MASIH berbaki sekitar lima hari sebelum bermulanya muktamar dan kali ini adalah tahun pemilihan. PAS masih boleh meneruskan muktamar pemilihan sekalipun hampir dengan Pilihan raya Umum (PRU) di mana sebahagian besar parti menangguhkan muktamar, perhimpunan atau konvensyen masing-masing kerana dibimbangi wujudnya pertelingkahan akibat pemilihan yang akhirnya memberikan kesan kepada PRU. Menariknya, PAS boleh meneruskan pemilihan dan diyakini tiada pergaduhan yang memberikan kesan kepada PRU apabila justeru beberapa prinsip yang dipandu oleh hukum syariat yang kita amalkan. Antara prinsip yang saya maksudkan ialah:

PRINSIP PERTAMA: Menyedari kepimpinan adalah amanah

Kita menyedari bahawa amanah kepimpinan bukan sesuatu yang mulia (تشريف) bahkan ianya bersifat tanggungjawab yang berat (تكليف). Untuk menghadam sifat ini, maka kita mestilah mengingati beberapa pesanan dan amaran Nabi saw:

ما من رجل يلي أمر عشرة فما فوق ذلك إلا أتى الله مغلولا يوم القيامة يده إلى عنقه فكه بره أو أوبقه إثمه ، أولها ملامة، وأوسطها ندامة، وآخرها خزي يوم القيامة

Maksudnya: Tiada seseorangpun dilantik untuk memimpin pengikut yang melebihi 10 orang melainkan didatangkan mengadap Allah pada hari kiamat dalam keadaan tangannya dibelenggu ke tengkuknya. Dia akan dilepaskan jika adil dan ia akan binasa jika sebaliknya. Permulaannya kekejian, pertengahannya penyesalan dan pengakhirannya adalah kehinaan pada hari kiamat. – (Hadis Sahih Riwayat Imam Ahmad).
Dan sabda nabi SAW:

يا أبا ذر إنك ضعيف، وإنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة، إلا من أخذها بحقها وأدى
الذي عليه فيها.

Maksudnya: Wahai Abu Zar! Kamu lemah dan jawatan itu adalah amanah. Sesungguhnya ia adalah kehinaan dan penyesalan (bagi tuannya) pada hari kiamat melainkan orang-orang yang melaksanakannya dengan benar dan menunaikan tanggungjawabnya. – (Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim)

Secara asas, jawatan disifatkan oleh nas sebagai penyesalan, kehinaan dan kekejian serta semuanya dihadapkan di hadapan Allah dalam keadaan dibelenggu. Apabila didatangkan golongan yang amanah dalam bentuk pengecualian, maka ini menunjukkan peratusan mereka yang tidak berjaya dalam melaksanakan amanah jawatan itu sangat ramai. Manakala golongan yang berjaya pula amat sedikit kerana mereka disifatkan sebagai golongan yang dikecualikan.

Hadis-hadis di atas menjadikan setiap kita yang beriman mempunyai menolak jawatan pada asasnya, jauh sekali untuk merebutinya. Hadis-hadis ini juga menjadi penawar bagi penyakit suka merebut jawatan (حب الرئاسة) dan sifat suka menjadi pemimpin.

PRINSIP KEDUA: Menerima dan menolak sesuatu pelantikan ke jawatan tertinggi kerana kefahaman

Menurut hukum fekah, hukum menerima dan menolak jawatan adalah bergantung kepada keadaan. Kadangkala ianya wajib ditolak seperti apabila lawannya itu adalah orang yang sangat tidak layak seperti fasiq atau jahil. Kadangkala ianya harus apabila lawannya itu sama layak dengannya. Kadangkala ianya haram apabila lawannya itu jauh lebih layak daripadanya. Bagi merealisasikan prinsip kedua ini, maka setiap kita perlu mendalami syarat-syarat kepimpinan dalam Islam dan menyedari hakikat kemampuan diri dan kemampuan lawannya dalam pemilihan.

Dalam keadaan bukan keperluan, takut kepada amaran-amaran dalam hadis yang dinyatakan dalam prinsip pertama adalah faktor utama kenapa kita tidak merebut jawatan. Prinsip inilah yang mendorong Saidina Umar menolak cadangan supaya anaknya Abdullah dilantik sebagai khalifah selepasnya dengan menyebut: cukuplah Umar seorang sahaja dari kalangan keluarga Al-Khattab yang diheret (dalam keadaan dibelenggu) dihadap Allah pada hari kiamat.

