu adalah selemah-lemah iman. Tidak ada lagi iman selepas tahap itu walaupun sebesar biji sawi”.
(Hadis riwayat Tirmizi)
HARAKAHDAILY 28/5/2019

ANTARA perkara yang menyukarkan para sejarawan adalah ketika menggali sejarah bangsa Monggol atau Tatar. Ini disebabkan kerana mereka merupakan bangsa yang berpindah randah (nomad). Bahkan, perpindahan mereka tidak tertakluk dalam suatu daerah yang kecil, malahan tidak ada sempadan geografi yang tepat untuk menisbahkannya kepada mereka. 
 
Akan tetapi, muncul sejarawan yang bersungguh membuat penelitian terhadap mereka kerana bangsa ini meninggalkan kesan yang amat besar terhadap dunia pada waktu itu! Berdasarkan beberapa penelitian, kita datangkan beberapa pandangan tentang asal usul bangsa yang telah merobek maruah umat Islam ini.
 
Bangsa ini mula dikenali dalam sejarah dunia pada akhir abad ke 6 Hijriah atau abad ke 12 Masihi. Secara tepatnya mereka muncul pada tahun 603H melalui Panglima utama mereka iaitu Genghis Khan (Temujin). Bermula di Wilayah Utara China iaitu di wilayah Monggolia.  Dalam tempoh yang amat singkat, mereka telahpun menguasai hampir dua pertiga dunia! Mereka menakluk bermula dari Jepun hinggalah Eropah Barat dan Asia Barat.
 
Genghis Khan merupakan gelaran bagi ketua tertinggi mereka yang bermaksud Raja Dunia atau Penguasa Dunia. Nama sebenar Genghis Khan ialah Temujin yang merupakan seorang individu yang bengis, berjiwa tentera, keras dan sangat ganas.
 
Apa perbezaan antara Tatar dan Monggol?
 
Hubungan antara keduanya adalah umum dan khusus. Iaitulah Monggol umum, dan khusus adalah Tatar. Orang Tatar pastilah dia merupakan orang Monggol, dan orang Monggol tidak semestinya dia orang Tatar. Dalam sejarah pertempuran tradisi sesama mereka, Tatar pernah menguasai keseluruhan bangsa Monggol, namun di bawah kekuasaan Genghis Khan, Tatar tunduk dan menjadi sebahagian daripadanya. Adalah lebih tepat dikatakan bahawa yang menguasai dunia adalah bangsa Monggol, bukannya Tatar.
 
Para ahli sejarah menyebutkan beberapa ciri-ciri mereka yang menjadi sebab mengapa begitu cepat tersebar:
• Bersifat buas
• Gerakan gerila yang tersusun dan kemas
• Jumlah kepuakan yang ramai
• Membawa budaya yang keras
• Kepimpinan Genghis Khan dan Jeneralnya yang tangkas
• Tidak berhati perut
• Tidak menerima pendapat selain daripada puak mereka
• Tidak menepati janji
 
Tanah air bangsa Monggol
 
Mereka muncul di Asia Tengah di antara Sungai Seihun dan Sungai Jeihun dari Barat hingga ke sempadan Cina. Dari Timur pula, meliputi hingga hujung Timur Laut Benua Asia. Di kawasan Tanah Tinggi pula, meliputi pergunungan Tian Shn, Altai dan bukit-bukit di sekitarnya. Perpindahan bangsa Monggol adalah berdasarkan perubahan cuaca atau musim. Pada waktu musim dingin, mereka akan mendiami di kawasan kaki bukit dan gunung, manakala ketika musim panas mereka akan mendiami di tempat-tempat yang lebih tinggi.
 
Etnik-entnik membentuk bangsa Monggol
 
Untuk mengatakan etnik-etnik berikut merupakan keseluruhannya daripada Monggol, adalah amat sukar. Kerana kehidupan nomad ini juga merangkumi sesetengah bangsa Cina, Turki dan Monggolia. Boleh dikatakan etnik-etnik berikut mewarnai sosiologi dan perubahan masyarakat Bangsa Monggol.
• Suku Turki
• Suku Kyrgz
• Suku Oghuz
• Suku Karluk
• Suku Khitai
• Suku Tatar
• Suku Khereit
• Suku Naiman
• Suku Bergqin Monggolia
 
Pegangan agama
 
Monggol memiliki latar pegangan agama yang unik. Genghis Khan menggabungkan beberapa amalan dari pelbagai ajaran dan anutan termasuklah ajaran Kristian, Buddha dan Islam, lalu membentuk ajaran mereka sendiri yang disebut Yasuk, atau Yasah atau Yasiq.
 
