22
Tue, Aug

KITA berada di musim haji sejak bulan Syawal, Zulkaedah sehingga 13 Zulhijjah. Umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia berhimpun di Makkah al-Mukaramah, menghabiskan harta, mengorbankan tenaga, menunaikan ibadat ruh, jasad dan harta benda yang menjadi salah satu rukun Islam, rukun yang diseru oleh Nabi Ibrahim sejak ribuan tahun yang lalu setelah membuka Kaabah, membina dan merasmikannya.

Nabi Ibrahim adalah bapa nabi-nabi yang dipuja oleh penganut berbagai-bagai agama, bukan sahaja orang Islam. Selepas peninggalan Ibrahim A.S, orang-orang Arab berhimpun di Makkah mengerjakan haji dengan menyembah berhala, bertawaf dalam keadaan bertelanjang dan mengerjakan maksiat. Kedatangan Nabi Muhammad SAW membetulkan keadaan, aqidah dan amalan dengan menyeru semula umat Islam dari seluruh pelosok dunia berhimpun di Makkah. Ia merupakan suatu perhimpunan yang sangat besar, seterusnya melambangkan persaudaraan Islam dan kemanusiaan.

Seseorang yang mengerjakan haji bercampur dengan saudara-saudaranya yang seagama yang pelbagai perangai, ada yang lembut, ada yang terlalu keras dan kasar. Mereka diperintah bersabar dalam perhimpunan haji itu apabila menghadapi saudara-saudara mereka yang kasar semasa beribadat kepada Allah untuk melambangkan ruh persaudaraan. Tidak kira pemimpin, raja, orang besar, rakyat biasa, orang kaya, orang miskin, berpangkat besar atau rendah sama sahaja di hadapan Allah tanpa mengira bangsa dan keturunan.

Ibadat haji menghimpunkan manusia untuk ditarbiah, diajar dan dididik supaya mereka bersabar dan bersaudara. Sekiranya mereka dapat menunaikan haji dengan betul dengan penuh beradab, akan mendapat pahala yang sangat besar.

Saudara-saudara kita yang menunaikan haji itu adalah wakil daripada seluruh umat Islam dalam perhimpunan dan persidangan umat Islam yang menghimpunkan semua kalangan. Kita berada di bulan yang sangat mulia, marilah kita hayati bulan yang mulia ini dengan melakukan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Akhirnya, saya mengucapkan Selamat Menunaikan Ibadah Haji kepada semua umat Islam, sama ada yang sudah sampai atau yang akan berangkat ke Tanah Suci Mekah. Saya mendoakan mudah-mudahan mendapat Haji Mabrur.

"Sejahtera Bersama Islam"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 28 Zulkaedah 1438H / 21 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 21/8/2017

BERIKUT adalah temubual Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersama wartawan Berita Harian yang disiarkan dalam Akhbar Cetak Berita Harian pada 20 Ogos 2017 (Ahad).

BERITA HARIAN: Bagaimana perkembangan kesihatan Datuk Seri ketika ini. Adakah masih memerlukan rawatan intensif di IJN dan berapa lama diberi cuti rehat oleh doktor?

DATO’ SERI: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Doktor pun sudah izinkan saya lakukan aktiviti ringan secara perlahan-lahan. Bagaimanapun, saya masih memerlukan rawatan susulan dan masih diberi cuti rehat sehingga pulih sepenuhnya.

BERITA HARIAN : Dalam tempoh terdekat ini, bagaimana Datuk Seri menjalankan tugas rasmi terutama sebagai Presiden PAS, Ahli Parlimen Marang dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia?

DATO’ SERI : Saya banyak dibantu oleh setiausaha dan pegawai saya. Pada masa sama, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kerap kali datang berjumpa untuk merujuk beberapa perkara penting yang memerlukan pandangan dan persetujuan saya.

Selain itu, saya boleh berkomunikasi melalui telefon untuk menghubungi pimpinan PAS dan juga rakan antarabangsa. Kenyataan saya berkaitan isu antarabangsa juga disiarkan di laman media sosial seperti Facebook Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

BERITA HARIAN: Ketika Datuk Tuan Ibrahim menjalankan tugas sebagai Pemangku Presiden PAS, ada beberapa pihak mendakwa wujud pertelingkahan pandangan dalam membuat keputusan antara Datuk Seri dan Tuan Ibrahim termasuk keputusan menggugurkan Datuk Mustafa Ali daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya yang kemudiannya dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini?

DATO’ SERI: Semua itu dalam makluman dan persetujuan saya. Tiada isu sebenarnya. Datuk Tuan Ibrahim merujuk kepada saya terlebih dahulu. Datuk Mustafa Ali ialah sahabat baik saya sejak zaman Pemuda lagi. Kita melantik beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS kerana menghargai jasa dan pengalaman dalam jawatankuasa PAS, kita mahu mendengar pandangan beliau. Lagi pula beliau tetap hadir program PAS dan selalu berjumpa saya seperti biasa. Ini hanya mainan media dan saya harap media jujur dalam membuat pemberitaan.

BERITA HARIAN: Sidang Parlimen sesi kali ini sudah berakhir dan sebelum ini PAS optimis Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) akan dibahaskan pada persidangan itu, namun ia tidak juga menjadi kenyataan. Bagaimana PAS menangani isu ini?

DATO’ SERI: PAS sudah berjaya membawa ke peringkat membentangkan dan menghuraikan usul serta disokong pindaan Akta 355 pada sesi lepas. Sekarang terserah kepada Tan Sri Speaker untuk menyambung perbahasan dan masih ada lagi perkara-perkara teknikal yang memerlukan masa bagi menjayakan RUU 355 ini.

Pendirian kita jelas, kita tidak berputus asa dan berganjak dalam perjuangan memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya melalui pindaan Akta 355. Kita melihat RUU 355 ini menjangkaui sempadan politik semata-mata.  

BERITA HARIAN: PAS kini sudah tidak bersama pakatan pembangkang yang menggabungkan secara rasmi antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain beberapa parti termasuk PSM. Bagaimana Datuk Seri melihat keraguan banyak pihak termasuk penyokong akar umbi terhadap kekuatan PAS yang berada dalam Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)?

DATO’ SERI: PAS ada kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan seluruh negara. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP. Saya yakin Pakatan Harapan (PH), gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan PPBM adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu.

Kita sentiasa membuat kajian dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana pihak sejak 1950-an hingga hari ini dan kita boleh membuat keputusan sendiri dan memilih mana yang paling baik.

Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan adalah satu-satunya gabungan yang unik dan tidak pernah wujud dalam negara kita. Biasanya apabila menyebut mengenai gabungan politik, maka akan berlaku gabungan antara parti-parti politik sebagaimana PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional (BN), Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelainan yang ada pada Gagasan Sejahtera adalah ia gabungan parti politik bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat, tokoh akademik, bekas pegawai tinggi kerajaan atau sesiapa saja yang berminat untuk bersama Gagasan Sejahtera

BERITA HARIAN: Jika bersama pakatan pembangkang, PAS mampu menawan 21 kerusi Parlimen pada PRU-13, bagaimana jangkaan PAS secara realistik untuk PRU-14 terutama selepas berhasrat untuk bertanding di 120 hingga 140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh?

DATO’ SERI: Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40 kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata berdasarkan kajian yang kita buat di peringkat akar umbi melalui analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU).

Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya. Kekuatan PAS tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata. Kekuatan kita berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan. Mengambil kira pengalaman, PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986, pernah jatuh dua kerajaan negeri dan keadaan ini tidak pernah dialami oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan.

Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat.

BERITA HARIAN: Tanpa kerjasama dengan gabungan parti pembangkang, PAS dilihat hilang arah tuju dan bagaikan tidak berhasrat untuk menang PRU-14. Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini?

DATO’ SERI: Pertama, saya sudah menulis beberapa artikel dan juga dalam ucapan dasar Muktamar PAS April lalu bertemakan “Sejahtera Bersama Islam”, sudah menjelaskan bahawa hala tuju PAS dalam suasana politik hari ini adalah mengajak rakyat untuk menyelamatkan negara bersama Islam. Banyak parti politik bersemangat ke Putrajaya disebabkan teruja dengan kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, ada juga yang berlumba sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa saja termasuk musuh Islam yang mahu menipu dan memporak-perandakan umat Islam, ada juga yang marahkan salah laku dan perkara negatif sehingga sanggup menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah bahayanya.

PAS mahu ke Putrajaya dengan Islam menjadi asas penyelesaian segala masalah yang berlaku. Adalah menjadi kewajipan sebenarnya untuk melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan.

Kedua, hala tuju PAS sekarang adalah memperkasakan Gagasan Sejahtera menuju PRU-14 bersama-sama IKATAN, NGO, tokoh masyarakat dan parti lain yang akan menyertai kita.

Jadi melalui Gagasan Sejahtera yang dibentuk dengan dokongan rakyat dan bukti bersihnya kerajaan Kelantan daripada salah laku dan rasuah, kita tawarkan kepada rakyat pemerintahan yang amanah, adil dan saksama dengan bersama-samanya Islam sebagai tonggak pemerintahan yang menjamin keadilan untuk semua kaum dan bangsa.

BERITA HARIAN: Banyak pihak mengecam tindak-tanduk Datuk Seri yang dilihat berbeza dengan kepemimpinan terdahulu termasuk bekas Mursyidul Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mewujudkan golongan tidak berpuas hati dalam parti yang akhirnya keluar dan membentuk parti serpihan. Adakah politik diamalkan kepemimpinan Datuk Seri hari ini sesuai dengan kelangsungan PAS sebagai parti Islam di negara ini?

DATO’ SERI: PAS ada dasar Islam yang menjadi tonggak kepada perjuangannya. Pemimpin PAS bersilih ganti dari zaman berzaman. Yang istiqamah akan kekal dan yang khianat akan tercampak keluar. Almarhum Tuan Guru Nik Aziz meninggal dalam PAS dan istiqamah dengan dasar Islam yang dipegang. Mereka yang tidak ikut jejak Tuan Guru hakikatnya mengkhianati amanat Tuan Guru yang mengakhiri hidupnya dalam PAS.

Perubahan yang kita buat hari ini adalah selepas perbincangan dengan Tuan Guru Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia. Mereka yang keluar parti (membentuk parti serpihan) ini tidak tahu. Saya hanya menyambung warisan perjuangan Islam bersama bahtera PAS yang ditinggalkan oleh Almarhum.

BERITA HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat kemampuan Parti Amanah Negara, selaku parti serpihan PAS untuk berada di pentas politik, sekali gus menggantikan PAS?

DATO’ SERI: Kewujudan Parti Amanah Negara tidak memberi sebarang kesan kepada politik negara. Parti itu tidak boleh menggantikan PAS sebab tidak mendapat sokongan Melayu seperti PAS, parti didukung oleh orang Melayu dan diterima oleh orang bukan Islam. Mereka yang berada di belakang penubuhan Parti Amanah Negara akan meninggalkan parti itu apabila tujuan penubuhan itu kelihatan tidak tercapai.

BERITA HARIAN: Adakah masih wujud ruang untuk PAS kembali bekerjasama dengan gabungan parti pembangkang ‘dipandu’ DAP menjelang PRU-14 atau sebenarnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gabungan itu?

DATO’ SERI: Kita sudah membuat keputusan, tiada kerjasama dengan DAP dan parti yang bekerjasama dengan DAP. Keputusan kita jelas apabila melihat sikap keras terhadap Islam yang dipamerkan oleh DAP dengan menghalang hak umat Islam yang dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan menghalang pelaksanaan undang-undang Islam kepada orang Islam saja. Malangnya, DAP lantang menghalang kita untuk meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan Akta 355 yang hanya dikenakan ke atas orang Islam saja.

Jadi saya lihat, kerjasama dengan DAP hanya merugikan Islam. DAP berjaya mengumpulkan kumpulan Melayu dan NGO yang memberanikan diri untuk menunjukkan sikap anti-Islam sehingga menyentuh perlembagaan tanpa menghormati sensitiviti kaum. Kita mengharapkan supaya kalangan bukan Islam menyedari bahawa DAP adalah penyebab kepada ketegangan hubungan kaum dan mereka perlu berpindah dan tidak lagi menyokong DAP.

BERITA HARIAN: Apakah benar rundingan sedang berjalan antara PAS dan UMNO untuk menggarapkan ‘jalinan kerjasama’ untuk PRU-14?

DATO’ SERI: Tarikh pilihan raya belum ditetapkan. Oleh sebab itu, tiada guna kita bincang mengenai pilihan raya. Apa yang dibincangkan terkini adalah mengenai isu rakyat, di mana kita menyokong perkara yang positif dan kita terus bersikap tegas, menegur dan mengkritik secara membina dalam perkara yang negatif.

Hubungan PAS dengan UMNO tidak lebih daripada bekerjasama dalam perkara kebaikan dan keutamaan rakyat. PAS tidak akan masuk UMNO. Itu jelas. Dalam politik, kita tidak ulang strategi lama. Benda baik yang dibuat oleh UMNO, kita sokong dan bagi kerjasama seperti RUU 355 dan isu penindasan etnik Rohingya. Tetapi benda salah yang dibuat oleh UMNO, kita tentang dan tak bersetuju seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), cukai barang dan perkhidmatan (GST), Program Dwibahasa (DLP) dan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan Perceraian 1976 (Akta 164).

Kenapa apabila PAS bekerjasama dengan UMNO atas dasar kerajaan dengan kerajaan dituduh PAS mahu bergabung dengan UMNO? Bagaimana pula dengan DAP yang bekerjasama dengan UMNO untuk Jambatan Pulau Pinang?

BERITA HARIAN: Apa pendirian PAS terhadap permuafakatan ini (PAS-UMNO), apa pula pandangan peribadi Datuk Seri?

DATO’ SERI: Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”.

BERITA HARIAN: Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam bagaikan di persimpangan jalan - sama ada memilih gabungan parti dominan Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang dikuasai dan dipandu DAP. Apa pandangan dan pendirian Datuk Seri?

DATO’ SERI: Saya menyeru orang Melayu-Islam untuk kembali kepada penyelesaian Islam. Mulianya orang Melayu bukan bangsanya Melayu tapi mulianya kerana bersama-sama Islam. Ini disebut oleh Saidina Umar Al-Khattab:

“Sesungguhnya kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Ketika kita mencari kemuliaan bukan dengan yang Allah telah muliakan kita (Islam), maka Dia akan membuat kita hina.”

Islam sudah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat mengubah landskap negara menjadi masyarakat bersama kaum-kaum yang dipaksa datang sehingga menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun dilemahkan oleh penjajah dengan membuang undang-undang Islam dan penganut Islam tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.

Berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan pemerintahannya dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara beragama Islam daripada bangsa Melayu. Pada masa sama, wajib berlaku adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan membabitkan mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan berkebajikan terhadap semua.

Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera bersama Islam.