Dalam keadaan keperluan seperti lawan kita adalah seorang yang tidak layak, maka menarik diri adalah tidak bertepatan dengan syariat. Keadaan ini dapat kita lihat dengan jelas apabila nabi Yusof meminta jawatan menteri kewangan di zaman beliau sebagai mana disebutkan di dalam Al-Quran:

قَالَ ٱجۡعَلۡنِى عَلَىٰ خَزَآٮِٕنِ ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌ۬

Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya" – (Yusof: 55)

PRINSIP KETIGA: Berusaha memenangkan lawan

Dalam keadaan kelayakan yang sama atau hampir sama di kalangan calon yang ada, maka menarik diri bukanlah satu sifat yang mulia sekalipun ia bukanlah satu sifat yang hina. Bahkan sifat tidak menarik diri dan membiarkan ahlu al hilli wa al iqdi (pemilih atau pengundi dalam konteks sekarang) memilih dan mengundi adalah sifat terbaik.

Contoh ini kita dapat lihat dengan jelas sewaktu pelantikan Saidina Abu Bakar sebagai khalifah pertama. Apabila para sahabat sebulat suara bersetuju bahawa bangsa Quraish sebagai kriteria kelayakan pengganti Rasulullah SAW, maka Saidina Abu Bakar yang sebelum ini bertegas dengan Quraisy adalah paling layak tidak menyatakan dirinya paling layak sekalipun beliau daripada bangsa Quraisy. Sebaliknya berlaku kempen mengempen untuk memenangkan calon lawan dalam peristiwa pemilihan pemimpin selepas wafatnya Nabi SAW yang berlansung di Saqifah Bani Saaidah ini.

Dalam kisah yang diriwayatkan oleh Ibn Hisyam, Al-Yaakubi dan lain-lainnya berkenaan kisah pelantikan ini secara panjang lebar. Tatkala semua sudah bersetuju sebulat suara bahawa kriteria kelayakan bagi pengganti Rasulullah adalah daripada bangsa Quraisy, maka Saidina Abu Bakar berkata: “aku bersetuju saidina Umar Al-Khattab dan Abu Ubaidah bin Al-Jarrah menjadi pemimpin. Ini adalah Saidina umar Al-Khattab yang rasullullah pernah memujinya dengan berkata: Ya Allah! Kuatkan Islam dengan Islamnya Umar. Ini pula Abu Ubaidah Al-Jarrah yang Rasulullah SAW menyifatkannya sebagai Amin untuk umat ini. Maka aku meminta kamu berbaiah (melantik) salah seorang daripada kedua sahabat ini.” Saidina Umar dan Abu Ubaidah yang dicadangkan oleh Saidina Abu Bakar enggan menerima cadangan tersebut untuk menjadi pemimpin seraya berkata: “Demi Allah, kami tidak pernah mendahului kamu wahai Abu Bakar. Kamu sahabat Rasulullah yang bersusah payah berhijrah berdua-duaan dari Mekah ke Madinah. Kami lebih redha untuk kamu memimpin dunia kami sebagaimana Rasulullah telah redha untuk kamu memimpin solat kami (ketiga baginda sakit).” Akhirnya Abu Ubaidah memegang tangan Saidina Abu Bakar berbaiah, disertai Saidina Umar dan akhirnya semua sahabat yang hadir sebulat suara berbaiah menerima Saidina Abu Bakar sebagai khalifat selepas wafatnya nabi SAW.

Inilah prinsip dan suasana yang ingin kita corakkan di dalam parti kita PAS semoga pemilihan-pemilihan parti berjalan dengan baik dan harmoni.

PRINSIP KEEMPAT: Kalah Bersyukur dan Menang beristighfar

Asasnya, seseorang muslim itu mestilah merasa takut dengan ancaman-ancaman dan balasan-balasan akhirat ke atas pemimpin yang tidak amanah dan tidak jujur. Mereka juga perlu menyedari bahawa pemimpin yang berjaya melepasi piawaian adil dan pelaksana tanggungjawab menurut Islam amatlah sedikit berbanding yang gagal dan diheret dalam keadaan tangan dibelenggu ke tengkuk pada hari kiamat. Akibat ketakutan ini, seseorang muslim yang beriman akan merasa syukur apabila kalah di dalam pemilihan atau pertandingan merebut sesuatu jawatan kepimpinan.

