TSUNAMI politik baru sahaja berlaku sehinggakan Kerajaan Persekutuan beralih teraju daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH). Kerajaan-kerajaan negeri juga hampir semuanya dilanda perubahan yang sama. BN hanya menguasai dua negeri sahaja iaitu Pahang dan Perlis.

Tanpa dapat dinafikan, PAS juga sebahagian daripada tsunami itu; kerana itu PAS kekal di Kelantan dan memenangi Terengganu selain berjaya menambah jumlah kerusi DUN di seluruh negara dan meraih kemenangan di 18 kerusi Parlimen.

Keputusan PRU14 ini menunjukkan tekad rakyat bagi menterjemahkan penolakan terhadap dasar dan polisi Kerajaan yang diterajui oleh BN selama ini yang telah membebankan kehidupan mereka.

Sekalipun pelbagai habuan bernilai besar masih dihidangkan sehinggakan pada malam terakhir sebelum hari pengundian, rakyat tetap memilih untuk tidak lagi mengundi BN.

Rakyat mahukan perubahan. Perubahan yang lebih baik berbanding yang sedia ada. Rakyat mahukan pemimpin yang berintegriti dan berakhlak; pengurusan ekonomi yang adil dan diberkati; kerjasama semua pihak dalam seruan dan gerakan kebaikan dan kebajikan; pencegahan salah laku dan jenayah yang berkesan serta gagasan kenegaraan jangka panjang yang lebih terarah dan menyeluruh.

Maka selesailah sudah episod pemilihan dengan tumbangnya BN yang telah luput ciri-ciri ini setelah 60 tahun memerintah Malaysia.

Kini, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri sedang dalam proses melengkapkan pembentukan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab terhadap negara atau negeri dan rakyat.

Kita selaku pengundi yang telah membuat pilihan pada PRU14 baru-baru ini mesti terus menjalankan kewajipan berikutnya iaitu memantau dan mengawal kerajaan yang baru dibentuk ini. Dibimbangi, sekiranya kita terlalu selesa selepas telah tumbangnya BN, akan muncul lagi BN kedua dengan nama yang baru.

Kita mesti memastikan dasar dan polisi yang digubal kerajaan adalah seimbang dan baik untuk rakyat dan negara serta berteraskan perlembagaan dan undang-undang. Kita mesti memastikan orang yang betul diletakkan di tempat yang betul bagi melaksanakan portfolio kementerian dan jawatankuasa yang diwujudkan. Kita mesti memastikan projek dan program yang disusun dilaksanakan secara telus, bebas rasuah dan kronisme.

Sekiranya kelihatan tanda-tanda ke arah sebaliknya, bahkan sebelum ia berlaku pun, kita mesti melakukan amr bil ma'ruf wa nahy an al-munkar terhadap kerajaan yang memerintah, bermula dengan memberikan nasihat dan teguran disusuli dengan tindakan yang lebih tegas jika perlu.

Pendirian dan sikap PAS terhadap Kerajaan Persekutuan tetap sama tanpa mengira DS Najib Razak atau Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, tanpa mengira BN atau PH yang menerajui kerajaan adalah sama sahaja iaitu taawun.(kerjasama) atas dasar kebajikan dan taqwa.

PAS sedia menyokong dan menolong pada perkara yang baik. Namun, PAS juga bersedia membantah dan menghalang apa juga tindakan yang merugikan rakyat dan negara lebih-lebih lagi yang membelakangkan kedudukan dan peranan Islam dan umat Islam di negara ini yang telah dijamin oleh perlembagaan.

Justeru, saya mengajak semua rakyat Malaysia untuk kita terus menjadi pengundi yang bertanggungjawab bukan sahaja dengan membuang undi pada hari pengundian, bahkan juga menjadi pemantau dan pengawal yang berkesan sepanjang tempoh mandat memerintah ini diberikan kepada parti-parti politik berkenaan.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada tipu daya dan bala bencana.

YB. Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa 15hb Mei 2018 – HARAKAHDAILY 15/5/2018

 

1.PERJUANGAN Islam adalah berbeza dengan ideologi barat yang berkonsepkan kebebasan mutlak. Perjuangan Islam memayungi semua manusia termasuk kalangan non muslim. Ini kerana semua hamba Allah layak mendapat rahmat-Nya di dunia ini atas ihsan-Nya. Sebab itu, Islam tidak bersifat sebagaimana nasionalisme yang memperjuangkan blok perkauman dan bangsa. Tetapi Islam meninggikan aqidah dan menyelamat ummah daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Allah SWT berfirman sebagaimana dalam hadith Qudsi:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

"Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas Ku dan Aku jadikannya di antara kamu juga haram, maka janganlah kamu saling melakukan kezaliman." [Riwayat Muslim]

2. Sehubungan dengan itu, tuntutan berbuat baik tidak hanya kepada sesama muslim, bahkan meliputi ke atas non muslim. Allah SWT berfirman:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." [al-Mumtahanah: 8]

3. Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terdapat pelbagai kaum dan anutan kepercayaan bukanlah menjadi suatu kekangan dalam pelaksanaan tuntutan Islam. Negara Islam di Madinah yang dibangunkan oleh Nabi Muhammad SAW, juga terdapat ramai kalangan Yahudi dan bukan Islam. Payungan Islam di Madinah memberikan hak mereka mendiami, bekerja, melakukan aktiviti di Madinah selagi tidak mengganggu gugat keamanan negara. Bahkan Nabi Muhammad SAW secara tegas melindungi non muslim di bawah pentadbiran negara Islam sebagaimana sabdanya:

من آذى ذميًا فقد آذاني ومن آذاني فقد آذى اللهَ

"Siapa yang menyakiti zimmi maka dia menyakitiku, dan siapa menyakitiku maka dia menyakiti Allah." [Riwayat at-Tabrani]

4. Semasa PAS mengusulkan RUU 355, secara jelas ia hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja. Islam tidak memaksa non muslim malah mereka diberi ruang dibicara mengikut kaedah anutan agama mereka. Secara praktikalnya, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya غير المسلمين في مجتمع إسلامي semasa di zaman Khilafah Uthmaniyyah juga terdapat dua mahkamah yang berbeza mengasingkan perbicaraan antara kaum muslim dan non muslim.