KEWUJUDAN pelbagai kaum adalah hikmah Allah, Yang Maha Pencipta Alam bagi merealisasikan konsep Masyarakat Madani yang memakmurkan dunia untuk mencapai objektif kalimah Al-Din dan Tamadun.

Perkataan Madani daripada Al-Din adalah Islam yang sempurna, meyakini bahawa Kuasa Allah yang menyeluruh ke sekalian alam, tidak boleh dipertikai sifat Rahmat, Adil, Bijaksana dan segala sifat Kesempurnaan bagi-Nya, dan peranan manusia yang diciptakan berjasad, berakal, punya aspek rohani dan hidup bermasyarakat. Maka Syariat Allah adalah paling sempurna dan tidak mampu dipenuhi oleh agama lain, teori dan ideologi ciptaan manusia.

Manakala Madani daripada perkataan Tamadun pula adalah memerlukan mereka berkemampuan secara bermasyarakat, tanpa bersendirian dan berasingan.

Oleh itu, wajib digabungkan kedua-duanya dalam membina Masyarakat Madani dengan Hidayah Allah, Yang Maha Penyayang terhadap makhluknya bersumberkan daripada Al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.

Sirah Rasulullah SAW juga menamakan negara pertama dengan sebutan ‘Madinah’ untuk memberi makna bahawa merakyatkan masyarakat Majmuk dalam Negara Islam.

Perkara tersebut ditegaskan dalam firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu bertaaruf (berkenalan dan berhubungan antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih Takwanya di kalangan kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (berkenaan diri dan urusan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Ayat ini menunjukkan bahawa adanya pelbagai kaum, bangsa dan suku sakat adalah ciptaan Allah yang mengandungi hikmah yang Maha Agung. Semua mereka berasal daripada ibu bapa yang sama, iaitu Adam dan Hawa. Inilah kenyataan sebenar daripada Al-Quran yang wajib diimani oleh penganut Islam.

Setelah berlalu beberapa abad mereka ditempatkan ke seluruh pelosok dunia di atas muka bumi, menjadikan mereka pelbagai bangsa dan budaya dengan perbezaan cuaca, hasil pertanian, galian dan ilmu pengetahuan.

Namun, keperluan hidup manusia yang berhajat kepada banyak bahan (daripada hasil tersebut bagi keperluan makanan, pakaian, tempat kediaman, alat perhubungan perjalanan dan maklumat) memerlukan semua bahan ciptaan Allah itu digabungkan, diwajibkan bermuamalat (pergaulan) dan pertukaran yang memerlukan saling bertaaruf dan mengenali antara satu sama lain bagi melaksanakan konsep Al-Din dan Masyarakat Madani.

Bagi mencapai tujuan ini, maka diwajibkan urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan supaya konsisten atas dasar kesaksamaan mengikut sempadan hak masing-masing dan persamaan dalam beberapa perkara dan tidak sama dalam perkara lain kerana perbezaan kejadian, tempat dan suasana. Semuanya berpandukan petunjuk Allah Pencipta Alam.

Namun, terdapat kalangan manusia yang degil mencipta teori dalam perkara yang tidak diizinkan oleh Allah kerana di luar kemampuan diri manusia, menyebabkan kemusnahan diri sendiri dan alam sekelilingnya. Allah Yang Maha Penyayang sangat murka terhadap golongan ini.

Firman Allah:

أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْ شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ ٢١ الشورى

“Patutkah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang menentukan mana-mana bahagian dari agama mereka sebarang undang-undang yang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (dari Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (yang berbuat demikian) dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (Surah As-Syura: 21)

Dalam aspek perkauman, Islam tetap menegaskan bahawa fitrah manusia adanya kaum dan ada perasaan kecintaan seseorang kepada keluarga dan kaumnya yang tetap diizinkan dan diwajibkan. Namun, kecintaan itu ada sempadannya, iaitu diharamkan dijadikan sebagai aqidah perjuangan apabila sampai ke tahap fanatik yang mencetuskan kezaliman di antara satu sama lain.

Tegasnya, Islam mewajibkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga dan bangsa. Pada masa sama, Islam juga mewajibkan menjaga hubungan persaudaraan kemanusiaan.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسٖ وَٰحِدَةٖ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالٗا كَثِيرٗا وَنِسَآءٗۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا ١ النساء

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Surah An-Nisa: 1)

Dalam aspek kekeluargaan pula, Islam mewajibkan berbuat baik terhadap keluarga khususnya ibu bapa walaupun mereka bukan Islam. Namun tegas mempertahankan aqidah Islam apabila ditentang. Firman Allah:

 وَوَصَّيۡنَا ٱلۡإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيۡهِ حَمَلَتۡهُ أُمُّهُۥ وَهۡنًا عَلَىٰ وَهۡنٖ وَفِصَٰلُهُۥ فِي عَامَيۡنِ أَنِ ٱشۡكُرۡ لِي وَلِوَٰلِدَيۡكَ إِلَيَّ ٱلۡمَصِيرُ ١٤ وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشۡرِكَ بِي مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٞ فَلَا تُطِعۡهُمَاۖ وَصَاحِبۡهُمَا فِي ٱلدُّنۡيَا مَعۡرُوفٗاۖ وَٱتَّبِعۡ سَبِيلَ مَنۡ أَنَابَ إِلَيَّۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرۡجِعُكُمۡ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ ١٥ لقمان

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku(Allah) dengan  sesuatu yang engkau tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepada-Ku (Islam). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan (15)” (Surah Luqman: 14-15)

Dalam konsep dakwah yang tidak dipisahkan daripada politik, Allah menetapkan para Rasul membina kedudukan bersama kaumnya. Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Allah menceritakan kisah Nabi Lut A.S tanpa kaum bersamanya:

 قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ ٨٠   هود

“Nabi Lut berkata: Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)” (Surah Hud: 80)

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang diutuskan kepada seluruh manusia:

 وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ ٢١٤ الشعراء

“Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat” (Surah As-Syuara’: 214)

Maka, mesej Rasulullah SAW dimulakan dengan peranan kaum, bangsa dan keluarganya di kalangan Arab daripada Qabilah Quraisy, sehingga menjadi qabilah yang dominan di kalangan masyarakat majmuk di zaman permulaan negara Islam dan menjadi ciri penting yang diambil kira dalam kepimpinan negara selepas wafatnya baginda SAW.  
 
Perkara ini dikuatkan dengan sabdanya:

الأئمة من قريش

“Para pemimpin utama hendaklah daripada kalangan Quraisy”

Hadis ini dilaksanakan dalam pemilihan Khalifah daripada kalangan kaum Quraisy selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Selain itu, aqidah Islam dapat memelihara keadilan mutlak dalam masyarakat majmuk pelbagai bangsa dan agama kerana firman Allah di dalam Al-Quran yang wajib diamalkan semuanya secara menyeluruh:

۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ النساء

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat” (Surah An-Nisa: 58)

Para ulama Islam berpegang kepada konsep dominan kaum dalam kepimpinan negara dengan sifat anjal dan fleksibel kerana perubahan dunia, di mana Ketua Negara Islam mengalami perubahan mengikut dominan kaum yang menganut Islam.

Dalam politik Malaysia, hendaklah diambil kira Bumiputera Melayu beragama Islam yang menjadi kaum dominan dilantik sebagai tonggak kepimpinan negara dengan peneguhan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Negara dan Raja Berperlembagaan yang terdiri daripada penganut Islam Melayu.

Begitu juga jawatan teras dalam negara seperti Bidang Kehakiman, Pentadbiran, Keselamatan dan Pertahanan kerana kehaibatan dan keunggulannya di kalangan rakyat sangat penting. Kehaibatannya hilang sekiranya berada di tangan kalangan kaum yang tidak dominan.

Kaum lain yang beragama bukan Islam sepatutnya tidak merasa khuatir dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran dan Perlembagaan Negara yang sentiasa diislahkan. Sebaliknya kalau aspek ini diganggu boleh mengancam kedudukan semuanya.

Apa yang dibimbangkan hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, Raja dan hak istimewa yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik.

Begitu juga ada kalangan orang Islam yang bebal beraliran bebas setelah kehilangan jati diri Islam dan kebangsaannya turut berperanan merosakkan konsep dan peranan dominasi ini. Rakyat pelbagai kaum dan agama hendaklah menolak kalangan ini dalam Pilihanraya Umum (PRU) demi kebaikan semua pihak dan mengatur hari muka yang bahagia dan tiada kecelakaannya.

Maka PAS tetap menolak mereka yang mempertikaikan konsep ini atau tidak mempedulikan akan kepentingannya.

PAS menegaskan bahawa Melayu Islam yang wajib diperkasakan politiknya bersama Islam, adalah teras kepada negara Malaysia bermasyarakat majmuk dan menjadi tonggak kepimpinan negara, kerana Melayu adalah dominan dan Islam itu adil terhadap semua dengan kewajipan beraqidah Islam.

Jika Melayu bersama Islam semuanya selamat, Melayu tanpa Islam semuanya tidak selamat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulkaedah 1438H / 18 Ogos 2017M – HARAKAHDAILY 18/8/2017

SEMUA pihak menunding jari menyalahkan pihak lain dengan melupai punca asas tercetusnya kekecohan apabila jawapan yang tidak memuaskan hati terhadap peristiwa Memali. PAS adalah mangsanya apabila diserang hebat sehingga mengorbankan salah seorang pemimpinnya, Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakan.

Terima kasih diucapkan kepada mereka yang meminta penjelasan berkenaan peristiwa Memali. Kepada yang tidak mampu menjawab sepatutnya tidak marah dan orang lain tidak membuat kekecohan. Anak-anak muda sahaja tidak sepatutnya dipersalahkan, sepatutnya juga dipersalahkan yang menjadi penyebabnya.

Ketika peristiwa itu masih panas darah yang mengalir, para ulama PAS mengisytiharkan syahidnya mereka yang menjadi mangsa kerana dibunuh dengan zalim dan mereka mempertahankan Islam yang ditegakkan.

Ketika itu Ustaz Ibrahim Mahmud dan rakan-rakannya dipersalahkan, bukan pula dipersalahkan orang yang selalu menghina Islam dan hukumnya yang sangat dimarahi oleh Ustaz Ibrahim dan rakan-rakan.

PAS mempunyai pendekatan sebagai parti yang berdakwah, bukan menghukum kafir mengkafir kerana kejahilan umat terhadap Islam, yang mengharamkan pendekatan itu. Akhirnya PAS  berjaya membendungnya secara ilmu dan mereka yang paling kuat mengkafirkan Umno pula akhirnya ramai yang masuk Umno atau diam sahaja. Hari ini dapat diwujudkan kerjasama PAS dan Umno dalam perkara Islam.

Malangnya ada pihak yang marahkan pendekatan ini.

Ramai kakitangan kerajaan, polis dan Umno tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan sehingga mengorbankan polis yang dipaksa dan Ustaz Ibrahim dan rakan-rakannya yang diserang. Kita mengharapkan yang dipaksa juga mendapat syahid, inilah hukum  Islam.

Namun ramai yang melempar batu menyembunyikan tangan dalam mengulas isu sejarah hitam ini. PAS hanya menyebut pepatah Arab yang berbunyi:

ضربني وبكى , ظلمني واشتكى

"Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu."

Tiada guna mengungkit cerita lama sejarah hitam itu tanpa bertaubat dan meminta maaf sekiranya bersalah, dan tanpa membetulkan keadaan dengan membayar yang perlu dibayar dan mengganti yang perlu diganti.

Apa yang terbaik adalah melaksanakan nasihat daripada Allah:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود .

"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat." (Surah Hud: Ayat 114)

"Sejahtera Bersama Islam"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 23 Zulkaedah 1438H / 15 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 15/8/2017

RASULULLAH SAW adalah pemimpin teladan sebenar pilihan Allah yang mendapat wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah S.W.T, maka ahli politik Islam tidak boleh menjadikan yang lain daripadanya sebagai ikutan dan teladan yang sebenar khususnya dalam Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Para ulama merakamkan sabda Rasulullah SAW dengan menyatakan sikap terhadap pihak lain:

أحبب حبيبك هوناً ما، عسى أن يكون بغيضك يوماً ما، وأبغض بغيضك هونا ما، عسى أن يكون حبيبك يوماً ما. (الترمذي. وقال الألباني جيد أسانيده رجال مسلم وقيل موقوف لعلي بن أبي طالب)

“Kasihlah terhadap seseorang yang disayangi dengan berpada-pada (jangan melampau), kerana kemungkinan di satu hari nanti dia menjadi musuh yang paling dimarahi, marahlah terhadap seseorang dengan berpada-pada, kerana dia boleh menjadi kekasih di satu hari nanti”

Jangan terpengaruh dengan budaya politik melampau amalan jahiliyah yang tersebar luas dalam dunia kini. Budaya yang sangat menggoda khususnya melalui media sosial tanpa sempadan dan akhlak yang tidak mengambil kira dosa dan pahala. Pendekatannya lebih banyak menyerang daripada menerang, menyebarkan fitnah, memburukkan lawan dan kawan tanpa sempadan akhlak dalam mencegah kemungkaran.

Islam memandu kita walaupun kemungkaran itu sebenarnya berlaku, tetapi diutamakan menyelamatkan kedua-dua pihak, pelaku dan mangsanya, kerana manusia itu boleh berubah. Kalau tidak akan berubah, itu adalah urusan Allah, bukan urusan kita. Maka dalam mencegah kemungkaran itu, jangan melampau sehingga mencetuskan fitnah yang lebih parah dan lebih buruk akibatnya. Laksana memberi ubat terlebih dos sehingga menjadikan penyakit lebih parah dan boleh membawa maut.

Pendekatan ini berpandukan hadis Rasulullah SAW:

انْصُرْ أخَاكَ ظَالماً أَوْ مَظْلُوماً. فَقَالَ رجل: يَا رَسُول اللهِ، أنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُوماً، أرَأيْتَ إنْ كَانَ ظَالِماً كَيْفَ أنْصُرُهُ؟ قَالَ: تحْجُزُهُ - أَوْ تمْنَعُهُ - مِنَ الظُلْمِ فَإِنَّ ذلِكَ نَصرُهُ. رواه البخاري

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi. Seorang sahabat bertanya: “Saya nampak kalau saya menolong kalau dia dizalimi. Apakah pandangan Rasulullah kalau dia si zalim? Bagaimana cara saya menolongnya? Sabdanya: Kamu halang atau cegahnya daripada berlaku zalim, itulah cara menolongnya”   

Politik hidayah Allah yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W ada batasan akhlak mulia, sempadan baik dan buruk serta perhitungan halal dan haram. Caranya lebih bersifat menjadi penyelamat rakyat dan mereka yang terjerumus ke dalam dosa. Tujuannya adalah mengislahkan bukan terus dibiarkan menjadi rosak atau lebih merosakkan lagi. Di zaman pendekatan ini diamalkan, ia telah menjadikan pengikut Islam makin bertambah apabila mereka menyaksikan pelaksanaanya bukan untuk mencipta musuh seramai-ramainya.

