BUKIT MERTAJAM: Majlis Guru PASTI (MGP) Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Tadarus Perdana di Masjid Tasek Junjung, di sini semalam.
 
Majlis tahunan ini telah mengumpulkan 340 guru PASTI seluruh negeri ini yang memulakan tadarus berkumpulan, seterusnya khatam bersama.
 
Hadir menyampaikan ucapan adalah Pengarah PASTI Pulau Pinang, Zahareen Abdul Kadir yang menasihatkan perihal penjagaan imej selaku pendidik.
 
Pengisian utama disampaikan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Dato' Taib Azamudden yang menyentuh mengenai 'budaya kerja'.
 
Beliau menyeru menguruskan kerja sebagai ibadah di mana menuntut kesempurnaan dan niat yang sentiasa berhubung dan dekat dengan Allah.
 
Pada majlis turut dihadiri Setiausaha dan Pengerusi MGP Pulau Pinang iaitu Zamadi Omar dan Mariayati Ibrahim itu, para guru telah menerima cenderahati. - HARAKAHDAILY 23/5/2019
IMG 20190523 WA0023

TAMBUN: PAS dan Umno Cawangan Taman Klebang Jaya telah mengadakan majlis iftar jamaie di Markas PAS Cawangan tersebut, Chemor, di sini semalam.

Majlis bersama ini membuktikan hubungan kukuh akar umbi kedua parti ini yang terdahulu telah berlangsung erat di peringkat Pusat dan Negeri-negeri serta Parlimen.

Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan tazkirah ringkas disampaikan ahli PAS, Ustaz Muhammad Khairul Abd Rahman mengenai kisah-kisah perjuangan Islam.

Pimpinan PAS Kawasan Tambun turut hadir meraikan majlis dan beramah mesra bersama hadirin iaitu Bendahari, Ramli Bilan dan Ketua Penerangan, Ustaz Rosli Azizan.

Ketua PAS Taman Klebang Jaya, Ustaz Rofiei Wari menyifatkan program melibatkan kedua pihak itu sebagai isyarat bahawa umat Islam mula bersatu membentuk perpaduan lebih utuh.

Pengisian utama disampaikan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Fairuz Hafidz Othman yang mengupas mengenai peristiwa Nuzul Quran.

"Manusia hendaklah menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan kerana ia merupakan tanda kasih sayang Allah serta diturunkan untuk menjaga karamatul insan," ujar beliau.

Hidangan istimewa nasi briyani dan kurma kambing menjadi juadah utama pada majlis iftar julung kali ini dalam agenda perpaduan dan silaturahim kedua pihak. - HARAKAHDAILY 23/5/2019

IMG 20190523 WA0017

TASEK GELUGOR: Akademi Tarbiyah (AKTAR) Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang telah mengadakan Katibah Ramadan di Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini 19 Mei lalu dan berakhir kelmarin.
 
Antara pengisian dimuatkan adalah dialog khas isu semasa bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dan kupasan sejarah tragedi Nakhbah Palestin oleh penceramah jemputan.
 
Majlis juga diisi dengan iftar jamaie hinggalah solat Tarawih, selain juga halaqah al-Mulk, qiamullail dan usrah santai selepas Subuh melibatkan Pemuda PAS seluruh negeri ini.
 
Menurut Pengarah AKTAR Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Azzam Abdullah, katibah ini bertujuan membina kekuatan intelek, rohani dan jasmani melalui diskusi ilmiah disamping pengisian lain.
 
Penutup majlis disempurnakan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menegaskan persediaan Pemuda dalam banyak aspek untuk berada di medan perjuangan.
 
Antaranya seru beliau, supaya para Pemuda PAS menguasai kemahiran-kemahiran agar tidak hanyut atau menjadi lemah apabila diuji dalam menggalas tanggungjawab yang diamanahkan. - HARAKAHDAILY 22/5/2019

LUMUT: PAS Kawasan Lumut telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama warga At-Ta'alim dan 'pasukan' Dana Kompleks At-Ta'alim di Surau MADAH, Fasa 1A, Seri Manjung, di sini semalam.
 
Majli dimulai dengan tahlil yang dipimpin Bendahari Ulamak PAS Lumut, Ustaz Abu Bakar Omar sebelum dihidangkan menu istimewa 'kambing khandahar' semasa berbuka itu.
 
Pengisian juga disampaikan menerusi tazkirah Tarawih oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Lumut, Zainal Abidin Saad yang mengupas tajuk "Kehebatan Malam Ramadan".
 
Antara intipatinya adalah seruan berlumba-lumba mencari malam Lailatul Qadar dengan melaksanakan ibadah berterusan yang dipergiatkan lagi menjelang akhir bulan ini.
 
Beliau turut mengupas peristiwa-peristiwa besar yang berlaku dalam Ramadan terutama melibatkan penurunan kitab-kitab termasuk al-Quran di mana ia disambut setiap 17 Ramadan.
 
