Akta 355 ini hantu ke apa?

Fikrah
Typography

SELEPAS sahaja YB Marang membentangkan huraian usul RUU Persendirian bagi meminda Akta 355, YB Kota Bharu pula bangun menyampaikan ucapan sokongan usul tersebut selama hampir 1 jam 30 minit.

Mungkin ada yang tidak tahu bahawa YB Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan merupakan seorang peguam dan dulunya pernah menjadi Majistret Mahkamah. Datuk Takiyuddin telah membuktikan sebenarnya PAS masih mempunyai tokoh profesional yang tidak kurang hebatnya pasca krisis Muktamar PAS 2015 dulu.

Ucapan beliau semalam ibarat pelengkap kepada Ucapan Tuan Guru Presiden PAS yang menghurai secara dasar mengenai RUU 355.

Penghujahan beliau secara jelas, terang, dan huraian secara teknikal daripada aspek perundangan dan Perlembagaan.

Beliau turut membawa latar belakang sejarah perundangan Islam seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka. Sistem perundangan Islam yang tersusun bermula dengan adanya Mahkamah Balai yang menggunakan sumber hukum syarak iaitu Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka. Mahkamah Syariah hakikatnya telah wujud seawal kurun ke-13 dan ke-14.

Apabila negara dijajah oleh Portugis, Belanda dan British, di peringkat awalnya institusi Mahkamah Syariah tidak terjejas langsung.

Namun, pada tahun 1920 British mula campurtangan terhadap sistem kehakiman di tanah Melayu dengan mewujudkan dua sistem mahkamah iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Adat yang menggunakan Hakim Inggeris.

Seterusnya, Datuk Takiyuddin memetik penghakiman kes Ramah vs Latun pada tahun 1927, dua orang Hakim di Mahkamah Rayuan British berkata "undang-undang Islam bukanlah undang-undang asing bagi negeri ini bahkan ia adalah undang-undang negeri ini 'law of the land'. Oleh sebab itu, undang-undang Islam perlu diberikan pengiktirafan oleh Mahkamah."

Mahkamah Syariah yang pada asalnya Mahkamah di peringkat nasional telah diturunkan tarafnya ke peringkat Negeri sahaja oleh penjajah British. Hal ini menyebabkan Mahkamah Syariah dianggap sebagai mahkamah kelas kedua sahaja.

Datuk Takiyuddin turut merujuk Perkara 74 dan 77 Perlembagaan Persekutuan yang terkandung di dalamnya Jadual Kesembilan mengenai Senarai 1-Persekutuan, Senarai 2-Negeri dan Senarai 3- Bersama.

Butiran 1 Senarai 2- Negeri Jadual Kesembilan adalah mengenai institusi Mahkamah Syariah, undang-undang individu dan keluarga orang Islam. Kuasanya adalah terhad setakat mana yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dakwaan yang mengatakan Akta 355 adalah tidak berpelembagaan adalah salah kerana akta ini mempunyai punca kuasanya dalam Perlembagaan.

Dalam sistem perundangan sivil negara ini, Mahkamah Seksyen dan Majistret punca kuasanya di bawah Akta Mahkamah Rendah 1948 manakala Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Persekutuan punca kuasanya di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Sungguh menarik apabila beliau dengan berpandukan hansard Parlimen yang bertarikh 3 Mac 1965, Akta 355 ini dibawa oleh Tun Abdul Rahman Yaakub, Ahli Parlimen dari Sarawak. Ia dibahaskan oleh seramai enam orang Ahli Parlimen yang kesemuanya Muslim. Ketika itu Lee Kuan Yew berada di dalam Dewan sebagai Ahli Parlimen Singapura dan ahli Parlimen Bukan Islam yang lain tidak pun masuk campur dalam perbahasan Akta 355.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Asri Muda dalam perbahasan ketika itu memohon jaminan Kerajaan adakah had sekatan bagi hukuman maksimum Mahkamah Syariah itu adalah mutlak dan tidak boleh dipinda pada masa depan.?

Lalu, Tun Abdul Rahman Yaakub yang menjadi Menteri membawa usul akta tersebut menjawab, bahawa Kerajaan memberi jaminan had sekatan boleh dipinda kerana Parlimen boleh membuat, mengubah, meminda dan memansuhkan undang-undang. Kalau di masa akan datang Parlimen berfikir hukuman di dalam klausa tersebut tidak mencukupi, ia boleh diubah.

Pada tahun 1984 pula, pindaan Akta 355 ini dibawa oleh Timbalan Menteri JPM, Datuk Dr Yusof Nor dan disokong oleh Timbalan Menteri KDN, Datuk Radzi Syeikh Ahmad. Akta 355 dibahas selama 10 hari pada 10, 11 dan 12 Oktober 1984.