Kehidupan sosial bangsa Monggol
 
Terdapat tiga kasta yang melatari bangsa Monggol. Kasta terhormat disebut Bahadir yang bermaksud Pahlawan, atau gelaran Tuban yang bemaksud Terhormat, atau digelar Stassen yang bermaksud Bijaksana.
 
Kasta yang kedua disebut Nokor yang bermaksud Kaum Merdeka. Golongan inilah yang biasanya menyusun atur bala tentera dan pasukan Monggol. Manakala Kasta yang ketiga dan terendah adalah orang awam dan budak belian (hamba).
 
Ini hanyalah sebagai pengetahuan umum terhadap Bangsa Monggol, bagi yang berhajat untuk mengetahui dengan lebih mendalam, dipersilakan. Kerana
 
Ada persoalan lebih penting untuk dijawab dalam siri Kisah Tatar ini iaitu, "Mengapa dan bagaimana mereka memusuhi Islam?"
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 27/5/2019

RAMADAN kini telah memasuki fasa terakhir, 10 malam yang ada di dalamnya Lailatul  Qadr. Pahala buat mereka yang menghidupkan malamnya menyamai beribadat selamat 1,000 bulan atau 83 tahun. 
 
Tetapi hanya orang beriman sahaja akan ghairah mencarinya dengan terus membuat amal kebaikan antaranya solat fardu di awal waktu dan berjemaah, solat sunat digandakan, sedekah diperbanyakkan, iktikaf dan zikir dipanjangkan masanya serta qiamullail diisi sepenuhnya dengan amal ibadat.
 
Namun demikian dalam mengejar pahala Ramadan, tanpa sedar dosa yang dapat dalam banyak situasi. Satu persatu boleh diperhalusi sebagai muhasabah kita bersama agar benar-benar kita memperolehi takwa dalam madrasah Ramadan sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah, ayat 183.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa."
 
Keunikan di negeri Perak sepanjang Ramadan adalah adanya majlis berbuka puasa dan moreh setiap hari dan ramai yang mengambil peluang untuk mendapat pahala berganda menjamu orang berpuasa sebagaimana Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi, daripada Zaid bin Khalid.   
 
Tetapi yang sedihnya masih ada di dalam masyarakat kita yang suka 'memantau' dan buat-buat tanya ahli jemaah dan membanding-bandingkan menu yang ditajanya dengan orang lain. Pahala Ramadan yang dicari, dosa yang dapat.
 
Solat sunat Tarawih hanya ada di bulan Ramadan. Maka ramailah di kalangan kita akan membawa anak-anak bersama ke Masjid atau Surau dan sememangnya suatu langkah yang sangat baik sebagai latihan dan pengalaman penting buat mereka. 
 
Sebaliknya perlu kepada para ibu bapa untuk juga mendidik adab kepada anak-anak agar tidak mengganggu jemaah yang lain dan memenuhi hasrat untuk mendapatkan sebanyak mungkin pahala Ramadan tetapi jika hanya dibiarkan tanpa kawalan dan pemantauan, dosa yang akan dapat. Malah keadaan masjid tidak ubah seperti taman permainan.
 
Sudah menjadi kebiasaan di masjid dan surau di bulan Ramadan akan bertambah tabung-tabung sumbangan yang sebenarnya untuk memberi peluang lebih banyak untuk kita berkongsi apa yang kita ada dengan mereka yang memerlukan. Namun ada juga golongan yang suka menghulurkan sumbangan tetapi berkira dengan apa yang disumbangnya. Dalam tidak sedar pahala entah ke mana, dosa makin meninggi.
 
Oleh sebab itu, masjid atau surau mestilah menjadi tempat bersilaturrahim sesama Muslim dan sama-sama memanfaatkannya dengan budaya ilmu yang berterusan yang akhirnya menjadi pusat komuniti setempat. Bermuhasabahlah sesama kita agar kesucian institusi sebagai tempat yang menggalakkan kita berterusan berbuat amal kebaikan dalam mencari keredhaan-Nya. 
 
