Dogmatism: Penyakit bangsa terdahulu

Fikrah
Typography

BUTA terhadap sesuatu

Secara mudahnya, Dogmatism adalah penyakit taksub. Cuma tafsirannya lebih detail apabila ketaksuban tersebut berada di paras kritikal, iaitu sekalipun seseorang yang dijangkiti penyakit ini menemui bukti kesilapannya, dia masih lagi berkeras untuk mempertahankannya. Bahkan berusaha sedaya upaya untuk menentang bukti tersebut

Taksub di dalam Bahasa Arab berasal daripada perkataan assabiyyah. Ia pernah diingatkan oleh Baginda S.A.W;

أن تعين قومك على الظلم

"Kamu membantu kaum kamu di atas dasar kezaliman."

Di dalam banyak huraian Dogmatism lebih menjurus kepada keyakinan seseorang terhadap sesuatu idea, yang tidak boleh dipersoalkan atau dirunding langsung. Ada juga yang menganggap Dogmatism itu sebagai "buta terhadap sesuatu".

Sekiranya Dogmatism itu diukur dengan keteguhan berprinsip selaras dengan agama, tiada masalah. Insya Allah akan dihuraikan selepas ini. Namun sekiranya ia ditafsirkan dari sudut ketaksuban terhadap kebatilan, ia satu perkara yang mendukacitakan.

Dogmatism dan kesilauan (الانبهار)

Kesilauan diumpamakan sebagai seseorang yang taksub dengan kebaikan si fulan, sehingga tidak nampak kebaikan orang lain. Perkara ini pernah diingatkan oleh para Ulamak gerakan. Ini kerana penyakit silau ini pernah terjadi di kalangan ummat Islam sehingga menyumbang kepada kejatuhan Uthmaniyyah.

Agenda British ketika itu ialah "programing" untuk menaikkan Mustafa Kamal sebagai figure utama dalam kerajaan Uthmaniyyah. Perang olok-olok didramakan untuk memenangkan beliau, Seterusnya melonjakkan namanya.

Masyarakat Turki mula silau sehingga akhirnya mereka lebih suka pendekatan modenisasi Mustafa Kamal berbanding khalifah. Kesudahannnya Khilafah Uthmaniyyah lenyap dari peta dunia akibat penyakit silau.

Selain daripada kesilauan, ada satu lagi elemen yang banyak merosakkan ahli gerakan Islam. Tercampak dari landasan asal, disebabkan "intima' syakhsi". Iaitu menggabungkan diri dengan gerakan Islam kerana individu-individu tertentu bukan kerana Islam.

Dogmatism golongan terdahulu

Dogmatism dianggap sebagai satu penyakit tidak menerima hujah orang lain, sekalipun dia sendiri tidak punya apa-apa fakta untuk berpegang dengan ideanya. Perkara ini pernah terjadi pada ummat ummat terdahulu yang telah pun dimusnahkan oleh Allah S.W.T disebabkan kedegilan mereka menerima kebenaran.

Dogmatism golongan terdahulu yang disebutkan di dalam al Quran ialah disebabkan taklid yang buta. Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا قِیلَ لَهُمُ ٱتَّبِعُوا۟ مَاۤ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُوا۟ بَلۡ نَتَّبِعُ مَاۤ أَلۡفَیۡنَا عَلَیۡهِ ءَابَاۤءَنَاۤۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَاۤؤُهُمۡ لَا یَعۡقِلُونَ شَیۡـࣰٔا وَلَا یَهۡتَدُونَ

"Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?"

(al-Baqarah : 170)

Di dalam al Quran, Allah S.W.T menolak golongan kafir yang berpenyakit Dogmatism;

وَإِن كُنتُمۡ فِی رَیۡبࣲ مِّمَّا نَزَّلۡنَا عَلَىٰ عَبۡدِنَا فَأۡتُوا۟ بِسُورَةࣲ مِّن مِّثۡلِهِۦ وَٱدۡعُوا۟ شُهَدَاۤءَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِینَ

"Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar."

(al-Baqarah : 23)

Dogmatism mereka ialah kekerasan mereka untuk tidak menerima dakwah Nabi Muhammad S.A.W sekalipun mereka telah melihat hujah al Quran dan kemukjizatannya. Lalu Allah S.W.T mencabar sekiranya mereka masih ragu, ciptalah surah semisal dengan al Quran.

