22
Tue, Aug

Anak muda bantah kekejaman Israel

Komuniti
Typography

RATUSAN anak muda menyertai Himpunan Aman Bantah Kekejaman Israel yang diadakan di dua tempat berasingan iaitu perkarangan Masjid As-Salam, Batu Rakit dan Masjid Lama Jabi, Setiu.

Himpunan aman itu anjuran Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Batu Rakit yang diadakan selama hampir 40 minit selepas solat Jumaat, hari ini.

Ketua Pemuda PAS Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata himpunan aman itu sebagai tanda solidariti umat Islam dan mewakili warga penduduk di Dun Batu Rakit.

Justeru, katanya sebagai umat Islam yang prihatin mendesak agar diadakan rundingan antara kerajaan dengan kerajaan di seluruh dunia.

“Kami mewakili rakyat di Dun Batu Rakit telah menunjukkan solidariti kita. Kita mahu supaya diadakan satu rundingan antara kerajaan dengan kerajaan yang ada di seluruh dunia.

“Ini penting untuk menyatakan pendirian mereka bahawa mereka juga menentang Israel terhadap apa yang rejim itu lakukan kepada penduduk di Palestin.

“Saya ucap tahniah kepada mereka yang hadir bersama bersolidariti pada tengahari ini, di bawah panas mentari mewakili rakyat di Dun Batu Rakit,” ujarnya ketika berucap pada himpunan tersebut.

Menurutnya, barang siapa mengaku Islam tetapi tidak mengambil peduli tentang nasib umat Islam lain bukan dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

“Barang siapa yang tidak ambil cakna terhadap urusan umat Islam yang lain, dia bukan dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW.

“Alhamdulillah, kita ini di kalangan umat Muhammad SAW kerana mengambil cakna terhadap apa yang berlaku kepada umat Islam yang lain,” tegasnya disambut laungan takbir.

Sementara itu, Wakil Petubuhan Lepasan Siswa-Siswi Institut Berakan (Sisbakti), Ustaz Ahmad Naim Abu Bakar yakin dengan kebenaran Islam pasti akan menang.

Katanya, sesuatu yang batil dan salah pasti akan dikalahkan dengan kebenaran Islam kerana janji Allah SWT.

“Nafas kebenaran itu walau pun kelihatan ‘slow’ tetapi sebenarnya ianya berpanjangan dan akan ada sambungannya.

“Kebatilan apabila bertemu dengan kebenaran. Kebenaran pasti akan menang, kerana kebatilan itu bersimpang siur dan banyak kumpulan. Tetapi, kebenaran itu hanya satu kumpulan dan pasti akan menang.

“Walaupun nafas kebatilan itu kuat, ianya tidak akan ada penyambungnya. Tetapi, nafas kebenaran pasti akan ada penyambungnya.

“Islam pasti menang kerana itu janji Allah. Kita mahu menjadi orang yang memenangkan Islam,” jelasnya ketika berucap mewakili sebuah NGO lepasan pelajar.

Beliau yang juga seorang guru tahfiz menyelar sikap segelintir pihak tertentu yang beranggapan sia-sia menentang Yahudi dan rejim Israel.

“Di mana kita semua pada hari ini? Kita bersuara (berdemo) dikatakan Yahudi tak dengar. Kamu yang bodoh mengatakan demikian. Apa yang kamu buat untuk umat Islam yang sedang dizalimi di Palestin dan di mana-mana sahaja.

“Hari ini puak Yahudi menghalang umat Islam dari masuk ke Masjidil Aqsa untuk beribadat dan menyebut nama Allah. Yahudi (sekarang) berusaha untuk meroboh rumah Allah (Masjid Al-Aqsa) itu.

“Orang menjerit untuk umat Islam, orang menjerit menyatakan kebersamaan bersama dengan Palestin, kamu mengutuk dan kamu tidak bersama…tetapi kamu tidur. Adakah itu diredhai oleh Allah SWT,” ujarnya dengan penuh bersemangat.

Selain Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sisbakti, Gabungan Mahasiswa Se-Malaysia (Gamis) Cawangan Terengganu turut menghantar wakilnya berucap pada himpunan tersebut.

Manakala, Pemuda PAS Dun Jabi, Setiu turut mengadakan bantahan yang sama selepas solat Jumaat di Masjid Lama Jabi, Setiu. - HARAKAHDAILY 11/8/2017

BR2

BR3