SEKOLAH Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Ummul Qura' Bagan Datuk, Perak secara rasmi dibuka pada Januari 2019 dan mula beroperasi bagi pengambilan murid tahun satu sahaja. Penubuhan SRITI Bagan Datuk juga mengambil kira pandangan dan dorongan dari kalangan ahli serta masyarakat setempat. Penasihat SRITI Ummul Qura' adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Datuk, Ustaz Misbahul Munir Masduki bersama pimpinan Pemuda PAS Bagan Datuk yang di pimpin oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Bagan Datuk, Ustaz Mohd Khairi Abdullah. 
 
Gagasan terbesar yang dirancang ialah mewujudkan satu sistem pendidikan aliran sekolah rendah yang merangkumi dan melengkapi semua aspek pendidikan bagi tahap umur 7 hingga 12 tahun. SRITI meletakkan satu sasaran bahawa akan muncul sebagai sebuah intitusi pendidikan sekolah rendah yang terbaik dan menjadi pilihan utama masyarakat.
 
Tujuan utama penubuhan SRITI Ummul Qura' ialah menyahut seruan dan cadangan oleh pihak Dewan Pemuda PAS Pusat dan Negeri dalam usaha memastikan setiap kawasan wujud sekurang-kurangnya sebuah SRITI bagi mencapai matlamat utamanya dalam melahirkan generasi yang menghayati al-Quran dan Hadis serta menguasai ilmu agama dan akademik sebaiknya. Dalam pada itu seiring juga visi dan misi SRITI dalam usaha membentuk dan melahirkan satu generasi ummah yang soleh, pintar, rabbani serta murabbi. 
 
Usaha penubuhan SRITI Ummul Qura' adalah bermula dari perancangan teliti pihak Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datuk dengan pembentukan satu jawatankuasa khas yang akan membina strategi penubuhan SRITI ini. Ramai pihak yang bekerjasama dalam proses penubuhan terutamanya pimpinan di peringkat Kawasan dan Dewan Pemuda. Pengerak yang terlibat secara khasnya ialah Jawatankuasa SRITI Kawasan Bagan Datuk yang dibentuk pada peringkat awal dipimpin oleh Mustaid Saifuddin. 
 
Setakat ini, SRITI  menawarkan pengajian merangkumi tiga elemen pendidikan merangkumi aspek agama, al-Quran dan akademik sesuai untuk tahap sekolah rendah. Sukatan kurikulum sepenuhnya diambil daripada pihak SRITI Malaysia, Kementerian Pendidikan (KSSR) dan KAFA melalui Jabatan Agama Islam Perak. Sukatan ayat-ayat hafazan  al-Quran pula mengikut tema tertentu.
 
Hasil kutipan dana, bangunan sewa rumah kedai tingkat atas yang lengkap dengan bilik guru, pejabat, kelas serta kemudahan asas seperti tandas dan ruang dapur telah dipilih untuk tapak awal SRITI ini. Kelengkapan kelas termasuk penghawa dingin dengan kelas pembelajaran bermula 7:45 pagi dan tamat pada jam 4:30 petang. Antara kandungan sesi persekolahan di sini ialah termasuk amali solat sunat Dhuha yang dilatih setiap hari dan bacaan hafazan pada awal dan akhir sesi persekolahan. Tenaga pengajar setakat ini seramai dua orang yang berkelulusan ijazah serta berpengalaman dalam bidang pendidikan.
 
Sebagai perancangan masa depan, kira-kira lima hingga enam tahun akan datang pihak SRITI telah merancang untuk memiliki sebuah tapak dan bangunan sendiri dalam meneruskan agenda pendidikan ini. Usaha ini telah mendapat sambutan baik kerana ramai pihak termasuk individu setakat ini berusaha membantu dalam usaha yang dirancang tersebut.
 
Sumbangan yang diperlukan buat ketika ini ialah sumbangan dana untuk mengurus tadbir bangunan dan persekolahan termasuk bayaran bil-bil, sewaan dan kos penyelenggaraan SRITI. Kos bulanan yang diperlukan untuk mengurus SRITI ialah RM5,000. Bantuan dan dana orang ramai amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan pembangunan SRITI Ummul Qura' ini. Sumbangan boleh disalurkan melalui nombor perhubungan Pengerusi SRITI Ummul Qura', Mustaid Saifuddin, 019-4989016 atau ke akaun Maybank SRITI Bagan Datuk, 5583 8751 4356. - HARAKAHDAILY 9/4/2019
20190409 215746
 
20190409 215720
 
20190409 215634
 
20190409 215617
 
20190409 215556
 
20190409 215532
 
20190409 215506

KERJASAMA yang ditunjukkan ketika bergotong-royong untuk program anjuran bersama PAS-Umno Cawangan Kampung Luat, dekat sini semalam, membuktikan perpaduan dikalangan pimpinan, ahli-ahli serta para penyokong antara kedua-dua parti berkenaan di peringkat bawahan dilihat lebih mudah dapat dibentuk.
 
Penulis yang turut menjadi antara penggerak utama program itu, berpendapat antara lain adalah disebabkan kalangan pimpinan, ahli-ahli dan para penyokong kedua-dua parti mempunyai ikatan persaudaraan antara satu sama lain.
 
Selain itu ahli-ahli kedua-dua parti sudah terbiasa terlibat dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, seperti kenduri kendara, mengendalikan urusan-urusan kematian, solat berjamaah, majlis pengajian dan sebagainya.
 
Walaupun lebih 60 tahun 'bermusuhan', permusuhan pun hanya ketara  semasa demam pilihan raya sahaja, selepas itu hubungan dalam bermasyarakat pulih semula seperti biasa.
 
Malah penulis merasai perpaduan antara dua parti terbesar orang Islam dan Melayu ini dilihat lebih mesra dan erat berbanding dengan perpaduan yang pernah dibentuk antara PAS dan parti-parti yang bersama membentuk Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat sebelum ini.
 
Perpaduan yang terbentuk dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) dulu, dirasai ada 'perang dingin' disebabkan oleh beberapa faktor yang biasanya PAS menjadi mangsa kepada rakan-rakan dalam pakatan.
 
Faktor paling ketara ialah hanya PAS yang ada jentera di semua peringkat, lalu terpaksa membuat kerja-kerja yang dilonggok oleh rakan sepakatan, seperti mengendalikan program-program ceramah, pemasangan lambang dan bendera parti dan sebagainya.
 
Sebaliknya, apabila ada peruntukan daripada pihak atasan parti rakan, kebanyakannya agihan yang dibuat itu tidak sampai kepada peringkat bawahan PAS, sedangkan duit PAS terkumpul dari poket ahli-ahlinya.
 
Penulis melihat perpaduan yang terbentuk antara PAS dan Umno, khususnya antara ahli-ahli peringkat akar umbi menjadi semakin erat, juga kerana kebimbangan mereka apabila Islam sebagai Agama Persekutuan semakin terancam dan orang Melayu semakin terpinggir.
 
Raja-Raja Melayu yang menjadi payung negara, tetap disanjung, dihormati dan disayangi oleh rata-rata orang Islam dan orang Melayu yang berada di dalam PAS dan Umno.
 
Keeratan perpaduan terbentuk juga adalah kerana Islam dan itu adalah faktor yang mereka rasakan paling utama, terutama oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS dan sebahagian besar ahli Umno.
 
Petang semalam, penulis turun bersama pimpinan serta ahli-ahli PAS dan Umno Cawangan Kampung Luat, bergotong royong membuat persiapan untuk program ceramah perpaduan ummah anjuran bersama.
 
Muslimat PAS dan Wanita Umno duduk bersama membuat kerja memotong bawang dan sebagainya dalam keadaan sangat mesra, manakala muslimin bantu kerja-kerja memotong daging, ikan patin dan lain-lain.
 
Pemasangan lambang dan bendera kedua-dua parti di kawasan sekitar lokasi ceramah pula dilakukan bersama-sama dalam suasana penuh ceria, di mana ketua cawangan Umno memasang lambang PAS dan begitu sebaliknya.
 
Sementara itu, ceramah perpaduan ummah anjuran bersama peringkat cawangan itu menampilkan Bendahari PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria dan Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
 
Pengerusi Umno Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Lenggong, Drs Mohd Hanafiah Idris selaku penceramah.
 
Ceramah yang diadakan pada sebelah pagi hingga makan tengahari itu, bertempat di Dewan Rakan Muda Dataran Tasik Sandarhalu, Kampung Luat. - HARAKAHDAILY 8/4/2019
IMG 20190408 WA0066
 
IMG 20190408 WA0067
 
IMG 20190408 WA0068

PUTRAJAYA: PAS Kawasan Putrajaya telah mengadakan ziarah mengunjungi anak kepada anggota Jabatan Amal Malaysia Putrajaya, Wan Raziemee Wan Razak di Hospital Putrajaya, di sini.
 
Anak beliau, Wan Rafiezee yang genap berusia 2 tahun dimasukkan ke wad kanak-kanak hospital tersebut sejak 6 hari lalu berikutan jangkitan kuman di paru-paru dihadapinya.
 
Pada ketika ini, anak kecil itu dinasihatkan doktor untuk meneruskan rawatan lanjut dengan bantuan oksigen, selain ubat antibiotik juga masih diberikan kepadanya untuk segera menyah kuman.
 
Lawatan oleh Yang DiPertua PAS Putrajaya, Roshidi Wahab dan Ketua Pemuda PAS Putrajaya, Abdul Azim Abu Ziden itu sebagai merakam takziah dan menghulurkan sumbangan.
 
Mereka berharap dan mendoakan kanak-kanak comel itu segera sembuh dan kembali riang gembira untuk bersama ibu bapa serta seluruh ahli keluarganya. - HARAKAHDAILY 8/4/2019
IMG 20190408 WA0053

LUMUT: Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Lumut buat julung kalinya telah mengadakan program mencandat sotong di hadapan Masjid Seribu Selawat, Pulau Pangkor, di sini malam tadi.
 
Program yang menjadi aktiviti sulung bagi sesi kepimpinan baharu sayap PAS Lumut ini bertujuan mendekati dan mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat di pulau pelancongan itu.
 
Pun demikian, program tersebut ternyata menggamit kehadiran peminatnya yang tersendiri di mana selain disertai penduduk tempatan dari pelbagai peringkat umur, turut bersama adalah peserta dari Pasir Salak.
 
Walaupun santai dan menikmati cuti, program tersebut juga menjadi pengalaman baharu kepada mereka yang kali pertama mencandat sotong, sementara peserta lainnya mempamerkan teknik pelbagai.
 
Pengerusi DACS Lumut, Mohd Firdaus Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya bercadang mengadakan lagi program seumpama ini disamping menyantuni dan beramah mesra dengan warga setempat.
 
Program tersebut turut dijayakan oleh Pemuda PAS Cawangan Pangkor dan Cawangan Sungai Pinang Besar diketuai Mohd Firdaus Armi dan Mohd Zailani Yusof yang menyediakan BBQ buat peserta. - HARAKAHDAILY 31/3/2019
IMG 20190331 WA0015

ALOR  SETAR: Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) Wilayah Utara telah melangsungkan Majlis Syahadah Maahad Tahfiz Ar-Rahmah Li Tahfiz Al-Quran (MARLIQ), di sini semalam.
 
Acara tersebung diadakan sebagai meraikan kejayaan melahirkan huffaz sulung institusi ini yang menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran sejak ia ditubuhkan hujung tahun 2014.
 
MARLIQ secara khusus menjadi pemangkin kepada anak-anak pelarian Rohingya menerima pendidikan aliran Tahfiz al-Quran selain mengembangkan motivasi pelajar tempatan.
 
Menurut Penyelaras MAPIM Wilayah Utara, Muhammad Shukri Saari, walaupun pelajar Rohingya yang ada merupakan pelarian, tetapi mereka komited untuk belajar dan menghafaz.
 
Malah katanya, kekurangan serba serbi di MARLIQ tidak menghalang minat anak-anak tersebut untuk mencapai kejayaan sebagaimana diusahakan institusi lain yang wujud.
 
"MAPIM berharap masyarakat setempat turut sama memberi sokongan di atas usaha kepedulian ummah dijalankan ini. MAPIM menghargai sumbangan kewangan, masa dan tenaga telah semua pihak curahkan," ujarnya.
 
Majlis penyampaian sijil tamat hafiz al-Quran itu telah disempurnakan sendiri oleh Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid. - HARAKAHDAILY 29/3/2019
IMG 20190329 WA0025

LUMUT: PAS Kawasan Lumut menerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi telah mengadakan lawatan ke kilang perusahaan produk Muslim di Kampung Permatang Manjung, di sini semalam.
 
Lawatan diketuai sendiri Yang DiPertua PAS Lumut, Rasli Abd Rahman dan Setiausaha PAS Lumut, Hamidun Ahmad itu bertujuan membina jaringan usahawan Muslim dalam kawasan ini.
 
Ia juga dalam usaha berkongsi pandangan dan idea untuk membangunkan usahawan Muslim khususnya dan memajukan ekonomi umat Islam keseluruhan amnya.
 
Pada kesempatan tersebut, delegasi melihat sendiri proses pembuatan produk bebola dan kek ikan keluaran hasil tangan penduduk jati kampung tersebut yang dihasilkan dengan jenama Mak Cuu.
 
Pihak kilang sendiri melahirkan harapan agar sokongan dan bantuan dari pengguna akan sama-sama menjayakan kempen membeli serta mengguna produk Muslim, sekali gus merancakkan ekonomi umat Islam.
 
Pihak PAS Lumut pula berbangga dengan kegigihan para usahawan yang meneroka bidang ini di mana juga telah mewujudkan peluang pekerjaan serta meluaskan pasaran umat Islam.
 
Turut serta adalah Ketua Muslimat PAS Lumut, Rohawati Abidin dan Pengerusi Lajnah Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Lumut, Nizam Majid serta aktivis masyarakat, Raie Yusuf. - HARAKAHDAILY 24/3/2019

IPOH: Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Istiqamah telah mengadakan Majlis Doa Selamat Kesyukuran dan Ramah Mesra di Bandar Meru Jaya, di sini semalam.
 
Selain menikmati hidangan bersama, majlis turut berlangsung dengan solat berjamaah, bacaan Yaasiin dan doa, selain dimeriahkan oleh persembahan nasyid dan bercerita dari para pelajar.
 
Penasihat SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Hafez Sabri dalam tazkirahnya mengajak memberi perhatian untuk menunaikan hak anak-anak yang pada zaman ini lebih terdedah kepada cabaran teknologi.
 
Hal tersebut menurutnya, menyebabkan ibu bapa kurang memberi masa, selain tidak berlaku komunikasi dua hala yang baik antara anak-anak dengan ibu bapa.
 
"Kita berikan tumpuan sepenuhnya setiap cerita dan luahan mereka terutama mengenai dirinya dam kisah-kisah sekolahnya sebab ibu bapalah tempat pertama mereka luahkan," pesan beliau.
 
Turut berucap adalah Pengerusi SRITI Al-Istiqamah, Ustaz Mohd Fariq Izwan Md Bahrin yang melahirkan harapan agar semua pihak menjayakan operasi institusi pendidikan tersebut. - HARAKAHDAILY 23/3/2019
 
IMG 20190323 WA0003
 
IMG 20190323 WA0004
 
IMG 20190323 WA0006

LUMUT: Wanita Umno dan Muslimat PAS dalam Parlimen Lumut telah mengadakan majlis bersama bacaan Yaasin di Dewan Pejabat Umno Bahagian Lumut, Sitiawan, di sini semalam.
 
Menurut Ketua Muslimat PAS Kawasan Lumut, Rohawati Abidin berkata, program seumpama itu dilihat sebagai platform yang baik ke arah pengukuhan ukhwah kedua-dua pihak.
 
Bahkan menurut beliau, dikesempatan majlis tersebut, wakil beberapa Cawangan PAS dan Umno telah berbincang dan bercadang untuk mengadakan majlis yang sama di Cawangan masing-masing.
 
Sementara itu, beberapa Muslimat PAS yang hadir melahirkan rasa terharu dan gembira dengan pertemuan julung kali diadakan melibatkan dua entiti tersebut setelah lebih 60 tahun ‘berlawan’ di arena politik.
 
Begitu juga rata-rata Wanita Umno amat menghargai kesudian Muslimat PAS untuk hadir menjejaki kaki ke program yang diadakan di premis milik Umno ini di mana berbeza dengan program sebelum ini diadakan di Markas-markas PAS.
 
Bacaan Yaasin telah dipimpin oleh Ketua Penerangan Umno Bahagian Lumut, Ustaz Hairul Abdul Karim yang seterusnya menyampaikan tazkirah menyentuh mengenai janji Allah S.W.T terhadap orang beriman dan beramal soleh. 
 
Majlis yang dihadiri lebih 50 anggota Muslimat dan Wanita itu diakhiri dengan jamuan minum petang dan sesi bergambar. - HARAKAHDAILY 20/3/2019

IPOH: PAS Kawasan Ipoh Timur telah melangsungkan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-21 yang diadakan di Dewan Komuniti Cempaka Sari, di sini semalam.

Perasmiannya telah disempurnakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Antara disentuh beliau adalah kecaman terhadap tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan berikutan tragedi tembakan rambang yang berlaku di New Zealand, Jumaat baru-baru ini.

Beliau berharap pelaku terbabit dibawa ke muka pengadilan dan turut merakamkan takziah terhadap kehilangan nyawa yang dialami keluarga mangsa kejadian.

Yang DiPertua PAS Ipoh Timur, Ustaz Azmi Murad Mohd Yusof dalam ucapannya menyeru ahli memelihara dan mempertahankan Islam dari dicemari musuh-musuh.

Hadir sama memeriahkan perasmian mesyuarat tersebut adalah Ketua Bahagian Ipoh Timur, Dato' Azian Osman. - HARAKAHDAILY 18/3/2019  

IMG 20190318 WA0052

IMG 20190318 WA0053

TELUK  INTAN: Setiap ahli PAS perlu melipatgandakan pelaksanaan strategi serta persediaan dalam menghadapi PRU15 dengan mengimani tuntutan Allah sebagaimana ayat 200 surah Ali Imran.
 
Seruan tersebut dikemukakan Yang DiPertua PAS Kawasan Teluk Intan, Ustaz Ismail Che Nik pada Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-45 di Dewan KOMPASTI, Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
 
Beliau turut menyentuh mengenai usaha menjalinkan hubungan dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak demi membawa keuntungan kepada perjuangan Islam.
 
Jelasnya, perkara tersebut juga memerlukan persediaan dengan memiliki sikap konsisten dan hadam terhadap konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang digagaskan Presiden PAS.
 
Pemilihan yang diadakan untuk sesi baharu sempena mesyuarat tersebut menyaksikan jawatan Yang DiPertua, Timbalan dan Naib Yang DiPertua telah dimenangi tanpa bertanding.
 
Pada mesyuarat ini juga telah disampaikan Anugerah Pengurusan Terbaik kepada PAS Cawangan-cawangan iaitu Taman Cicely, Kampung Padang Tembak dan Kampung Bahagia. - HARAKAHDAILY 18/3/2019
IMG 20190318 WA0030

BESUT: PAS Kawasan Besut berjaya mendaftarkan keahlian baharu parti itu paling ramai di seluruh negeri Terengganu pada tahun 2018, lalu sejumlah 2,109 orang.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, dengan jumlah keahlian baharu itu membuktikan PAS terus mara dan diterima oleh rakyat.

Oleh itu, katanya semua penyokong dan pendukung parti itu perlu memainkan peranan penting mengajak mengenali PAS secara lebih dekat.

“Semua penyokong dan pendukung PAS perlu memainkan peranan penting dalam menerang dan mengajak masyarakat, supaya lebih mengenali dan dekat dengan PAS.

“Kita bukan hanya sekadar parti politik, kita juga adalah sebuah parti dakwah dan tarbiah.

“Oleh sebab itu, saya menyeru kepada semua ahli PAS dan penyokong parti ini untuk hadir beramai-ramai dengan membawa ahli keluarga masing-masing, ke program sambutan 60 Tahun PAS Kawasan Besut, insya-Allah,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh 60 tahun PAS bertapak di Besut ini pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi dilalui.

Sehubungan itu, kata Ustaz Wan Azhar, jawablah tohmahan dan persepsi negatif yang dilemparkan kepada PAS dengan penuh berhikmah.

Harakahdaily dimaklumkan, majlis sambutan 60 tahun PAS Besut itu diadakan pada 14 hingga 16 Mac di Kampung Pantai Air Tawar, Besut. – HARAKAHDAILY 14/3/2019

SERI MANJUNG: Temasya Sukan Tahunan Kali Ke-21 Sekolah Rendah Islam At-Ta'alim telah berlangsung di Sekolah Menengah Dato' Seri Kamarudin, Seri Manjung, di sini semalam.

Temasya yang turut disertai atlet-atlet dari Sekolah Menengah Islam At-Ta'alim dan Pondok At-Ta'alim ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah At-Ta'alim, Rosli Abd Rahman.

Menurut beliau, temasya tahunan ini diharapkan dapat membuka minda masyarakat khususnya komuniti setempat terhadap kewujudan institusi At-Ta'alim di situ.

Menurutnya, At-Ta'alim terbukti mampu melahirkan pelajar-pelajar yang serba boleh dan kreatif, hasil usaha gigih para Ahli Lembaga Pengarah, guru-guru dan seluruh kakitangannya.

Termasya berlangsung gilang-gemilang dimulai perbarisan oleh semua kontinjen diikuti acara sukaneka dan balapan yang dipertandingkan sepanjang kejohanan itu.

Turut diadakan ialah jualan amal dan kaunter tabung infaq pembangunan Kompleks At-Ta'alim bagi memudahkan hadirin untuk menghulurkan sumbangan pembinaan kompleks ini.

Temasya sukan pada kali ini menyaksikan Rumah Kuning telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala naib juara disandang Rumah Biru dan tempat ketiga dimenangi oleh Rumah Hijau bagi SRI At-Ta'alim.

Sementara bagi Sekolah Menengah At-Ta'alim, juara keseluruhan diungguli oleh Rumah Merah serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati pula disandang oleh Muhammad Hafiz Hakim dan Nur Aleeya Aimran masing-masinh dari Rumah Biru. - HARAKAHDAILY 3/3/2019   

 

IMG 20190303 WA0011

IMG 20190303 WA0012

IMG 20190303 WA0013

IMG 20190303 WA0015