Akar umbi PAS-Umno Tambun kian berpadu

Komuniti
Typography

TAMBUN: PAS dan Umno Cawangan Taman Klebang Jaya telah mengadakan majlis iftar jamaie di Markas PAS Cawangan tersebut, Chemor, di sini semalam.

Majlis bersama ini membuktikan hubungan kukuh akar umbi kedua parti ini yang terdahulu telah berlangsung erat di peringkat Pusat dan Negeri-negeri serta Parlimen.

Majlis diisi dengan bacaan tahlil dan tazkirah ringkas disampaikan ahli PAS, Ustaz Muhammad Khairul Abd Rahman mengenai kisah-kisah perjuangan Islam.

Pimpinan PAS Kawasan Tambun turut hadir meraikan majlis dan beramah mesra bersama hadirin iaitu Bendahari, Ramli Bilan dan Ketua Penerangan, Ustaz Rosli Azizan.

Ketua PAS Taman Klebang Jaya, Ustaz Rofiei Wari menyifatkan program melibatkan kedua pihak itu sebagai isyarat bahawa umat Islam mula bersatu membentuk perpaduan lebih utuh.

Pengisian utama disampaikan Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Perak, Ustaz Fairuz Hafidz Othman yang mengupas mengenai peristiwa Nuzul Quran.

"Manusia hendaklah menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan kerana ia merupakan tanda kasih sayang Allah serta diturunkan untuk menjaga karamatul insan," ujar beliau.

Hidangan istimewa nasi briyani dan kurma kambing menjadi juadah utama pada majlis iftar julung kali ini dalam agenda perpaduan dan silaturahim kedua pihak. - HARAKAHDAILY 23/5/2019

IMG 20190523 WA0017