Materialism: Plot kesesatan manusia

Fikrah
Typography

MATERIALSM dan kebendaan

Sebelum ini saya ada menulis tentang Liberal selaras dengan peringatan daripada Hadis Nabi S.A.W [1]. Di dalam artikel tersebut saya ada menceritakan sedikit tentang Materialism. Di dalam artikel ini insya Allah saya akan tambah sikit huraiannya dengan dikaitkan dengan kehidupan seharian dan realiti plot penceritaan sejarah yang panjang.

Materialism adalah satu pemikiran yang mengukur segala-galanya dengan ukuran jirim. Para materialis menganggap bahawa perkara yang benar-benar ada, adalah material. Mereka menganggap semua kewujudan ini adalah material semata-mata. Kewujudan material ini mempunyai difahami dengan kewujudan objeknya tersendiri, iaitu terasing daripada pemikiran dan gambaran dalam minda, berbeza dengan imaginasi.

Maka, dengan ini Materialism dengan mudahnya menolak kewujudan Allah S.W.T. Suasana, warisan, kaedah fizik, kehidupan berpolitik, kemasyarakatan, ekonomi secara khusus dan sebagainya merupakan faktor yang dianggap memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tiada sebarang ruang untuk memilih dan bebas daripada kesan-kesan secara fizikal itu.

Secara mudahnya Materialism adalah fikiran kebendaan. Semuanya diukur dengan kebendaan. Kemewahan, kejayaan, keuntungan, kemenangan, kekalahan dan segalanya dilihat dari aspek kebendaan. Melihat kebendaan itu adalah segala-galanya. Bahkan kejayaan seseorang dan kesihatan seseorang juga diukur dari sudut kebendaan.

Iblis dan penyakit Materialism

Sepertimana artikel sebelum ini [1] Iblis berhujah dengan Allah S.W.T ketika mula dijangkiti Liberalism. Iblis berhujah dengan hujah material, sebab mengapa dia enggan sujud kepada Nabi Adam A.S. Iblis mengatakan bahawa fizikalnya dicipta daripada api, manakala fizikal Nabi Adam A.S dicipta daripada tanah. Lalu Iblis menyimpulkan bahawa api itu lebih mulia daripada tanah [2].

Perlu faham bahawa berhujah dengan fizikal itu antara bentuk hujah golongan materialis. Membandingkan seseorang itu dari segi asal usul fizikalnya. Lantas disebabkan fahaman sedemikian, Iblis jatuh kafir. Kekufurannya itu disebabkan fahamannya untuk bebas (Liberal) tidak terikat dengan arahan Allah S.W.T, setelah mana melihat fizikal dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam A.S.

Berdasarkan kisah ini, kita harus berbincang tentang erti sebenar kekufuran. Kekufuran Iblis disebabkan Liberal dan kesombongannya yang lahir daripada sikap melihat kepada fizikal semata-mata. Iblis berhujah dengan rasionalnya semata-mata, apabila mengatakan bahawa material api itu lebih mulia, sedangkan apa justifikasinya keabsahan hujah tersebut?

Kalau dilihat dari sudut manfaat, tanah lebih bermanfaat. Bahkan tanah (pasir) boleh memadamkan api, sedangkan api tak mampu membakar tanah. Begitu jugalah apabila ada yang berhujah orang kaya lebih mulia daripada orang miskin. Tiada sebarang justifikasi terhadap kemuliaan material kekayaan tersebut.

Bangsa terdahulu meneruskan legasi Materialism

Material atau kebendaan hakikatnya menjadi penyakit bangsa terdahulu apabila mereka seolah-olah meneruskan idealogi Iblis. Di dalam al-Quran banyak menceritakan bahawa bangsa-bangsa terdahulu dimusnahkan kerana Materialism yang terpahat di benak pemikiran mereka. Materialism yang dimaksudkan ialah penyembahan berhala yang diperbuat daripada batu.

Batu disifatkan dengan keras, teguh dan tidak mudah untuk dihancurkan. Lalu mereka jadikan patung berhala yang terbina daripada material yang paling kukuh ini. Sekalipun ketika zaman penyembahan berhala itu sudah wujudnya besi, namun mereka tidak bina patung mereka daripada besi kerana besi boleh dicairkan dengan api. Mungkin inilah sebab sembahan terdahulu lebih banyak dibina daripada batu.