Pendekatan ini juga tidak hanya melihat dari sudut kesalahan seseorang sahaja sehingga menafikan sudut kebaikannya, atau menentang sesuatu pihak untuk dijatuhkan semata-mata ingin mendapatkan peluang mengambil kuasa untuk diri sendiri dan puaknya sahaja, selepas itu tidak mempedulikan rakyat dan menegakkan jahiliyah di atas runtuhan jahiliyah.  

Islam adalah rahmat kepada seluruh alam, sebagaimana ditegaskan oleh Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧ الأنبياء

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” (Surah Al-Anbia’: 107)

Mesej politik Islam adalah mengajak manusia bersama Islam, menjadi penyelamat dan mengemukakan penyelesaian terhadap semua masalah yang dihadapi oleh masyarakat, termasuk diri orang yang melakukan kesilapan, bukan sahaja menyelamatkan mangsanya.

Islam menunjukkan bahawa punca dan sebab paling utama adalah masalah aqidah dan akhlak, tetapi aspek ini tidak diminati oleh masyarakat umum hari ini untuk diselesaikan kerana mereka hanya berfikir di perut, bukannya berfikir di kepala dan hanya mengutamakan masalah kehidupan yang sangat menekan. Jauh sama sekali memahami bahawa punca segala masalah disebabkan oleh kefahaman yang rosak.

Peranan PAS adalah menjadi penyelamat bersama Islam supaya yang salah kembali ke pangkal jalan dan bertaubat, bukan sekadar mahu merampas jawatan semata-mata atau sekadar membalas dendam terhadap yang menjatuhkan dan mengambil semula jawatan dengan penuh geram kerana pernah dijatuhkan, dikalahkan dan dipecat.  

Kita tegas dengan keyakinan bahawa hanya pemimpin yang beriman, benar aqidah, budiman dan luhur akhlaknya dapat menyelamatkan rakyat dengan contoh dirinya, sehingga berjaya mendidik rakyat menjadi beriman dan budiman. Bukannya laksana ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Sifat pemimpin itu dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran:

وَجَعَلۡنَا مِنۡهُمۡ أَئِمَّةٗ يَهۡدُونَ بِأَمۡرِنَا لَمَّا صَبَرُواْۖ وَكَانُواْ بِ‍َٔايَٰتِنَا يُوقِنُونَ ٢٤ السجدة

“Dan Kami jadikan daripada kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (Surah As-Sajadah: 24)

Semua para Rasul A.S mengajak para pemimpin dan kaum masing-masing dengan pendekatan menjadi penyelamat terhadap yang paling zalim dan keras, walaupun terpaksa memakan masa yang panjang sehingga kebanyakan mereka tidak sempat menyaksikan hasil perjuangan semasa hidup di dunia, tetapi kejayaannya disaksikan oleh generasi yang meneruskan perjuangan mereka.

Allah mewahyukan perintah-Nya kepada Nabi Musa A.S yang dipilih Allah, supaya menghadapi Firaun yang paling dimurkai Allah kerana sikap melampau dalam aqidah, mengaku dirinya Tuhan dan melakukan kezaliman politik dan ekonomi, menyembelih anak yang dilahirkan dan memperhambakan rakyat, namun Allah berfirman kepada Rasul-Nya Musa dan Harun A.S:

ٱذۡهَبَآ إِلَىٰ فِرۡعَوۡنَ إِنَّهُۥ طَغَىٰ ٤٣ فَقُولَا لَهُۥ قَوۡلٗا لَّيِّنٗا لَّعَلَّهُۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ ٤٤ طه

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya (43) Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut (44)” (Surah Taha: 43-44)

Allah juga menamakan para Rasul-Nya adalah saudara kepada kaumnya walaupun kaumnya sesat dan zalim.

Firman Allah:

۞وَإِلَىٰ عَادٍ أَخَاهُمۡ هُودٗاۚ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مَا لَكُم مِّنۡ إِلَٰهٍ غَيۡرُهُۥٓۚ أَفَلَا تَتَّقُونَ ٦٥ الأعراف

“Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. Dia berkata: Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadaNya. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa kepadaNya?” (Surah Al-A’raf: 65)

Firman Allah:

وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَآ إِلَىٰ ثَمُودَ أَخَاهُمۡ صَٰلِحًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ فَإِذَا هُمۡ فَرِيقَانِ يَخۡتَصِمُونَ (النمل - 45)

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutus kepada kaum Thamud, saudara mereka Nabi Soleh (menyeru mereka dengan berkata): Sembahlah kamu akan Allah! Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak (mukmin dan kafir) yang berbalah.” (Surah An-Naml: 45)
 
Firman Allah kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya:

ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ (فصلت ٣٤)  

“Tolaklah (kejahatan yang dilakukan terhadapmu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seorang sahabat penyayang” (Surah Fussilat: 34)

Maka Rasulullah S.A.W mendahulukan kemaafan dan menggalakkan bertaubat, bukan yang paling diutamakan untuk menjatuhkan hukuman sehingga mewajibkan syarat-syarat yang memayahkan, jauh sama sekali untuk membalas dendam.

Walaupun dalam keadaan paling tegang, keras dan berkuasa, namun Allah menegaskan wajib berlaku adil juga terhadap musuh.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَ‍َٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Allah menunjukkan kepada Rasulullah S.A.W tentang cara-cara untuk menghadapi mereka yang melakukan dosa paling besar iaitu melantik tuhan selain Allah:

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨ الأنعام.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah Al-An’am: 108)

Beginilah Allah melarang sikap melampau dalam mencegah kemungkaran. Walaupun kemungkaran itu benar tetapi tidak dibenarkan meledakkan kemungkaran yang lebih besar daripadanya.

Oleh kerana Islam beristiqamah dengan aqidah dan akhlaknya, maka semua tahaluf (persefahaman politik) bersama pihak lain dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dalam keadaan kedudukan Islam yang lebih kuat, memimpin dan memerintah, bukan dalam kedudukan yang lemah dan mudah di arah oleh pihak yang lain sehingga menjadikan kumpulan Islam terikut dengan budaya pihak lain yang tidak matang dan sejahtera.

Hanya Islam dengan jati diri pendokongnya sahaja mampu menangani pertembungan dalam masyarakat majmuk dengan panduan Allah:

ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج.

“Mereka yang diusir daripada kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah Allah dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), rumah-rumah ibadat kaum Yahudi dan tempat-tempat sembahyang), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; (40) Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (41)” (Surah Al-Hajj: 40-41)

Walaupun dihalau daripada tanah air kesayangannya, dibunuh keluarga dan para sahabat tersayang, Rasulullah SAW. menunjukkan sifat wasatiyyah (tidak melampau) apabila berjaya mencapai kemenangan Fathu Makkah (membebaskan Makkah) tanpa membalas dendam terhadap musuhnya, walaupun kedudukannya kuat berkuasa.

Contoh ini diteladani oleh generasi kemenangan Islam di zaman keemasan selama beberapa abad. Ramai kalangan musuh yang paling ganas terhadap Islam bertukar menjadi penganutnya yang setia, ikhlas menyebarkan Islam dan membangun negara bersama Islam. Golongan bukan Islam pula lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam.

Dalam menghayati konsep demokrasi untuk mendapat dokongan rakyat, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) secara Islam wajib berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW supaya mencapai fadhilat menyelamatkan rakyat bersama Islam dengan petunjuk Allah yang sempurna dan berwawasan di dunia sehingga akhirat.

Sabda Rasulullah SAW.

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم . (متفق عليه)

“Demi sesungguhnya seseorang mendapat hidayat Allah dengan sebabmu lebih baik daripada kenderaan termahal harganya” (Muttafaqun ‘Alaih)

Kita wajib beriman kepada Qadar dan takdir Allah terhadap alam yang boleh berubah termasuk manusia, maka sikap yang anjal (fleksibel) dalam berpolitik dan berdakwah dalam perkara yang tidak ada nas yang tetap, sangat penting untuk kita berijtihad bagi melaksanakan konsep Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bersama Islam.

Sikap begitu bukannya bererti lemah, namun kekuatannya tetap dibuktikan apabila pihak musuh Islam melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بالصُّرَعَةِ، إنَّمَا الشَدِيدُ الَّذِي يَملكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ. مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

“Bukanlah orang yang hebat gagah perkasa itu yang cepat bertindak membelasah secara melulu. Sesungguhnya yang hebat itu ialah orang yang dapat mengawal diri ketika terlalu marah”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulkaedah 1438H / 11 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 11/8/2017

ALLAH SWT berfirman:

هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ الجمعة

“Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin (buta huruf), seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) daripada bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (daripada ajaran kesesatan syirik dan kejahatannya), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan dan kebijaksanaan mengenai pelaksanaannya) dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah Al-Jumuah: 2)

Apabila Rasulullah S.A.W. membawa Islam menjadi petunjuk dalam semua urusan cara hidup beribadat dan lain-lain kepada seluruh alam, malangnya para pemimpin Makkah yang jahil itu menolaknya.

Allah merakamkan dalam Al-Quran dengan menyebut:
وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ ٥٧ القصص

“Dan mereka berkata: “Kalau kami mengikut petunjuk yang engkau bawa itu, nescaya kami dengan serta merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (kerana lain daripada realiti yang ada). Bukankah Kami (Allah) telah melindungi mereka dan menjadikan (Negeri Mekah) tempat tinggal mereka sebagai negeri yang aman, yang dibawa kepadanya hasil tanaman daripada segala jenis sebagai rezeki pemberian daripada sisi Kami? (Benar, Kami telah menjadikan semuanya itu), tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan untuk mengetahuinya.” (Surah Qasas: 57)

Masyarakat Jahiliyah Arab berpaksikan kebendaan dan kekuatan. Walaupun mereka berada di sisi Ka’abah yang merupakan lambang aqidah tauhid yang dibina oleh Nabi Ibrahim A.S. tetapi kepercayaan kepada pemujaan kebendaan yang dilihat menjadikan mereka sesat sehingga menyembah berhala batu yang dipahat oleh tangan mereka sendiri. Adapun harta yang dijana melalui kegiatan ekonomi mereka hanya boleh menghidupkan Makkah yang terpencil dengan kegiatan ekonomi dunia dikala itu berpaksikan kekuatan dan kekuasaan. Sesiapa yang kuat dialah yang senang kaya-raya, yang lemah terus ditindas sehingga dihamba abdikan.  

Apabila Islam diterima oleh masyarakat majmuk di Madinah, lalu ditegakkan negara berpandukan hidayah (petunjuk Al-Quran) dan hikmah (kebijasanaan) Rasulullah S.A.W. yang dikawal oleh wahyu.

Projek Rasulullah SAW bermula dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah Tuhan Pencipta Alam mengikut komponen fitrah iaitu jasad, roh, akal, individu dan bermasyarakat madani. Politik dan ekonomi pula adalah sebahagian daripada peranan manusia memakmurkan bumi dalam kawalan syariat Allah Pencipta Alam tanpa bertuhankan manusia dan kebendaan.

Di masa itu masih ada dua negara besar yang bertamadun. Di Baratnya, Rom yang menganut Kristian yang memisahkan urusan dunia daripada agama. Di Timurnya, Parsi yang menganut Majusi bersama pengaruh ketimuran China dan India yang berkonsepkan keberhalaan. Kedua-dua negara besar itu kaya-raya dan maju dengan tamadun kebendaan yang ditegakkan dengan kuasa menindas rakyat.

Islam yang dimulakan dengan pembangunan insan mengikut acuan Allah masih dalam keadaan sangat miskin tanpa banyak harta. Ini dinyatakan dalam mesej kepada kedua-dua kuasa besar itu dan ditegaskan risalahnya oleh Rub’ei ‘Aamir yang menjadi utusan menemui Kerajaan Parsi:
الله ابتعثنا لنخرج من عبادة العباد إلى عبادة الله، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام، ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة.

“Allah yang menghantar kami supaya mengajak kamu, keluar bebas daripada menjadi hamba kepada sesama makhluk kepada menjadi hamba hanya kepada Allah sahaja, daripada kezaliman berbagai agama dan (teori falsafah) kepada keadilan Islam, dan daripada wawasan dunia yang sempit (sementara waktu sahaja) kepada wawasan yang luasnya daripada dunia sehingga Hari Akhirat (yang kekal selama-lamanya)”.

Akhirnya Islam yang dibawa oleh generasi awal yang buta huruf dan miskin serta tiada asas tamadun kebendaan telah berjaya menumbangkan kedua-dua kuasa besar yang bertamadun itu kerana kezaliman pemerintahannya sehinggakan rakyatnya sendiri mahukan perubahan.

Selepas Islam yang sempurna dilaksanakan dengan sepenuhnya dalam negara yang besar, luas dan masyarakat majmuk, akhirnya ramai penduduk yang menganut Islam tanpa paksaan dan masih ramai juga yang berpegang dengan agama masing-masing tetapi lebih redha dan rela berada di bawah pemerintahan Negara Islam yang berkebajikan.

Pemerintah Islam hanya membuang konsep jahiliyah yang zalim daripada Tamadun Timur dan Barat tetapi menerima segala peninggalan dan warisan ilmu yang bermanfaat daripada Tamadun Timur dan Barat. Mereka membina tamadun baru dengan mengislamkan warisan tamadun lama berkonsepkan hidayah Al-Quran:


ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١  خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢  ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ العلق .

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia dengan qalam (pena). (4)” (Surah al-‘Alaq: 1-4)

Semua ilmu yang bermanfaat hendaklah berkonsepkan aqidah beriman dan beribadat kepada Allah Pencipta Alam, sebagaimana dihuraikan oleh sabda Rasulullah S.A.W.


الحكمة ضالة المؤمن فأنى وجدها وهو أحق بها

“Kebijaksanaan itu kepunyaan orang yang beriman, maka di mana sahaja dia menemuinya, maka dialah orang yang paling berhak mengambilnya.”

Tamadun Islam juga telah berjaya meneroka asas sains dan teknologi yang memberi manfaat dengan memandu ilmu akal, kajian dan pengalaman yang telah sedia ada dengan hidayah Allah berdasarkan sempadan halal dan haram.

Dalam aspek politik dan ekonomi pula, Allah menyatakan hidayahnya dalam Al-Quran:


ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١ الحج

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj: 41)

Ayat ini menegaskan tentang konsep kuasa politik dan ekonomi zakat yang mengambil bayaran wajib daripada golongan kaya, memperkenalkan konsep ekonomi yang menjadi mata rantai yang tidak boleh diputuskan dengan ibadat solat dan politik penguatkuasaan undang-undang yang menegakkan perkara kebajikan dan mencegah kemungkaran dengan syariat Allah yang berwawasan Hari Pembalasan di Akhirat.

