IPOH TIMUR: Muslimat PAS Muda atau lebih dikenali sebagai Ameerah Kawasan Ipoh Timur telah menganjurkan program Ameerah Care: Ziarah Kasih Semarak Aidil Fitri, semalam.

Program dengan kerjasama Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Ipoh Timur dan Jabatan Amal Ipoh Timur ini telah diadakan di sekitar Dun Tebing Tinggi, di sini.

Dipimpin langsung Ketua Muslimat PAS Ipoh Timur, Hanisah Hamidon, delegasi telah mengadakan kunjungan menyantuni para penerima sumbangan dari golongan memerlukan.

Menurut Ketua Ameerah Ipoh Timur, Nurul Shuhada Abd Ghani, dana yang disumbangkan oleh masyarakat setempat ini telah diagihkan sempena program ini kepada para penerima.

Katanya, dengan membawa tema "Rezeki Dikongsi, Yang Ada Berbagi", Ameerah Care memberikan bakul berisi keperluan dapur untuk para penerima bagi kegunaan di Aidil Fitri. - HARAKAHDAILY 27/5/2019

BAKRI: PAS Cawangan Parit Baru telah mengadakan program edaran bubur lambuk kepada penduduk setempat Parit Baru, di sini kelmarin.
 
Terdahulu, gotong-royong menyedia dan memasak bubur lambuk ini telah diadakan secara bersama oleh Ahli Jawatankuasa PAS Parit Baru dan ahli-ahli PAS Cawangan.
 
Penyediaan yang turut disertai Ahli Jawatankuasa PASTI Nurul Huda ini telah diketuai Setiausa PAS Parit Baru, Azman Ibrahim di premis PASTI itu sendiri.
 
Menurut Ketua PAS Parit Baru, Kadimon Madisan, program rutin tahunan ini menjadi wasilah pihaknya mendekatkan diri bersama masyarakat penduduk mengeratkan silaturahim sesama mereka.
 
Ia juga sebagai menyemarakkan Ramadan untuk menghidupkannya dengan amalan bersedekah terutama seruan Rasulullah yang menggalakkan pemberian makan orang berbuka puasa.
 
Bubur lambuk yang telah dibungkus telah diedar selepas Asar kepada penduduk di jalan besar berhadapan PASTI itu. - HARAKAHDAILY 27/5/2019

IPOH TIMUR: Ramadan menjadi saksi betapa agenda perpaduan ummah yang menjadi antara tujuan hidup manusia semakin erat terjalin melibatkan dua parti Melayu Islam tanah air, PAS dan Umno.
 
Ukhuwah sama turut berlangsung di bandar ini apabila PAS Kawasan dan Umno Bahagian dalam Parlimen Ipoh Timur menzahirkan semangat serupa pada majlis iftar perdana kedua pihak, semalam.
 
Majlis yang dihadiri ramai Ketua dan ahli PAS dan Umno Cawangan-cawangan ini dipimpin langsung oleh Yang DiPertua PAS Ipoh Timur, Ustaz Azmi Murad Yusof dan Ketua Umno Ipoh Timur, Dato' Azian Othman.
 
Istimewanya, kedua pihak 'disatukan' sebagaimana simbolik perpaduan Islam di zaman Rasulullah yakni di masjid apabila majlis ini berlangsung di Surau Al-Ittihad, Kampung Temiang, di sini.
 
Malah, majlis tahlil dan doa dipimpin oleh Imam Surau Al-Ittihad, Ustaz Hamimi Ahmad, selain majlis turut mencatat sejarah sendiri apabila dihadiri Timbalan Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Ustaz Azmi menyifatkan majlis tersebut sebagai permulaan kepada kesatuan untuk membentuk perpaduan lebih utuh dan pertemuan itu juga dimeriahkan dengan jamuan enak nasi briyani kurma kambing. - HARAKAHDAILY 25/5/2019

TELUK INTAN: PAS Kawasan Teluk Intan terus memperkukuhkan agenda memasyarakatkan PAS sempena Ramadan ini dengan mengadakan program Singgah Sahur, awal pagi tadi.
 