5. Melalui kisah pertikaian baju perang antara Sayyidina Ali dengan seorang yahudi, dapat dilihat hak keadilan kepada non muslim dalam pengadilan. Hakim Syuraih menetapkan hak baju besi kepada yahudi tersebut setelah Sayyidina Ali tidak mempunyai bukti kukuh bahawa baju tersebut miliknya. Hal ini menjadikan yahudi yang sebenarnya mencuri baju tersebut kagum dengan keadilan sistem kehakiman dalam Islam yang tidak bersifat kroni dan berkepentingan tertentu.

6. Pengundi non Muslim tidak perlu khuatir dan usah terpedaya dengan mana-mana provokasi yang disebar melalui media sosial. Jika mahu lihat kehidupan non Muslim yang sejahtera dan terjamin haknya, silalah hadir ke Negeri Kelantan Darul Naim melihat pentadbiran di bawah kepimpinan PAS sejak 1990 sehingga kini yang memberi hak kebajikan sama rata dan keadilan kepada masyarakat bukan Islam.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
17 Syaaban 1439H / 3 Mei 2018 (Khamis)
Terbitan: Jabatan Pilihan Raya Ulamak Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/5/2018

FIRMAN Allah SWT:

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ ۗ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُبِينًا

"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara, lalu mereka mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata." [Al-Ahzab: 36]

Selaku umat Islam, kita tiada pilihan lagi melainkan taat melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul-Nya. Dalam aspek PRU, maka undi yang diberikan mestilah untuk memastikan pelaksanaan syariat Allah SWT menerusi kuasa eksekutif iaitu pemerintahan. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya جريمة الردة وعقوبتها bahawa kewajipan dalam pemerintahan itu terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab individu dan tanggungjawab pemerintah.

Kita mesti serius dalam menyokong ke arah pemerintahan untuk menegakkan perundangan Islam. Di sinilah, wajibnya kita memilih parti yang komited untuk melaksanakan syariat Allah SWT. Ini kerana memiliki kuasa yang menjadi wasilah tertegaknya syariat Islam adalah suatu perkara wajib sepertimana kaedah fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

"Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia turut menjadi wajib".

PAS adalah jemaah Islam yang menyertai medan politik bermatlamatkan penegakan syariat Allah SWT di negara ini. Ia dapat dilihat kepada dasarnya yang jelas termaktub dalam perlembagaan parti iaitu berasaskan al-Quran dan al-Sunnah. Begitu juga pada pelaksanaannya sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan PAS Kelantan dalam menyediakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) pindaan 2015 Negeri Kelantan.

Kesungguhan ini lebih terserlah pada 2016 menerusi Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang apabila membawa usul persendirian mengenai RUU 355 bagi membolehkan bidang kuasa Mahkamah Syariah diperluaskan. Usaha ini merupakan langkah serius yang dilakukan oleh PAS secara berperingkat. Kaedah fiqh ada menyebut:

ما لا يدرك كله لا يترك جله

"Sesuatu yang tidak mampu dilakukan semuanya jangan ditinggalkan semuanya".

Dalam 20 tawaran manifesto PAS, turut dimasukkan agenda memperkasakan peruntukan Islam dan ini termasuklah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan kehendak syariat. Dengan itu, betapa pentingnya undi diberikan kepada calon PAS bagi membolehkan undang-undang syariah dapat dikuatkuasakan sepenuhnya selaras dengan tuntutan syariat di negara kita.

USTAZ MOHD ASRI MAT DAUD
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Diterbitkan oleh Jabatan Pilihan Raya Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 3/5/2018

PAS tidak membuat sesuatu keputusan politik untuk sekadar memuaskan hati manusia tetapi dengan berpandukan panduan daripada Allah, Tuhan yang mencipta manusia. Manusia yang bertuhankan akal sentiasa melihat tindakan orang lain serba tidak kena dan jarang benar-benar berpuashati.

Seumpama cerita dua beranak dengan keldai.
Apabila keldai ditunggang si anak, diheret si bapa, orang berkata; anak tak kasihankan bapa.
Apabila keldai ditunggang si bapa, diheret si anak, dikatakan bapa tidak kasihankan anak.
Apabila keldai ditunggang si anak dan bapa, dikatakan pula si anak dan bapa tidak kasihankan keldai.
Apabila keldai tidak ditunggang sesiapa, hanya diheret mereka berdua, dikatakan pula tidak cerdik kerana tidak dimanfaatkan keldai.

Sebenarnya semua situasi itu boleh berlaku berdasarkan tuntutan keperluan, matlmat dan keadaan yang berbeza.

Entah siapa manusia dan siapa keldai!

Demikianlah, apabila PAS mengumumkan bertanding 80 kerusi, dikatakan PAS tidak serius menjadi kerajaan.
Apabila diumumkan pula bertanding 130 kerusi dikatakan pula ia bertujuan memenangkan BN.
Apabila diumumkan pula bertanding 160 kerusi, ditanya pula, di mana dana diperolehi?

Demikianlah manusia. Apa yang penting PAS bertindak mengikut strategi tersendiri berperingkat bagi mencapai matlamat tersendiri. Insya Allah PRU ke-14 milik PAS! – HARAKAHDAILY 17/4/2018

 

FIRMAN Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 19:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ

"Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai ugama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisab-Nya."

1.     Islam sebagai Ad Deen menurut Syed Qutb dan Abu A'la Maududi dalam kitab Manhaj Hidup Muslim meletakkan tafsiran kesempurnaan makna Islam sebagai ad-deen merangkumi 3 aspek.

Pertama: Islam itu berkait rapat dengan kekuasaan dan pemerintahan.
Kedua: Islam itu bersifat kesyumulan
Ketiga: Islam itu bermatlamatkan Akhirat yakni hari perhitungan.

2.     Ketiga-tiga aspek ini hendaklah menjadi warna dan penghayatan Islam yang sebenar dalam memahami Islam dan juga penghayatan dalam konteks perlaksanaannya.

3.     Sekiranya salah satu daripada tafsiran ad-deen ini tidak dihayati, bermakna Islam tidak lagi mampu diterjemahkan dalam erti kata sebenarnya malah menyimpang daripada Islam sebagai ad-deen yang dikehendakinya oleh Allah S.W.T.

4.     PRU14 yang kini sedang rancak berjalan, menyaksikan parti-parti politik berlumba-lumba mengemukakan idealisme dan manifesto masing-masing bagi menambat hati para pengundi dan rakyat Malaysia.

