Perairan Seberang Perai diancam pencemaran

Komuniti
Typography

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Pulau Pinang, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberi perhatian serius terhadap masalah pencemaran laut yang menjejaskan kehidupan lebih 1,000 nelayan pantai dan 186 pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang ketika ini.

Masalah yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu telah menyebabkan hidupan laut di perairan berkenaan semakin pupus. Pendapatan nelayan-nelayan yang terlibat telah merosot hingga 50% dan para penternak ikan dalam sangkar pula mengalami kerugian jutaan ringgit kerana ternakan mereka mati akibat pencemaran laut.

Dilaporkan bahawa pada September lalu lebih kurang 200,000 ekor benih ikan Bawal Emas, Jenahak, Merah, Siakap, Kerapu dan lain-lain telah mati dipercayai berpunca dari pencemaran laut di kawasan ini.

Dalam tinjauan yang dibuat kami mendapati selain ikan dan udang yang menjadi sumber tangkapan utama mereka berkurangan, kerang, siput dan pokok bakau juga banyak yang mati kerana lumpur di kawasan pantai di sini tercemar oleh sisa toksik yang dilepaskan di perairan itu.

Kami kesal walau pun ancaman pencemaran di sini telah lama berlaku namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak berkuasa berkenaan. Nelayan-nelayan yang terjejas akibat masalah ini ialah dari Sungai Udang, Kuala Haji Ibrahim, Sungai Chenaam, Changkat, Batu Kawan,Bukit Tambun dan Pulau Aman.

Adalah difahamkan pencemaran laut yang berlaku itu mungkin berpunca dari tempat pelupusan sampah Pulau Burung, kilang kelapa sawit dan perusahaan ternakan ayam yang beroperasi di kawasan berkenaan. Persekitaran di sini bukan saja berbau busuk malah air di dalam sungai serta parit di kawasan ini juga berwarna hitam pekat dilepaskan ke laut terutama ketika hujan dan pada waktu malam.

Para nelayan dan penternak yang terlibat pernah beberapa kali menyuarakan masalah ini kepada kerajaan negeri, PBT, jabatan serta agensi berkaitan tetapi sehingga sekarang punca sebenar gagal dikenalpasti oleh pihak berkenaan. Malah pihak mana yang melakukan perbuatan tersebut masih menjadi teka-teki walau pun beberapa orang pemimpin dan pegawai kerajaan sudah ditemui dan melawat kawasan itu.

Kami meminta MPSP, JPS dan JAS melakukan pemantauan lebih kerap agar pencemar alam sekitar di kawasan ini dapat dikesan dan tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan tersebut. Mana-mana pihak yang terlibat melakukan kesalahan itu wajar dikenakan hukuman berat oleh pihak berkuasa di samping membayar pampasan yang setimpal kepada nelayan serta penternak di sini yang terjejas sumber pendapatan mereka.

Sebuah jawatankuasa bertindak di kalangan nelayan dan penternak yang terlibat dicadang dibentukkan untuk terus berjuang mempertahankan alam sekitar di kawasan ini dari terus terancam. Memandangkan isu pencemaran ini sudah berlarutan sejak sekian lama kami meminta supaya Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim campurtangan bagi menyelesaikannya.


S.M.MOHAMED IDRIS
Presiden
Sahabat Alam Malaysia (SAM) &
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)