Program yang juga bertujuan menggandakan ibadah di bulan penuh keberkatan ini telah diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik bersama pimpinan lain.
 
Menerusi peranan digerakkan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Teluk Intan, Ustaz Lotfi Shamsudin, sebanyak 100 bungkusan juadah sahur berupa nasi goreng dan air minuman telah disediakan.
 
Rombongan telah berkunjung langsung ke beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Hilir Perak.
 
Tidak ketinggalan menerima lawatan awal pagi untuk serahan juadah itu adalah Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak dan Jabatan Kecemasan dan Dewan Bersalin Hospital Teluk Intan.
 
Menurut Ustaz Lotfi, aktiviti tersebut juga menjadi salah satu cara PAS Teluk Intan menzahirkan penghargaan kepada penjawat awam yang komited menjalankan tugas mereka. - HARAKAHDAILY 25/5/2019
IMG 20190525 WA0102

BUKIT GANTANG: Pemuda PAS Kawasan Bukit Gantang telah mengadakan Sambutan Hari Guru SRITI Al-Helmi dan majlis berbuka puasa di Taiping Oasis Arabic Yemeni Cuisine, di sini kelmarin.
 
Ia sebagai merai dan menghargai tenaga pengajar dan staf serta memperkukuhkan ukhuwah dengan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) SRITI Al-Helmi atas usaha dan kejayaan telah dicapai institusi ini.
 
Program telah dihadiri Ketua Pemuda PAS Bukit Gantang, Zu Hazmi Badri dam Pengerusi ALP SRITI Al-Helmi, Azmi Said bersama anggota jawatankuasa beliau.
 
Azmi dalam ucapannya memaklumkan kejayaan SRITI itu yang kini menerima permintaan tinggi di Dun Trong di mana memungkinkan cawangan baharu institusi itu dibuka di sana nanti.
 
Atas penghargaan tersebut, pihak penganjur selain meraikan dengan cenderahati sambutan turut sudi memberikan bonus tahunan kepada semua guru dan staf SRITI Al-Helmi.
 
Majlis ringkas tetapi meriah itu turut diserikan dengan tayangan montaj Hari Guru disediakan pihak ALP sendiri, selain tahlil ringkas sebelum berbuka puasa bersama. - HARAKAHDAILY 25/5/2019

LUMUT: Pimpinan PAS Kawasan Lumut telah bersama meraikan majlis iftar jamaie PAS Cawangan Lumut yang diadakan dengan kerjasama PASTI Al-Ilmi 1 di premis PASTI ini, Seri Manjung, kelmarin.

Mereka ialah Timbalan dan Naib Yang DiPertua, Zainal Abidin Saad dan Mohamad Che Ghani, serta Setiausaha, Hamidun Ahmd dan Ketua Penerangan, Awis Kharni Hussain.

Majlis bermula dengan tahlil dan doa selamat dipimpin Mohamad yang juga Ketua PAS Lumut diikuti pengisian motivasi untuk terus istiqamah beribadah sehingga bertemu lailatul qadar.

Beliau menyingkap kelebihan malam tersebut yang menyamai amalan selama 83 tahun, selain menyeru istiqamah membaca al-Quran walaupun setelah Ramadan berakhir nanti.

Meraikan para guru PASTI pada majlis tersebut, Zainal Abidin telah menyampaikan sumbangan duit raya sebagai persediaan mereka menyambut Syawal nanti.

Iftar jamaie itu merai seluruh hadirin dengan hidangan istimewa kari kepala ikan selaku menu utama. - HARAKAHDAILY 25/5/2019

BUKIT GANTANG: PAS Kawasan Bukit Gantang telah meraikan 30 anak-anak yatim berbuka puasa bersama di Rumah Anak Yatim Nur Hidayah, Kampung Cheh, di sini kelmarin.
 
Program ini merupakan satu usaha menunaikan tuntutan agama supaya menjaga hal ehwal anak yatim selain menyemarakkan lagi keberkatan ibadah sempena bulan Ramadan.
 