5.     Pelbagai tawaran dan idea diluahkan dan dihamparkan menerusi manifesto pada setiap segmen samada kepada golongan rakyat yang berusia, golongan belia, kanak-kanak, Melayu, Cina, India dna etnik-etnik lain. Segmen para petani, nelayan, kakitangan kerajaan, swasta, peniaga. Pendek kata hampir semua segmen melibatkan rakyat mahupun pengundi terlibat dalam tawaran manifesto.

6.     Parti-parti sama ada PAS (Gagasan), Umno BN dan Pakatan Harapan berusaha untuk menggambarkan dan menambatkan hati rakyat dan pengundi siapakah di antara mereka yang paling berupaya menawarkan dan membela kebajikan dan keadilan kepada rakyat.

7.     Umno BN dengan tawaran manifesto berjumlah beratus muka surat di samping dengan pembentangan bajet 2018 yang lalu lebih daripada RM200 billion, gigih ingin menambat hati rakyat bahawa Umno BN amat mengambil berat tentang kebajikan dan kepentingan rakyat.

8.     Pakatan pula tidak terkecuali, berpuluh muka surat Tawaran Manifesto PH yang dilancarkan turut bersaing untuk memperlihatkan diri mereka menjaga kebajikan dan membela kepentingan dan keadilan rakyat.

9.     Justeru itu, Umno BN dan PH yang setiap daripada mereka telah menawarkan kebajikan dan pembelaan kepentingan rakyat, maka apakah yang membezakan mereka dengan PAS (Gagasan) yang turut mengemukakan manifesto dan tawaran pilihan raya?

10.     Perbezaannya adalah Islam. Islam sebagai ad-deenlah yang ditawarkan oleh PAS (Gagasan) menerusi penterjemahan dan pentafsiran sempurna aspek Ad Deen yang tiada pada Umno BN dan PH.

11.     PAS (Gagasan) bukan hanya menawarkan manifesto berkebajikan dan pembelaan kepentingan rakyat sepertimana yang ada pada Umno BN dan PH. PAS menawarkan dan ingin merealisasikan konsep ad-deen dalam manifestonya.

12.     Tawaran dan kepentingan rakyat dalam manifesto PAS (Gagasan), diwarnai dengan keindahan Islam sebagai cara hidup, sebagai solusi dan sebagai sistem yang mendasari dan membentuk kerangka pemerintahan negara.

13.     Sebagai contoh cukai Goods and Services Tax (GST), PAS sejak daripada awal cadangan GST sehingga perlaksanaannya jelas dan tegas menentang GST bukan hanya kerana ia membebankan rakyat serta menjadi punca inflasi atau selainnya, tetapi menentang GST disebabkan prinsip dan perlaksanaannya bercanggah dengan kaedah Islam.

14.     Bukan bermakna PAS menentang sebarang bentuk cukai, tetapi PAS menentang sistem GST yang melanggari prinsip dan kaedah Islam. Ia sistem cukai berasaskan perbelanjaan dan zalim yang tidak mengira latar belakang pembayar cukai.

15.     Sebab itu, PAS mengemukakan cadangan alternatif berasaskan sistem cukai yang selari dengan kaedah Islam yang dihayati menerusi kaedah zakat iaitu cukai atas orang kaya dan lebihan pendapatan bukannya ke atas semua rakyat.

16.     Prinsip adil menurut aspek Islam diaplikasikan dalam cadangan cukai alternatif PAS, iaitu adil meletakkan sesuatu sesuai di tempatnya. Bukan adil itu sama rata apabila rakyat yang miskin turut dicekik darah mereka. Cukai yang adil dicadangkan PAS ialah cukai saham dan korporat.

17.     Begitulah pula dengan beberapa tawaran PAS (Gagasan) seperti hak milik kenderaan enjin di bawah 1300 liter dengan tawaran pinjaman Qardul Hasan. Ia menjadikan sistem kewangan Islam yang suci daripada riba sebagai solusi dan penyelamat kepada golongan anak muda yang bebas daripada cengkaman kemurkaan Allah melalui kewangan.

18.     Umno BN dengan tawaran manifestonya yang besar tetapi masih mengekali sistem nasionalisme dan pragmatisme yang mewarnai dan mencorakkan tawaran mereka.

19.     Pakatan Harapan pula, turut memiliki tawaran kebajikan dan kepentingan rakyat, namun bergelumang dengan sistem sekularisme, sosialisme dan kapitalisme.

20.     Maka dengan itu, penulis ingin menyimpulkan bahawa sekiranya diteliti dan dihayati maka kita akan ketahui bahawasanya Pilihan Raya Umum Ke-14, bukan lagi pertembungan antara siapa yang lebih bela dan perjuangkan kebajikan rakyat atau tidak, begitulah pula bukannya pertembungan antara siapa yang adil atau zalim.

21.     Akan tetapi ia adalah pertembungan antara mereka yang tidak mahu Islam dan tidak menghayati Islam dengan Islam yang dijadikan sebagai cara dan sistem kehidupan yang syumul.

22.     PAS sahajalah parti yang mampu mewarnai dan menterjemahkan Islam sebagai ad-deen serta keindahannya yang syumul sebagai cara hidup, sistem pemerintahan dan solusi kepada permasalahan rakyat dan negara ini.

Ditambah lagi bukti laporan di parlimen memperakui hanya pimpinan parti PAS sahaja bersih daripada sebarang dakwaan salah laku dan rasuah termasuk Kerajaan PAS Negeri Kelantan selama 28 tahun memerintah.

23.     Ayuh seluruh rakyat dan pengundi, bersama dengan Islam yang indah ini dan Islam mampu mensejahterakan negara ini dengan petunjuk Ilahi. – HARAKAHDAILY 9/4/2018

Penulis adalah Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat merangkap Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

MUSLIMAT PAS mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman Israel yang dilakukan ke atas warga Palestin.

Great Return March yang dilancar secara aman oleh warga Palestin pada awalnya mendapat serangan hebat dari Israel hingga menyebabkan 17 terbunuh dan lebih 1,400 orang cedera parah.

Episod kekejaman ini terus-menerus berlaku biarpun resolusi PBB 164 telah menetapkan pelarian ini berhak kembali ke tanah air dan kediaman mereka yang dicerobohi.

Penindasan dan kekejaman Israel terhadap warga Palestin ini mengundang kemarahan seluruh dunia terutama penduduk Malaysia yang cintakan keamanan.

Justeru, Muslimat PAS menyeru seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam agar melakukan solat hajat serta membaca qunut nazilah semoga Allah S.W.T melindungi mereka di sana.