Turut diadakan pada majlis ini adalah promosi produk Muslim oleh Green Mart dari Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan PAS Lumut yang dikelolakan oleh Ahmad Kamarulnizam Majid.
 
Program semalaman ini berterusan hingga ke Subuh yang turut dilangsungkan qiamullail serta bersahur oleh semua peserta. - HARAKAHDAILY 22/5/2019
IMG 20190522 WA0068

GOPENG: Pemuda PAS Kawasan Gopeng telah menghidupkan Ramadan sesama anggotanya dengan mengadakan qiamullail, usrah tarbawi dan program singgah sahur, kelmarin.
 
Program berbentuk tarbiyah ruhiyah ini menjadi elemen terpenting dalam menjana sahsiah dan akhlak Pemuda bagi menghadapi pelbagai kemelut mazmumah yang berlegar masa kini.
 
Program dipimpin sendiri Ketua Pemuda PAS Gopeng, Ustaz Mohd Harith Hamzah bersama anggota Jawatankuasa Pemuda PAS Gopeng ini telah diadakan di Surau Al-Ehsan, Taman Indah Jaya, di sini.
 
Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait selaku jemputan khas telah mengisi slot usrah tarbawi yang sekali gus mengeratkan hubungan Pemuda Negeri dan Kawasan.
 
Dalam pengisiannya, beliau menegaskan kepentingan Pemuda menjadikan al-Quran sebagai medium yang rapat kepada ruhiyah dan menghadam ibrah tarbiyah dalam gerak kerja.
 
Malah peringatnya, qiamullail bukan hanya mendirikan malam secara bersahaja, bahkan hendaklah menghidupkannya sebagai ibadah yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri.
 
Sempena program ini juga Pemuda PAS Gopeng telah bergerak mengagihkan juadah sahur kepada masyarakat dalam usaha merapatkan silaturahim bersama penduduk Dun Sungai Rapat. - HARAKAHDAILY 22/5/2019
 

TASEK GELUGOR: PAS Cawangan Kampung Aman telah mengimarahkan Ramadan dengan mengadakan program sumbangan juadah berbuka puasa dan ziarah masyarakat setempat.
 
Istimewanya, selain juadah tradisi iaitu bubur lambuk, turut sama disediakan mee rebus yang amat terkenal di sini di mana telah dimasak secara gotong-royong di Markas Cawangan ini.
 
Kemeriahan aktiviti itu turut diserikan dengan kunjungan dari Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Mohd Yusof Mohd Noor.
 
Kehadiran bersama Adun Permatang Berangan, Nor Hafizah Othman itu telah disambut Yang DiPertua PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh dan pimpinan PAS Tasek Gelugor.
 
Edaran juadah tersebut selain sebagai sedekah, turut memberi kesempatan kepada pimpinan PAS Tasek Gelugor menziarahi dan menyantuni golongan sakit dan kurang berkemampuan. - HARAKAHDAILY 22/5/2019
IMG 20190522 WA0051

TAIPING: Dewan Pemuda PAS Kawasan Taiping telah meraikan para guru PASTI pada Majlis Berbuka Puasa dan Sambutan Hari Guru yang diadakan di Dewan Makan Telekom Malaysia, di sini kelmarin.
 
Bersama meraikan para pendidik ini adalah Pengarah PASTI Negeri Perak, Ustaz Mohd Azahari Yahaya dan Yang DiPertua PAS Taiping, Ustaz Saidin Hasnam serta Naib Ketua Muslimat PAS Taiping, Norsinah Saidin.
 
Turut menzahirkan penghargaan adalah ucapan disampaikan oleh Pengerusi Majlis Guru PASTI Taiping, Asmah Ramli dan Pengerusi PASTI Taiping, Fauzi Nisab.
 
Masing-masing pimpinan memperakui jasa para guru PASTI khususnya mencorak anak-anak sebagai generasi masa depan, selain telah menempa kejayaan dalam akademik dan sukan.
 
Selain itu, motivasi ke arah untuk terus menjayakan pengurusan pendidikan terbaik juga dirakamkan dengan harapan terserlah pula pada SRITI yang baharu berusia dua tahun di Taiping.
 
Majlis penuh meriah itu diakhiri dengan sesi memotong kek Hari Guru dan penyampaian cenderahati serta sumbangan Aidil Fitri kepada semua 45 warga pendidik PASTI yang diraikan itu. - HARAKAHDAILY 22/5/2019

LUMUT: Lajnah Dakwah dan Lajnah Kebajikan PAS Kawasan Lumut telah bersama memasak dan mengedar bubur lambuk di Bazar Ramadan di Stadium Manjung dan Teluk Muroh, di sini kelmarin.
 
Inisiatif penyediaan juadah yang sinonim dengan Ramadan ini telah diketuai tukang masak Masjid Al-Ihsan Taman Samudera, Abdul Rahim Khalid dibantu ahli-ahli PAS Cawangan Taman Samudera.
 
Selain menyantuni masyarakat dan mengerat silaturahim, program ini juga meluaskan dakwah khususnya berkaitan Ramadan dengan mengedarkan risalah khas kepada orang ramai.
 