Sejarah penyembahan berhala (Materialism) yang agak kritikal diceritakan oleh Allah S.W.T berlaku pada zaman Nabi Nuh A.S, kemudian bangsa itu dimusnahkan dalam banjir besar [3]. Idealogi sesat mereka itu disambung oleh Bangsa Aad, yang telah membina tamadun batu yang hebat sepertimana firman Allah S.W.T:

إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ

"Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya)"

(al: Fajr 7)

Tamadun yang hebat ini tetap menyembah berhala. Lalu bangsa Materialism ini dikambus oleh Allah S.W.T dengan ribut pasir [4]. Seterusnya muncul Kaum Thamud meneruskan idealogi Materialism tersebut dengan mengukir bukit dan gunung menjadi bangunan-bangunan yang hebat [5]. Lalu untuk berhujah dengan golongan materialis zaman tersebut, Allah S.W.T memberikan mukjizat kepada Nabi Soleh A.S iaitu unta keluar dari batu yang merupakan material sembahan mereka [6].

Materialism penyakit ideologi Kaum Thamud

Kaum Thamud dikenali dengan kepakaran arkitek dan ahli geologi. Mereka tahu kepadatan batu, kekerasan serta kekuatannya. Lalu dengan mukjizat unta keluar dari batu, menyangkal serta merta hujah mereka menyembah batu. Namun, mereka berkeras menolak seruan Nabi Soleh A.S, disebabkan kekerasan hati mereka untuk meliberalkan diri daripada ketetapan Nabi Soleh A.S yang menyuruh menyembah Allah, Tuhan yang bukan material.

Ketebalan Materialism mereka membuatkan mereka enggan percaya dengan Tuhan yang bukan material sekalipun mereka lihat unta keluar daripada batu, yang tak boleh ditafsirkan rasional materialis. Lantas membuatkan mereka mencabar Kuasa Allah dengan menyembelih unta tersebut. Akhirnya mereka dimusnahkan oleh Allah S.W.T dengan bunyi berupa gelombang yang "tidak boleh dilihat", kemudian disusuli dengan gempa bumi:

وَأَخَذَ ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ ٱلصَّیۡحَةُ فَأَصۡبَحُوا۟ فِی دِیَـٰرِهِمۡ جَـٰثِمِینَ

"Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing."

(Hud: 67)

Gelombang bunyi ini tidak dapat diukur oleh fizik ketika itu. Lantas gelombang yang tidak terlihat dengan mata ini disusuli gempa bumi yang kuat, menghancurkan tubuh badan mereka. Bandar-bandar material yang mereka ukir daripada bukit dan gunung itu dikekalkan oleh Allah S.W.T sebagai pengajaran untuk umat hari ini supaya berwaspada dengan penyakit materialism.

Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan Atheism Materialism

Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan golongan Materialism yang beraqidahkan Athaeism. Iaitu pemikiran yang menolak kewujudan alam ghaib, juga merupakan "perencah penyedap" bagi Materialism. Kisah Nabi Ibrahim A.S berhadapan dengan Namrud dengan disertakan hujah yang tidak mampu dipatahkan oleh mereka.

Namrud yang merupakan Raja yang paling berkuasa di zaman itu berpusat di Babylon. Babylon merupakan tapak asal kaum Nabi Nuh A.S sebelum banjir besar. Babylon bangkit dengan peradaban yang padat dengan Materialism, apabila membina patung-patung berhala untuk disembah dan dijadikan "bussiness".

Namrud seorang Atheism langsung tidak mempercayai kewujudan Tuhan, melainkan dia sendiri mengaku sebagai tuhan. Antara hujah Nabi Ibrahim A.S ketika berdialog dengan golongan Materilism:

قَالَ أَتَعْبُدُونَ مَا تَنْحِتُونَ (٩٥) وَاللَّـهُ خَلَقَكُمْ وَمَا تَعْمَلُونَ (٩٦)

"(Bagi menjawab bantahan mereka), ia berkata: "Patutkah kamu menyembah benda-benda yang kamu sendiri pahat? "Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu buat itu!"

( al-Saffat: 95-96)

Di dalam ayat yang lain, Allah S.W.T menceritakan setelah mana Nabi Ibrahim A.S didapati bersalah memusnah satu berhala. Lalu apabila ditanya tentang kesalahan tersebut, Baginda A.S menyuruh mereka bertanya kepada patung yang besar. Setelah itu:

ثُمَّ نُكِسُوا۟ عَلَىٰ رُءُوسِهِمۡ لَقَدۡ عَلِمۡتَ مَا هَـٰۤؤُلَاۤءِ یَنطِقُونَ

"Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: "Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka betapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?"