Pun begitu, jika dilantik dan memenangi pemilihan, menolaknya selepas dipilih secara sah menurut syariat adalah sifat yang tidak bertanggungjawab justeru rasul-rasul, para ulama dan salafussoleh adalah khalifah-khalifah dan pemimpin tertinggi dan mereka tidak menolaknya selepas dilantik secara sah. Menyedari menolak jawatan selepas pemilihan yang sah adalah sikap tidak bertanggungjawab dan menerimanya pula pasti akan disertai kelemahan dan kekurangan, maka pada masa itu istighfar adalah ubatnya.

Meletakkan hadis bahawa pemimpin yang adil adalah salah satu daripada tujuh golongan yang diberikan naungan oleh Allah di padang Mahsyar pada hari yang tiada naungan melainkan naungan Allah, maka seseorang muslim yang baik akan berusaha bersungguh-sungguh setelah dilantik untuk mencapai tahap ‘pemimpin yang adil’ untuk memperolehi naungan di padang mahsyar.

PRINSIP KELIMA: Buang ego dan ingat akhirat

Kadangkala kita memuji melangit orang yang menang dengan majoriti yang besar dan kadangkala lahir pelbagai syak wasangka sehingga tercipta persepsi dan berita-berita salah disebalik sebab musabab kekalahan teruk seseorang. Tambahan pula, musuh memainkan peranan menghina golongan yang kalah dalam pemilihan parti melalui media-media awam yang dimiliki mereka menjadikan sikap ego akhirnya menguasai seseorang calon pemilihan. Kesannya, mereka berusaha memenangkan diri, bukan untuk mencapai target ‘pemimpn yang adil’ dan bukan juga kerana ‘gila jawatan’, bukan kerana ingin dilihat hebat, tetapi semata-mata kerana takut dikata dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan akibat kekalahan.

Maka sebagai seorang muslim yang beriman, kita hendaklah mengubati penyakit ini dengan memperbanyakkan menghayati nas-nas diatas. Kita perlu menginsafi bahawa, menang dunia yang dipandang mulia ini mungkin akan menjadi sebab kepada kita akan dipandang hina pada hari kiamat. Kita juga perlu menyedari, setiap tohmahan, tuduhan, wasangka dan tembakan musuh daripada parti luar adalah merupakan kiraan pahala percuma yang akan dituai pada hari kiamat. Ianya seperti saham yang diperoleh percuma tanpa perlu melabur dengan amalan tenaga, perbelajaan waktu dan pengeluaran wang ringgit kita.

PRINSIP KEENAM: Melawan golongan yang tidak layak menurut syariat sekalipun menjadi arang

Kadangkala sikap menolak jawatan pada saat yang bukan keperluan dilihat baik. Tetapi sikap ini apabila ditonjolkan pada saat keperluan seperti bakal calon adalah golongan yang tidak layak, maka sikap menolak jawatan ini bukan lagi satu sifat yang baik.

Dalil yang paling jelas ialah bagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul melawan pemimpin-pemimpin di zaman mereka. Yang mereka perangi itu bukan sahaja pemimpin yang kafir, tetapi pemimpin yang mengaku Allah sebagai tuhan dan beriman dengan nabi-nabi sebelumnya seperti kisah-kisah Bani Israel seperti kekecohan sewaktu perebutan antara Talut golongan Al-Malak sebagai pemimpin Bani Israel untuk berdepan dengan kerajaan Jalut pada zaman tersebut.

Jika kita adalah golongan yang menolak jawatan kepimpinan disebabkan 5 prinsip di atas, maka kita juga adalah golongan yang akan kehadapan merebut jawatan kepimpinan dan menempuh segala risikonya sekalipun besar, apabila bakal pimpinan bukan seseorang yang tidak layak menurut syariat.

Jika kita membuka kitab-kitab sejarah Islam, bukan sahaja melahirkan sikap dan kenyataan tidak bersetuju, bahkan ramai ulama-ulama taabiin dan sighar sohabah yang gugur ketika mereka enggan memberikan baiah dan mengiktiraf khalifah yang tidak layak. Kita melihat dengan jelas bagaimana tegasnya Abdullah b Zubair dan Said b Jubair ketika mereka enggan memberikan baiah kepada Khalifah Abdul Malik b Marwan sehingga akhirnya mereka dibunuh oleh Hajjaj b Yusof As-Saqafi.

