TAWAU: Temasya Sukan PASTI Kawasan Tawau melibatkan 22 pasukan yang dirasmikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Husain telah berlangsung di Padang Perbandaran Tawau, di sini kelmarin.
 
Menariknya, kejohanan kali ini bukan sahaja menampilkan PASTI Nurul Afeeya yang baharu ditubuhkan, tetapi juga format baharu apabila 22 PASTI dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu iaitu A dan B.
 
Kumpulan A terdiri daripada PASTI yang mempunyai lebih 100 murid dan B pula kurang 100 murid, di mana juga masing-masing kumpulan akan menobatkan Johan Keseluruhan yang berbeza.
 
Seramai 154 petugas terlibat dalam menjayakan temasya kali ini termasuk dari Jabatan Amal Malaysia, NISA, PERPIS, Skuad Elite dan Bridget Lil Banat Al-Huda dan Pusat Bantuan Damai.
 
Turut menyumbangkan tenaga ialah beberapa orang pelajar dari Sekolah Menengah St Patrick, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuhara dan Institut Akademi Bakti.
 
Kejohanan kali ini mempertandingkan lapan acara iaitu pertandingan perbarisan, tarik tali, mewarna, lari 50 meter, lari bawa bola, lari dalam guni, baling bola dan isi air dalam botol.
 
PASTI Nurul Izzah Jalan Saddani telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi Kumpulan A, manakala Johan Keseluruhan bagi Kumpulan B pula disandang oleh PASTI Nurul Iman Tanjung Batu Laut. - HARAKAHDAILY 30/4/2019
IMG 20190430 WA0010
 
IMG 20190430 WA0009

KAMPAR: PAS Cawangan Batu Berangkai bersama Umno Cawangan Air Terjun telah mempertautkan hubungan pada Majlis Perpaduan Ummah dan Santai Petang yang julung kali diadakan.
 
Kolaborasi diadakan telah menghimpunkan sekitar 250 ahli PAS dan Umno kedua-dua Cawangan dalam Parlimen Kampar ini yang dilangsungkan di Surau Air Terjun, Batu Berangkai, di sini kelmarin.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kampar, Ustaz Anuar Morat dalam ucapannya menekankan kepentingan penyatuan ummah dan berpegang teguh pada tali Allah mendepani musuh agama.
 
Beliau turut memetik peringatan dari ungkapan kata oleh Saidina Umar al-Khattab mengenai kehinaan bangsa, tetapi dimuliakan oleh Allah dengan Islam, maka tidak wajar mencari selainnya.
 
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian Kampar, Rafidi Mohd Razali di mana program diakhiri dengan penyampaian bantuan Ambang Ramadan kepada golongan kurang berkemampuan. - HARAKAHDAILY 29/4/2019
IMG 20190429 WA0143

TASEK GELUGOR: PAS Cawangan Simpang Tiga Lahar Yooi telah menganjurkan majlis bersama Ketua Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Tajuddin Abu Bakar.

Program sembang santai dan minum petang melibatkan ahli-ahli PAS itu telah dilangsungkan di Kampung Lubok Meriam dalam Dun Permatang Berangan, di sini semalam.

Hadir pada majlis tersebut adalah Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Sobri Salleh dan Zahadi Mohd, selain ahli-ahli Umno dari Cawangan sama.

Menerusi program tersebut, penerangan isu semasa turut disampaikan kepada hadirin termasuk mengenai ta'awun siyasi antara PAS dan Umno, selain konsep Islam memimpin.

Sempena majlis tersebut juga, turut diserahkan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan menjelang Ramadan yang bakal tidak berapa hari lagi. - HARAKAHDAILY 29/4/2019

PADANG RENGAS: Pemuda PAS Cawangan Paya Ranggam Baru telah menganjurkan program Bakar Ayam BBQ dan Mandi Sungai di Pusat Rekreasi Batu Ampar, Kampung Paya Lintah, di sini semalam.
 
Seramai hampir 50 peserta mengambil bahagian dalam program santai tersebut yang bertujuan mengeratkan hubungan khususnya generasi muda dengan kegiatan seperti itu.
 
Walaupun sekadar suka-suka bermandi sungai, membakar ayam dan makan, kefarduan solat berjemaah dilaksanakan dalam mendidik peserta terhadap kewajipan yang tertinggi itu.
 
Setiausaha Pemuda PAS Kawasan Padang Rengas, Ustaz Azani Adam berharap penganjuran seumpama untuk terus mendekati masyarakat khususnya anak muda dapat sentiasa dijayakan.
 
