Iran: Sengketa Amerika dan isu serangan terbaru

Fikrah
Typography

AMERIKA bimbang dengan Iran

1983 Amerika telah mengisytiharkan 7 buah negara yang merupakan markas keganasan, salah satunya ialah Iran. Pengisytiharan tersebut bertujuan mencetuskan agenda Islamophobia setelah mereka dapat menghidu kebangkitan Islam pada era 70-an dan 80-an.

Ini kerana pada 1979 berlakunya Revolusi Iran dan Amerika menjangkakan kebangkitan itu akan merebak ke beberapa buah negara lagi. Justeru, pengisytiharan 7 negara tersebut (5 daripadanya negara Islam) bertujuan membendung kebangkitan ini.

Selain itu, tindakan pantas yang mereka lakukan bagi membendung kebangkitan Islam antaranya pada 1983 ialah Pemetaan Semula Asia Barat (New Middle East) yang diarkitekkan oleh Bernad Lewis, yang beroperasi hingga ke hari ini.

Permulaan yang berkrisis

Di awal Revolusi Iran berlakunya krisis penawanan 52 diplomat Amerika Syarikat di Iran pada 1979-1981. Krisis selama 444 hari ini merupakan permulaan Kerajaan Iran Baru mencabar Amerika. Tambahan pula Khomeini mengatakan Amerika sebagai "syaitan besar".

Setelah memikirkan strategi untuk berhadapan dengan Iran, Amerika cuba mempergunakan Iraq (secara sementara) untuk cetuskan konflik mazhab dan bangsa. Berlakukan perang Iraq dan Iran antara 1980 hingga 1988 bertempat di Teluk Persian. Perang ini diakhiri dengan gencatan senjata hasil campurtangan PBB.

Perang mazhab ini hanya merugikan Ummat Islam dengan jumlah kematian melebihi 800,000 orang termasuk orang awam yang tidak bersalah. 1990 dan 1991 Perang Teluk Persia antara geng Amerika bertembung dengan geng Iraq menyaksikan Iran bersifat neutral dan membenarkan kapal Iraq melintasi ruang udaranya .

11 September 2001 hingga 2015

Dalam peristiwa 11 September 2001, Iran bersama Amerika memerangi keganasan. Namun setahun kemudian, Iran, Iraq dan Korea Utara dikatakan sebagai paksi keganasan yang masih aktif oleh Amerika. Setelah itu Iran menghentikan bantuannya.

Tahun 2003 Amerika sekali lagi menuduh Iran terlibat melatih pengganas Iraq untuk membina bom. Iran menafikannya. Dalam krisis pemberontakan di Yaman, Iran menyebelahi pemberontak menentang Arab Saudi yang merupakan rakan Amerika.

Pada 2005 Ahamdi Nejad memerintah Iran membuatkan Amerika tak senang duduk. Lalu mereka menghantar virus untuk merosakkan alat centrifuge milik Iran. Pada 2009 pencalonan semula beliau sebagai Presiden.

Pada 2015, hasil rundingan dengan Barrack Obama Presiden Amerika bersepakat dalam Perjanjian Nuklear. Namun pada zaman Donald Trump, beliau memutuskan untuk keluar daripada perjanjian tersebut, entah apa strateginya.

Konflik yang menguntungkan Iran

Apa yang disenaraikan sebelum ini ialah kronologi antara Iran dan Amerika sepanjang zaman. Namun, di sana wujudnya konflik sejak 2015 yang dicetuskan oleh Arab Saudi di Yaman akhirnya kelihatan makan diri. Dalam konflik ini yang mendapat untung ialah Rusia dan Iran.

Arab Saudi dikecam kerana ramai rakyat Yaman mati, berhadapan krisis kebuluran dan lain-lain akibat konflik ini. Hubungan Saudi dan UAE semakin nampak kepentingan mereka di Yaman tak sama, dan ia berpotensi menjejaskan hubungan dan kelihatan mula meretak.

Houthi di Yaman pula secara terbuka menzahirkan keakrabannya dengan Iran, dan ia mendapat sambutan yang baik. Bahkan, hasil konflik ini menguntungkan Iran apabila menambah lokasi geopolitiknya di kawasan Houthi yang agak strategik.

Bahkan sejak konflik 2015, selain Yaman, Iran dapat menambah lokasi geopolitiknya di Selatan Lubnan, Gaza dan Syria. Manakala Arab Saudi pula semakin bertambah krisis dengan Yaman, dan UAE sendiri.

Iran menghantar mesej

Sabtu 14 September 2019 menyaksikan serangan terhadap dua loji minyak Arab Saudi. Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu. Manakala pengumuman Kementerian Pertahanan Arab Saudi bahawa serangan ke atas loji minyak mereka dilancarkan oleh Iran.

Perbincangan hangat sedang berlaku. Amerika dan Arab Saudi macam biasa, mengutuk serangan tersebut dan menuduh Iran sebagai dalangnya kerana bukti-bukti yang diperolehi. Manaka Iran pula, macam biasa menafikan serangan itu.

Melihat kepada situasi sekarang, tiada pihak yang berani nak perang. Cuma berani tunjuk muka di media sahaja, termasuk Donald Trump yang mengatakan kesediaan untuk bertindak. Hakikatnya Amerika sedang "keseorangan". UAE tak mahu terlibat, manakala Arab Saudi mengharap kepada Amerika.

Antara logik kenapa Iran "cari pasal" dengan Arab Saudi ialah menghantar mesej bahawa sekiranya berperang, fasiliti minyak Arab Saudi mudah diserang. Apatah lagi mereka ada proksi bersebelahan Arab Saudi, iaitu di Yaman yang diperolehi hasil konflik yang dicetuskan oleh Arab Saudi juga. Dengan kelebihan ini, "timing" serangan yang dibuat oleh Iran agak tepat.

- MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 24/9/2019