Fekah Islam telah menggariskan dan menerangkan keadaan-keadaan yang mewajibkan sabar terhadap pemimpin dan keadaan-keadaan yang mewajarkan berlaku gerakan menukar seseorang pemimpin pada sesuatu masa. Kita perlu menghalusi hukum ini dengan baik supaya kita mengetahui dengan tepat masa yang perlu kita bersabar dan masa yang perlu kita bergerak.

Kesimpulannya, apabila kita menghayati enam prinsip di atas maka dengan izin Allah parti kita akan menjadi kuat dan musuh kita akan kehairanan seterusnya kemenangan itu akan hampir kepada kita insya Allah.

Allahuakbar!!!

DEWAN Pemuda PAS Malaysia(DPPM) ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Datuk Seri Md Raus Sharif yang baru dilantik sebagai Ketua Hakim Negara menggantikan Tun Arifin Zakaria. DPPM percaya bahawa Tan Sri Datuk Seri Md Raus Sharif yang merupakan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia sebelum ini, merupakan seorang yang berkelayakan bagi memikul amanah tersebut.

DPPM percaya bahawa Badan Kehakiman yang merupakan salah satu organ Persekutuan perlu bebas menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dalam; mencapai keputusan yang adil di mahkamah dan melindungi keluhuran Perlembagaan. DPPM juga berharap Badan Kehakiman dapat menjadi semak dan imbang yang baik dalam menafsir Perlembagaan dan menyemak undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen atau mana-mana tindakan Eksekutif adalah berperlembagaan dan sah, agar hak dan kebebasan rakyat marhaen terus dilindungi. Seperti perintah Allah yang termaktub dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Al-Nisa, 135)

Akhir kata, DPPM ingin mengucapkan selamat maju jaya menjalankan amanah dalam memimpin Badan Kehakiman kepada Tan Sri Datuk Seri Md Raus Sharif di mana ia akan dipersoalkan di akhirat kelak. Siru Ala Barakatillah.

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 5/4/2017

SAYA merasa terpanggil untuk meninta warkah ini memandangkan Abang Din makin galak menyerang PAS, meremeh malah menista harakatul ummah ini seperti abang Din tak pernah bersama jamaah Islam ini. Saya mengambil sikap memerhati gelagat abang Din agak lama, semenjak pasca Muktamar PAS ke-61, tidak terpilih semula sebagai Naib Presiden, diberikan jawatan lantikan sebagai AJK PAS Pusat namun ditolak.

Abang Din dipujuk oleh Dato Tuan Ibrahim dan Ustaz Idris Ahmad untuk terus bersama PAS, namun tetap ditolak dengan alasan "orang PAS buang ana".

Abang Din hanya kalah dalam pemilihan muktamar di mana setiap dua tahun sekali pemilihan diadakan oleh gerakan Islam ini untuk memilih barisan kepimpinan. Kalah dalam pemilihan, tidak bermakna dibuang oleh ahli-ahli. Ramai pimpinan PAS kalah dalam pemilihan sejak dahulu lagi, bahkan mereka jauh lebih berkompetensi, berilmu, pakej.

Antaranya Ustaz Dato Harun Taib, Ustaz Hasan Shukri, Ustaz Dato Abu Bakar Chik, Ustaz Dato Tuan Ibrahim dan lain-lain nama besar dalam PAS. Adakah mereka merajuk, menyerang PAS atau menubuhkan wadah baru?.

Saya menjadi saksi bagaimana figura-figura ini terus menyemai bakti pada jamaah tanpa lelah. Almarhum Ustaz Hasan Shukri sebagai contoh tanpa segan silu, dengan penyapu dan berbaju pagoda membersihkan Markas Tarbiah Taman Melewar, dengan senyuman khasnya terus menyemangati anak-anak muda untuk berjuang memenangkan Islam.

Di malam hari almarhum hadir ke pelbagai tempat mengisi fikrah ahli-ahli PAS dengan kereta buruknya dipandu oleh amilin parti. Istiqomah almarhum sehinggalah nyawanya diambil pulang, ribuan yang menyolati jenazah mantan Ketua Pemuda PAS didikan Ikhwan Muslimin ini. Apakah lagi kesudahan yang membahagiakan dalam hidup ini, disolati dan didoakan oleh ribuan manusia?.

Almarhum Ustaz Abu Bakar Chik dan Almarhum Ustaz Harun Taib juga dengan jasa bakti yang sama kepada jamaah Islam. Mereka membina institusi  pendidikan Islam,  mengkaderkan amilin tanpa jemu, bergerak keseluruh negara untuk mencerdaskan ummah. Lihatlah kesudahan hidup mereka yang mulia, didoakan oleh masyarakat Islm tanpa mengenal apa latarbelakang politik.