Sewaktu peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah perkara pertama yang menjadi agenda besar baginda ialah membina masjid di Quba’ Madinah menunjukkan betapa pentingnya institusi tersebut. Maka, tanggungjawab kita untuk memakmurkan atau mengimarahkan masjid atau surau agar keseluruhannya mendapat manfaat sewajarnya.  
 
Islam sangat menggalakkan umatnya berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan. Firman Allah S.W.T dalam ayat 90, surah Al-Anbiya':
إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا ۖ وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ
"Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami."
 
Menunjukkan bahawa kita sebagai hamba Allah ada perasan gerun (takut) kepada kesalahan yang dilakukan dan tetap berharap diterima segala amal kebaikan yang telah dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan kita sebagai mengabdikan diri kepada Allah S.W.T.
 
Marilah sama-sama kita saling mengingati sebagaimana perintah Allah S.W.T dalam surah Al-Asr dan turut mengajak saudara seagama kita untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim agar dapat bertemu lagi di syurga Allah S.W.T di akhirat kelak. Sentiasalah berdoa berusaha, beristiqamah dan bertawakkal kepada Allah S.W.T. - HARAKAHDAILY 27/5/2019

SEBELUM kita memahami latar cerita fasa kejatuhan Abbasiah melalui serangan Bangsa Monggol, kita imbau seketika latar cerita secara umum Era Khilafah Bani Abbasiah.
 
Pengasasan Kerajaan Abbas As-Saffah
 
Bani Abbasiah memerintah selama lebih 500 tahun atau secara tepatnya selama 524 tahun dibawah 34 orang khalifah(132H - 656H | 750M - 1258M).  Kerajaan Bani Abbasiah selepas persengketaan panjang dengan Bani Umayyah memangkinkan ke arah penubuhan Kerajaan Monarki kedua dalam Islam yang diasaskan oleh Abu Abbas As Saffah (132 - 136H/ 750 -754M). Naiknya Abu Abbas dengan misi menghapuskan saki baki Kerajaan Bani Umayyah yang pada ketika itu dipimpin oleh Khalifah Marwan II pada tahun 750M. 
 
Dengan dibantu oleh golongan Syiah dan penduduk Khurasan, As Saffah melancarkan pemberontakan hingga menubuhkan dinasti baru di bumi Damsyik. Mengapa Abbas begitu memusuhi Umayyah? Ada yang menyebutkan ia merupakan refleksi daripada permusuhan tradisi antara Bani Hashim dan Bani Umayyah sejak jahiliah lagi. Para penyair dan pegawai istana pula sentiasa memarakkan lagi pertembungan perkauman ini dengan bahasa lunak mereka. 
 
Ditambah pula dengan kekejaman dan penindasan berterusan oleh pemimpin Bani Umayyah terhadap golongan Bani Abbasiah menambah kesumat mereka. Menyebabkan, apabila Abu Abbas As-Saffah menaiki takhta pemerintahan, dilakukan beberapa siri membalas dendam yang dahsyat. 
 
Abdullah Ibrahim, bapa saudara As-Saffah mebunuh 300 orang Bani Umayyah hanya selepas 3 bulan As-Saffah memerintah. Yazid bin Muawiyah bin Abdul Malik dan Abdul Jabbar bin Yazid bin Abdul Malik dan 70 orang yang lain dibunuh dalam satu majlis. Begitu juga As-Saffah menjemput keluarga Umayyah ke majlis keramaian, lalu mereka dibunuh dalam majlis tersebut. Abdul Rahman Ad Dakhil, antara kerabat Umayyah yang Berjaya menyelamatkan diri lalu melarikan diri ke bumi Andalus.
 
Semua ini bertujuan menghapuskan segala kemungkinan pemberontakan yang bakal berlaku sekiranya pesaing-pesaing tidak dihapuskan. As-Saffah, hanya sempat memerintah selama 4 tahun apabila beliau meninggal pada tahun 136H dan digantikan dengan Khalifah Abu Jaafar Al Mansur (136 – 158H / 754 – 775M).
 