Muslimat PAS juga mengajak seluruh rakyat Malaysia agar lebih cakna isu umat ini bagi membuktikan bahawa umat Islam itu bersaudara walaupun pada jarak yang jauh dan benua yang berbeza.

Akhirnya, Muslimat PAS mendesak agar seluruh negara OIC membantu rakyat Palestin yang ditindas walau dalam apa cara sekalipun.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
1 April 2018 bersamaan 14 Rejab 1439 – HARAKAHDAILY 1/4/2018

TAHNIAH Tan Sri Rafidah Aziz bekas menteri kabinet menyeru rakyat supaya tidak mengundi pemimpin politik korup. PAS sokong 120 peratus. PAS tidak kompromi masalah rasuah sama ada di dalam parti atau di luar parti. Kenyataan Datuk Paul Low, Menteri Jabatan Perdana Menteri yang mengatakan bahawa 71 pemimpin BN dan 31 pemimpin PH manakala pemimpin PAS sifar siasatan kesalahan dalam tempoh 2013 hingga 2017. Alhamdulillah.

CPI negara semakin merosot, kita dikejutkan dengan berita kedudukan indeks rasuah Malaysia yang kian merosot, dan berkongsi kedudukan di tangga 62 dengan negara Cuba. Menurut laporan Indeks Persepsi Rasuah 2017 yang dikeluarkan oleh Transparency International, kedudukan Malaysia juga merosot daripada tangga 55 kepada 62 daripada 180 buah negara.

PAS menentang rasuah bukan kerana marah kepada peribadi. Marah gejala rasuah bukan kerana dedak tidak cukup. Marah kepada rasuah bukan kerana sudah tidak ada kuasa, walaupun sewaktu kita ada kuasa dua kali lima, lima kali dua sahaja. Marah kepada rasuah bukan hanya retorik semata-mata, kerana akhirnya diri juga terpalit dengan rasuah.

PAS menentang rasuah kerana ia dilarang oleh Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah ada di dalam neraka”. PAS istiqamah menentang rasuah.

PAS juga menentang politik kronisme, koruption, nepotisme (KNN) istilah yang cukup popular sewaktu zaman reformasi 1998. Cuma sekarang hanya menjadi bahan sejarah sahaja. PAS juga menentang kleptokrasi. Semua ini memusnahkan negara dan rakyat.

PAS menyeru rakyat kepada politik untuk mengubah negara yang lebih sejahtera dan buang pemimpin rasuah. Jenayah rasuah ini amat merbahaya kepada negara dan rakyat. Selain menyebabkan ketirisan dan pembaziran wang negara, turut mempengaruhi imej negara dalam ekosistem perdagangan dan politik antarabangsa.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
21 Mac 2018 – HARAKAHDAILY 21/3/2018

SAYA meneliti ucapan Rafizi Ramli dalam youtube setelah saya terbaca kritikan beliau yang diviralkan di dalam whatsapp dan facebook terhadap cadangan dua cukai baharu di dalam Dokumen Hijau PAS. Omelan Rafizi di dalam youtube tersebut jelas menunjukkan ‘zero  knowledge’ Rafizi terhadap cukai baru yang dicadangkan oleh PAS sebagai ganti GST. Di sini pihak Dokumen Hijau (DH) ingin menyatakan dua kesilapan besar Rafizi di dalam komentarnya:

1. Cukai atas jual beli saham

zaharudinPada minit ke 0:30, Rafizi menyatakan bahawa PAS akan mengenakan cukai ke atas transaksi jual beli saham seraya berkata: “…(PAS) memperkenalkan cukai ke atas transaksi jual beli saham.” Pada minit ke 5:27 pula Rafizi menyebut: “Apabila cukai akan dikenakan ke atas transaksi, setiap satu transaksi, bukan atas untung rugi menjual saham, maka yang paling teruk ialah institusi-institusi kerajaan."

Jawapan DH: Kesilapan Rafizi pertama ialah, DH tak pernah menyebut untuk kenakan cukai atas transaksi sebagaimana gambaran Rafizi. Saya tak pasti daripada mana beliau dapat formula itu dan di mana dia belajar ada sistem cukai Islam dikenakan atas transaksi. Apa yang disebut oleh DH ialah “Penyelesaian 2 Untuk Permasalahan 1: Cukai Saham Di Bursa Saham Malaysia” sebagaimana di muka surat 20 Dokumen Hijau. Sila rujuk versi asal Dokumen Hijau.

Cukai yang akan dikenakan adalah berdasarkan kaedah-kaedah khusus yang diguna pakai oleh Islam khususnya di dalam pengiraan zakat. Ada yang dikenakan berdasarkan pegangan tetapi bukan semua pegangan akan dikenakan cukai. Ada yang dikenakan ke atas keuntungan bersih secara one-off tetapi bukan semua keuntungan bersih dikenakan cukai. Di sana juga terdapat syarat-syarat terperinci di dalam menentukan kadar dan bila perlu dikenakan cukai. Sebagaimana GST disebut secara umum sebagai cukai 6 peratus ke atas jualan tetap secara terperinci ada GST dikenakan 6 peratus ke atas untung bersih, bukan ke atas transaksi jualan.

Secara terperinci, hanya mereka yang berkepakaran di dalam kiraan cukai Islam sahaja yang tahu sebagaimana kiraan terperinci cukai DH ini. Sebagaimana GST boleh digambarkan secara umum sebagai cukai sebanyak 6 peratus atas barangan dan perkhidmatan, tetapi secara terperinci, bukan semua barang dan bukan semua transaksi dikenakan GST. Hanya mereka yang berkepakaran dalam bidang ini sahaja yang terdiri daripada pegawai Kastam yang berkenaan dan institusi perakaunan tertentu yang lebih tahu. Begitu juga cukai Dokumen Hijau ini, ia boleh digambarkan sebagai cukai sebanyak 2.5 peratus ke atas saham orang-orang kaya serta simpanan mereka yang maha banyak, tetapi secara terperinci, bukan semua simpanan dan saham dikenakan cukai DH. Maka mereka yang berkepakaran dalam bidang cukai Islam ini yang lebih tahu. Pun begitu, anggaran kasar pendapatan boleh dibuat iaitu sekitar 2.5 peratus daripada keseluruhan jumlah yang ada di Bursa dan jumlah simpanan korporat yang direkodkan di Malaysia.