Ketua Pemuda Paya Ranggam Baru, Ahmad Fadhil Noor Ridzuan pula berharap anak muda menyedari harapan bahawa mereka adalah masa depan kepada negara yang dilihat sebagai pemimpin. - HARAKAHDAILY 28/4/2019

GOPENG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Gopeng telah mengadakan Futsal Ukhuwah yang berlangsung di Master Badminton Court, Gunung Rapat, di sini semalam.
 
Aktiviti tersebut diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara para Pemuda PAS Cawangan-cawangan dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Gopeng sesi 2019 - 2021.
 
Ia juga sebagai memperkenalkan kepimpinan baharu itu sejak muktamar yang diadakan ke arah mewujudkan kesatuan untuk memacu gerakan kepemudaan di Gopeng.
 
Antara pimpinan Pemuda PAS Gopeng yang hadir sama adalah Ketua Pemuda, Ustaz Harith Hamzah dan Timbalan Ketua Pemuda, Mohd Ikmal Fikry serta Ahli-ahli Jawatankuasa lainnya.
 
Selain riadah tersebut, pertemuan itu juga diisi dengan sesi taaruf dan tazkirah di mana akan terus menjadi rutin bulanan mereka dalam memantapkan ukhuwah. - HARAKAHDAILY 20/4/2019

TELUK INTAN: Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Intan telah mengadakan perlawanan badminton persahabatan di Anson Sport Centre, di sini semalam.
 
Perlawanan penuh muhibah itu disertai 20 Pemuda dari kedua-dua parti itu dilangsungkan atas semangat kerjasama dan ukhuwah yang telah terjalin dengan diregukan antara mereka.
 
Menurut Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Pemuda PAS Teluk Intan, Najib Masuri, perlawanan tersebut dirancang susulan perlawanan pertama yang diadakan sebelum ini.
 
Katanya, aktiviti yang dirangka bersama itu dalam usaha mengikat erat ukhuwah dan memupuk kerjasama berpasukan antara kedua pihak sejak 10 April lalu di KOMPASTI Kampung Padang Tembak.
 
Selain ucapan antara kedua pihak, majlis tersebut juga menyaksikan serahan cenderahati dari Ketua Pemuda Umno Teluk Intan, Zulhasnol Junid kepada Ketua Pemuda PAS Teluk Intan, Ustaz Mohd Firdaus Ziyaudin. - HARAKAHDAILY 19/4/2019

MUTAKHIR ini, Rasulullah S.A.W yang menjadi contoh dan ikutan umat Islam sering dijadikan bahan serangan oleh segelintir masyarakat Malaysia .
 
Belumpun reda kemarahan umat Islam, kini pemilik akaun Facebook Asiah Abdul Jalil pula telah memuat naik satu status yang boleh disifatkan sebagai menghina keperibadian Rasulullah dan keluarga Baginda serta mendustakan sebab penurunan ayat Al-Quran.
 
Selain itu, tindakan individu yang menghina Islam sebelum inipun masih gagal ditangani dan tiada tindakan oleh Dato' Seri Dr Mujahid Yusof selaku Menteri Agama dan pihak berkuasa di bawah bidang kuasa beliau terhadap mereka.
 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan melahirkan rasa kecewa terhadap Mujahid Yusof yang seolah-olah memekakkan telinga dan mematikan langkah mereka untuk bertindak ke atas individu yang menghina Rasulullah S.A.W dan keluarga Baginda serta sekali gus mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.
 
Justeru, Pemuda PAS Bagan semalam bertindak untuk membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook Asiah dan mendesak Mujahid selaku Menteri Agama dan pihak berkuasa untuk menyegerakan tindakan ke atas penghina agama Islam dengan hukuman sewajarnya, dengan harapan tidak lagi berulang tindakan seperti ini oleh mana-mana pihak.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
MUHAMMAD HAFIZ ELIAS AL-BAGHONI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan - HARAKAHDAILY 17/4/2019

LENGGONG: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Cawangan Kampung Luat Tengah mewujudkan Tabung Bekalan Dapur untuk mengumpul barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi, teh dan lain-lain.
 
Ketuanya, Mustafa Kamal Ibrahim, berkata Tabung Bekalan Dapur diwujudkan bertujuan untuk membantu golongan daif, warga emas, pesakit, mereka dalam keadaan kesempitan wang dan sebagainya yang sangat memerlukan bantuan. 
 