Menerusi majlis ini juga dapat mengalirkan kasih sayang kepada golongan ini di mana sememangnya menjadi satu bahagian yang hilang dalam kehidupan para anak yatim.
 
Menurut Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman, pihaknya mahu berkongsi lebihan nikmat dan rasa syukur dengan menggembirakan anak-anak yatim.
 
"Kita mahu golongan ini tahu bahawa mereka tidak pernah dilupakan, malah diambil berat terhadap hal ehwal kebajikan mereka," ujarnya.
 
Majlis diisi dengan tazkirah dari Ketua Urusan Ulamak PAS Bukit Gantang, Ustaz Ahmad Fariz Jalaluddin dan pemberian duit raya oleh Naib Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Rahim Ismail.
 
Turut dihargai pada majlis tersebut adalah Pengerusi Persatuan Anak-anak Yatim Nur Hidayah, Mohd Yussairie Mohd Saad. - HARAKAHDAILY 25/5/2019
IMG 20190525 WA0052

TAMBUN: Sebagai usaha menyantuni golongan asnaf untuk berbuka puasa, Muslimat PAS Cawangan Medan Klebang Restu telah menyampaikan sumbangan nasi bungkus dan air buah-buahan, di sini kelmarin.
 
Ketua Muslimat PAS Medan Klebang Restu, Jamani Azizan berkata, sumbangan tersebut adalah tajaan daripada Pengurus Restoran Silver Yob Cafe yang bekerjasama menjayakan program amal ini.
 
"Pihak restoran berbesar hati menawarkan khidmat menyediakan makanan berbuka puasa untuk semua keluarga asnaf yang dikenal pasti pihak Muslimat PAS," ujar beliau.
 
Maklumnya, usaha tersebut menjadi ruang bagi menyantuni keluarga asnaf yang kebanyakannya mempunyai ahli keluarga menghidap penyakit kronik, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal.
 
Turut diadakan ialah pemberian sumbangan berbentuk keperluan makanan asas kepada keluarga yang memerlukan hasil sumbangan orang ramai atas hajat berinfak sempena Ramadan.
 
Pengurus Restoran Silver Yob Cafe, Nur Hayati Hashim berkata, pihaknya berbesar hati menerima sebarang bentuk infak orang ramai yang berhajat demikian di mana boleh menghubungi talian 019-596 4045.
 
Pihak beliau sentiasa menerima sumbangan tidak bermusim berbentuk wang ringgit dan makanan asas untuk menyedia perkhidmatan katering ke rumah-rumah kebajikan, anak yatim dan golongan memerlukan. - HARAKAHDAILY 25/5/2019
IMG 20190525 WA0018

LUMUT: Jemaah Permuafakatan Guru dan Kakitangan (JPGKT) At-Ta'alim telah melancarkan program Kembara Ramadan di Seri Manjung, di sini kelmarin.
 
Ia bertujuan menyampaikan sumbangan kepada para 55 pelajar asnaf dan anak yatim Sekolah Rendah Islam dan Sekolah Menengah Islam At-Ta'alim.
 
Pemberian tersebut dengan harapan ianya meringankan beban keluarga pelajar terbabit dan mereka turut meraikan Syawal dengan senyuman kegembiraan.
 
Semua pelajar ini menerima keperluan barangan harian dapur di mana disampaikan terus ke kediaman mereka yang menetap di sekitar Sitiawan, Manjung, Lumut dan Lekir.
 
Menurut Pengerusi Kelab JPGKT, Hayatul Akmal Mazlan, program ini membuktikan para guru bukan sahaja berperanan mendidik pelajar mereka, tetapi juga prihatin terhadap kehidupan berkeluarga. - HARAKAHDAILY 24/5/2019
IMG 20190524 WA0084

KAMPAR: Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Kawasan Kampar telah menganjurkan Ziarah Kebajikan 2.0 di Kampung Changkat Tin dan Kampung Tanjung Tualang, di sini kelmarin.

Antara slot ziarah tersebut adalah bersama PAS Cawangan Tanjung Tualang menyampaikan kit kebajikan kepada golongan al-malak yang diadakan di Surau Iskandariah.