2. Kesan kepada tabung dan wang pelaburan rakyat

Pada minit ke 2:57, Rafizi menyebut: “Sebahagian besar saham-saham di Malaysia ini siapa punya? Siapa yang pegang sebahagian besar saham-saham dekat Malaysia ini? Semua dipegang oleh tabung-tabung wang rakyat Malaysia. Sebahagian besar saham ini dipegang oleh KWSP, amanah saham, oleh Tabung haji, oleh kumpulan wang amanah pencen, oleh Socso, oleh lembaga tabung angkatan tentera, oleh bank-bank dan institusi kewangan yang dimiliki oleh kerajaan, oleh lembaga-lembaga milik kerajaan; mereka yang memiliki sebahagian besar daripada saham-saham ini. Maka yang banyak berjual beli ini ialah diorang juga.” Pada minit ke 4:40, Rafizi menyebut: “Jika dikenakan cukai Islam maka dividen 5 peratus tinggal 1 peratus sahaja”.

Jawapan DH: Komen Rafizi ini jelas menunjukkan beliau mempunyai “zero knowledge” tentang sistem percukaian Islam. Formula yang diguna pakai dalam komen beliau ialah formula konvensional, bukan formula Islam. Kita menggunapakai kaedah “Tidak boleh diceraikan antara modal yang bergabung” (لا تفرق بين المجتمعات) sebagaimana hadis menjadikan pembayar utama cukai ini ialah penerima pelaburan atau dengan kata lain, pemegang-pemegang utama saham syarikat-syarikat besar seperti Maxis. Maka pembayar utamanya adalah Ananda Krishnan, bukan pengguna maxis atau sumber pelaburan seperti PNB dan pelabur-pelaburnya. Melalui cukai yang dicadangkan oleh PAS ini juga, Ananda tidak akan dapat memindahkannya (hand over) kepada pengguna apabila dilaksanakan konsep ‘Haul’ dalam formula pengiraannya. Sekali gus cukai yang tersembunyi yang dibayar oleh pengguna Maxis miskin dan sederhana, akan dibayar selepas ini oleh Ananda Krisnan sendiri, bukan dipindahkan kepada pengguna secara tersembunyi dan tidak disedari sebagaimana sistem SST.

Formula ‘Tidak Boleh diCeraikan antara Modal yang berGabung (TBCMB) akan menjadikan pencarum-pencarum ASN, FGV dan lain-lain mungkin hanya akan menerima kesan sebanyak 0.3 peratus sahaja daripada 5 peratus, bukan dividen 5 peratus tinggal 1 peratus sebagaimana digambarkan oleh Rafizi. 0.3 peratus cukai yang pada kebiasaannya adalah wang lebihan milik palabur adalah jauh lebih baik daripada 10 peratus cukai SST yang tersembunyi di dalam harga barangan yang dibayar daripada wang perbelanjaan dan keperluan rakyat. 0.3 peratus itu juga jauh lebih baik daripada 300 peratus cukai kereta (levi, eksais dan lain-lain) yang akan dinaikkan oleh kerajaan PH sebagaimana yang disebutkan oleh Tun Mahathir. GST yang dilaksanakan oleh BN dan SST serta kenaikan cukai-cukai lain bagi menampung kehilangan akibat penghapusan GST yang dicadangkan oleh Tun Mahathir, kedua-duanya dibayar oleh wang perbelanjaan asasi rakyat dan golongan 1 peratus yang menjadi taiko-taiko bisnes Malaysia seperti Robert Kuok yang memiliki sekitar RM60 bilion, Ananda Krishnan yang memiliki sekitar RM18 biliion dan pengkorporat-pengkorporat seumpamanya seperti Mokhzani Mahathir dan lain-lain, pada hakikatnya tetap tidak akan membayar cukai hasil perniagaan mereka justeru cukai-cukai mereka akan dipindahkan kepada pengguna dan pembeli melalui kemasukan cukai ke dalam harga barang. Tetapi cukai DH yang akan dilaksanakan mengunakan formula TBCMB, haul dan lain-lain, maka yang akan kena bayar pada hakikatnya ialah golongan 1 peratus taiko-taiko ini, bukan 99 peratus rakyat yang mengguna barangan dan perkhidmatan mereka.

Sebagai tambahan, beliau menggambarkan bahawa cukai itu dikenakan ke atas wang rakyat atas alasan institusi-institusi milik kerajaan ini adalah wang rakyat. Blind  spot (bahagian terlepas pandang) yang paling ketara dalam kenyataan Rafizi ini ialah pengguna dan pemanfaat utama wang-wang rakyat ini ialah golongan 1 peratus tersebut. PNB yang memegang sebanyak RM199.1 bilion atau 10 peratus saham di Bursa Kuala Lumpur sebagai contoh perlu juga dilihat dari aspek penerima pelaburan, bukan pelabur sahaja. Dari segi pelabur, lebih 40 peratus sahamnya adalah saham kerajaan yang terdiri daripada wang cukai-cukai yang dipaksa bayar oleh kerajaan ke atas rakyat (termasuk GST) dan lebih 50 peratus lagi adalah duit-duit pelabur sukarela yang terdiri daripada rakyat-rakyat bawahan. Wang rakyat yang diambil secara paksa (40 peratus++) dan sukarela (50 peratus++) ini dilaburkan oleh kerajaan ke dalam syarikat-syarikat yang dimiliki oleh golongan terkaya 1 peratus seperti Maxis, Gamuda, IJM, RHB, Digi dan lain-lain. Maka jika sesiapa dapat memahami cukai DH ini secara lebih halus, mereka akan faham bahawa wang rakyat itu akan dipusing sebahagian alirannya daripada golongan 1 peratus rakyat terkaya kepada golongan termiskin di kalangan B40.

Sebagai terakhir, suka untuk saya mengulas kata-kata bongkak Rafizi pada minit ke 6:15: “Pakar cukai ini” sambil menunjukkan jari ke hidungnya seolah dia adalah pakar dalam bidang cukai. Apa yang ingin saya tegaskan di sini bahawa, pengajian tentang cukai Islam tidak berlaku secara formal dan bersilibus pada hari ini sekalipun sistem cukai Islam yang lengkap terdapat di dalam kitab-kitab fekah. Maka mustahil Rafizi boleh menjadi pakar cukai Islam seolah-olah ‘ulama mujtahid’ justeru tiada pengajian cukai Islam disediakan di dalam silibus-silibus pengajian di fakulti ekonomi di mana-mana universiti kerajaan tempatan mahupun Eropah atau Amerika Syarikat. Dua kesalahan besar Rafizi di atas sudah cukup membuktikan bahawa beliau bukan sahaja bukan pakar, tapi sangat jahil tentang cukai Islam serta formula-formulanya.