Islam tidak mengajar berdogma

Beberapa sarjana Barat ada yang mengukur keagamaan itu satu dogma yang bersifat ketaksuban. Lalu lahirlah pelampauan (ekstremism). Antaranya Thomas Jefferson 1816 menyatakan;

"Dogma beragama yang terkeluar daripada prinsip moral, semua manusia sejak awalnya hingga ke hari ini bergaduh, berkelahi, membakar dan menyeksa antara satu sama lain dengan sebab yang tidak boleh difahami oleh diri mereka sendiri dan juga yang lain. Sesungguhnya ia tidak dapat dilangkaui atau difahami oleh pemikiran manusia biasa"

Apabila kita meneliti sejarah zaman kegelapan Eropah, memang kita melihat situasi ini secara realiti. Tetapi apabila kita melihat kaedah Islam, sangat berbeza dengan Dogmatism.

Banyak ayat al-Quran dan Hadis yang menyuruh supaya tidak bertaqlid buta, tidak taksub kepada kebatilan, menggunakan akal untuk berhujah, menolak sophism yang berhujah untuk meragui dan banyak lagi. Segalanya menunjukkan bahawa Islam itu tidak mengajar penganutnya untuk berdogma.

Walaupun ada yang mengukur Dogmatism itu sebagai berprinsip keagamaan, Islam meletakkan keperluan "faham" dalam beragama. Antaranya;

قُلۡ هَـٰذِهِۦ سَبِیلِیۤ أَدۡعُوۤا۟ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِیرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِیۖ وَسُبۡحَـٰنَ ٱللَّهِ وَمَاۤ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِینَ

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.""

(Yusuf: 108)

Copy-paste Dogmatism penganut Kristian terdahulu

Zaman kegelapan Eropah menggambarkan bagaimana orang-orang Kristian ketika itu hanya berpegang dengan kalam paderi mereka tanpa mengetahui isi sebenar wahyu Allah. Hatta paderi mereka menipu sekalipun, mereka tetap percaya:

أَوَلَا یَعۡلَمُونَ أَنَّ ٱللَّهَ یَعۡلَمُ مَا یُسِرُّونَ وَمَا یُعۡلِنُونَ (٧٧) وَمِنۡهُمۡ أُمِّیُّونَ لَا یَعۡلَمُونَ ٱلۡكِتَـٰبَ إِلَّاۤ أَمَانِیَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا یَظُنُّونَ (٧٨)

"(Mereka berani berkata demikian) dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan? (77) Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.(78)"

Perkara ini juga dijelaskan di dalam Hadis dialog antara Nabi Muhammad S.A.W dan Abi Hatim at To'iy, serta huraian ayat 31 Surah at Taubah.

Antara yang menjadi krisis bagi Ummat Islam hari ini penyakit kebodohan sekalipun Islam menggesa supaya ummatnya cerdik. Penyakit ini antaranya melarang daripada bertanya atas alasan jaga adab. Sedangkan kita hari ini berhadapan dengan golongan mirip sophisme yang berhujah dengan keraguan.

Lihat bagaimana Allah S.W.T melayan soalan yang dilontarkan oleh Nabi Ibrahim A.S di dalam Surah al Baqarah 260. Soalan dibalas dengan jawapan. Hujah pula perlu dibalas dengan hujah, bukannya hujah dibalas dengan sentimen. Inilah kaedah laras penghujahan dan soal-jawab yang diajar oleh Allah S.W.T.

Kita perlu letak kebimbangan ummat Islam hari ini tanpa sedar ter"copy-paste" perangai orang Kristian dahulu. Hanya tahu kalam paderi mereka berbanding kalam Tuhan. Mereka telahpun menganggap syarahan paderi mereka se"level" dengan kalam Tuhan.

Lihatlah bagaimana tiada dari kalangan mereka yang menghafal Taurat dan Injil yang asal apatah lagi memahaminya. Mereka lebih selesa mengadap syarahan kitab tersebut yang diseleweng, iaitu Talmud. Mereka berhujah dengan Talmud menjadikan penyakit Dogmatism pada mereka sangat tebal.

- MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL - HARAKAHDAILY 21/9/2019 

 

FB IMG 1569078922740