Menurutnya, barangan terkumpul dalam tabung ini akan disalurkan kepada penerima yang berhak di mana telah disenaraikan di seluruh Kampung Luat dekat sini, khususnya menjelang Ramadan ini.
 
"Kami telah mengenal pasti golongan sasar yang hendak diberi bantuan dan bantuan akan disampaikan menjelang Ramadan atau dalam bulan puasa ini," katanya kepada Harakahdaily semalam.
 
Mustafa Kamal menjelaskan, dengan adanya Tabung Bekalan Dapur, akan memberi peluang kepada mereka yang suka menginfaq pada jalan Allah secara berterusan kerana tabung berkenaan akan dibuka sepanjang masa untuk menerima sumbangan.
 
Beliau memaklumkan, kewujudan inisitif itu adalah sebahagian daripada lebih 30 aktiviti yang diputuskan dalam Retreat PAS Kampung Luat Tengah untuk dilaksanakan oleh lima lajnah teras yang dibentuk Mac lalu sepanjang penggal pertama sesi 2019-2021 ini.
 
Katanya, iklan mengenai tabung ini akan ditular kemudian menerusi aplikasi WhatsApp bagi memudahkan mereka yang ingin membuat sumbangan.
 
Sementara itu, Jawatan Kuasa Muslimat PAS Cawangan berkenaan telah pun memulakan aktiviti Ziarah Amal mereka semalam dengan memilih rumah-rumah warga emas.
 
Setiausahanya, Sharizah Shahruddin berkata, Ziarah Amal diketuai Ketua Muslimat, Maznah Mahram telah membersihkan dan mengemas rumah- rumah berkenaan sambil menyampaikan sumbangan sekampit beras, gula, tepung dan lain-lai .
 
"Muslimat memilih hari Sabtu minggu kedua setiap bulan untuk Ziarah  Amal dan telah menyenaraikan rumah-rumah di seluruh kampung untuk tahun ini," maklumnya.
 
Sharizah menjelaskan, peruntukan untuk membeli beras, gula, tepung dan sebagainya itu dikeluarkan dari wang tabung Muslimat sendiri dengan tambahan sumbangan pimpinan Cawangan. - HARAKAHDAILY 15/4/2019
20190415 140122
 
20190415 140105

TAIPING: PAS Kawasan Taiping kehilangan aktivisnya iaitu Naib Ketua PAS Cawangan Kampung Jana, Abu Talib Sa'ad yang meninggal dunia di Jeti Kuala Kurau, Parit Buntar, semalam.
 
Yang DiPertua PAS Taiping, Ustaz Saidin Asnam menyifatkan Allahyarham Abu Talib sebagai anggota yang sangat komited dan berdedikasi dalam melaksanakan gerak kerja jamaah.
 
Katanya, PAS Taiping merasakan pemergian Allahyarham menjadi kehilangan sebutir permata yang cukup berharga atas istiqamah ditunjukkan kepada perjuangan bersama PAS.
 
Difahamkan, Abu Talib ketika di jeti tersebut telah secara tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri di dalam sampan ketika membuat persiapan untuk memancing bersama para sahabatnya.
 
Walaupun diberi bantuan kecemasan resusutasi kardiopulimonari (CPR), tetapi pasukan perubatan yang tiba setengah jam kemudian mengesahkan beliau telah meninggal dunia.
 
Seluruh saf kepimpinan PAS Taiping merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Pinang Seberang, Kamunting, semalam. - HARAKAHDAILY 15/4/2019
IMG 20190415 WA0020

TAMBUN: PAS Cawangan Taman Meru 2B telah hadir meraikan jemputan ke perasmian Mesyuarat Agung Umno Taman Meru 2B yang diadakan di An-Nuriah, di sini semalam.
 
Delegasi PAS Taman Meru 2B diwakili Timbalan Ketua, Mohamad Sidik Zakaria bersama Setiausaha, Said Mohd Aliwi dan Ketua Pemuda, Fazli Othman.
 
Kehadiran tersebut sebagai usaha menjalin hubungan kedua pihak dalam agenda kesatuan umat yang terlebih dahulu telahpun berpaut di peringkat Pusat, Negeri dan Kawasan.
 
Malah, pertemuan tersebut sebagai merintis hasrat untuk memantapkan ukhuwah kedua pihak bagi memastikan wujud kerjasama pada program-program mendatang.
 
Delegasi PAS turut menerima penghargaan disampaikan Ketua Umno Taman Meru 2B, Ghazali Bidin atas kerjasama hingga berjaya memenangi tiga PRK baru-baru ini.
 