Selanjutnya Allah menghuraikan konsep ekonomi dalam pembahagian harta negara melalui firman-Nya:


مَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِۦ مِنۡ أَهۡلِ ٱلۡقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡيَتَٰمَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِ كَيۡ لَا يَكُونَ دُولَةَۢ بَيۡنَ ٱلۡأَغۡنِيَآءِ مِنكُمۡۚ ٧ الحشر

“Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya (Muhammad) daripada harta penduduk negeri, bandar atau desa (dengan aman damai), maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya daripada kalangan kamu” (Surah Al-Hasyr: 7)

Kedatangan Islam yang sempurna pelaksanaannya dalam sejarah keemasan dialu-alukan oleh semua bangsa untuk menjadi penyelamat bukannya penjajah seperti yang dilakukan oleh kuasa besar yang menguasai dunia sebelum dan selepasnya.

Di zaman Islam terbukti betapa benarnya firman Allah:


وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, daripada langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah Al-A’araf: 96)

Di antaranya, hasil negara bertambah tanpa membebankan cukai terhadap rakyat miskin dengan pertambahan yang terus meningkat dengan pesat dan maju.

Contohnya diwujudkan bandar baru di Zaman Abbasiyyah seperti Baghdad, Mosul dan lain-lain apabila golongan kaya mendirikan Musafir Khanah (Hotel Wakaf Percuma) yang menjadi tempat persinggahan dengan menggunakan harta wakaf dan kerajaan pula membina hospital percuma sehingga menjadikan tempat itu sebagai tempat persinggahan para musafir dan pengunjung.

Lalu pusat perniagaan berkembang dengan pesat dan meningkatkan hasil zakat perniagaan, pertanian dan lain-lain yang diwajibkan bagi penganut Islam berkonsepkan ibadat harta dan diri. Manakala Jizyah, Kharaj dan Usyur (cukai perniagaan, pertanian dan lain-lain) dikenakan ke atas orang bukan Islam yang akhirnya menambahkan hasil negara.

Di Andalusia (Sepanyol) pula ada bandar bernama Malaqa (tempat pertemuan) mengamalkan konsep yang sama. Saya teringat betapa Negeri Melaka diwujudkan oleh Islam di Rantau Asia Tenggara adalah satu nama tempat yang masyhur, tetapi malangnya penjajah mengajar sejarah dengan mengatakan Negeri Melaka berasal daripada nama pokok Melaka sahaja.  

Begitulah juga pada hari ini, Islam menyanggah segala teori yang berpaksikan kebendaan yang dianuti oleh ahli falsafah di Timur dan Barat dan anak murid mereka di kalangan umat Islam yang terpengaruh dengannya. Kini ternyata bahawa teori-teori mereka itu menyusahkan negara khususnya rakyat.

Di antara contohnya ialah apabila berlaku krisis ekonomi, rata-rata rakyat mengadu kenaikan harga barangan, kerajaan pula berhempas pulas membetulkan kedudukan ekonomi, namun rakyat juga yang dibebankan dengan cukai dan kenaikan harga barangan. Semuanya berpunca daripada teori yang berpaksikan kebendaan semata-mata sehingga kebendaan yang ada disekelilingnya juga berkecai tidak mampu diurus.

Walaupun ada kalangan yang membuat kenyataan inginkan Islam tetapi mengikut kenyataan tokoh ulama’ terkenal, Abu Hasan Ali Al-Nadawi R.A. bahawa ada dua pendekatan yang dijadikan panduan sama ada konsep hidayah atau konsep jibayah.

Konsep Hidayah berdasarkan keimanan kepada janji berkat bersama Islam, lalu dilaksanakan dengan berani mengikut batas sempadan halal dan haram dengan tegas dan istiqamah percaya kepada janji Allah.

Konsep Jibayah pula melaksanakan Islam secara terpilih mengikut akalnya yang terus bergayut kepada kebendaan yang menjadi berhala yang dipuja atau kiblat yang dihadap sehingga melanggar batas halal dan haram.

Percukaian atau konsep Jibayah kekayaan kewangan dipercayai menjadi roh kepada kerajaan sehingga tanpa mengira apakah kesannya. Tetap terpengaruh kepada dua pendekatan yang dikenali di dunia hari ini iaitu liberal kapitalisme atau sosialiasme / komunisme, kemudian diadakan pula teori pragmatisme. Semuanya berkiblat dan berpaksikan kebendaan semata-mata.

Pemimpin negara yang masih hidup dipanjangkan umurnya untuk menyaksikan apa yang diwar-warkan kebijaksanaannya dahulu dalam mengurus negara dengan teori sekali ke Timur dan sekali ke Barat serta teori penswastaan, telah mengakibatkan kerajaan berlumba dalam aspek ekonomi bersama rakyat bagi menjana ekonominya kerana tidak cukup dengan cukai yang sedia ada dan betapa sumber daripada bumi dan tenaga manusia daripada rakyat dan kerajaan dikira tidak mampu. Tiba-tiba kesannya adalah ramai yang dibuang kerja dan menjadi penganggur dengan kesempitan hidup kerana tidak seimbang di antara gaji dan pendapatan dengan kos sara hidup diri dan keluarga dalam negara yang dibarahi inflasi.

Mangsanya termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan berpengalaman bekerja tetapi tidak mampu diurus dalam bumi yang banyak hasil. Ada pun tenaga manusia tidak mampu dimanfaatkan dan Wawasan 2020 yang digagaskannya tidak sampai ke Hari Akhirat.

Ibnu Khaldun menyebut di dalam kitabnya المقدمة (Al-Muqadimah) menjelaskan dalam satu fasal yang khusus dengan huraian yang panjang:

الفصل الأربعون في أن التجارة من السلطان مضرة بالرعايا ومفسدة للجباية (مقدمة ابن خلدون 1/ 379)

“Fasal 40 berkenaan penglibatan kerajaan dalam perniagaan membawa mudarat kepada rakyat dan merosakkan sistem percukaian.”

Saya telah menyebut dalam tulisan terdahulu betapa pentadbiran British berkonsepkan Negara Kebajikan (Welfare State) terpengaruh dengan Islam, tetapi mereka tidak menganut agama Islam (Konsep Negara Berkebajikan) yang lebih luas dan menyeluruh. Di mana konsep ‘Welfare State’ tiada roh dan wawasan Akhirat. Di awal kemerdekaan, kita menyaksikan pemerintahan negara kebajikan ala British diamalkan apabila kerajaan melaksanakan rawatan perubatan dan pendidikan percuma. Kerajaan hanya mengurus perkara kepentingan umum seperti bekalan air, tenaga eletrik, jalanraya, Telekom dan Pos. Selepas itu dicipta pula Teori Pandang ke Timur, kemudian ke Barat dan sekali sekala ke Timur pula. Saya tidak ingin mengambil masa untuk mengulas lebih panjang kerana telah disaksikan oleh umum, betapa muqadimah dan kesudahannya pada hari ini.

Sebenarnya Allah memberi rezeki yang mencukupi kepada manusia. Apabila berlaku hasil negara tidak mencukupi menunjukkan adanya kesilapan manusia sendiri.  

Firman Allah:


۞وَلَوۡ بَسَطَ ٱللَّهُ ٱلرِّزۡقَ لِعِبَادِهِۦ لَبَغَوۡاْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٖ مَّا يَشَآءُۚ إِنَّهُۥ بِعِبَادِهِۦ خَبِيرُۢ بَصِيرٞ ٢٧ الشورى


“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.” (Surah As-Syura: 27)

Mereka yang berfikiran Jibayah tanpa Hidayah adalah paling durjana ketika berkuasa dan tidak berkuasa sekiranya tidak insaf dan bertaubat.

Benarlah sabda Rasulullah S.A.W.:


لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
صحيح البخاري - مكنز (21/ 298، بترقيم الشاملة آليا)

“Kalaulah diberi kepada manusia itu satu lembah yang penuh emas, nescaya dia mahu dua lembah yang penuh emas juga, dan tidak boleh memuaskan mulutnya melainkan dipenuhkan tanah (ditimbus ke dalam kubur). Dan percayalah bahawa Allah menerima sesiapa yang bertaubat.”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Zulkaedah 1438 / 4 Ogos 2017 - HARAKAHDAILY 4/8/2017

POLITIK dalam Bahasa Arab disebut ‘Siyasah’, ‘Khilafah’ atau ‘Imamah’ adalah menjadi sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan oleh Allah, sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠ البقرة

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah Al-Baqarah: 30)

Para ulama menafsirkan Khilafah itu bermaksud Siyasah (politik) atau Imamah (kepimpinan negara) yang berkait dengan urusan mentadbir negara dengan segala komponennya, memerintah dan mengurus dengan Islam.

Ayat ini ditafsirkan oleh sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِىٌّ خَلَفَهُ نَبِىٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِىَّ بَعْدِى، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ. قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ
صحيح البخاري - مكنز (12/ 168، بترقيم الشاملة آليا)

“Bani Israel di zaman dahulu dipimpin siyasahnya (politik) oleh para Anbiya. Apabila wafatnya seseorang Nabi, Allah menggantikannya dengan nabi yang dilantik (Allah) selepasnya. Akan ada (kalangan kamu) para khalifah (pemimpin) yang ramai”. Lalu para sahabat bertanya: “Apakah suruhan Rasulullah kepada kami?”. Sabdanya: “Tunaikan baiah (janji setia) kamu kepada yang terawal kemudian yang berikutnya. Berilah hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah akan bertanyakan mereka (di Hari Kiamat nanti) berkenaan urusan mereka”.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW meletakkan pemimpin yang adil di tempat pertama daripada senarai mendapat fadilat pada Hari Kiamat dan senarai ahli Neraka terhadap pemimpin yang khianat dan menipu rakyat.

Al-Quran juga melaporkan semua para Rasul A.S. berdakwah menghadapi kerajaan yang menolak Islam di zaman masing-masing, bukan sahaja menyelamatkan aqidah rakyat. Ada kalangan Rasul A.S. yang sempat menegakkan negara dan memimpinnya seperti Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S. termasuk Rasulullah SAW walaupun ramai yang wafat dalam perjuangan tanpa menyaksikan kemenangan perjuangan mereka.

Adapun teori pemisahan politik daripada agama bukan daripada Islam. Teori pemisahan ini dibawa oleh penjajah yang menganut agama Kristian yang diselewengkan daripada Kitab Injil yang telah diubah daripada yang sebenarnya dibawa oleh Nabi Isa A.S.

Allah menegaskan betapa Nabi Isa A.S. berkait rapat dengan Kitab Allah yang diturunkan sebelumnya (Kitab Taurat) dan Rasul Akhir zaman Nabi Muhammad S.A.W, ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَإِذۡ قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ يَٰبَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ إِنِّي رَسُولُ ٱللَّهِ إِلَيۡكُم مُّصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيَّ مِنَ ٱلتَّوۡرَىٰةِ وَمُبَشِّرَۢا بِرَسُولٖ يَأۡتِي مِنۢ بَعۡدِي ٱسۡمُهُۥٓ أَحۡمَدُۖ فَلَمَّا جَآءَهُم بِٱلۡبَيِّنَٰتِ قَالُواْ هَٰذَا سِحۡرٞ مُّبِينٞ ٦ الصف

“Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: “Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah (Rasul) kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad (Muhammad SAW).” Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: “Ini ialah sihir yang jelas nyata!” (Surah As-Saff: 6)

Pada asalnya ilmu politik Islam dimasukkan dalam pengajian Feqah, namun di zaman mutaakhir dikaji secara khusus. Imam Al-Ghazali meletakkannya dalam Kitab Aqidah (الاقتصاد فى الاعتقاد), Bab Imamah (Kepimpinan negara).

Ramai kalangan ulama menulis secara berselerak dalam Kitab Tafsir, Hadis dan Feqah, namun ada yang menulis kitab secara khusus, di antaranya para ulama Mazhab Syafi’e seperti Al-Mawardi (wafat pada tahun 450H) mengarang kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, Imam Al-Haramain Al-Juwaini (wafat pada tahun 476H) mengarang kitab Ghiyats Al-Umam dan para ulama daripada semua mazhab juga menulis kitab panduan politik  pemerintahan di zaman dan negeri masing-masing, termasuk Sheikh Daud bin Abdullah Al-Fatoni meletakkan perkara politik di dalam Kitab Munyatul Musalli dalam Bahasa Melayu Klasik yang terkenal.

Maka mereka yang terlibat dalam politik Islam mestilah mempelajari ilmunya, bukan laksana politik penjual ubat, sekadar mahu melariskan ubat atau sekadar mengumpulkan pelanggan seramai-ramainya berwawasan dunia untuk mendapat kuasa sementara waktu sahaja.

Politik Islam juga tidak boleh dimain catur untuk mencapai matlamat menghalalkan segala cara dan meletakkan Islam sekadar menjadi alat sahaja. Politik Islam bertunjangkan ubudiah kepada Allah, memikul amanah dengan melaksanakan syariat dan berwawasan akhirat, menyelamatkan seberapa ramai manusia dengan petunjuk Allah dan berpaksikan hidayah bukan jibayah.

Hidayah bermaksud meletakkan petunjuk Al-Quran dan Sunnah menjadi panduan, beristiqamah dalam perkara dasar dan matlamat, di samping anjal dalam menangani masalah dan isu semasa yang sentiasa berubah. Jibayah bermaksud matlamatnya kebendaan dan dunia sahaja sehingga tidak beristiqamah dengan petunjuk Allah atau mempermainkannya demi mencapai matlamat itu.

Allah mewahyukan di dalam Al-Quran tentang cerita-cerita iktibar daripada para Rasul A.S. dan penentangnya serta dihuraikan pula dalam Peristiwa Isra’ dan Mikraj apabila ditemukan dengan para Rasul A.S.

Ada kalangan Rasul A.S. yang ramai pengikutnya, ada yang bersama pengikut yang sedikit dan ada yang berseorangan tanpa pengikut. Maka Rasulullah S.A.W. menunjukkan ketegasannya kepada Abu Talib (bapa saudara kesayangannya yang sangat berbudi) apabila ditawarkan kerajaan dan harta secara percuma:

"يا عم والله لو وضعوا الشمس في يميني والقمر في يساري على ان أترك هذا الأمر حتى يظهره الله أو أهلك فيه ما تركته ".) السيرة النبوية لابن هشام 2/ 101(

“Wahai bapa saudara yang dikasihi! Kalaulah mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam) atau aku mati kerana perjuangannya, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini”

Dalam masa yang sama, Rasulullah SAW menunjukkan cara politik matang dan sejahtera terhadap kawan dan lawan. Beristiqamah menghadapi rebah dan bangun, pasang dan surut walaupun memakan masa untuk kejayaan yang dijanjikan oleh Allah, sehingga menguasai dunia yang luas selepas kewafatan baginda, bukan di masa hayatnya.   

Maka generasi PAS kini yang melangsungkan perjuangan ini, jangan melupai generasi terdahulu yang pernah bergayut dengan hanya satu kerusi Parlimen pada tahun 1951 dan kembali satu pula pada tahun 1986 setelah banyak kerusinya dan memerintah negeri yang dijatuhkan pula, pernah bersama Kerajaan Pusat dan beberapa siri tahaluf dengan parti-parti lain.