Secara umum, pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiah, terbahagi kepada beberapa fasa:
 
Fasa  pertama: Era kemajuan dan kejayaan pemerintahan (132 - 232H) - Khalifah Abu Abbas As Sifah hingga Khalifah Al Wathiq Billah Harun 
 
Fasa  kedua: Era dominasi dan hegemoni Kesultanan Mamalik Turki (232H- 334H) - Khalifah Al Mutawakkil Alallah Jafar hingga Khalifah Al Mustakfi Billah
 
Fasa  ketiga: Era dominasi dan hegemoni Kesultanan Bani Buwaihi (334 - 467H) - Khalifah Al Mutiullah hingga Khalifah Al Qaim biAmrillah
 
Fasa  keempat: Era pemerintahan Kesultanan Bani Saljuk (467H - 530H) - Khalifah Al Muqtadi biAmrillah hingga Khalifah Ar Rashid Billah
 
Fasa  kelima: Era perpecahan dan perebutan kuasa (530H - 623H) - Khalifah Al Muqtafi Li Amrillah hingga Khalifah Az Zhahir biAmrillah
 
Fasa  keenam: Era kejatuhan (623H - 656H) - Khalifah Al Mustansir Billah hingga Khalifah Al Mustaksim Billah
 
Fasa  ketuju: Era kebangkitan - Sultan Muzaffar Saifuddin Qutuz (656H - 658H)
 
Adapun fasa selepas (659H - 903H) juga dikatakan masih lagi dalam Era Kerajaan Bani Abbasiah, yang akan dibahaskan seandainya punya waktu.
 
Fokus dalam perkongsian kita hanyalah pada fasa keenam dan ketujuh sahaja. Masih banyak lagi sejarah yang perlu digali bukan? Ayuh kita sama-sama suburkan budaya ini.
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 26/5/2019
 
Rujukan:
Tarikh Khulafa Imam As Suyuti R.H
Sejarah Monggol Dr Ali Asolabi

MAFHUM Firman Allah S.W.T: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 183) 
 
Fadhilatus-Syeikh Darwis Mustafa Hasan dalam kitabnya Haqiqatus-saum menggariskan bahawa hakikat  puasa ialah untuk mencapai ketinggian takwa.  
 
Puasa bukan hanya menahan diri daripada makan minum dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa.  
 
Dan bagi mencapai aspirasi ketakwaan itu, bukan sekadar menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa sahaja, bahkan meliputi pengislahan dan pembinaan diri dengan melaksanakan apa yang diperintah Allah S.W.T dan sekaligus meninggalkan segala larangan-Nya.
 
Untuk mencapai akhlak dan martabat takwa tersebut maka perlulah diamalkan amalan-amalan yang disyari’atkan terutama puasa. Kemudian diikuti dengan qiyamulail, zikrullah, doa, tilawah al-Qur’an, solat sunat tarawih, istighfar,  iktikaf di masjid, infaq, menghidupkan sepuluh malam akhir, mencari lailatul  qadar dan amalan-amalan lain yang disyari’atkan.
 
Puasa mendidik sifat ikhlas (jujur) dan sedar bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat terhadap apa jua yang kita lakukan.
 
Fadhilatus-Syaikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Islam menjelaskan bahawa ibadah puasa adalah antara rukun dalam Islam dan ibadah ini adalah salah satu jalan bagi mencapai hakikat takwa.
 
Bahkan dalam kitab yang sama, Syeikh Said Hawwa telah membuat penjelasan bahawa "takwa itu adalah suatu akhlak yang Allah SWT letakkan atasnya kejayaan bagi Muslim di dunia dan akhirat".
 
Justeru, takwa adalah ibarat buah atau hasil yang diperolehi oleh orang yang berpuasa. Inilah kunci sebenar dan matlamat tertinggi bagi ibadah puasa sepertimana disyariatkan dalam ayat 183 Surah al-Baqarah. 
 
"Islam Memimpin"
 
Disediakan oleh :
Lajnah Penerangan
Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit - HARAKAHDAILY 3/5/2019

SEBAGAIMANA yang kita ketahui, tentera Sultan Soleh (Sultan Najmuddin Ayyub) merupakan golongan hamba yang dijual di pasar Nuhas (Turki). Mereka yang melarikan diri dan terselamat daripada serangan Monggol dijual di situ kepada pihak Istana termasuklah Istana di Mesir. 
 