Ia juga sekali gus menjadi kempen untuk menyuburkan amalan bersedekah dan memberi makan orang berbuka puasa yang sangat dianjurkan Rasulullah S.A.W di bulan ini.
 
Turut serta menjayakan program ini adalah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Lumut, Ustaz Badrulhisyam Baharuddin dan anggota Jabatan Amal, Alternative Riding Club serta Ameerah. - HARAKAHDAILY 22/5/2019
IMG 20190522 WA0028

TAMBUN: Para pendidik mempunyai peranan untuk menggunakan pekerjaan mereka sebagai medium yang berkesan dalam menyentuh hati masyarakat kepada Islam.
 
Malah, para pendidik khususnya yang telah bersara, diseru menggunakan harta dimiliki untuk disalurkan kepada gerak kerja Islam melalui sumbangan dan sedekah jariah.
 
Perkara tersebut diungkapkan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Kawasan Tambun, Abdul Kahar Mat Som pada Sambutan Hari Guru di Pusat Tarbiyah PAS Tambun, Taman Meru, di sini semalam.
 
Sementara itu, Yang DiPertua PAS Tambun, Ustaz Salleh Said menyentuh perihal kebajikan guru-guru yang menjadi tanggungjawab semua pihak sebagaimana PAS berperanan terhadap Guru PASTI.
 
Beliau turut memotivasikan bahawa tugas mulia para guru merupakan sumbangan dan dakwah kepada masyarakat yang tentunya di Hari Akhirat nanti akan mendapat balasan daripada Allah.
 
Majlis tersebut telah diakhiri dengan tazkirah sebelum berbuka puasa yang disampaikan oleh Pengerusi SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Fariq Izwan Md Bahrin. - HARAKAHDAILY 20/5/2019

BERUAS: Lajnah Tarbiyah dan Dakwah PAS Kawasan Beruas telah mengadakan Qiam Ramadan yang dilangsungkan di Markas PAS Ghuroba, Pengkalan Baharu, di sini kelmarin.
 
Ia diadakan dengan penglibatan para pimpinan dan ahli-ahli PAS Beruas serta penduduk setempat sebagai mengimarahkan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan ibadah sunat.
 
Qiam dianjurkan ini juga bertujuan sebagai memberi peringatan, nasihat dan teguran membina, selain menghindari sifat membazir, lalai dan segala mazmumah lain di dalam diri sendiri.
 
Program bermula dengan iftar jamaie hinggalah solat Tarawih, sebelum qiyamullail dan berakhir dengan kuliah Subuh disampaikan Ketua Urusan Ulamak PAS Kawasan Lumut, Ustaz Zainal Abidin Saad.
 
Beliau dalam kuliahnya itu mengupas dan menyeru supaya memperbanyakkan jariah terutama di kesempatan Ramadan serta melaksanakan amar makruf nahi munkar. - HARAKAHDAILY 20/5/2019
IMG 20190520 WA0061

TAWAU: PAS Cawangan Apas telah mengadakan ziarah kepada golongan asnaf dalam kalangan miskin, Orang Kelainan Upaya dan warga emas di Kampung Batu 5, Jalan Apas, di sini semalam.
 
Program sempena Ramadan ini juga merupakan inisiatif bulanan PAS Apas dalam menyantuni golongan asnaf dengan mengambil maklum dan mengemaskini perkembangan golongan itu.
 
Program yang dipimpin Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Kawasan Tawau, Juharia Haruna itu telah menyampaikan sumbangan barangan dapur.
 
Katanya, program tersebut selain menjadi komitmen berterusan pihaknya, turut membina hubungan kemasyarakatan antara ahli PAS Apas khususnya bersama penduduk setempat.
 
Turut serta mengiringi delegasi menyampaikan sumbangan kepada para asnaf tersebut adalah Ketua Muslimat PAS Apas, Ervinah Basmin. - HARAKAHDAILY 19/5/2019

TAMBUN: PAS Zon Meru telah menyampaikan sumbangan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana pada majlis di hadapan D'Panchor Freshmart, Taman Meru 2C, di sini, hari ini.
 
Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri yang menyerahkan barangan makanan dan keperluan asas seperti beras, minyak masak, tepung, susu dan lain-lain.
 
Ianya sebagai menunai tanggungjawab dan tuntutan ke atas orang Mukmin terhadap saudara Muslimnya bagi meringankan beban mereka dan sempena meraikan Aidil Fitri tidak lama lagi.
 
Menurut Ustaz Hafez, acara rutin itu dilaksanakan kerana PAS konsisten membantu penduduk dan berharap amal kebajikan sedemikian turut disokong orang ramai untuk sama melaksanakannya.
 
Seramai 80 penerima dipilih pada majlis tersebut adalah dari lima Cawangan iaitu Taman Meru, Taman Meru 2B dan 2C, Taman Jati dan Meru Raya. - HARAKAHDAILY 19/5/2019
IMG 20190519 WA0086