Saya merasa agak kehairanan dengan sikap Abang Din sebaik sahaja meninggalkan bahtera PAS, berterusan menyerang dan cuba mewajahkan PAS dengan wajah yang hodoh. PAS diratib sebagai gerakan takfiri sedangkan sebaik masuk PAS dalam tahun 80-an daripada keluarga berdarah likat Umno, abang Din dibawa ke tamrin panjang di Kelantan oleh Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah.

PAS dalam apa sahaja medan pengajian, para asatizahnya membuka kitab berkaitan  batas-batas iman dan kufur, asatizah dan pimpinan PAS menerangkan berkaitan aqidah Islam dan betapa perlu menjaga batas-batas akidah agar tidak tergelincir. Dekad 80-an, mulut pimpinan Umno sangat lancang menolak penegakan Syariah Islam, maka PAS sentiasa menerangkan isu menjaga batas-batas iman dan kufur. PAS sentiasa menjadi kambing hitam dalam pelbagai isu untuk menyudutkan PAS ke ruang paling hujung dalam strata masyarakat.

Abang Din sangat arif sejarah PAS dan sentiasa mengulangi kisah seorang dua penceramah PAS yang ghuluw, akhirnya menyertai Umno. Jamaah ini mempunyai tapisan dan Allah memelihara jamaah ini dan itulah ratib serta tazkirah Abang Din kepada kami saban waktu semasa memimpin Dewan Pemuda. Semasa abang Din menjadi ketua, kami akur dan taat, membantu program -program yang dirancang tanpa jemu.

Teringat juga bagaimana sebelum abang Din menang sebagai MP Kubang Kerian, kami Exco Dewan Pemuda Pusat mencadangkan abang Din untuk bertanding di kawasan selamat  agar berjaya menjadi jurubicara ummah yang berkesan. Dalam mesyuarat DPPP di Taman Melewar, abang Din dikeluarkan daripada bilik mesyuarat supaya mesyuarat tidak bias dan berkesan, seterusnya wakil DPPP dihantar menemui Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.

Mengapa saya bangkitkan isu pencalonan ini, kerana saya mahu abang Din tak lupa kasih sayang kami pada abang Din yang seakan melupakan sejarah ini.

Abang Din menikmati keadaan yang selesa sebagai anggota legislatif, namun sebahagian Exco-Exco DPPP yang menggalang watak murabithun hidup sebagai orang miskin. Ada yang dimarah dalam mesyuarat kerana  terlewat hadir kerana menghadiri kuliah dhuha, semua anak buah abang Din tak pernah merasa kecil hati ditegur walaupun kehidupan mereka ala kadar. Ustaz Azli Toliban semenjak muda sehingga tua tetap berdengkur dalam bas ekspress, menyambangi keseluruh negara berdakwah, bermesyuarat, menghadiri program-program parti.

PAS disinis memakan dedak, usaha PAS mengumpulkan ratusan ribu ahli-ahli dan rakyat ke lautan ungu H355 disindir, seolah Abang Din tak kenal sikap dan watak orang PAS dalam berkorban harta dan jiwa. Saya teringat kembali kisah-kisah yang Abang Din sentiasa lontarkan dalam ceramah, bagaimana penoreh getah PAS yang menyisihkan setiap hari beberapa keping getah yang mereka perolehi untuk perjuangan.

Ahli-ahli PAS mempunyai tabung khas jamaah, mereka menyimpan bukan sahaja untuk keluarga mereka, namun untuk membiayai perjuangan PAS. Abang Din bimbang tentang pimpinan PAS terutama "young blood" yang memiliki kereta hebat, saya kira Abang Din sendiri maklum mereka mempunyai perniagaan sendiri untuk menyarai keluarga dan membantu perjuangan. Menjadi motivator, memiliki rangkaian perniagaan, penasihat Syariah dan pelbagai ruang untuk meraih rezeki yang halal.

Abang Din, pasti menyimpan kenangan paling indah bagaimana berukhuwwah dalam PAS, bagaimana ahli-ahli harakatul ummah ini saling melengkapi, membahu antara satu sama lain bagi menjayakan matlamat perjuangan. PAS digelar oleh ahli dan pimpinan PAN sebagai "parti sejarah" dan kami lansung tidak berkecil hati kerana kami tahu sejarah PAS yang ditulis dengan tinta emas. Ada yang meregang nyawa syahid, dipenjara, dikucilkan malah dihina sepanjang masa demi menggalang perjuangan Islam ini.