(al-Anbiya: 65)

قَالَ أَفَتَعۡبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا یَنفَعُكُمۡ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَضُرُّكُمۡ

"Nabi Ibrahim berkata: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu?"

(al-Anbiya: 66)

Polytheism Materialism Zaman Jahiliyyah

Materialism masyarakat Jahiliyyah ketika kedatangan Nabi Muhammad S.A.W agak berbeza dengan kaum Nabi Ibrahim A.S. Masyarakat Jahiliyyah berfahaman Polytheism Materialism yang beriman dengan kewujudan banyak tuhan. Diceritakan melalui firman Allah S.W.T:

وَٱلَّذِینَ ٱتَّخَذُوا۟ مِن دُونِهِۦۤ أَوۡلِیَاۤءَ مَا نَعۡبُدُهُمۡ إِلَّا لِیُقَرِّبُونَاۤ إِلَى ٱللَّهِ زُلۡفَىٰۤ

"Dan orang-orang Musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): "Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya"."

(az-Zumar: 3)

Di zaman Jahiliyyah juga, menyaksikan bahawa telah berlakunya perubahan kepada dunia Materialism, apabila batu semakin kurang dijadikan tumpuan pengabdian. Antaranya kita boleh lihat apabila mereka bergiat dalam dunia perniagaan yang terikat dengan keuntungan mata wang. Mata wang mula mengalih pandangan daripada material batu, ke arah wang.

Mereka ketika itu masih mengekalkan penyembahan berhala, tetapi sebahagiannya menjadikan berhala sebagai perniagaan yang komersial. Apatah lagi patung pertama yang dibawa masuk diberi nama Hubal, juga dibeli dari Syam [7]. Bahkan perniagaan patung ini menguntungkan pembesar Makkah di zaman Jahiliyyah. Justeru, penyembahan mereka tertumpu kepada dua jenis material, iaitu batu, emas atau perak.

Materialism mengubah kiblat sembahan

Tidak dinafikan, emas sebenarnya sudah lama menjadi simbol kekayaan, antaranya sejak zaman Nabi Musa A.S [8]. Bahkan kekayaan Qarun juga dalam bentuk emas. Cuma ketika itu ia tidak dijadikan sebagai simbol penyembahan atau pengabdian. Ia belum digunakan secara komersial sebagai mata wang untuk perniagaan dan simbol keuntungan.

Dalam sejarah mata wang, dikatakan bermula sejak 11 sebelum Masihi dengan pelbagai material, termasuk emas dan perak. Kemudian berkembang ke Wilayah-wilayah Empayar Byzantium dan Empayar Sasan. Mata wang ini kemudiannya digunakan oleh orang Arab Makkah dan Madinah pada kurun keenam dan ketujuh Masihi. Bahkan penggunaan kedua-dua material yang sudah sedia ada ini diperakui oleh Rasulullah S.A.W.

Penggunaan syiling daripada pelbagai material mula berubah kepada duit kertas pada 618 M, namun emas dan perak kekal sebagai tangga teratas dalam dunia perniagaan. Penyembahan batu masih berterusan sekalipun ada material yang baru, yang lebih sesuai untuk diabdikan. Sebilangan kepercayaan masih meneruskan penyembahannya bukan disebabkan material batu itu, akan tetapi jelmaan-jelmaan pada patung itu.

Sebab itulah kita dengar ada patung yang diperbuat dengan gandum di zaman Jahiliyyah. Masyarakat mula mengalih pengabdian Materialism mereka ke arah mata wang. Ketika itu ia dikuasai oleh emas dan perak, maka golongan Materialism akan melihat bahawa kedua-dua ini adalah segala-galanya dalam hidup manusia. Bentuk penyembahan juga mengalami evolusi sedikit demi sedikit khususnya oleh materialis.

Cara sembahan patung berhala dengan bersujud atau sewaktu dengannya, dikekalkan oleh agama-agama kuno seperti Buddha dan Hindu. Golongan materialis tidak menyembah emas dan perak dengan kaedah sedemikian, akan tetapi melalui cara yang lebih ekslusif sepertimana Qarun, iaitu menjadikan emas sebagai perkakas seperti pinggan mangkuk dan perhiasan seperti gelang dan rantai.