Masih banyak pendekatan Politik Islam yang ditulis oleh para ulama’ di dalam kitab mereka dan masih banyak pendekatan yang tersirat di dalam mukjizat ilmu Al-Quran dan kebijaksanaan Sunnah Nabawiyyah. Namun kita mesti teguh dan beritiqamah bersama hidayah dan tidak jumud dengan pendekatan usang tanpa bijaksana dalam menangani perubahan.

Percayalah bahawa PAS tidak mati selagi bersama Islam. Bahkan parti serpihan yang cuba diwujudkan sama ada sudah ditimbus ke liang lahad atau ikan bernyawa yang kekeringan air. PAS bersama Islam yang tidak disembunyikan, tetap teguh dan tidak mungkin dicatur oleh pencatur politik dan dijaja oleh ahli politik penjual ubat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Zulkaedah 1438H / 2 Ogos 2017 – HARAKAHDAILY 2/8/2017


 

فلماذا حدثت هذه السمعة السلبية للإسلام في عصرنا هذا؟

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

١. الحمد لله الذي أكرمنا بنعمة الإسلام وفضلنا على كثير من الأمم. والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه. أصحاب المعالي، وأصحاب الفضيلة قادة الأحزاب الإسلامية والجماعات والمنظمات والمؤسسات والضيوف الكرام.
 
1. Segala pujian bagi Allah yang telah memuliakan kita dengan nikmat Islam, dan melebihkan kita daripada umat-umat yang lain. Selawat serta salam ke atas Rasulullah SAW, ahli keluarga dan para sahabat serta para pemimpin. Dif-dif kehormat, pemimpin-pemimpin Parti Islam, Jemaah Islam, pertubuhan-pertubuhan, dan para tetamu yang dimuliakan sekalian.

٢. أرحب بكم نيابة عن  الحزب الإسلامي إلى بلاد ماليزيا وحكومته في ولاية كلانتان، قادة وأعضاء ومؤيدين ومواطنين.

2. Saya bagi pihak Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengalu-alukan dengan gembira kedatangan semua ke Malaysia dan kerajaan Negeri Kelantan, para pemimpin dan penyokong serta rakyat sekalian.  

٣. نقدر سفركم البعيد لمشاركة هذا الاجتماع المبارك الذي جمعنا تحت راية واحدة لأداء الفريضة الخالدة في الدعوة إلى ديننا الإسلام، ورفع كلمته العليا وإعادة مكانته التاريخية لقيادة العالم مرة أخرى مهما كانت التحديات والتضحيات والمشقات والعقبات التي تحيط بنا من الداخل والخارج. مؤمنين بأن المستقبل لهذا الدين، ومهما كانت الفتن والمحن. فندعو الله أن يكون سفركم مأجورا، وجئتم أهلا ونزلتم سهلا.

3. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas perjalanan jauh yang ditempuhi untuk menghadiri perhimpunan agung ini yang menghimpunkan kita di bawah satu panji untuk menunaikan kewajipan dakwah terhadap Islam, meninggikan seruannya, serta mengembalikan semula kedudukan Islam dalam lipatan sejarah untuk memimpin dunia sekali lagi walau apa jua cabaran yang diharungi, pengorbanan, kepayahan dan kesusahan dari dalam dan luar. Orang-orang beriman sesungguhnya percaya bahawa masa depan adalah milik agama suci ini walaupun berhadapan dengan fitnah dan kesusahan. Kami memohon kepada Allah agar permusafiran kamu diberkati, kedatangan kamu dialu-alukan dan dimudahkan urusan penempatan kamu.

أيها الإخوة والأخوات !

٤. فإن الأحزاب المعادية ضد الإسلام لا تزال باقية لحصار الصحوة الإسلامية المباركة كما كانت تحاصر المدينة في أول الإسلام بصبغة جديدة معاصرة لأن الكفر ملة واحدة في مواجهة الإسلام. فهذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله وما زادنا إلا إيمانا وتسليما. من المؤمنين رجال صدقوا ما عهدوا الله ورسوله فمنهم من قضى نحبه ومنهم من ينتظر وما بدلوا تبديلا.

Wahai saudara & saudari sekalian!

4. Sesungguhnya parti-parti yang bermusuhan terhadap Islam masih tetap menghalang kebangkitan Islam yang diberkati seperti mengepung Kota Madinah pada awal Islam, dalam bentuk yang baru dan moden kerana kafir itu adalah satu agama yang tidak akan berhenti menentang Islam. Inilah apa yang dijanjikan dan dibenarkan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada kita, dan tiadalah yang meningkatkan kita melainkan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah. Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah dan Rasul-Nya untuk berjuang membela Islam, maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu lalu gugur syahid, dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah apa yang mereka janjikan itu sedikitpun.  

٥. ولكن حصوننا مهددة من الداخل، تفرق الجماعات الإسلامية وأحزابها لأسباب فرعية لا ركنية، أو استراتيجية مختلفة التي تتعلق بالمتغيرات تغير الأماكن والظروف، وليست من الثوابت التي تمس العقيدة الواحدة، والهدف المشترك .

5. Akan tetapi kubu-kubu kita diancam dari dalam, di mana Jemaah-jemaah Islam dan parti-partinya berpecah disebabkan perkara furu’ bukan perkara pokok, atau strategi-strategi yang berbeza kerana perubahan tempat dan keadaan, dan bukan pula disebabkan oleh perkara thawabit (tetap) yang menyentuh kepercayaan aqidah yang satu dan matlamat bersama.

٦. ولكن أعداءنا اتخذوا فرصة تفرقنا ونقاط ضعفنا، لا سيما الفرق بين المتشددين الذين لا يفقهون في الدعوة والسياسة والجهاد. والمتساهلين في الدين الذين دخلوا في كيد الأعداء لتعطيل مسيرة الدعوة وتحويل هدفها المنشود وتطبيق سياسة التطبيع في العلاقة بأشد الناس عداوة للذين آمنوا اليهود والصليبية الصهاينة والماسونية.

6. Tetapi musuh kita telah mengambil peluang untuk memecahkan kita dan mencari kelemahan kita, terutamanya perbezaan di antara golongan pelampau yang tidak memahami dakwah, politik dan jihad, dan golongan yang mengambil mudah dalam agama dan telah terjatuh ke tangan-tangan musuh untuk melumpuhkan kerja-kerja dakwah dan mengubah matlamat yang dikehendaki dan menerapkan dasar neutral (berlembut) dalam hubungan dengan orang-orang yang bermusuhan dengan Islam, termasuklah orang-orang Yahudi, Tentara Salib Zionis dan Freemason.

٧. ونجحوا في إيقاد الخلاف إلى نار الحروب بالوكالة بين المتشددين والمتساهلين كما حدثت في سوريا وليبيا واليمن واستعداد وقودها في الخليج بعد تدمير أفغانيستان بين المجاهدين ونشأة منظمة طالبان والقاعدة ثم داعش فكلها باسم الإسلام.

7. Dan mereka telah berjaya menimbulkan pertikaian sehingga berlakunya api peperangan dengan proksi di antara golongan pelampau dan golongan bermudah-mudah, seperti yang berlaku di Syria, Libya dan Yaman. Mereka menyalakan obor pergaduhan di Negara Teluk selepas memusnahkan Afghanistan di antara para mujahidin dan kemunculan pertubuhan-pertubuhan Taliban, Al Qaeda, dan kemudiannya Daesh yang semuanya berdiri atas nama Islam.

٨. وجعلوا أهل الوسطية المستقيمة نهبا لتسديد الاتهامات الكاذبة في وسائل الإعلام التي يسيطرون عليها، والمخططات التي نظموها. فالآن وضعوا في سلة واحدة  الحركات الإسلامية التي اختارت السلمية في حل قضايا داخلية بين الأمة الواحدة والوطن الواحد، ومنها مشاركة الانتخابات  الديموقراطية رغم مواجهة التزوير وسوء الإدارات بالصبر والمصابرة، ولكنها لم تعترف انتصاراتها إذا كانت إسلامية وسطية. وأخيرا أدخلوها في جملة الإرهاب. فإنها العداوة ضد الإسلام كله مهما كانت وسائله للوصول إلى رفع راية الإسلام، وكله مصداق لقوله تعالى:

8. Dan menjadikan imej golongan yang bersederhana (wasatiyyah) terjejas dengan tohmahan-tohmahan dan tuduhan-tuduhan palsu dalam media yang dikawal oleh mereka, dan langkah-langkah yang telah disusun. Dan kini mereka telah meletakkan gerakan Islam dalam satu kelompok yang memilih jalan keamanan dalam menyelesaikan isu-isu dalaman antara satu bangsa dan satu negara, termasuk penyertaan dalam pilihanraya demokratik walaupun menghadapi pemalsuan dan penyalahgunaan kuasa dengan penuh sabar dan tabah, tetapi mereka tidak mengiktiraf kemenangan jika Islam yang sederhana diamalkan. Dan akhirnya golongan ini dilabel sebagai ‘pelampau’ dan terroris. Ini adalah permusuhan terhadap Islam secara keseluruhannya, walau apa cara sekalipun yang digunakan untuk meninggikan martabat Islam.

Semuanya dibenarkan dalam firman Allah SWT:

وَٱلۡفِتۡنَةُ أَكۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِۗ وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ   ٢١٧ البقرة

“Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian)” (Al-Baqarah: 217)

وقوله تعالى :

وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَئِنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِي جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِيّٖ وَلَا نَصِيرٍ ١٢٠ البقرة

Firman Allah SWT:

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu." (Al-Baqarah: 120)

ولكن الله يقول في مكان آخر :

وَدَّ كَثِيرٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يَرُدُّونَكُم مِّنۢ بَعۡدِ إِيمَٰنِكُمۡ كُفَّارًا حَسَدٗا مِّنۡ عِندِ أَنفُسِهِم مِّنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ ٱلۡحَقُّۖ فَٱعۡفُواْ وَٱصۡفَحُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ١٠٩ البقرة

Tetapi Allah menyebut dalam ayat lain:

“Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah: 109)”

وفسر رسول الله صلى الله عليه وسلم أهمية الدعوة قبل القتال:

لِعَليٍّ - رضي الله عنه: «فَوَاللهِ لأَنْ يَهْدِي اللهُ بِكَ رَجُلًا وَاحِدًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Rasulullah SAW menjelaskan tentang kepentingan dakwah sebelum peperangan:

“Demi Allah, jikalau Allah memberi hidayah kepada satu orang dengan sebab dirimu, hal itu benar-benar lebih baik bagimu daripada unta-unta merah.” [Muttafaqun Alaihi]

أيها الإخوة والأخوات!

٩. ولابد من العبرة من سلفنا الجيل الأول في خير القرون الإسلامية الأولى، دراسة انتشار الدعوة في شبه جزيرة العرب حيث دخل الإسلام في القلوب القاسية بالعصبية الجاهلية الأولى التي قتل أهلها أولادهم واستعبد نساءهم قبل قتل أعدائهم بين العرب، فلانت قلوبهم بالإيمان فصاروا أمة وسطية بين الناس وحملوا الرسالة الناجحة فصاروا خير أمة وسطية. في قوله تعالى:

Wahai saudara & saudari sekalian!

9. Kita haruslah mengambil pengajaran daripada generasi-generasi terdahulu sewaktu abad-abad Islam yang awal dahulu, serta mempelajari penyebaran dakwah di Semenanjung Arab di mana Islam memasuki hati-hati yang keras yang dahulunya pada zaman Jahiliyyah membunuh ahli keluarganya, anak-anaknya serta memperhambakan wanita-wanita mereka sebelum pembunuhan musuh-musuh antara orang Arab. Maka apabila datangnya Islam, hati mereka menjadi lembut dengan kewujudan iman, maka mereka menjadi umat yang bersederhana (wasatiyyah), membawa risalah yang berjaya sehinga menjadi sebaik-baik umat yang sederhana. Firman Allah SWT:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ ١٤٣ البقرة

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah)” (Al-Baqarah: 143)

وقوله تعالى:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ ١١٠ آل عمران

Firman Allah SWT:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) (Al-Imran: 110)

١٠. وكذلك دخول الإسلام في قلوب الناس ودخلوا في دين الله أفواجا بعد سقوط الفرس والروم، ثم انتشار الإسلام في آسيا الوسطى ودخول الإسلام في ولايتنا جنوب شرقي آسيا بطريقة سلمية من الدعاة والتجار، وتغيرت هذه الولاية كلها إلى يومنا هذا كبرى الأغلبية المسلمة حول العالم. وفشلت المخططات الاستعمارية في سياسة الردة والتغريب. ولكن الإسلام منتشر كذلك رغم سياسة الاستعمار بالحديد والنار.

10. Dan begitu juga kemasukan Islam ke dalam hati-hati manusia dan mereka berbondong-bondong mengikuti agama Allah SWT selepas kejatuhan kerajaan Parsi dan Rom, dan kemudian Islam tersebar ke Asia Tengah dan negara kita Asia Tenggara melalui jalan keamanan oleh para pendakwah dan para peniaga. Dan situasi ini menyebabkan majoriti rakyat di negara ini adalah golongan Muslim. Dan perancangan penjajah dalam usaha untuk memurtadkan dan mengamalkan dasar “barat” telah gagal. Namun Islam terus tersebar walaupun berhadapan dengan penjajahan dengan menggunakan besi dan api.

أيها الإخوة والأخوات!

١١. فلماذا حدثت هذه السمعة السلبية للإسلام في عصرنا هذا؟ قبل أن ندخل في الحروب الإعلامية التي نشرت الإسلاموفوبيا على حسب مصطلحاتهم، التي نشرت الكراهية للإسلام، فالإسلام مظلوم لأنه برئ مما يقولون.

Saudara dan saudari sekalian!

11. Mengapa kedudukan Islam menjadi negatif pada zaman kita ini? Sebelum kita berperang dengan media yang menyebarkan tentang Islamophobia yang menyebabkan kebencian terhadap Islam, dan Islam menjadi mangsa yang tidak bersalah malah bebas daripada apa yang dicanang oleh mereka,

١٢. فلا بد من محاسبة أنفسنا نحن الإسلاميين قبل محاسبة أعدائنا المتربصين بنا الدوائر. فلماذا انهارت الدولة الإسلامية المستعجلة التي أعلنت الخلافة قبل سنوات قليلة في العراق والشام، في أيدي المؤمنين الذين تشددوا بإسلامهم في داخلهم وخارجهم قبل أيدي أعدائهم، وأيدي أولئك الذين أعلنوا تلك الخلافة بأسلحة أعدائنا وتمويلنا وقتل أنفسنا فهل منكم رجل رشيد.

