Pemuda Gopeng anjur qiam dan usrah Ramadan

Komuniti
Typography
GOPENG: Pemuda PAS Kawasan Gopeng telah menghidupkan Ramadan sesama anggotanya dengan mengadakan qiamullail, usrah tarbawi dan program singgah sahur, kelmarin.
 
Program berbentuk tarbiyah ruhiyah ini menjadi elemen terpenting dalam menjana sahsiah dan akhlak Pemuda bagi menghadapi pelbagai kemelut mazmumah yang berlegar masa kini.
 
Program dipimpin sendiri Ketua Pemuda PAS Gopeng, Ustaz Mohd Harith Hamzah bersama anggota Jawatankuasa Pemuda PAS Gopeng ini telah diadakan di Surau Al-Ehsan, Taman Indah Jaya, di sini.
 
Ketua Pemuda PAS Negeri Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait selaku jemputan khas telah mengisi slot usrah tarbawi yang sekali gus mengeratkan hubungan Pemuda Negeri dan Kawasan.
 
Dalam pengisiannya, beliau menegaskan kepentingan Pemuda menjadikan al-Quran sebagai medium yang rapat kepada ruhiyah dan menghadam ibrah tarbiyah dalam gerak kerja.
 
Malah peringatnya, qiamullail bukan hanya mendirikan malam secara bersahaja, bahkan hendaklah menghidupkannya sebagai ibadah yang sesuai dengan kemampuan diri sendiri.
 
Sempena program ini juga Pemuda PAS Gopeng telah bergerak mengagihkan juadah sahur kepada masyarakat dalam usaha merapatkan silaturahim bersama penduduk Dun Sungai Rapat. - HARAKAHDAILY 22/5/2019