Muafakat: Kesatuan hati dan kepancitannya

Fikrah
Typography

SEMALAM terciptanya sejarah permuafakatan Umno dan PAS yang diadakan PWTC setelah puluhan tahun melibatkan diri dalam pilihan raya. Beberapa perkara perlu difahami dengan cermat oleh setiap orang.

Allah yang menyatukan hati

Ta'liful Qulub (kesatuan hati) banyak disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al Quran, antaranya;

وَٱعۡتَصِمُوا۟ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِیعࣰا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ۚ وَٱذۡكُرُوا۟ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَاۤءࣰ فَأَلَّفَ بَیۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَ ٰ⁠نࣰا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةࣲ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَ ٰ⁠لِكَ یُبَیِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَایَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

(ali-'Imran: 103)

Syeikh Yusof al-Qaradawi menghuraikan asas kepada Ta'liful Qulub ialah kefahaman bahawa ia adalah kuasa Allah SWT. [1]

Begitu juga disebutkan oleh al-Mawardi di dalam Adabud Dunya wad Din,

وسميت القلب لتقلبه

Dinamakan hati itu sebagai القلب kerana ia berbolak balik.

Kita perlu memahami bahawa Allah S.W.T yang mengawal hati manusia, sama ada istiqamah atau sebaliknya. Sebab itulah kita perlu sentiasa memohon kepada Allah S.W.T agar ditetapkan hati di atas landasan keimanan.

Berusaha menyatukan hati

Syeikh Yusof al-Qaradawi menceritakan bahawa sekalipun "Ta'liful Qulub" itu adalah daripada Allah S.W.T, kita sebagai hamba perlu berusaha ke arah itu, dengan menggunakan istilah الاصلاح (pemulihan).

Islah ini merupakan usaha hamba ke arah menyatukan hati seiringan dengan firman Allah S.W.T;

فَاتَّقُوا اللهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ وَأَطِيعُوا اللهَ وَرَسُولَهُ إِنْ كُنْتُم مُّؤْمِنِينَ

"Iaitu tidak tertegaknya iman dengan pertelagahan, pertembungan dan perpecahan."

Di dalam ayat yang lain, Islah dikaitkan dengan keimanan [2], ketaqwaan [3], taubat (penyesalan) [4] dan sebagainya. Secara ringkasnya, kesatuan hati itu asasnya bermula daripada kuasa Allah, diusahakan oleh hamba dengan amalan amalan yang menghampirkan diri kepada Allah S.W.T secara berterusan.

Kesabaran PAS memilih jalan demokrasi

Sejak sekian lama, PAS berhadapan dengan Umno walaupun sama bangsa, tetapi mempunyai wadah dan aliran pemikiran yang berbeza dalam ruang lingkup politik kepartian, iaitu secara demokrasi. Bukan keganasan atau melampaui batas.

Bersabar dalam dunia demokrasi selama puluhan tahun ini, akhirnya Allah S.W.T mengurniakan nikmat kesatuan hati (ta'liful qulub) di samping kepelbagaian seni dalam dakwah, seperti konsep BPMS yang diperkenalkan oleh PAS.

Jangan lupa, permuafakatan ini bermula dengan kekalahan BN dalam PRU14 lalu. Namun kita perlu melihat dari sudut hikmah ketentuan Allah S.W.T. Sebab itulah pendekatan مواجهة سلمية pendekatan sejahtera ini diserap dalam dunia demokrasi, khususnya di Malaysia.

Kepancitan ahli bukan bahan ejekan

Apabila kita memahami bahawa Allah S.W.T berkuasa membolak balikkan hati, maka kita akan mengambil jalan yang cermat apabila mendapati kepancitan sahabat seperjuangan yang dikenali dengan penyakit futur.

Sayyid Nuh menyatakan di dalam kitabnya آفات على الطريق bahawa penyakit futur (pancit) itu ada dua jenis, sama ada berhenti daripada gerak kerja Islam, atau berpaling tadah lompat ke arah musuh dan menentang jemaah.

Dalam situasi ini, kita tidak sepatutnya menjadikan sejarah kepancitan mereka itu sebagai bahan jenaka atau ejekan. Sebaliknya kita jadikan kepancitan mereka sebagai satu pengajaran dan muhasabah buat diri kita

Selain itu, perkara yang perlu dimuhasabahkan ialah "kenapa berlakunya keguguran dalam kalangan sahabat seperjuangan kita?" Perkara ini dinyatakan oleh Syeikh Yusof al Qaradawi di dalam kitabnya أين الخلل (di mana silapnya).

Ini kerana mungkin keguguran itu berpunca daripada individu yang gugur tersebut, atau boleh jadi berpunca daripada jemaah itu sendiri. Antaranya ialah salah memposisikan ahli. Ini kerana setiap ahli ada tahap kemampuannya.

Qarun antara yang pancit daripada jamaah

Di dalam al Quran menceritakan tentang kisah Qarun, seorang miskin yang istiqamah bersama perjuangan Nabi Musa A.S. Namun setelah dikurniakan kekayaan, Qarun berpaling tadah, melompat ke pihak Firaun bekerja untuknya [5].

۞ إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَیۡهِمۡۖ وَءَاتَیۡنَـٰهُ مِنَ ٱلۡكُنُوزِ مَاۤ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوۤأُ بِٱلۡعُصۡبَةِ أُو۟لِی ٱلۡقُوَّةِ إِذۡ قَالَ لَهُۥ قَوۡمُهُۥ لَا تَفۡرَحۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا یُحِبُّ ٱلۡفَرِحِینَ

"Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu)."

(al-Qashas: 76)

Allah S.W.T menceritakan kisah Firaun di dalam al-Quran bukan untuk dijadikan bahan ejekan Ummat hari ini, akan tetapi menjadi ibrah dan pengajaran supaya berusaha istiqamah dia atas jalan Allah S.W.T.

Antara kefahaman atau mood politik

Antara perkara yang perlu diperhatikan tentang "hati yang berbolak balik" ini ialah mengutamakan kefahaman berbanding "mood" atau selera. Sebagai contoh, sebelum ini PAS bertahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat. Para ahli ketika itu seakan akan merasakan seolah olah orang-orang DAP nak masuk Islam.

Apabila orang kafir membacakan ayat al Quran dan berkopiah, terus kita rasakan orang itu sudah mendapat hidayah sekalipun ada dari kalangan mereka sekadar berlakon untuk menarik perhatian.

Dalam hal itu, kita perlu mementingkan kefahaman berbanding mood. Kalau ahli gerakan Islam hanya mengikut mood, tanpa diisi dengan kefahaman, bimbang melangkaui batas-batas syariat dalam ber"mood" tersebut.

Binalah kefahaman, bukan terikut ikut dengan sentimen atau mood. Kajilah sejarah bagaimana musuh Islam mencipta mood kebangkitan Islam yang palsu, dan bagaimana mereka meniupkan sentimen.

- MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL, 15 September 2019

[1]     https://www.al-qaradawi.net/node/3464

[2]     Surah al An'am 48

[3]     Surah al A'raf 35

[4]     Surah an Nisa 146

[5]     Pandangan Ibn Musayyib yang dinukilkan oleh al Qurtubi di dalam tafsirnya. - HARAKAHDAILY 18/9/2019