ZAHARUDIN MUHAMMAD AL-FARUQ
Pengarah Dokumen Hijau, PAS.

BAI'AH sangat kukuh dan kuat sehingga Allah mengibaratkan dalam al Quran "Tangan Allah di atas tangan-tangan mereka..."

Ibnu Kathir menyatakan, ayat Allah ini bermaksud bahawa Allah mendengar apa yang mereka ucapkan dan melihat apa yang mereka lakukan serta mengetahui apa yang ada dalam hati-hati mereka.

Rasulullah S.A.W diwakilkan untuk menerima bai'ah para Sahabat dalam peristiwa Bai'atur Ridhwan. Dalam gerakan Islam seperti PAS, pemimpin diwakilkan untuk menerima bai'ah.

Kekuatan bai'ah ini sangat kuat sehingga mereka yang melafazkan bai'ah seolah-olah sanggup menjual diri kepada Allah dan Allah membelinya dari orang beriman yang melafazkan bai'ah. Langgar bai'ah akibatnya sangat buruk.

Bai'ah untuk patuh kepada keputusan jemaah kecuali yang bercanggah dengan nas. Sekadar wujud perbezaan ijtihad dan pendekatan, keputusan jemaah tetap wajib ditaati.

Apabila perang tak jadi selepas peristiwa Bai'atur Ridhwan walaupun para Sahabat telah bersedia untuk berperang, suasana aman yang wujud ekoran dari peristiwa bai'ah ini menyebabkan berkali ganda lagi ramainya orang terima Islam apabila tiada ketegangan.

Bai'atur Ridhwan bukan makna menyerah kalah tapi ia membuka peluang seluasnya untuk orang terima Islam. Inilah budaya politik matang dan sejahtera.

Bai'ah tak sama dengan sumpah. Sumpah dikaitkan dengan individu sahaja. Bai'ah pula berkait dengan kepentingan jemaah dan negara.

Hanya mereka yang beriman saja akan percaya kepada bai'ah. Urusan orang yang langgar bai'ah ini terserahlah kepada Allah bagaimana Allah nak membalasnya.

Petikan Tazkirah Tuan Guru Presiden @ Pejabat Agung PAS.

Catatan
DR AZMAN IBRAHIM
12 Februari 2018
-HARAKAHDAILY 12/2/2018

HARI ini genaplah empat tahun almarhum Ustaz Dato' Harun Taib telah meninggalkan kita. Jarum jam bergerak dengan terlalu pantas, sedar tak sedar, telah empat tahun murabbi ummah ini telah bersemadi meninggalkan kita. Beliau umpama singa jamaah Islam yang tegas menjaga asolah perjuangan dan manhaj perjuangan.

Sosok besar gerakan Islam ini semenjak pulang dari ardhul kinanah pada tahun 1981 terus melangkah di medan operasi perjuangan. Beliau sebenarnya sedang bertungkus lumus menyiapkan PhD, namun arahan jamaah supaya pulang ditaati. Sebelum itu beliau pulang bertanding dalam pilihan raya tahun 1978, namun tewas dan kembali belajar di peringkat doktorat.

Figura hebat ini tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanah air ini. Anak didik Ikhwanul Muslimin semenjak di bumi Nabawi, bersama Ustaz Husain Awang. Kemudian, beliau melanjutkan kesarjanaannya di kampus al Azhar bersama Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Terengganu daripada pemukiman ilmu di Asia Barat , beliau secara sepenuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat di relung hati anak-anak muda di awal dekad 80-an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Ustaz Harun antara sarjana PAS yang terkenal alim, haraki dan sentiasa subur dengan majlis pencerahan, juga tokoh tajnid yang sentiasa berlanglang buana ke serata dunia untuk mengkaderkan amilin parti.

Beliau bersama Ustaz Yahya Othman dan murabbi muda PAS yang lain telah menyusun manhaj tarbiah PAS pada tahun 1982, seterusnya mendapat reputasi cemerlang dalam dunia pendidikan PAS.

Dalam pertengahan dekad 1980-an, beliau membentangkan kertas kerja tentang pendidikan prasekolah di bawah PAS dan akhirnya PASTI telah muncul sebagai produk pendidikan jamaah yang sangat piawai dan membanggakan gerakan Islam tertua di negara ini. Bersama teman-teman pimpinan yang lain dalam Badan Perhubungan PAS Terengganu, beliau telah mengasaskan Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bahkan turut menjadi tenaga pengajar yang awal. Sekolah kader terbesar PAS ini juga telah melahirkan ribuan alumni daripada rahimnya, bahkan mampu mengilangkan tenaga pakar PAS sehingga mampu duduk di Majlis Syura Ulamak PAS seperti Ustaz Zaharuddin Mohamad. Ramai juga yang menggalang gelaran YB lahir daripada MDQ, apatah para amilin jamaah di pelbagai peringkat parti.

Tokoh tarbiyah ini juga telah membangunkan jihad taalim di kawasan pedalaman Terengganu iaitu di Kampung Kubang Lembek sehingga terbangunnya markas tarbiah, Sekolah Rendah Islam Darul Ehsan, KUDQI. Kesan pentarbiahan kepada masyarakat Hulu Terengganu juga menyaksikan DUN Manir menjadi kubu kuat PAS sejak zaman berzaman dan kini anakandanya, Hilmi mewakili konstitusi tersebut.

Ustaz Harun mula menjadi nama besar apabila memenangi Pilihan raya Kecil Teluk Pasu pada tahun 1989 dengan menewaskan Haji Abdul Rahman, seterusnya menang dalam PRU pada tahun 1990 di DUN Manir. Beliau antara 10 orang calon APU yang dihantar ke Wisma Darul Iman dalam Pilihan raya Umum 1990 yang menyaksikan aksi serpihan Umno, Semangat 46. Beliau antara nama besar dalam gerakan Islam yang juga melahirkan banyak karya-karya haraki seperti 'Muslimat Pembangun Ummah', 'Berbilang-bilang Jemaah' serta puluhan kertas kerja yang menjadi teks usrah dalam PAS.

Murabbi ini telah menunjukkan keteladanan yang indah di jalan dakwah, membentuk keluarganya untuk sama-sama berjuang dan mengucur keringat di medan amal Islami. Isterinya, Ustazah Zainab atau juga dikenali ramai Ustazah Fatimah pernah menjadi Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, anak- anak lelaki beliau, Ustaz Hilmi dan Ustaz Hamdi menjadi tokoh penting dalam pemuda PAS. Yang paling penting beliau melahirkan ribuan anak didik di medan perjuangan dengan pelbagai latar belakang sosial dan pendidikan. Markas Tarbiah Kubang Lembek, menjadi saksi sejarah bagaimana gigihnya sosok ini membangunkan tarbiah serta menjadi kilang tajnid.