Turut tidak dilupakan apabila disampaikan sumbangan kepada 36 anak-anak yatim melalui Pengetua Rumah Anak Yatim Soleha, Kampung Air Papan, Abdul Hadi Ideris.

Juga menerima sumbangan sempena program ini adalah 20 hafiz menerusi sumbangan kepada Pengasas Pusat Tahfiz Al-Amin, Ustaz Muhammad Aminuddin Yusof di Changkat Tin.

Ziarah para Pemuda PAS ini turut mengambil seruan pihak Assabiqun PAS Pusat supaya menyantuni golongan tersebut apabila berkunjung ke kediaman Imam Abdul Rom Abdul Karim.

Ketua Pemuda PAS Kampar, Mohd Shahrizan Ahmad Fuat menyatakan komitmen pihaknya untuk terus menyelami denyut nadi kehidupan masyarakat terutama yang kurang berkemampuan. - HARAKAHDAILY 24/5/2019

IMG 20190524 WA0076

IMG 20190524 WA0074

BERUAS: PASTI Negeri Perak bersama PASTI Kawasan Beruas telah mengadakan Kembara Ramadan menyantuni asnaf dalam kalangan warga PASTI dalam Parlimen itu, kelmarin.
 
Tujuan program tersebut adalah meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan dalam menghidupkan Ramadan dan persediaan menyambut Syawal yang bakal tiba.
 
Malah, menerusi program tersebut dalam memupuk kasih sayang dan melahirkan sifat ihsan, sekali gus membentuk sifat mahmudah dan mengurangkan jurang perbezaan darjat yang ada.
 
Antara yang terpilih menerima sumbangan adalah Shahalizah Omar dari PASTI An-Nurah Bagan Panchor yang diuji ibunya menghidap sakit kronik buah pinggang tahap akhir.
 
Sumbangan disampaikan Timbalan Pengarah PASTI Perak, Aminuddin Ahmad bersama Pengerusi PASTI Beruas, Fitri Nor Idris Rozaini yang hadir ke kediaman pendidik itu.
 
Program ini juga bertujuan menggerakkan usaha-usaha kebaikan sebagaimana diserukan Rasulullah dan para ulamak supaya menjadi amalan dalam kalangan warga PASTI. - HARAKAHDAILY 24/5/2019

BAKRI: Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Bakri telah menganjurkan Ceramah Perdana Badar Kubra di Markas PAS Kampung Jeram Masjid, di sini kelmarin.
 
Program dengan kerjasama PASTI Bakri ini bertujuan menyemarakkan roh perjuangan dengan menghayati dan mengambil kelebihan yang terdapat dalam Ramadan.
 
Pihak penganjur juga berharap program ini akan membangunkan iktibar dan semangat para amilin serta penyokong PAS bagi menggerakkan langkah ke PRU15 akan datang.
 
Majlis yang bermula dengan berbuka puasa hinggalah solat Tarawih itu dan kemuncaknya ceramah oleh Ahli Jawatankuasa Ulamak PAS Negeri Johor, Ustaz Anas Abu Umar.
 
Antara intipati penting dikupasnya dari ibrah Badar adalah ujian dahsyat dihadapi kaum Muslimin, namun dikurniakan nusratullah dari langit hingga mencapai kemenangan.
 
Pimpinan PAS Bakri yang hadir sama adalah Yang DiPertua, Ustaz Kamalulnizam Mohd Suhut dan Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Zarul Salleh serta Ketua Pemuda, Mohd Nahar Tasimin dan Ketua Muslimat, Ustazah Normala Ali.
 
Pada majlis sama juga turut dilangsungkan penyampaian sumbangan Ramadan kepada semua guru-guru PASTI Bakri oleh Ustaz Kamalulnizam yang turut dihadiri Setiausaha PASTI Bakri, Iskandar Ghani Ismail serta Ketua MGP Bakri, Azizah Alimat. - HARAKAHDAILY 24/5/2019
20190524 113213
 
IMG 20190524 WA0009