Untuk maklumat Abang Din, program PAS pasca Muktamar ke-61 terus menerus mendapat sambutan masyarakat, bermula daripada cawangan hinggalah ke peringkat Pusat. Keahlian PAS terus membesar dan memancing pesona kelompok intelektual sehinggalah rakyat jembel yang berkeringat untuk sesuap nasi, mesyuarat kami bulan Februari baru-baru ini, PAS Pusat telah meluluskan lebih 5000 orang ahli baru. Manakala di sepanjang tahun 2016, kami menerima lebih 26 000 ahli baru, dengan erti kata  yang lain menyertai PAN, yang dibanggai oleh Abang Din jauh lebih kecil berbanding ahli-ahli baru kami dalam tahun 2016.

Abang Din, saya merasa bersyukur jauh di sudut hati saya yang paling  dalam kerana dalam tempoh selepas pasca Muktamar ke-61, Mesyuarat PAS Pusat tidak pernah bocor kepada pihak lain. Ahli ahli Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat dengan penuh harmoni, bersepuh ukhuwwah, berulam ceria dan mematuhi arahan yang diputuskan. Sangat kontradik dengan apa yang berlaku dalam beberapa penggal sebelum ini dan ini melonjakkan semangat kami untuk terus berkerja bagi memenangkan perjuangan Islam.

Abang Din, cukuplah  coretan ukhuwwah untuk kali ini, kami mempunyai jadual kerja yang padat dengan medan operasi siasah, dakwah dan tarbiah yang sentiada memerlukan sentuhan. Saya memegang teguh kata-kata Abang Din pada anak-anak muda pada suatu masa dahulu, "PAS akan terus dijaga oleh Allah selagi mana parti ini berpegang pada al Quran dan didoakan oleh manusia-manusia yang ikhlas". – HARAKAHDAILY 5/3/2017

ISU Pindaan Akta 355 masih terhangat di pasaran. Perbahasan mengenainya menarik perhatian pelbagai pihak dan terkini tumpuan teralih kepada usaha para ilmuan Islam untuk membahas dan mendebatkannya secara terbuka.

Biasanya pindaan sesuatu akta hanya mengambil ruang bahas atau debat di galeri parlimen dan terhad kepada 222 orang ahli parlimen sahaja. Berbeza dengan Akta 355,  cadangan untuk memindanya telah mendapat perhatian semua pihak dan diperbahaskan secara terbuka.

Satu sudut, ia adalah satu perkembangan yang sangat baik. Secara tidak langsung, isu pindaan Akta 355 ini telah "merakyatkan parlimen dan memparlimenkan rakyat".

Andai masih ada Ahli Parlimen yang tidak memahami isu pindaan Akta 355, maka kini sudah ada rakyat yang memahaminya dan mendesak supaya Ahli Parlimen tidak menentang bahkan menyokong agar Akta 355 dipinda.

Malah terdapat juga rakyat yang berperanan bagai ahli parlimen dalam membahaskan isu Pindaan Akta 355 tersebut. Sekali gus membuktikan negara tidak tandus bakal ahli parlimen dan pemimpin yang mampu, berkaliber dan bertanggungjawab terhadap agama dan negara untuk dipilih mewakili rakyat ke Parlimen.

Isu Pindaan Akta 355 ini selayaknya lah dibahas secara ilmiah, jujur dan tenang. Para cendikiawan Islam mestilah memandunya dengan pendekatan yang terbaik.

Semoga hasilnya memulangkan manafaat yang besar kepada proses memperkasakan syariat di Malaysia, bukan meretakbelahkan ummat Islam dengan pelbagai kekeliruan dan akhirnya menjadi fitnah kepada Islam dan ummatnya.

Hari ini saya terbaca satu laporan media yang menyiarkan bahawa Sohibus Samahah Datuk Dr Asri Zainul Abidin selaku Mufti Perlis pula mahu berdebat dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 di Parlimen.

Saya tertarik dengan pandangan dari seorang rakan saya yang juga Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Sdr Amzad Hashim bahawa tiada kewajaran debat Datuk Dr Asri dengan YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi. Sebaliknya apa yang wajar dan perlu ialah dianjurkan muzakarah yang melibatkan semua para mufti bersama YB Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang memandangkan isu ini sangat penting dan para mufti selayaknya mengangkat satu keputusan yang muktamad dari muzakarah tersebut ke arah meninggikan syariat Allah swt di bumi bertuah ini.