Terdapat 10 orang yang berbahas, kesemuanya Ahli Parlimen Muslim.

Ketika itu ada YB Dr Chen Man Hin (DAP Seremban), YB Dr Tan Seng Giaw (DAP Kepong), YB Karpal Sing (Jelutong), YB Lim Kit Siang (DAP Kota Melaka).

Ketika itu, tidak ada pula Ahli Parlimen Bukan Islam yang bangun berbahas apatah lagi menentang Akta 355.

Setelah ia diluluskan oleh Dewan Rakyat, pindaan Akta 355 ini dibawa ke Dewan Negara pada 19 Disember 1984. Ia dicadang oleh Timbalan Menteri KDN, Datuk Radzi Syeikh Ahmad dan disokong oleh Menteri Kehakiman, Datuk Dr James P. Ongkili yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Sabah.

Sepertimana yang telah dinyatakan oleh Tan Sri Speaker ketika diasak oleh Ahli Parlimen PH, Datuk Takiyuddin menegaskan sekali lagi bahawa ketika Akta 355 ini digubal pada tahun 1965 dan dipinda pada tahun 1984 dan 1989, ia tidak pun melalui Majlis Raja-Raja.

Seterusnya, Datuk Takiyuddin menyatakan Akta 355 ini sudah 33 tahun tidak dipinda, ia seperti sudah lapuk dan tidak sesuai dengan keadaan semasa.

Akta Keadilan Jenayah 1953 dengan pindaan 2007 telah mendefinisikan penjara seumur hidup ialah 30 tahun berbanding sebelum itu 20 tahun.

Hukuman tertinggi di Malaysia ialah hukuman mati, maka penjara seumur hidup adalah hukuman kedua tertinggi selepasnya.

Pindaan Akta 355 tahun 2017 ini mencadangkan 30 tahun sebagai had maksimum, terpulanglah kepada negeri-negeri untuk meletakkan kadarnya selagi tidak melebihi had maksimum yang ditetapkan.

Dalam Kanun Keseksaan, Seksyen 377 B kesalahan bagi sumbang mahram, hukumannya ialah minima 10 tahun sehingga maksima 30 tahun, manakala seksyen 377 C kesalahan seks dengan objek, hukumannya minima 5 tahun sehingga maksima 30 tahun.

Jadi, apa yang peliknya dengan cadangan pindaan 30 tahun bagi Akta 355 ini.?

Rasional cadangan denda sebanyak RM 100,000 pula ialah had maksima yang boleh ditentukan kadarnya nanti oleh negeri mengikut jenis kesalahan.

Hukuman 100 sebat Syarie pula jauh lebih baik dan ia lebih ringan berbanding 1 kali hukuman sebat sivil.

Pindaan Akta 355 ini sekiranya diluluskan kelak ia tidaklah membawa makna secara automatik akan berubah had maksima di peringkat enakmen syariah di negeri-negeri. Ia bukanlah wajib dan negeri berhak untuk memilih sama ada mahu buat pindaan atau kekal dengan bidang kuasa 3 tahun penjara, denda RM 5000 dan 6 sebatan sedia ada.

Datuk Takiyuddin turut menceritakan mengenai hak orang bukan Islam yang terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan PAS di Kelantan. Mereka tetap boleh minum arak bahkan rumah ibadat orang bukan Islam tetap boleh dibina. Buktinya di Kelantan ada sleeping Buddha, standing Buddha, sitting Buddha, kuil Hindu di dalam Bandar Kota Bharu, Gereja Kristian ada di hadapan Pejabat MB Kelantan.

Walaupun usul ini belum sempat dibahaskan, tetapi terdapat 18 orang Ahli Parlimen yang bangun membuat pencelahan ketika ucapan sokongan usul oleh YB Kota Bharu, Mereka ialah Ahli Parlimen PAS Temerloh, Ahli Parlimen PAN Sepang, Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Ahli Parlimen BN Rompin, Ahli Parlimen BN Kota Tinggi, Ahli Parlimen BN Jerantut, Ahli Parlimen BN Bagan Serai, Ahli Parlimen BN Setiu, Ahli Parlimen PAS Bukit Gantang, Ahli Parlimen Warisan Penampang, Ahli Parlimen PAN Shah Alam, Ahli Parlimen BN Tebrau, Ahli Parlimen BN Gerik, Ahli Parlimen BN Sekijang, Ahli Parlimen PAS Bachok, Ahli Parlimen BN Lenggong dan Ahli Parlimen BN Alor Gajah.

Benar seperti kata Datuk Takiyuddin, mereka yang begitu takut dengan Akta 355 ini seperti takut hantu. Mereka tidak tahu pun mengenai Akta 355 iseperti mana yang takut kepada hantu yang kita tidak tahu bagaimana rupanya? – HARAKAHDAILY 8/4/2017

Penulis ialah Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS