Pemuda lapor polis sebaran dakyah Kristian

Komuniti
Typography

KEPALA BATAS: Dewan Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas telah membuat satu laporan polis berhubung penyebaran risalah Kristian kepada penduduk Muslim di Taman Kuala Bekah, di sini baru-baru ini.

Laporan polis diketuai Ahli Jawatankuasa Kerja Pemuda PAS Kepala Batas, Ustaz Hanif Ghazali dan diiringi sahabat Pemuda PAS yang lain itu telah dibuat di Balai Polis Kepala Batas, di sini malam semalam.

Aduan butiran laporan tersebut telah diberikan dan diterima oleh Lans Koperal Nurul Adilah Muhmad Barkry yang bertugas dan difahamkan segera dipanjangkan untuk tindakan Pegawai Penyiasat.

Pihak Pemuda PAS Kepala Batas meminta agar pihak Polis segera menjalankan siasatan terperinci bagi mencari dalang dan motif perbuatan pihak berkenaan yang menyalahi undang-undang berkaitan.

Sehingga hari ini dilaporkan kejadian sama turut berlaku di beberapa kawasan berpendudukan majoriti Melayu Islam yang dilihat cubaan pihak tertentu mendakyah sasaran dipercayai atas tujuan dan motif hasutan. - HARAKAHDAILY 18/11/2018