Objektifnya ialah supaya Ashabus Samahah Para Mufti mendapat penjelasan langsung dari orang yang bertanggungjawab membawa RUU Persendirian untuk meminda Akta 355 lantas membahaskannya dan sekali gus menyelaraskan kefahaman dan keputusan serta tindakan dari pihak mufti-mufti di Malaysia ini.

Firman Allah swt:

أن أقيموا الدين و لا تتفرقوا فيه

Bahawa kamu mestilah menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah padanya. (Surah Asy Syura: 13)

Inilah Penyelesaian Kita

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat - HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEGALA puji bagi Allah. Solawat dan salam buat Rasulillah SAW, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut sunnah baginda sehingga ke hari Kiamat.

1.Pindaan Akta 355 Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965 adalah satu kewajipan beragama setiap muslim bagi membolehkan beberapa Kesalahan Syariah di Mahkamah Syariah dihukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Fakta ini sentiasa ditegaskan oleh Datuk Dr Khairuddin at-Takiri dalam tulisan dan ucapan beliau.

2.Oleh sebab antara yang dilihat berbeza pandangan dalam isu ini ialah Sohibussamahah Datuk Dr Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis maka satu diskusi ilmiyah sangat elok diadakan secara terbuka antara Dr Khairuddin dan Dr Asri bagi merungkaikan sudut pandang bersama dan berbeza dalam isu ini untuk kefahaman bersama masyarakat Islam.

3. Diskusi ini membuka ruang untuk setiap pihak menyampaikan sudut pandang mereka secara ilmu atas semangat ukhuwah islamiyah dengan tujuan yang satu iaitu agar Islam dan dakwah Islam sentiasa diperkukuhkan dalam negara ini.

4. Diskusi ilmu bersama Dr Rozaimi dalam isu yang sama boleh diadakan selepas pada itu.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF
Wakil Peribadi
Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri - HARAKAHDAILY 2/3/2017

HARGA gula naik lagi. JKKK duduk sembang dalam kedai kopi, kenaikan harga gula bagus untuk mengurangkan kencing manis. Walaupun dia sendiri minum kopi O lebih gula.

Nak buat macam mana. Perdana Menteri yang bawa hujah ni setiap kali harga gula naik. Yang di bawah ini macam burung kakak tua saja tukang ikut.

Diabetes atau kencing manis penyakit yang sangat sinonim dengan masyarakat umum. Semua orang biasa dengar perkataan kencing manis dan biasanya masyarakat umum mengaitkan dengan pengambilan gula.

Saya bukannya pakar dalam bidang diabetes tetapi subjek General Medicine (Perubatan Am) antara subjek wajib semasa pengajian dulu. Antara yang dipelajari adalah berkenaan penyakit yang sering dijadikan kambing hitam setiap kali gula naik.

Izinkan saya membuat sedikit huraian sambil berharap ada yang lebih pakar akan memberikan penjelasan lanjut.

Diabetes atau kencing manis dibahagikan kepada 2 kategori (2 type), type 1 dan type 2.

Diabetes Type 1

Diabetes Type 1 berlaku apabila badan  tidak lagi dapat memproses penghasilan insulin kerana sistem imune badan sendiri telah menyerang dan memusnahkan sel-sel di mana insulin dibuat.

Punca hal ini berlaku tidak diketahui dengan jelas, tetapi ia mungkin disebabkan faktor-faktor risiko genetik dan faktor persekitaran.

Terdapat satu teori yang menyatakan bahawa diabetes type 1 boleh berlaku selepas serangan virus tertentu. Orang yang mempunyai diabetes type 1 mesti mengambil insulin setiap hari untuk hidup.

Tiada cara yang diketahui untuk mencegah atau mengubati diabetes type 1 , tetapi ia boleh dikawal dengan mengekalkan tahap  glukosa (gula) darah dalam julat yang normal.   

Diabetes Type 2

Diabetes type 2 adalah yang paling biasa berlaku.

Bagi diabetes type 2, puncanya sama ada badan tidak mampu memproses pengeluaran insulin dengan jumlah yang mencukupi atau badan tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan sendiri dengan kadar yang sepatutnya.

Risiko untuk mengidap diabetes type 2 ini meningkat dengan meningkatnya usia seseorang.