12. Maka hendaklah kita merenung kembali diri kita sebagai masyarakat Islam sebelum melihat musuh kita. Kenapa Negara Islam telah hancur musnah dalam sekelip mata seperti di Iraq dan Syam di tangan orang Islam itu sendiri yang melampau dengan keIslaman mereka di dalam dan di luar sebelum datangnya musuh-musuh, begitu juga Islam hancur ditangan mereka yang mengisytiharkan khalifah dengan senjata, dengan pembiayaan orang Islam dan membunuh orang Islam sendiri. Adakah dalam kalangan kamu masih ada orang yang bernas buah fikirannya?

١٣. فلماذا الانقلاب على الحكومة المنتخبة في مصر وقبلها إبطال الانتخابات البلدية في الجزائر التي انتصر فيها الإسلاميون. ولدينا كذلك تجارب في هذه الولاية قبل ثلاثين سنة ورجعنا إلى هذه الولاية مرة أخرى بعد عشر سنوات إلى يومنا هذا ولله الحمد. وفي الولايات الأخرى في ماليزيا نواجه سقوط الحكومة التي نأخذها بالوسيلة الديموقراطية بالتزوير والانتهاكات للنظام الفدرالي الدستوري.

13. Kenapa berlaku pergulingan kuasa terhadap kerajaan yang menang dalam Pilihanraya di Mesir dan sebelumnya di Algeria, pilihanraya yang dimenangi oleh Islam dibatalkan? Dan di negara kita juga terdapat contoh dan pengalaman yang sama, 30 tahun sebelum ini, kini kita kembali semula memerintah selepas 10 tahun sehingga ke hari ini. Segala Puji bagi Allah.  Di negeri-negeri lain di Malaysia, kita berhadapan dengan penggulingan kuasa melalui konsep demokrasi palsu dan pelanggaran sistem federalisma Perlembagaan Persekutuan.

١٤. ويذكرني ما ذكره الدكتور محمد ناصر رحمه الله رئيس وزراء إندونيسيا الأسبق فترة حكومة حزب ماشومي الإسلامي، عندما سألناه سبب أفول حكومة إندونيسيا الاسلامية المنتخبة. فقال لأننا نؤمن بالديموقرطية وهؤلاء الديموقراطيون العلمانيون لا يؤمنون بالديموقراطية.

14. Mengingatkan saya apa yang diungkapkan oleh bekas Perdana Menteri Indonesia, Doktor Muhammad Nasir (dalam rahmat Allah) sewaktu beliau memerintah Parti Islam Masyumi. Ketika beliau ditanya sebab-sebab kejatuhan pemerintahan Islam Indonesia yang dipilih dalam pilihanraya. Beliau menjawab kerana kita percayakan demokrasi dan para demokrat sekular tidak mempercayai demokrasi.

أيها الإخوة والأخوات!

١٥. ونحن في أمس الحاجة إلى محاسبة الدعوة التي نقوم بها والمشاركة السياسية التي نبني عليها وكل الأعمال الإسلامية الناشطة لتكون على تفقه وحكمة. ولهذا قوله تعالى:

15. Dan kita seharusnya merenung kembali dakwah yang kita lakukan serta penyertaan politik yang berdiri di atasnya dan semua gerak kerja Islam harus dilakukan secara aktif agar berjaya dengan penuh kefahaman dan hikmah.

وقوله تعالى:

۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢ التوبة

Firman Allah SWT:

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).” (At-Taubah: 122)

١٦. وهذا الفقه والتفقه ليس في الأحكام فحسب كما فهمه العوام، وإنما التفقه في الإسلام كله في العقيدة والشريعة والأخلاق والنظم الإسلامية كلها والتفقه في العمل به في الدعوة والسياسة والجهاد والاقتصاد والتربية والتعليم والثقافة.

16. Feqah dan pemahaman ini bukan di dalam hukum hakam sahaja seperti yang difahami oleh orang awam, akan tetapi pemahaman Islam secara menyeluruh di dalam aspek aqidah, syariah, akhlak dan sistem Islam secara menyeluruh serta pemahaman dalam mengamalkan dakwah, politik, jihad, ekonomi, pendidikan, pengajaran dan budaya.

١٧. ومن الفقه عدم التشدد والتساهل في الإسلام. لأنهما لا يستقيمان على الصراط القويم. وهذا قوله تعالى لرسوله الأعظم صلى الله عليه وسلم:

17. Dan memahami Islam dengan bertafaqquh (Fiqh), maka tiada yang keras (tasyadudd) dan bermudah-mudah (tasahul) dalam Islam kerana kedua-duanya tidak berdiri di atas jalan yang kukuh. Dan ini selari dengan mafhum hadith Rasulullah SAW:

وقوله تعالى:

فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ ١١٣ هود

Firman Allah SWT:

“Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan. (113)” (Surah Hud: 112-113)

١٨. فالاستقامة على الدين وعدم الطغيان ولا خضوع والاستسلام للذين ظلموا. والثقة بالنصر القريب في الدنيا والفوز العظيم في الآخرة.

18. Maka beristiqamah atas agama, tidak berlaku zalim dan tidak tunduk dan berserah diri kepada orang-orang yang zalim. Dan keyakinan dengan kemenangan terdekat di dunia dan kemenangan yang besar di akhirat.

١٩. ولا بد من الفرق بين العمل في داخل الوطن الواحد وبين الإخوة الواحدة التي غرقت في محيط الجهالة فمعاملتها على مقتضى الأحوال والظروف والتركيز على التوعية والتعليم والتربية والفرق بينها بين فريضة الجهاد كما كانت في فلسطين المحتلة والقدس في خطر.

19. Dan adalah perlu untuk kita membezakan antara gerak kerja di tanah air dengan saudara-saudara yang tenggelam di dalam kejahilan, maka untuk menanganinya dalam keadaan yang berbeza, dan tumpuan terhadap memberi kesedaran, pendidikan dan perbezaan kewajipan ‘jihad’ di antaranya sepertimana di Palestin dan Al-Quds dalam bahaya.

٢٠. ويجب سياسة السلم في اللأولى ويحرم التطبيع والإستسلام في مواجهة الصهيونية والماسونية. فلماذا هذا الانقلاب أشدة على المؤمنين أذلة على الكافرين رغم أن القدس فى أخطر الظروف والأوضاع؟ وقبلتنا واحدة في العبادة والسياسة إلى بيت الله الحرام وليست قبلتنا البيت الأبيض.

20. Maka wajib didahulukan pendekatan politik secara aman dan tidak menyerah diri apabila berhadapan dengan Zionis dan Freemason. Kenapa apabila berlaku penggulingan kuasa ini, orang-orang Islam dilawan dengan keras manakala orang-orang kafir dilayan secara lembut sedangkan Al-Quds berada pada situasi yang paling berbahaya? Dan kiblat ibadat dan politik kita yang satu adalah ke arah Baitullah, bukannya berkiblatkan ‘rumah putih’ atau ‘white house’.

أيها الإخوة والأخوات!

٢١. ولما كان دخول الإسلام في جنوب آسيا بطريقة سلمية ونريد الصحوة الإسلامية فيها كذلك تسير على المنهج السلمي. فعلى العاملين في الحقل الإسلامي في هذه المنطقة ثابتين على هذا المنهج، سواء أكانوا في مواجهة الأمة الإسلامية التي غرقت في محيط الجهالة التي تركها الاستعمار الذي دخل مع مخططاته في الغزو الفكري والثقافي وما تولد منهما من انحطاط في التربية والتعليم والسيطرة على السياسة والاقتصاد وكذلك في الدعوة لمواجهة غير المسلمين من أهل الوطن.

Saudara dan saudari sekalian!

21. Sewaktu Islam memasuki Selatan Asia dengan cara yang aman, kita mahukan kebangkitan Islam dan ianya berjalan dengan cara yang aman. Maka para penggerak kerja dakwah di rantau ini haruslah berpegang teguh dengan cara ini, sama ada dalam usaha menangani umat Islam yang hanyut dibuai arus jahiliyah, kesan yang ditinggalkan oleh penjajahan yang telah memasukkan perancangannya melalui perang pemikiran dan kebudayaan dan akhirnya menyebabkan kemerosotan pendidikan dan pelajaran serta penguasaan terhadap politik dan ekonomi. Dan begitulah juga pendekatan dakwah untuk mendekati orang bukan Islam yang menjadi warganegara ini.

٢٢. ويجب الصد عن التدخلات الأجنبية التي تشعل الفتن ما ظهر منها وما بطن، وتنفجر بعدها ما هو أشد خطرا كما حدث في المناطق الأخرى من العالم الإسلامي في شن الحروب بالوكالة ونهب الموارد البشرية والمادية لمصالح أعداء الأمة الذين يتربصون بنا الدوائر.

22. Dan kita harus mengawal campur tangan asing yang menyalakan api fitnah sama ada secara zahir atau sembunyi, dan seterusnya melancarkan serangan yang lebih dahsyat sepertimana yang berlaku di negara-negara Islam yang lain dengan melancarkan peperangan proksi dan dirampas hasil bumi untuk kepentingan musuh-musuh Islam yang sentiasa menunggu berlakunya sesuatu bala bencana yang menimpa kita.

٢٣. وهذا الملتقى الذي جمع العلماء والمفكرين وقادة العمل الإسلامي في جنوب شرقي آسيا كلها ومشاركة الإخوة من الدول الأصدقاء وغيرها من الدول التي لها دور الحركة الإسلامية سيكون منبرا لوحدة الصف وتنسيق العمل وتبادل الآراء النافعة المباركة بفضل الله ونصره وتوفيقه.
   
23. Dan perjumpaan ini menghimpunkan seluruh ulama’ dan para pemikir dan pemimpin Gerakan Islam di Asia Tenggara dan penyertaan saudara- saudara kita dari negara jiran serta negara-negara lain yang berperanan menggerakkan pertubuhan Islam dan perhimpunan ini menjadi satu wadah penyatuan dan bertukar fikiran serta pendapat yang bermanfaat dengan izin dan pertolongan Allah SWT.

٢٤. والختام، نحمد الله تعالى على ما اصطفينا من بين عباده الذين عملوا أحسن الأعمال ويجب علينا كذلك على هدايته كما هدى الرسول صلى الله عليه وسلم والجيل الأول رضي الله عنهم:

24. Kesimpulannya, kita bersyukur kepada Tuhan yang memilih kita dalam kalangan hamba yang bekerja dengan sebaik-baik amal dan wajib ke atas kita memohon hidayah-Nya sebagaimana hidayah Rasulullah SAW dan generasi awal (Moga Allah memberkati mereka)

وقوله تعالى:

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ ٣٦ فصلت

Firman Allah SWT:

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (33) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 33-36)

٢٥. فإنه لا يصلح لهذه الأمة إلا بما صلح به أولها. فإن الجيل الأول رضي الله عنهم على هداية القرآن والتفسير العملي من شخصية الرسول صلى الله عليه وسلم وسنته التطبيقية والقطعية والنظرية والاجتهادية، وباستطاعتهم حمل رسالة الدعوة والخلافة الراشدة والسياسة الحكيمة والجهاد المؤثر في مواجهة الاعداء والدفاع عن الإسلام وتطبيق العدالة على الأعداء حتى قبلوا الإسلام طوعا، رغم تغير المجتمع والظروف والأحوال والأمكنة. ولكنهم فقهاء وحكماء في الحكم والسياسة والدعوة والجهاد.

25. Dan ummat ini tidak akan baik melainkan apa yang telah diperbaiki oleh oleh generasi awal. Dan sesungguhnya generasi pertama para sahabat dipenuhi dengan petunjuk Al-Quran, mencontohi syakhsiah Rasulullah SAW, Sunnah baginda yang praktikal dan teori-teori serta ijtihad baginda SAW. Mereka mampu untuk menyebarkan risalah dakwah, menjadi kerajaan yang mendapat petunjuk, berpolitik dengan bijak dan berjihad dengan bersunguh-sungguh dalam menghadapi musuh-musuh dan mempertahankan Islam. Mereka menegakkan keadilan hatta terhadap musuh-musuh sehingga mereka menerima Islam secara sukarela walaupun berlaku perubahan masyarakat, keadaan dan tempat. Namun pada masa yang sama mereka adalah golongan yang mahir dalam fikah dan penguasa dalam politik, dakwah dan jihad.

أيها الإخوة والأخوات!

٢٦. فنحن حملة الرسالة التي لا تنطفئ نوره بعد سقوط الدولة الإسلامية ومواجهة الحروب التتارية والصليبية وفترات الاستعمار والأحزاب المعاصرة ورأينا بأعيننا مصداق وعد الرسول صلى الله عليه وسلم:

Saudara dan saudari sekalian!

26. Maka di bahu kita semualah terletaknya risalah Islam yang cahayanya tidak terpadam walaupun selepas kejatuhan negara Islam, menempuh peperangan Tatar, tentera salib, tempoh penjajahan dan kewujudan parti-parti semasa ini. Dan kita telah melihat dengan mata kita janji Rasulullah SAW ini.

"لا يبقى على وجه الأرض بيت مدر ولا وبر، إلَّا أدخله اللهُ كلمةَ الإسلام بعزِّ عزيز، أو بذُلِّ ذليل" [أخرجه الإمام أحمد (23814)، وابن حبان في صحيحه (6664) [

“Tidak akan dibiarkan satu rumah pun baik di kota maupun di desa kecuali Allah akan memasukkan agama ini dengan kemuliaan yang dimuliakan atau kehinaan yang dihinakan”

٢٧. ونتحمل المسؤلية في كل مكان مع هذا النور الواحد أمام الظلمات المتعددة، مؤمنين بالولاء لله.

27. Dan kita memikul tanggungjawab agama ini di seluruh tempat bersama dengan cahaya yang satu ini, berhadapan dengan pelbagai kegelapan, menjadi orang beriman dengan wala’ kepada Allah.

وقوله تعالى:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ٢٥٦ ٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُخۡرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْ أَوۡلِيَآؤُهُمُ ٱلطَّٰغُوتُ يُخۡرِجُونَهُم مِّنَ ٱلنُّورِ إِلَى ٱلظُّلُمَٰتِۗ أُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ ٢٥٧ البقرة

Firman Allah:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (256) Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. (257)” (Al-Baqarah: 256-257)

فدمتم على خير وسيروا على بركة الله وآ خر دعوانا أن الحمد لله رب العالمين.

Semoga kamu berterusan dalam kebaikan, bergeraklah kamu atas keberkatan Allah. Akhirnya kita memohon syukur segala puji-pujian kepada Allah Tuhan Sekalian Alam.

ABDUL HADI AWANG
Naib Presiden Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia
Merangkap Presiden PAS – HARAKAHDAILY 31/7/2017

Nota: Ucapan ini disampaikan oleh Tuan Guru Presiden semasa Majlis Perasmian Serentak Konferens Dakwah Antarabangsa Rantau Asia Dan Nadwah Ulamak Antarabangsa sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) di Kota Bharu, Kelantan pada 21 Julai 2017, ucapan asal dalam Bahasa Arab dan diterjemahkan dalam Bahasa Melayu untuk sebaran umum.