Pada majlis perasmian yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Tambun, Dato' Azizul Kama Abd Aziz itu, beliau turut menyentuh mengenai hubungan PAS dan Umno.
 
Beliau melahirkan rasa teruja dengan Himpunan Sejuta Ummah di Dataran Merdeka tahun lalu yang menyaksikan eratnya persaudaraan telah ditunjukkan kedua pihak.
 
"Sewaktu azan Zohor, para Pemuda PAS bergerak ke satu saf ke satu saf menuangkan air wuduk kepada orang ramai. Itulah penyatuan yang membimbangkan lawan," ujarnya. - HARAKAHDAILY 15/4/2019
20190415 085340

BAGAN SERAI: Era globalisasi kini menghadapkan umat kepada satu suasana baharu kehidupan masyarakat hingga turut mengundang pelbagai ancaman dan cabaran.
 
Namun realitinya, segala ancaman dan cabaran yang mendatang itu perlu ditempuhi dengan persediaan sewajarnya dalam melangsungkan kehidupan.
 
Antara perlu ada pada generasi ini khususnya umat Islam adalah pendedahan secara ilmu dalam memahami segala bentuk mehnah tersebut agar ia tidak menjajah diri.
 
Sehubungan itu, PAS Kawasan Bagan Serai mengambil peranan berkaitan isu ini dengan menganjurkan Forum Perdana membicarakan tajuk "Cabaran Umat Islam Masa Kini".
 
Ianya akan dilangsungkan secara terbuka untuk orang ramai di Perkarangan Surau Taman Selinsing Melati, Selinsing, di sini pada jam 9:30 malam, 20 April depan.
 
Panelis yang akan ditampilkan dalam mengupas perkara tersebut adalah pendakwah muda, Ustaz Ahmad Husam Dato' Baderudin dan Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria.
 
Sehubungan itu orang ramai dijemput untuk bersama ahli keluarga hadir beramai-ramai bagi mendengar segala intipati akan disampaikan para pembentang. - HARAKAHDAILY 14/4/2019
 

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong kehilangan seorang aktivis yang banyak berjasa, khususnya dalam usaha menggerakkan usrah di peringkat Cawangan dan Kawasan.
 
Timbalan Yang DiPertua PAS Lenggong, Ustaz Mohd Hanafiah Idris memaklumkan, aktivis berkenaan, Arip Jabar yang telah pergi menghadap Allah S.W.T pada 7 April lalu juga telah berjaya meningkatkan legasi PASTI Al-Rahman, Air Panas.
 
Katanya, Allahyarham meninggal dunia setelah sempat memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Lenggong selama enam hari untuk sesi 2019-2021 selepas terpilih semula pada Mesyuarat Agung Tahunan pada 31 Mac lalu.
 
"Allahyarham adalah pesara guru dan dalam PAS, beliau sangat aktif menghidupkan usrah sehingga dilantik sebagai naqib.
 
"Beliau juga adalah tenaga penting yang berusaha keras memajukan PASTI Al-Rahman di kampungnya, Kampung Air Panas," ujarnya kepada Harakahdaily semalam.
 
Mohd Hanafiah jelaskan, sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya, Allahyarham pernah menjawat jawatan Setiausaha PAS Kawasan Gerik dari tahun 1980 hingga 1990-an.
 
Menurutnya, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan itu, adalah seorang aktivis ABIM Gerik sebelum menyertai PAS dan aktif dalam parti sehingga ke akhir hayatnya.
 
"Pemergiannya sangat dirasakan oleh saf pimpinan, ahli-ahli serta para penyokong PAS kawasan dan cawangan-cawangan seluruh Lenggong dan Gerik khususnya, malah bebas-bekas anak muridnya, rakan-rakan serta masyarakat setempat.
 
"Oleh kerana besar jasanya kepada Islam dan masyarakat Ialam, ratusan orang yang solat ke atas jenazahnya memenuhi ruang Masjid Kampung Air Panas.
 
"Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya negeri dan Yang Dipertua kawasan, Razman Zakaria serta saf pimpinan serta ahli-ahli turut menunaikan solat jenazah Allahyarham," tambahnya.
 
Beliau turut memaklumkan, Allahyarham meninggalkan beberapa orang anak dah salah seorang anaknya, Ustaz Zulfadli Arip berjanji akan menyambung perjuangan ayahnya. - HARAKAHDAILY 11/4/2019
 
* Allahyarham (gambar) berdiri lima dari kiri seusai Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Lenggong, 31 Mac lalu.