Peranan paling besar almarhum ialah apabila dilantik menjadi Exco Kerajaan Terengganu dalam penggal 1999 sehingga 2004, beliau diamanahkan sebagai Pengerusi Pendidikan dan Pembangunan Dakwah Negeri Terengganu. Lilitan serban merah putih dan wajah jernih itu tidak pernah gagal untuk memberikan idea yang terbaik bagi membangunkan pendidikan Islam dan dakwah. Terengganu akhirnya menubuhkan pelbagai institusi pendidikan seperti SRAB, KOSTAQ, KOSPINT, pemerkasaan KUSZA sebagai sebuah universiti, serta menubuhkan Unit Pembinaan Insan dan Unit Mubaligh untuk merancakkan dakwah di negeri Tok Ku Paloh itu.

Malam merangkak sepi dan sayu apabila saya meluncurkan tulisan belasungkawa ini kerana almarhum seperti bapa saya. Semenjak ditamrinkan dalam Ikatan Pelajar Islam Terengganu di Kubang Lembek di alam kampus, sehinggalah saya menjadi aktivis Dewan Pemuda. Beberapa kali disergah kerana itulah cara beliau mendidik supaya anak muda tak lalai. Malah paling manis almarhum adalah saksi majlis pernikahan saya serta sering bertanya khabar melalui orang tengah.

Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Saya mencium tangannya kali terakhir dalam mesyuarat PAS Pusat empat tahun yang lepas, sorotan matanya bening dan terpancar kasih sayang yang tulus. Selamat jalan sang murabbi, berpulang ke negeri abadi setelah seluruh hidupmu diabadikan di atas jalan dakwah ini. Untaian kata-kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini. Al-Fatihah. – HARAKAHDAILY 25/1/2018

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

PAS adalah ganti Umno-BN untuk Malaysia. Itu sahaja yang difahami oleh ahli dan penyokong PAS hari ini. Ia adalah matlamat utama PAS memasuki PRU13 nanti.
 
Ramai yang akan menyangkal dengan berkata, bagaimana mahu ganti Umno jika hanya mensasarkan kemenangan 40 kerusi? Ia jauh daripada mencukupi. PAS hanya beromongan, dakwa pembangkang PH pula.
 
PAS menjawab, jika pun PAS memenangi lebih daripada 40 kerusi sebagaimana yang disasarkan, itu pun belum mencukupi untuk memintas Umno-BN. Tetapi semua sedar, pada masa itu PAS telah begitu kuat. Apabila PAS kuat, Umno akan lemah. Umno akan lemah sebaik sahaja kerusinya menurun dengan banyak, walaupun masih mendahului PAS dalam jumlah kerusinya.
 
Hari ini, kekuatan Umno bukan pada kejayaannya menempa negara ini dengan kejayaan dan kecemerlangan. Tidak. Negara kita kini hanya sedang bertarung untuk tidak rebah sahaja, bukan pun untuk sihat, sejahtera dan maju. Negara kita masih sakit daripada sakit lamanya yang bermula daripada zaman keangkuhan Tun Mahathir memerintah negara 20 tahun dulu dengan kuku dan taringnya. Sakit itu masih belum diubati dan jauh lagi daripada sembuh.
 
Keangkuhan adalah musuh Allah. Keangkuhan sifatnya memerangi Allah dan ugama-Nya. Sesiapa yang memerintah dengan angkuh, Allah akan meletakkannya di barisan yang bertentangan dengan Allah, lalu Allah mengisytiharkan perang ke atasnya secara menghadap. Tun Mahathir masih berbangga dengan sejarahnya memerangi kerajaan Kelantan yang dulu dan kini terus membawa sinar dan obor Islam yang benar untuk tatapan rakyat Malaysia.
 
Beliau gagal dan sememangnya beliau pasti gagal. Beliau gagal mengemudi Umno, lalu meletak jawatan dan meninggalkan Umno dan Malaysia dalam kesakitan dan kelesuan. Tun Abdullah datang dengan penawar 'minyak wangi seribu bencana'-nya. Ia melalikan untuk tempoh yang pendek, kemudian bertukar kembali kepada sakit asalnya.
 
Doktor veteran yang gagal itu enggan menyerah kalah. Beliau memerangi ubat pertamanya sendiri, lalu menawarkan ubat seterusnya, Dato' Sri Najib Abdul Razak untuk memimpin negara. Ubat barunya gagal lagi. Doktor veteran itu tersentak dengan tindak balas ubat barunya itu yang kini makan tuan. Beliau mengisytiharkan kepada negara bahawa beliau telah tersalah memberi ubat. 
 
Hari ini beliau mencadangkan ubat yang ketiga. Siapa? Dirinya sendiri. Beliau berkata kepada PAS dengan suara angkuh 20 tahunnya dulu, "Pilih. Saya atau Najib." Kelakar, kelakar dan kelakar. Inilah kentut politik seribu bencana seorang doktor veteran yang sakit dan gagal yang sedang mengetuai sebuah hospital bernama PH untuk mengubati negara yang sakit akibat angkaranya sendiri dulu.
 
Saya tegaskan negara kita hari ini sakit. Sakit lama yang belum sembuh. Saya tegaskan lagi, Umno-BN hari ini kuat dan gagah di sisi rakyat bukanlah kerana kejayaannya menempa apa-apa kejayaan besar untuk negara. Tidak. Tetapi Umno hari ini masih gagah kerana mereka adalah penyandang sejak tahun 1957. Penyandang memang sukar untuk ditumpaskan hatta pada zaman pemberontakan terbesar ahli Umno memerangi Tun Mahathir pada tahun 1999 di bawah DS Anwar Ibrahim.
 
Penyandang yang terus gagal akan dimamah tua dan kelesuan. Tongkat saktinya akan dimakan anai-anai sedikit demi sedikit. Hanya nabi Sulaiman yang wafat berdiri bertongkat kerana anai-anai terus menyayangi baginda dengan arahan tuhannya. Adapun Umno, ia sedikit demi sedikit akan lesu. Sama ada tongkat dulu yang patah atau lututnya sendiri. Takdir memilih dan menentukan.
 