SELURUH agama dan ideologi menentang kemungkaran di semua peringkat dan lapangan, sama ada peringkat individu, keluarga, masyarakat sehinggalah alam sekitar, atau melibatkan sistem kehidupan, politik, ekonomi dan lain lain. Hanya segelintir manusia yang berfikir di luar tabie dan menganut fahaman seperti falsafah Mazdak atau Zoroaster di Zaman Parsi Purba atau golongan yang dikenali Hippie di zaman kini. Mereka menghalalkan semuanya di atas nama kebebasan tanpa batas dan menjadikan manusia yang berakal lebih bodoh dan lebih ganas daripada binatang. Mereka berpegang kepada konsep kebebasan yang salah sehingga terbabas melampaui batas atau konsep persamaan dalam semua perkara tanpa melihat adanya sudut fitrah dan kemampuan yang berbeza.

Manusia yang berkonsepkan fitrah ciptaan Allah dilantik berperanan di bumi dan menjadi pilihan Allah di kalangan makhluk-Nya. Walaupun mereka berbeza agama dan ideologinya, namun tetap menerima hakikat wajib adanya undang-undang yang dapat mengawal keharmonian individu, keluarga dan masyarakat yang kecil dan besar, sehingga peringkat antarabangsa diadakan undang-undang dan mahkamah. Bukan sahaja memelihara keselamatan manusia dan keharmoniannya, bahkan alam sekeliling, termasuk menjaga binatang dan alam sekitar yang luas.  

Ibnu Khaldun yang diiktiraf oleh semua dan menjadi Bapa Ilmu Ijtima’ (sosiologi), menegaskan bahawa manusia itu bukan sahaja bernalurikan fardiah (individualistik), bahkan mereka juga bersifat secara naluri bermasyarakat dan madani. Malangnya ramai kalangan ilmuwan barat mengambil pandangan Ibnu Khaldun secara tidak sempurna dengan meninggalkan aspek Islam yang dinyatakan, khususnya naluri spiritual yang tidak putus dengan rukun kehidupan manusia.

Ini ditegaskan oleh Islam mengikut huraian ilmu Maqasid Syariah, dinamakan menjaga maslahah yang berkait dengan perkara yang menjadi rukun keperluan manusia mengikut fitrahnya iaitu wajib menjaga agama (mengikut takrif Al-Din), nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta. Rangkaian rukun-rukun ini membezakan manusia dengan makhluk yang lain. Ada maslahah yang ditetapkan oleh Allah secara fitrah seperti perkara wajib, halal dan haram. Ada juga yang ditetapkan oleh akal yang lemah, maka dibatalkan oleh Islam, seperti menyalahgunakan arak dan dadah untuk ketenangan, begitu juga menghalalkan judi kerana ekonomi dan pelancongan, kerana mudaratnya lebih besar.

Allah menciptakan manusia dengan jati diri yang lengkap, adanya jasad, akal dan roh yang bercirikan individu berpancaindera. Berbeza dengan makhluk yang lain, termasuk para malaikat yang paling taat kepada Allah, tetapi naluri para malaikat itu bersifat rohani tanpa jasad, tiada nafsu dan keperluan dan tidak layak menjadi khalifah di bumi. Berbeza pula dengan binatang, ada nafsu tanpa akal dan makhluk beku yang tidak bergerak sendiri.

Ternyata kita menghadapi gejala negatif yang berleluasa dalam masyarakat kini, bermula daripada masalah peribadi seperti keruntuhan moral, jenayah kecederaan, jenayah yang merosakkan akal seperti gejala dadah yang menjadi wabak masyarakat, wabak keganasan rumahtangga sehinggalah kesalahan pemerintah yang melakukan kemungkaran dan kezaliman, salah urus tadbir, rasuah dan lain-lain, ditambah pula dengan gejala melampau di peringkat negara-negara besar dan maju dengan kekayaan harta yang melimpah ruah dan pembangunan kebendaan yang pesat sehingga mahu mencakar langit dan meneroka angkasa lepas. Namun, semuanya gagal mengatasi masalah yang dialaminya.

Walaupun semua agama mengharamkan segala kemungkaran tersebut, tetapi agamanya tidak lengkap kerana berpisah daripada urusan duniawi, khususnya dalam urusan berpolitik. Selain itu juga, semua ideologi pemerintah dan pembangkang bersepakat menentang kemungkaran, tetapi tetap terpisah daripada agama dan bertuhankan kebendaan sahaja.

Semua negara menguatkuasakan undang-undang sendiri, termasuk Kerajaan Komunis di Korea Utara yang paling ganas menjatuhkan hukuman bunuh terhadap pesalah kecil. Apa kurangnya undang-undang hukuman mati terhadap kesalahan dadah dikebanyakan negara termasuk Malaysia. Ada Negara Komunis yang menghukum mati terhadap pesalah rasuah dan lain-lain, hukuman yang sangat keras, tetapi gagal mengatasinya. Terdedah pula dengan undang-undang berkonsepkan sarang labah-labah yang hanya bertindak ke atas golongan yang kecil dan lemah sahaja, namun golongan yang berkuasa bebas mengatasi undang-undang dan penyangak besar bermaharajalela melakukan jenayah yang lebih parah dan besar kesannya kepada masyarakat dan negara.

Ternyata kelemahannya apabila didapati tidak memenuhi semua aspek naluri manusia, memisahkan di antara satu sama lain dan tidak seimbang di antara jasad, roh, akal, individu, keluarga, masyarakat dan hubungannya dengan Allah Tuhan Pencipta Alam dan makhluk lain yang diamanahkan kepada manusia supaya mengurusnya.

Allah memberi amaran:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١ الروم.

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum: 41)

Adapun Islam wajib dilihat dan difahami dari segi ajarannya secara menyeluruh, merangkumi keperluan fitrah dan naluri, wajib dilaksanakan sepenuhnya dengan sempurna dan tidak memisahkan di antara aqidah, syariat, akhlak dan nizam (sistem urusan kehidupan). Islam pernah berjaya di zaman keemasannya beberapa abad, sehingga penjenayah bertaubat atau menyerah diri tanpa ditangkap. Bukan dilihat kepada penganut Islam hari ini yang sudah terpesong daripada Islam yang sebenar, akibat dipengaruhi fahaman sekularisma dalam politik dan ekonomi serta berbagai-bagai ideologi dan teori bukan Islam yang memisahkan agamanya dengan cara hidup, atau melaksanakan Islam yang tidak sebenar tanpa menyeluruh dan tanpa feqah (berilmu dan faham) terhadap seluruh ajaran Islam dan cara pelaksanaannya yang sempurna itu.
 
Perlu difahami juga perbezaan Islam dengan agama lain dan ideologi ciptaan manusia, apabila Rukun Iman atau aqidah adalah asas penting ajaran Islam dan pelaksanaannya yang tidak ada pada yang lain. Aspek ini bergantung rapat dengan hati sanubari dan akal manusia yang menggerakan jasadnya mengikut perhitungan dosa dan pahala yang berkait dengan kepercayaan kepada Allah dan Hari Pembalasan, adanya balasan selepas kematian dan di Hari Akhirat yang lebih mencabar daripada kehidupan dunia. Kalau terlepas di dunia kerana ada kuasa atau pandai menipu, namun tidak selamat selepas kematian dan dihukum dengan lebih keras di Hari Akhirat.

Apabila aspek tersebut tidak ada dalam agama dan ideologi lain atau teori ciptaan manusia, menyebabkan tiada perhitungan dosa dan pahala dan tiada  kepercayaan adanya balasan selepas kematian dan Hari Akhirat dalam urusan dunia yang tidak ada kaitan dengan ibadat yang menjadi urusan dengan Allah. Semua urusan dunia dianggap tiada kaitan dengan Allah.

Agama yang lain daripada Islam memisahkan urusan dunia dengan agamanya sehingga melemahkan aspek rohani dengan amalan jasad, hanya perhitungan dunia sahaja tanpa balasan di Hari Akhirat. Walaupun ada agama yang memberi penekanan dalam aspek rohani sehingga mahu meletakkan manusia seperti malaikat dengan mengharamkan kepada paderi atau saminya berkahwin, berpakaian lengkap dan makanan yang lazat. Namun gagal manghalang nafsu yang menjadi naluri manusia.

Islam menegaskan bahawa peranan manusia bukan sahaja menerima hukuman di dunia, bahkan ada lagi Mahkamah Allah di Hari Akhirat yang Maha Adil. Walaupun Allah Maha Mengetahui, Maha Mendengar dan Maha Melihat, namun Mahkamah Allah di Hari Akhirat itu dibawa saksi daripada jasad diri sendiri dan para malaikat dengan catatannya yang termasuk dalam Rukun Iman. Hukumannya pula keras dan menyeksakan.

Firman Allah:

ٱلۡيَوۡمَ نَخۡتِمُ عَلَىٰٓ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَتُكَلِّمُنَآ أَيۡدِيهِمۡ وَتَشۡهَدُ أَرۡجُلُهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٦٥يس .

“Pada Hari itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.” (Surah Yaasin: 65)

Namun, Islam menggalakkan konsep taubat sebelum meninggal dunia atau pengampunan di luar mahkamah alam dunia. Kalau sudah dihukum di dunia akan dibebaskan daripada hukuman Akhirat. Allah meluaskan pintu taubat kepada orang yang beriman dan bertukar menjadi budiman. Pintu taubat itu dibuka seluas-luasnya sehingga hampir saat kematian apabila nyawa sampai di kerongkong dan matahari naik dari arah barat.

Rasulullah SAW mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai ketika berlakunya peristiwa Fathu Makkah yang berjaya membebaskan Kota Makkah daripada kuasa jahiliyah, termasuklah kalangan yang disenaraikan penjenayah besar apabila mereka menyerah diri dan bertaubat. Keadaannya berbeza dengan kejayaan revolusi-revolusi di negara dunia moden sama ada Kapitalis, Sosialis dan Komunis. Kemenanganya memakan korban yang sangat besar dan menggerunkan, di mana hukumannya lebih berkonsepkan dendam, kerana tiada kawalan batasan dosa dan pahala dan menggalakkan taubat dan pengampunan berpahala seperti ajaran Islam.

Keadaan di negara kita Malaysia sudah ada asas untuk kembali kepada Islam seperti sebelum kedatangan penjajah yang merosakkannya, kerana kejayaan generasi awal pejuang kemerdekaan telah meletakkan Islam di dalam perlembagaan negara. Adapun konsep pentadbiran dan kehakiman warisan Inggeris pula lebih terpengaruh dengan Islam hasil pemikiran para Orientalis yang mengkaji Islam, tetapi dicacatkan kerana dibuang roh aqidah dan iman yang menjadi teras kepada syariat Islam. Mereka juga meninggalkan dalam perlembagaan kita fasal-fasal sampingan yang menghalang pelaksanaan Islam yang tidak menjadi dasar kepada perlembagaan negara. Kalau selepas kemerdekaan telah dilakukan beberapa pindaan yang tertentu kerana ada kepentingannya, juaranya pula sudah meninggalkan kerajaan.

Ketepikan golongan yang mewarisi penjajah itu yang sengaja diletakkan supaya menjadi penyakit dan penghalang kepada islah yang wajib diperjuangkan. Ketepikan juga mereka yang mempertahankan kegagalan sistem penjajah walaupun keadaannya semakin bertambah parah. Sesungguhnya kembali kepada kebenaran Islam adalah lebih baik daripada berterusan dalam kesalahan dan dosa.

Firman Allah:

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ ١٣٣ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِي ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلۡكَٰظِمِينَ ٱلۡغَيۡظَ وَٱلۡعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ١٣٤ وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦ أل عمران .

“Dan segeralah kamu kepada  keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang dapat menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (134) Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salah dan akibatnya) (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 133-136)
 
“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 5 Zulkaedah 1438H / 29 Julai 2017 -  HARAKAHDAILY 29/7/2017

BERITA terkini negara haram Israel sedang mengganas di Masjid Al-Aqsa dan sekitarnya, yang menjadi kiblat pertama umat Islam sebelum Ka’abah, tanah suci ketiga bagi umat Islam selepas Kota Suci Makkah dan Madinah, destinasi Israk Rasulullah S.A.W. dan bermulanya Mikraj apabila dijemput menjadi tetamu Allah. Peristiwa yang wajib diimani oleh umat Islam, kerana kisahnya dinyatakan oleh Al-Quran dan Hadis yang sahih lagi mutawatir.

aqsa1Bumi dan sekelilingnya dinamakan bumi para anbia’ yang dimuliakan semuanya oleh umat Islam, Kristian dan Yahudi. Mengikut Islam bukan hanya Musa dan Isa sahaja yang disanjung. Maka, umat Islam menjadi pemegang amanah yang dapat memeliharanya dengan baik dan memberi hak kepada penganut semua agama yang memuliakannya, khususnya penganut Yahudi dan Kristian, sejak Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom Byzantine yang menyekat pihak yang lain yang tidak seagama dan semazhab.

Allah berfirman:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ الحج

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa” (Surah Al-Hajj: 40)

Kini tanah suci ini ditakluk oleh Zionis Yahudi dengan sokongan Zionis Penjajah Barat melalui Perjanjian Balfour yang telah genap 100 tahun peristiwanya. Langkah yang ditentang juga oleh Mazhab Ortodok Yahudi (Natorikarta) yang berpegang dengan kitab Taurat yang asal mengharamkan penubuhan negara itu, kerana menjadi sebab berkuburnya bangsa Yahudi.

Namun, kalangan Zionis yang fanatik perkaumannya tetap berjuang bagi menegakkan negara impian keagungan bangsa Yahudi bersimbolkan Empayar Nabi Sulaiman yang menakluk dunia. Dengan menguasai ekonomi, mereka berjaya menguasai politik dan media, khususnya di negara besar seperti Amerika dan kebanyakan negara Eropah, sehingga memaksa semua pemimpinnya menyokong Israel dan melindunginya yang dikemukakan dalam setiap kempen pilihanraya dan setelah berkuasa sehinggalah melindungi negara haram itu melalui pertubuhan antarabangsa, serta menggunakan kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan mempengaruhi Mahkamah Antarabangsa untuk menjaga keselamatan Israel dan menjaga pengkalan tentera barat yang ditempatkan disekitarnya.

Malangnya negara umat Islam khususnya negara Arab yang berkedudukan geografi, demografi dan menguasai sumber kekayaan bumi dan tenaga manusia gagal menghadapi cabaran yang membahayakan Masjid Al-Aqsa yang diancam sehingga untuk dirobohkan bagi mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

Paling malang dan melucukan lagi, ketika penduduk Bait Al-Maqdis dan sekitarnya sanggup mempertahankan Tanah Suci itu dengan senjata si miskin atau tangan kosong, tiba-tiba negara Arab yang kaya-raya itu menganjurkan Sidang Kemuncak Riyadh bersama Presiden US, Donald Trump dengan dijemput sama pemimpin negara Islam, menyusuli Sidang Kemuncak Negara Teluk sebelumnya bersama PM British Teresa May.

