Kashmir yang menjadi rebutan

Fikrah
Typography

PEREBUTAN Kashmir hari ini tidak seperti dulu. Walaupun kita sedar sejarah persengketaan antara India dan Pakistan bermula dengan agenda tersembunyi British ketika itu untuk memastikan wilayah tersebut bergolak.

Banyak kemungkinan kenapa British ingin sangat wilayah itu sentiasa bergolak antaranya ia merupakan laluan utama (silk road) perdagangan sejak zaman berzaman. Antara lain ia merupakan kawasan paling subur dan membekalkan air serta tenaga tertinggi di Asia Tengah.

Punca krisis

Untuk memastikan rakyat di Benua India tidak menguasai kepentingan tersebut, British merancang untuk mengerat wilayah tersebut menjadikan dua negara, iaitu Pakistan dan India melalui Akta Kemerdekaan India 1947.

Adam Radin dalam tulisannya [1] mengulas bahawa akta ini mendapat tentangan tokoh pemimpin India, Mahatma Gandhi yang berpandangan, persempadanan itu akan meninggalkan kesan jangka masa panjang terhadap hubungan Pakistan dan India.

Ringkas ceritanya, apa yang dikhuatiri itu benar-benar terjadi. Tercetusnya beberapa siri perang antaranya pada 1947 sendiri sehingga mendapat campurtangan PBB yang hakikatnya hanya bersifat populis semata-mata. Tiada penyelesaian sebenar. Perang berusan pada 1965, 1971, 1987, 1990 dengan perang, pemberontakan dan sebagainya.

Ada dari kalangan pengkaji yang meletakkan faktor utama ialah sengketa agama. Contohnya Wilayah Kashmir majoriti orang Islam tetapi mereka diperintah oleh orang kafir yang mendapat sokongan belakang tabir oleh banyak pihak.

Walau bagaimanapun, krisis di Kashmir boleh dikatakan berubah-ubah faktornya utamanya setiap zaman. Seperti yang saya nyatakan, permulaannya boleh dikatakan sebab geo-politik. Namun setelah sekian lama ia lebih kepada faktor geo-ekonomi.

Krisis perebutan air

Ramai pengkaji yang membuat kajian terhadap konflik ini, ada yang merumuskan konflik disebabkan geo-politik, geo-ekonomi dan sebagainya. Sebahagian berpandangan faktor utamanya geo-ekonomi ialah aliran sungai.

Sebahagian pula menyimpulkan ia adalah sumber tenaga yang terhasil daripada sungai tersebut Sungai Chenab khususnya. Projek-projek hidroelektrik dibina di sepanjang sungai tersebut menghasilkan tenaga yang tertinggi. [1]

Seema Sridhar di dalam penulisannya [2] antara yang mengesahkan konflik tersebut berpunca daripada perebutan air. Campurtangan British kononnya sebagai pengaman melaksanakan The Indus Water Treaty pada 1960 yang ditandatangani oleh Pakistan, India dan Bank Dunia tidak juga dapat menyelesaikan masalah kedua dua pihak. (rujuk gambar)

Antara yang terbaru Menteri Pe­ngangkutan dan Sumber Air, Nitin Gadkari menyatakan bahawa Kerajaan India telah memutuskan untuk menghentikan perkongsian air sungai ke Pakistan. Mereka merancang untuk mengalihkan aliran air dari bahagian Timur sungai berkenaan dan membekalkannya kepada penduduk negeri Jammu, Kashmir dan Punjab.

Sekadar perang psikologi?

Isu Kashmir yang meletus baru-baru ini boleh dikatakan sebagai serangan psikologi untuk menunjukkan masing-masing India Pakistan masih mempunyai taring untuk berhadapan isu Kashmir. Walaupun hakikatnya mereka tidak bersedia pun.

India ada kepentingan untuk perkukuhkan lagi pengaruh langsung ke atas Kashmir, bertujuan menolak pengaruh Pakistan yang dirasakan lebih besar disebabkan faktor agama Islam. Masing-masing punya kepentingan untuk meraih sokongan rakyat masing-masing.

Jelas bahawa isu ini hanya dimainkan khususnya di pentas media lebih kepada cuba menampakkan kekuatan masing-masing semata mata. Hakikatnya mereka tidak bersedia pun sekiranya berlaku serangan bersenjata.

Apa yang akan terjadi selepas ini andai perang kali ini hanya ingin psiko semata-mata? Realitikah? Atau ada udang di sebalik batu untuk mencetuskan ketegangan di era 2020 akan tiba nanti?

Normalisasi hubungan dengan Israel

Apa yang pernah terjadi di Sudan mungkinkah bakal berulang di Pakistan? Apabila makin banyak negara Islam semakin seronok untuk adakan hubungan dengan Israel atas beberapa faktor, antaranya perdagangan dan keselamatan, iaitu untuk mengelak daripada "dikacau".

Bahkan apa yang sedang terjadi hari ini ialah normalisasi hubungan terhadap Israel. Di awal penubuhan negara Israel mendapat tentangan daripada negara-negara Islam, namun hari demi hari semakin diterima dan ia dianggap perkara yang normal.

Hubungan dengan Israel ini dilead oleh Arab Saudi, UAE dan mungkin bakal disusuli oleh Pakistan apabila menyedari "duit poket" negara semakin kering. Bahkan Pakistan juga memerlukan duit daripada Arab Saudi.

Beberapa faktor ini mendorong kepada tercetusnya kembali Krisis Kashmir. Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dalam kenyataan yang lalu, beliau menekankan prihatin kita terhadap Kashmir yang merupakan wilayah Ummat Islam yang sedang direbut oleh beberapa kuasa yang lain.

- MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL, 16 September 2019

[1] Buku The Security Implications of Water: Prospect for Instability or Cooperation in South and Central Asia

[2] Buku Kashmir and Water: Conflict and Cooperation

[3] Finsa Ar Rahman, “Penggunaan Kekuatan Pakistan dan India Dalam Mempertahankan Wilayah Kashmir Pasca Perang Dingin - HARAKAHDAILY 19/9/2019 

FB IMG 1568874930113