Lalu Islam datang menggazetkan hukum emas dan perak secara khusus. Apatah lagi kedua-dua material ini digunakan dalam perniagaan dan muamalat. Setelah berlakunya peralihan zaman, mata wang semakin menjadi tumpuan pengabdian golongan materialis, sehinggalah ia dianggap segala-galanya.

Ke arah pengabdian duit kertas

Di zaman moden, pengabdian terhadap Materialism oleh golongan material dilihat melalui keghairahan mereka mengumpul kekayaan dunia. Kekayaan dunia dianggap sebagai kebendaan (material) yang mampu memberikan segala-galanya. Sebab itulah tidak pelik kalau bangsa terdahulu selain daripada menyembah berhala, mereka berperang untuk meluaskan empayar bagi menguasai kekayaan.

Kaedah kekayaan seperti ini diteruskan oleh golongan materialis hari ini. Berbeza dengan penyembahan batu oleh golongan materialis terdahulu yang tidak lagi diteruskan. Ini kerana mata wang lebih rasional untuk disembah, kerana mata wang mampu berikan segala-galanya pada hari ini. Mata wang digunakan untuk menguasai seseorang melalui rasuah, membeli rumah yang besar sebagai simbol kesenangan dan keselesaan, dan sebagainya.

Pada 1910 agenda Yahudi ke arah menguasai ekonomi dunia dengan mengkomersialkan duit kertas, walaupun hakikatnya ia telah wujud sejak 618 Masihi lagi. Pada 1944, muncul pula Perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Hasil daripada agenda ini, akhirnya masyarakat dunia semakin "tidak perasan" dengan emas. Mereka lebih berpandukan kepada duit kertas. Justeru golongan Materialism ada yang mengubah hala sembahan mereka daripada memungut kekayaan emas, kepada kekayaan mata wang kertas. Kekayaan wang kertas adalah segala-galanya bagi mereka, berbeza dengan golongan terdahulu yang menganggap batu segala-galanya. Sedangkan duit kertas itu hakikatnya tiada nilai.

Realiti Materialism hari ini lebih rencam

Sejarah Materialism yang panjang ini menyaksikan realiti pada hari ini yang lebih rencam. Apabila manusia sudah lali dengan racun Materialism, mereka seolah-olah "terlupa" hari kematian, sekalipun dalam Islam memperingatkan tentang kematian saban hari. Kegelojohan merebut kekayaan sudah menjadi pengabdian bagi manusia. Keselesaan keluarga diukur dengan besarnya rumah, dan hebatnya kereta.

Ketamadunan sesebuah negara pula diukur dengan "sumber kekayaan", pelaburan, binaan bangunan yang tinggi. Semakin hilang elemen agama yang menekankan aspek akhlak dan aqidah, yang mana kayu ukurnya tidak ternampak oleh mata. Manusia semakin tidak menitik beratkan soal akhlak dan aqidah, asalkan duit banyak itulah segala-galanya.

Maka, jenayah yang berlaku dijustifikasikan lebih kepada bab duit. Apabila berlakunya isu rasuah, pakat bangkit. Tetapi apabila munculnya isu murtad, ramai yang senyap. Mode ini dimainkan dengan isu 1MDB apabila ramai yang terkesan bahkan membelakangi kaedah pensabitan kesalahan dalam Islam. Islam menetapkan bahawa tidak bersalah selagi tidak terbukti bersalah.

Namun disebabkan wabak Materialism yang agak tebal, menyebabkan 1MDB seolah-olah dihukum sebelum dibicarakan di mahkamah. Ini sebagai salah satu contoh. Apabila berlakunya isu sumbang mahram, LGBT berleluasa, pencabulan hak umat Islam, dan sebagainya kelihatan seperti tidak panas berbanding isu korupsi. Dosa pahala dipandang sepi kerana tidak terlihat oleh mata menyebabkan kerja Islam tidak "laris", manakala maksiat semakin berleluasa. Inilah penyakit materialism.

[1] https://www.facebook.com/137880893051644/posts/1260800544093001/

[2] Surah al A'raf 12

[3] Surah Hud 42 dan 43

[4] Surah al Haqqah 6

[5] Surah al A'raf 74

[6] Surah al A'raf 73

[7] Muqaddimah Kitab ar Rahiq al Makhtum

[8] Surah Zukhruf 53 - HARAKAHDAILY 1/10/2019