Seterusnya diisytiharkan pula Resolusi Riyadh, dikatakan tanpa kehadiran kebanyakan para pemimpin yang hadir kerana sudah pulang. Resolusinya penubuhan Nato Al-Islam yang bertujuan menghadapi bahaya Iran, bukannya Israel. Adapun pelaksanaannya pula mengepung Qatar yang kerdil, bukannya Iran. Oleh sebab Qatar menyokong Hamas yang dikira pengganas kerana berjihad hanya di Palestin dan memerintah Gaza melalui pilihanraya secara demokrasi, tetapi dikepung dan dipotong segala kemudahan sehinggalah elektrik. Sebabnya juga kerana Qatar menyokong Ikhwan Muslimin yang menang pilihanraya secara demokrasi di Mesir tetapi dirampas kuasa dan Presidennya, Dr. Muhamad Morsi daripada Ikhwan dipenjarakan dan dikenakan hukuman mahkamah bertubi-tubi. Apakah maksud itu semua, sehingga Masjid Al-Aqsa dan Palestin dilupakan?

Malangnya pula, media barat menyebarkan maklumat banyak negara Arab itu sedang mengurat negara haram Yahudi Israel yang menggodanya. Sudah ada perjumpaan secara senyap dan terbuka, bahkan sudah banyak yang telah mengadakan hubungan diplomatik dan ekonomi untuk membina kekayaannya.

Di samping sudah banyak duit yang dihabiskan kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan mungkin ada lagi yang akan dinyalakan untuk membakar duitnya. Siapa yang menang menjadi arang dan siapa yang kalah menjadi abu, yang kenyangnya ialah negara barat yang masih menjadi tuan dalam percaturan yang berlaku.

Apakah yang berlaku menyatakan bermulanya sabda Rasulullah S.A.W?

"ويل للعرب من شر قد اقترب"

(أخرجه البخاري 4/138 برقم 3346، ومسلم 4/ 2207 برقم: 2880)

“Kecelakaan bagi bangsa Arab kerana kejahatan yang menghampiri mereka” (Diriwayatkan oleh Bukhari 138/4 no. 3346, Muslim 2207/4 no. 2880)

Di manakah Liga Arab yang ditubuhkan kerana menentang penjajah? Di manakah pula OIC yang ditubuhkan oleh Sidang Kemuncak Negara Islam kerana pelampau Yahudi membakar Masjid Al-Aqsa?

Keadaan terkini lebih besar daripada seorang Yahudi yang membakar Masjid Suci itu, disebabkan kerajaan haram itu menyekat umat Islam dan melindungi pelampau Yahudi yang sebahagiannya bersenjata.

Walaupun kita percayakan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa kesombongan Yahudi akan menguburkan mereka dan mereka sedang menggali kuburnya, tetapi kewajipan kita di hadapan Allah wajib ditunaikan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 30 Syawal 1438H / 24 Julai 2017M - HARAKAHDAILY 24/7/2017

RAMAI yang bersemangat ke Putrajaya kerana kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, bukannya melaksanakan kewajipan yang ada perhitungan dosa atau pahala. Berlumba-lumba berebut kerusi tanpa memilih cara dan apa yang hendak dilakukan setelah mendapat kerusi dan tidak mempedulikan walaupun berpegang kepada konsep ‘matlamat menghalalkan cara’ yang salah.  

jadilaAda juga yang berlumba ke arahnya sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa sahaja, termasuk musuh Islam yang memonopoli undi satu kaum dalam masyarakat majmuk, mahu menipu umat Islam dan memporak-perandakannya. Mereka itu memilih kalangan umat Islam yang sanggup menawarkan apa sahaja khidmat menjadi khadam, termasuk bersedia menjadi tukang pukul, memaki hamun, menjadi penyapu atau tukang cuci kotoran, asalkan sampai ke Putrajaya.

Ada pula yang berkonsepkan marahkan nyamuk kelambu dibakar, kerana adanya perkara terkini yang dikira salah laku dan perkara negatif yang sangat menyakitkan hati dan pandangan mata. Sehingga mereka sanggup merobohkan asas jati diri dan ketahanan negara yang menjadi aqidah, dalam keadaan kaumnya yang masih ketinggalan. Malangnya lagi, mereka sanggup menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah bahayanya dengan tidak sabar terhadap mudarat yang lebih ringan, yang boleh diselesaikan setelah dihadapi terlebih dahulu daripada mudarat yang lebih besar.   

Apa yang patut menjadi kewajipan sebenarnya ialah melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam yang dilaksanakan, walau sesiapa pun yang ada di kerusi Putrajaya.  Kalau tidak bersedia berubah, maka kerusi itu wajib diambil alih bagi menunaikan kewajipannya, bukan mengambil peluang sahaja dengan meletakkan Islam dan umatnya di belakang.

Konsep yang wajib ditegaskan di sini ialah:

“Tegakkan Islam, negara selamat. Tegakkan yang lain tanpa Islam, berakhir semuanya tidak selamat, Islam dan bukan Islam sama-sama tidak selamat. Ternyata yang lain daripada Islam telah gagal”

Inilah pendekatan yang dinyatakan dalam semua perutusan Rasulullah S.A.W. kepada raja-raja dan pemimpin di zamannya:

أسلم تسلم

“Terimalah Islam nescaya kamu selamat”

Mesej yang ditegaskan oleh firman Allah dalam Surah Yasin yang biasa dibaca untuk kematian dan dilupakan pengajaran kepada yang masih hidup menghadapi banyak cabaran.  

ٱتَّبِعُواْ مَن لَّا يَسَۡٔألُكُمۡ أَجۡرٗا وَهُم مُّهۡتَدُونَ ٢١ يس

“Ikutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mendapat hidayah petunjuk” (Surah Yasin:21)

Rasulullah S.A.W. menafsirkannya secara praktikal apabila menolak kerusi jawatan percuma yang diberi kepadanya dengan meneruskan wawasan jahiliyyah. Sebaliknya baginda mengekalkan jawatan mereka yang menerima petunjuk tanpa merampas kerusinya dan mengambil jawatan apabila sudah menjadi kewajipannya, setelah tiada pihak yang bersedia membuat perubahan yang sebenar dan baginda S.A.W. diterima oleh semua kaum.

Mengapa Islam didahulukan di negara ini?

Umat Islam jangan lupa! Bahawa Islam dahulu berjaya membentuk kerajaan dan tamadunnya yang berasaskan iman dan ilmu di rantau ini mengikut sejarah yang bermula dengan Kerajaan Islam di Melaka, sebelum kedatangan penjajah yang menjatuh dan merosakkan. Bukannya tamadun batu yang dibina menjadi berhala yang disembah atau tamadun yang membina kota yang memaksa rakyat.

Hakikatnya terkini juga, umat Islam adalah warga teras kepada negara ini perlu dihormati tanpa fanatik agama dan kaum. Jangan lupakan betapa umat Islam telah bersedia menerima masyarakat majmuk tanpa paksaan beragama dan hak beragama mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukan sahaja memberi kerakyatan dengan segala haknya yang dijamin oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Islam pula diletakkan dalam Perlembagaan menjadi agama negara, yang wajib dihormati oleh semua pihak yang telah dinyatakan hak masing-masing, konsep Raja Berperlembagaan, memartabatkan Bahasa Kebangsaan dan hak Bumiputera, serta batas sempadan yang tidak menzalimi pihak yang lain dalam masyarakat majmuk.

Rakyat wajib menolak mana-mana parti dan sesiapa sahaja yang mahu merungkai Perlembagaan negara laksana tikus membaiki labu bukannya penambahbaikan ke arah memperkasakan Islam dan syariatnya.

Rakyat juga wajib menolak mana-mana parti atau sesiapa sahaja yang sanggup menjadi khadam kepada pihak yang mahu meruntuhkan asas Perlembagaan atau menjadi khadam kepada penjajah atau menjemput penjajah datang semula.

Jangan khuatir terhadap umat Islam kerana pegangannya kepada Islam. Al-Quran meletakkan asas masyarakat Madani berteraskan perpaduan umat Islam dan umat manusia yang dijalinkan. Perlunya umat Islam kerana aqidahnya dan perlunya umat manusia kerana bermasyarakat madani.

Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ ١٠ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا يَسۡخَرۡ قَوۡمٞ مِّن قَوۡمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُواْ خَيۡرٗا مِّنۡهُمۡ وَلَا نِسَآءٞ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيۡرٗا مِّنۡهُنَّۖ وَلَا تَلۡمِزُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَلَا تَنَابَزُواْ بِٱلۡأَلۡقَٰبِۖ بِئۡسَ ٱلِٱسۡمُ ٱلۡفُسُوقُ بَعۡدَ ٱلۡإِيمَٰنِۚ وَمَن لَّمۡ يَتُبۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ١١ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ الحجرات .

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (10) Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum (lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan kaum (lelaki) yang lain, (kerana) harus kaum yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. (11) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (12)” (Surah Al-Hujurat: 10-12)

Seterusnya firman Allah ditujukan kepada umat manusia:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣ الحجرات

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: 13)

Bahagian pertama (ayat 10-12) ditujukan kepada umat Islam yang dijalinkan persaudaraannya dengan kesatuan Iman bersama Islam yang membawa Rahmat dan Adil kepada semua.

Bahagian kedua (ayat 13) ditujukan kepada umat manusia seluruhnya yang dijalinkan dengan ikatan kemanusiaan yang wajib bermasyarakat Madani kerana hubungan secara naluri memerlukan gabungan keilmuan, kemampuan dilapangan yang berbeza dan pendapatan yang tidak sama, bagi menghasilkan keperluan hidup di alam dunia yang wajib bertaaruf (bertolong-menolong dan bersaudara).

Umat Islam diwajibkan berpegang kepada konsep tidak ada paksaan dalam agama. Umat Islam juga wajib meninggikan dan memuliakan kedudukan Islam dalam pemerintahan negara kerana keimanannya meletakkan tuntutan Al-Quran yang mengatasi Perlembagaan.

Islam mewajibkan adil terhadap semua dengan perintah Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنََٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah: 8)

Mengapa masyarakat bukan Islam di sini boleh berjuang menegakkan ideologi yang dicipta oleh pemikir barat seperti Adam Smith, Karl Mark, dan lain-lain yang bukan daripada agama dan bangsa mereka?

Mengapa tidak boleh mencuba pendekatan Islam dalam urusan politik, ekonomi dan kemasyarakatan tanpa dipaksa meninggalkan agama masing-masing?

Kalaupun tidak mahu menerimanya, janganlah menjadi penghalang pula. Maka pihak yang lain tidak boleh melanggar sempadan yang disebut di atas, dengan menghalang perubahan cara Islam kerana kenyataan Al- Quran:

الٓرۚ كِتَٰبٌ أَنزَلۡنَٰهُ إِلَيۡكَ لِتُخۡرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذۡنِ رَبِّهِمۡ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَمِيدِ ١ ٱللَّهِ ٱلَّذِي لَهُۥ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِۗ وَوَيۡلٞ لِّلۡكَٰفِرِينَ مِنۡ عَذَابٖ شَدِيدٍ ٢ ٱلَّذِينَ يَسۡتَحِبُّونَ ٱلۡحَيَوٰةَ ٱلدُّنۡيَا عَلَى ٱلۡأٓخِرَةِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ وَيَبۡغُونَهَا عِوَجًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ فِي ضَلَٰلِۢ بَعِيدٖ ٣ إبراهيم .

“Alif, Laam, Raa´. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan ia kepadamu (wahai Muhammad S.A.W.), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman dengan izin Tuhan mereka ke jalan Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji. (1) Allah jua yang memiliki segala yang ada di langit serta yang ada di bumi dan kecelakaan besar bagi orang-orang yang kufur ingkar (terhadap Al-Quran) dari azab yang amat berat (yang akan menimpa mereka kelak). (2) Orang-orang yang mengutamakan dunia lebih daripada akhirat dan menghalangi manusia dari jalan agama Allah (Islam), serta menghendaki jalan itu menjadi bengkok terpesong, mereka itulah orang-orang yang terjerumus ke dalam kesesatan yang jauh terpesongnya. (3) (Surah Ibrahim: 1-3)

jadilaOleh itu, tiada kompromi terhadap kalangan yang menghalang perjalanan Islam atau mereka yang bersekongkol dengan penghalang itu, dan tiada kompromi juga dengan mereka yang sekadar mengkhadamkan Islam atau memainkan sentimen perkauman dengan niat mahu meminggirkan umat Islam tanpa menghormati dan mengenang budinya.

Kami menegaskan, hanya “Sejahtera Bersama Islam”, kerana hanya Islam berteraskan aqidah, syariat dan akhlak dapat menghapuskan segala perkara negatif yang diwar-warkan, seperti rasuah dan semua salah laku. Perubahan tanpa Islam tetap mengulangi perkara negatif yang sama kerana tiada imannya. Tegakkan Islam semuanya selamat, tanpa Islam pasti tidak selamat.

Itulah teladan Rasulullah S.A.W. apabila menegaskan betapa benarnya seorang Yahudi yang mempertahankan Islam setelah bersama Islam dan betapa sesatnya seorang Arab yang berasal dari Madinah, tetapi hanya mempertahankan Madinah tanpa Islam. Maka niatlah di hati kerana menegakkan Islam, jangan niatnya kerana mahukan Putrajaya sahaja.

“Sejahtera Bersama Islam”  

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Syawal 1438H / 20 Julai 2017M - HARAKAHDAILY 20/7/2017

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam sekerasnya tindakan regim haram Israel yang menutup Masjid Al-Aqsa dan menahan Mufti Baitul Maqdis yang merupakan satu tindakan jenayah biadap Israel kepada umat Islam. Alasan sama juga telah digunakan oleh regim haram Israel untuk membenarkan tindakannya seperti yang berlaku pada 12 Disember 1968 apabila tercetusnya tragedi pembakaran Masjid Al-Aqsa.

Saya menyeru kepada pemimpin dunia Islam dan umat Islam seluruhnya untuk sedar dan bersatu apa juga usaha bagi melawan regim berkenaan dan sekutunya. Masjid Al-Aqsa dan keselamatan Baitul Maqdis adalah tiang kesatuan umat dan mesti menjadi salah satu matlamat utama umat Islam dalam mengharungi percaturan politik dunia untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman regim haram Israel dan Zionis.

Saat genting ini sedang berlaku terhadap Masjid Al-Aqsa di tengah kekalutan dunia Arab. Sepatutnya OIC, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Ketua-ketua Negara umat Islam bukan sekadar mengecam tindakan Israel dan Zionis itu bahkan mengambil tindakan drastik yang munasabah bagi mengembalikan Masjid Al-Aqsa dan tanah hak milik umat Islam.  

Sempena Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) ini juga, yang akan diadakan pada 20-22 Julai 2017 di Kelantan, kita akan membincangkan usul tergempar bagi mengecam tindakan regim haram Israel ini dan memperkukuhkan kesatuan umat Islam bagi mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan keamanan dunia.  

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 22 Syawal 1438H / 16 Julai 2017 – HARAKAHDAILY 16/7/2017