Sultan Soleh tidak memperlakukan hamba-hamba yang dibeli sebagaimana Raja lain memperlakukan seumpama Tuan dengan budaknya. Bahkan baginda amat mencintai mereka dan melayan mereka seumpama guru dengan murid, bahkan seakan si ayah dengan anak-anaknya. 
 
Bagaimana Sultan Soleh mendidik mereka?
 
Fasa pertama
Sultan akan membeli hamba dalam kalangan usia mereka masih kanak-kanak. Sejak dari mereka kecil hingga baligh ini akan ditempatkan di tempat yang dibina khas seakan asrama untuk mereka. 
Didikan awal kepada mereka adalah Al Quran dan pengetahuan agama. Para Ulamak silih berganti dijemput ke istana untuk mengajar mereka Al Quran, solat, bahasa Arab, menulis dan segala asas yang berkaitan.
Begitu juga Sultan menititk beratkan soal permainan yang diminati untuk mengesan bakat terpendam.
Solat fardhu amat dijaga supaya solat pada awal waktu, diajarkan doa-doa yang ma`thur dan akhlak yang mulia.
Para Ulamak amat disarankan untuk menekankan persoalan keimanan, pergantungan dengan Allah, hakikat penciptaan, keperibadian sebagai hamba Allah dan balasan syurga atau neraka.
 
Fasa kedua
Selepas baligh, mereka akan mula belajar seni berperang dan persenjataan, menunggang kuda dan memanah.
Pada fasa ini, disiplin menjadi semakin ketat. Kesalahan dan sikap yang menyimpang akan dikenakan tindakan yang tegas.
Untuk memastikan latihan menepati piawaian, mereka dibahagikan kepada kelompok-kelompok mengikut kepakaran guru masing-masing.
Walaupun fasa ini diketatkan, namun mereka juga diberi kebebasan untuk mengisi masa dengan aktiviti yang disukai samada dalam aspek permainan, keagamaan, sastera dan lain-lain.
Dalam fasa inilah yang menjadi elemen utama dan terpenting yang menjadikan mereka tentera dan panglima yang handal dan bertaqwa.
 
Fasa ketiga
Disebut sebagai fasa praktikal. Segala apa yang mereka pelajari akan diuji dalam tempoh ini.  Bahkan mereka mula dihantar untuk bertempur di medan peperangan.
Sultan melihat mereka yang berpotensi tinggi, akan dimerdekakan dan diposisikan pada kedudukan yang sesuai. Manakala yang belum kompeten akan terus berada dalam pantauan dan diberi posisi secara dalaman.
 
Sistem Graduasi
Apabila mereka telah tamat latihan, mereka akan dimerdekakan secara beramai-ramai yang turut dihadiri oleh Sultan.
Mereka akan diberi ijazah bersama beberapa keperluan asas seperti senjata, kuda, pakaian dan turut diberikan sebidang tanah.
Mereka yang telah bergraduasi, akan diletakkan dalam satu kumpulan bersama seorang ketua untuk dipantau. Bahkan mereka perlu menyambung pelajaran lagi untuk membolehkan mereka berada pada posisi penting kerajaan dan istana.
 
Bahasa pertuturan
Bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian adalah bahasa Turki, bercampur dengan bahasa Parsi dan bahasa Arab.
Namun begitu, boleh dikatakan hampir tidak ada dalam kalangan mereka yang tidak mahir berbahasa Arab.
 
Inilah elemen yang semakin hilang bahkan ditiadakan dalam latihan ketenteraan. Perajurit selayaknya diluruskan pegangan akidahnya terlebih dahulu dan ajaran ilmu Islam yang mencukupi sebelum diajarkan seni peperangan dan ketenteraan.
 
Carl Brockelman, seorang sarjana Barat dri German menyebutkan:
“Muncullah generasi berikutnya pada era Baybrus (merujuk kepada salah seorang panglima tentera Mamalik didikan Sultan Soleh) yang mirip dengan generasi Khulafak Ar Rashidin dan Sultan Salahuddin Al Ayyubi yang merupakan generasi emas dalam Islam.”
 
MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN - HARAKAHDAILY 1/5/2019