Yang di atas akan dimusuhi

Fikrah
Typography

LUMRAH makhluk Allah termasuklah manusia, mereka akan memusuhi dan menyerang siapa yang lebih di atas dan superior daripadanya.

Contohnya, semua pasukan Liga Super Malaysia akan menjadikan team seperti Pahang, Kedah dan JDT sebagai lawan yang perlu dikalahkan. Mana-mana pasukan yang dapat mengalahkan 3 team yang kuat ini dikira satu kebanggaan dan pencapaian yang baik. Demi mencapai matlamat, pasukan yang nak lawan 3 team ini akan rangka pelbagai taktik dan strategi.

Jika pasukan bola Brazil mengalahkan Malaysia, keputusan perlawanan tersebut mungkin tak keluar pun dalam berita surat khabar di Brazil kerana itu sebenarnya bukan berita yang ada nilai berita. Tapi kalau Malaysia kalahkan Brazil, mungkin ia tetap akan disebut dan dipertuturkan selepas 30 tahun mendatang.

Dalam politik begitu juga. Bila semua serangan ditujukan kepada PAS, ia adalah gambaran bahawa PAS adalah superior dan dominan dalam arus politik Malaysia sekarang. Lantas PAS perlu dijatuhkan dan dirosakkan imejnya.

Mungkin kedengaran agak pelik bila PAS yang menjadi sasaran serangan kerana PAS bukanlah sebuah parti pemerintah yang berkuasa. Malah kerusi Parlimen milik PAS lebih sedikit bilangannya dari yang dimiliki oleh penyerang seperti DAP dan PKR. Itu belum lagi dikira kerusi Parlimen PAS yang dibawa lari oleh khadam mereka seperti Shah Alam, Kota Raja, Kuala Krai, Tumpat, Kuala Terengganu, Parit Buntar dan kelihatannya Pokok Sena pun sudah semakin condong menyembah bumi.

Sebenarnya inilah hasil yang kita tuai apabila PAS terus teguh dan merasa izzah dengan aqidah serta prinsip perjuangan walau pelbagai badai melanda sehingga akhirnya kita kelihatan begitu terhormat di persada politik tanah air lalu mereka yang berpenyakit hati memandang kita dengan pandangan benci dan iri hati.

Perpaduan dalaman PAS sekarang berada pada tahap yang paling optimum ditambah lagi sokongan kepada kepimpinan Presiden bersama Timbalan Presiden kelihatan padu apabila kedua-dua jawatan ini diisytiharkan menang tanpa bertanding menjelang Muktamar Tahunan ke-63 di Alor Setar akhir April ini.

Kesepaduan dan kekuatan kita tentunya dicemburui. Paling ketara cemburu adalah parti yang berdebar-debar menunggu bagaimana nasib hubungan mereka bersama PAS yang akan dibahas dan diputuskan oleh muktamar nanti. Cuma walaupun belum lagi kita potong putus, nampaknya mereka telah menyiapkan gunting untuk dihulurkan kepada kita agar memudahkan kerja kita memotong riben tahaluf ini!

Serangan demi serangan ditujukan kepada PAS termasuklah yang terkini bagaimana pakar strategi PKR terkial-kial untuk mengaitkan PAS terima dana dari 1MDB. Sekejap kata orang yang rapat dengan PAS. Sekejap pula kata bekas pimpinan PAS yang terima dana. Mungkin lepas ini timbul orang yang rapat dengan bekas pimpinan PAS pula terima dana.

Percubaan untuk nak bunuh karakter Tuan Guru Presiden PAS tak semudah yang kamu sangka. Gerak langkah seorang ulama akan menjawab serangan kamu. Ketika kamu sedang lena tidur, ulama sedang menitiskan air mata atas sejadah. Kamu pasang segala pakar strategi, kamu lupa seorang ulama dilindungi Allah.

Itu belum kira lagi saya dan ratusan ribu lagi yang sayangkan ulama akan bersedia mempertahankan setiap inci serangan.

Akhirnya kamu akan sedar bagaimana kesudahannya. Tak sedar di dunia, di akhirat kelak. - HARAKAHDAILY 13/4/2017

Penulis ialah Ketua Lajnah Kebajikan PAS Terengganu.