Sasaran minima 40 kerusi parlimen adalah sebuah gerakan besar untuk pengislahan negara daripada PAS. Ia adalah realistik bagi PAS daripada terus berilusi dengan penawar seribu bencana ciptaan seorang doktor veteran gagal yang terus angkuh dengan taubat demi taubatnya yang bohong dan palsu.
 
Sasaran minima 40 kerusi adalah kekuatan bagi PAS dan kelemahan yang ketara bagi Umno. Kemenangan lebih besar untuk PAS pasti akan menjelma. Ia akan menjelma sebaik PAS terus kukuh dengan istiqamahnya memperjuangkan Islam dan nilai-nilainya yang tinggi dalam menjamin tadbir urus negara yang penuh integriti, sejahtera dan cemerlang.
 
Dalam persaingan bola sepak Eropah, pasukan yang mensasarkan hanya kejuaraan liga akan kecewa teruk jika gagal memenanginya. Tetapi pasukan yang turut mensasarkan kelayakan ke Liga Juara-Juara (CL) akan kekal ceria dan bangga apabila mencapainya walaupun tewas kejuaraan liga. YNWA
 
PH akan kecewa teruk bersama penyokongnya jika Umno terus memenangi PRU13. Hanya itu sasaran mereka yang satu. Gagal bererti gelap selamanya. Tetapi PAS adalah sebaliknya. Umno-BN bukan boleh ditumbangkan dengan idea karut doktor veteran yang gagal, sakit dan menyebabkan negara sakit dengan ubat ciptaannya. 
 
PAS adalah realistik. Apa yang dicapainya nanti adalah nilai bermakna bagi terus menyumbang ke arah kejayaan negara mengubati dirinya, seterusnya melangkah lebih laju menempa kejayaan. Anda boleh nanti meneliti Wawasan induk Negara Sejahtera (WINS) yang kini giat dibina oleh PAS sebagai wawasan terbaiknya untuk negara dan rakyat tercinta.
 
PAS, sifat juangnya adalah islah. Untuk melakukan Islah atau pembaikan, ia bukan dengan hanya satu jalan iaitu menunggu Umno tumbang. Anda tidak perlu menunggu taubat nasuha datang, barulah hendak bersolat dan beramal soleh. Terus bersolat dan beramal soleh dalam dosa. Itu persaingan yang jika diisi keikhlasan tinggi akan mencetus taubat nasuha yang menghancurkan kerajaan dosa dan maksiat dalam hati setiap hamba-Nya. Begitulah islah PAS dalam negara. Ia bergerak tanpa henti walau penat dan lama..
 
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah terus berjaya menumpaskan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakannya dulu melalui para pendukungnya yang gagal bertahan dengan tonik "Reformasi" yang keramat itu. Mereka masih mampu untuk terus ditipu oleh taubat palsu yang bersalut keangkuhan. 
 
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah menghilangkan ketajaman perseteruannya dengan DAP yang dimusuhinya melalui dasar kerasisan Umno dulu.
 
Kejayaan Tun Mahathir hari ini ialah membenam PAN ke dalam lumpur. DAP menyucuk hidungnya lalu membiarkan Tun Mahathir menariknya ke kubang lumpur. Berkubanglah di situ dengan penuh amanah kepada tuan yang melahirkanmu..
 
Itulah kejayaan Tun Mahathir, mengulangi kejayaannya dulu menubuhkan Umno Baru untuk mengalahkan Ku Li. Dia meninggalkan Umno untuk mengalahkan Pak Lah. Dia menubuhkan PPBM untuk mengalahkan Najib. Aksi terbaiknya kini ialah memenjarakan Anwar Ibrahim di dalam dan memenjarakan pengikutnya di jeriji telunjuknya di luar. What a Kajang kick!!
 
Adapun kejayaannya ke atas PAS hari ini ialah kentut politiknya, "Pilih. Saya atau Najib.' Kelakar, kelakar dan kelakar..
 
PAS mendominasi pengalaman menghadapi Umno yang gagah dengan sifatnya sebagai penyandang kepimpinan negara yang tidak pernah kalah sejak merdeka. PAS hidup dalam susah dan senang, lemah dan gagah, kejian dan pujian. PAS menembusi segala kesukaran itu dengan cemerlang sehingga hari ini. Hari ini tiada siapa sedia berkata bahawa PAS sedang menuju kegelapan kecuali musuhnya yang terus membenci dan mendengki. Benci dan dengki tidak akan sama sekali menumbangkan PAS.
 
Ia adalah PAS untuk ganti Umno. Bukan PPBM, bukan PKR dan bukan DAP-PAN.
 
Majulah PAS untuk negara menuju keredhaan Allah.
 
Tahniah Harimau Muda U23 tewaskan Arab Saudi, negara World Cup. Sinar hebat anak muda negara..
 
NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat - HARAKAHDAILY 21/1/2018

PAS tidak perlu terperangkap dengan gesaan Tun Dr Mahathir Mohamad agar PAS mengumumkan calon Perdana Menteri jika dapat memenangi PRU14 yang akan datang. Bahkan lebih jauh dari itu, Tun Dr Mahathir memberikan dua pilihan kepada PAS sama ada memilih dirinya atau Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Razak sebagai calon Perdana Menteri.
 
Hakikatnya, PAS telah berada di atas landasan yang betul dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan meletakkan agenda Gagasan Sejahtera sebagai paltform untuk menawan undi rakyat. Presiden PAS sendiri telah berulang kali menyatakan bahawa PAS tidak bersama Barisan Nasional dan juga tidak bersama Pakatan Harapan yang sudah cukup untuk difahami sebagai pendirian PAS pada hari ini.
 
Agenda PAS bukan terhenti setakat menobatkan Perdana Menteri tetapi lebih kepada menukar dasar pentadbiran negara kepada landasan syariah dan berkebajikan. Siapapun yang menjadi Perdana Menteri bukanlah merupakan satu keutamaan kerana yang lebih penting ialah dasar yang akan dikemukakan ialah asas yang boleh menjanjikan kebajikan untuk rakyat.
 
PAS tidak mahu terperangkap dengan agenda mengangkat semula individu yang telah terbukti banyak melaksanakan dasar-dasar yang menyusahkan rakyat dan menjahanamkan iklim politik negara dengan pelbagai teori-teorinya sendiri.
 
Namun, jika PAS perlu juga untuk menjawab, cukuplah sekadar jawapan, "Of two evils, choose neither."
 
AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 17/1/2018