Punca diabetes type 2 ini sebahagian besarnya tidak diketahui, tetapi genetik dan gaya hidup yang memainkan peranan.

Diabetes type 2 dikaitkan dengan masalah obesiti , faktor-faktor genetik serta gaya hidup yang tidak aktif.

Sesetengah kaum dan etnik yang berisiko tinggi untuk mengidap diabetes type 2 termasuklah kita orang Asia.

Harapan saya, sebelum dari kita bercakap dengan membuat kesimpulan mudah, eloklah dan lebih manis bagi kita untuk meneliti sedikit fakta-fakta mudah supaya ulasan kita tidak tersasar.

Tidak ada cara yang diketahui dengan tepat untuk mengubati diabetes jenis 2, tetapi ia boleh dikawal dengan menjaga tahap glukosa (gula ) dalam darah dalam julat yang normal.

Kencing manis memang bahaya, tapi penyakit kencing rakyat memang berat nanang! - HARAKAHDAILY 2/3/2017

SEBAGAIMANA saya tegaskan dalam banyak tulisan dan ucapan saya, meminda "Akta 355 Bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah 1965" adalah kewajipan bersama seluruh umat Islam. Hal ini kerana Akta 355 sekarang menghalang beberapa kesalahan Syariah di Mahkamah Syariah di negeri-negeri daripada dihukum berdasarkan kehendak al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Jangan merasa pelik jika ada yang menentang usaha ini kerana kurang memahaminya atau kerana agenda peribadi atau kerana sengaja mengelirukan masyarakat tentangnya.

Allah berfirman dalam surah al-Maidah ayat 49:

وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ

"Dan berhukumlah di kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka".

Ayat ini mewajibkan umat Islam khususnya pemerintah memerintah dan menghukum berdasarkan apa yang Allah turunkan. Dalam masa yang sama memperingatkan seluruh umat Islam agar jangan mengikut kehendak dan keinginan mereka yang menentang usaha menegakkan hukum Allah.

Seterusnya Allah memperingatkan pula

وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ ۖ

"Dan berwaspadalah terhadap mereka bimbang mereka melakukan "fitnah" memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepada kamu"

Jika mereka tidak berjaya memalingkan umat daripada keseluruhan Islam cukuplah jika berjaya pada sebahagiannya.

Teruskan penerangan tanpa jemu.

Dr Khairuddin at-Takiri
1hb Mac 2017

TIMBALAN Menteri, Raja Baharin tidak cerdik menempelak ‘Amanat Haji Hadi’ setelah sekian masa berada dalam PAS.

Isu Amanat itu mungkin tercetus lama sebelum Raja Baharin berdekat dengan PAS bahkan mendekati pemimpin PAS itu.

Raja Baharin hanya dikenali masyarakat Terengganu setelah dia berjaya membebaskan dua anaknya dari jagaan bekas isterinya di Australia.

Kejadian gempar itu berlaku lama selepas tercetusnya isu Amanat itu.

Masyarakat luar PAS - politik dan tidak politik - melihat isu itu suatu yang buruk, negatif dan jijik. PAS dicemuh dan dijauhi oleh semua. Boleh dikira ia adalah masa payah bagi PAS.

PAS adalah tubuh dan padu menghadapi cabaran itu. Sekalipun Tuan Guru Abdul Hadi sudah jadi orang terkenal masa itu tetapi bukan orang paling kanan dalam pimpinan PAS.

Ramai lagi lebih kanan daripadanya seperti Haji Yusof Rawa, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Fadzil Noor dan beberapa ulama kanan dalam Majlis Syura Ulamak.

Tetapi semuanya tidak mencela dan menempelak Amanat itu dan peranan Tuan Guru Abdul Hadi dalam PAS. Bahkan PAS dan sekalian penyokongnya selesa dengan politik beliau dan semuanya menerimanya.

Ketika semua di luar PAS cemuh beliau Raja Baharin, mungkin tidak rapat dengan PAS dan Tuan Guru itu, tetapi dia tidak diketahui tidak suka pada PAS. Bahkan pemimpin PAS Terengganu dan masyarakat PAS tidak melihatnya sebagai orang bermasalah dengan PAS.

Tidak diketahui berapa lama dia sudah jadi ahli PAS. Tetapi PAS tidak melihatnya orang asing. Jika isu Amanat itu berubah negatif sepatutnya Raja Baharin tidak boleh dekat dengan PAS dan mesti menjauhkan diri daripada PAS.

Sebaliknya dia diyakini oleh PAS hingga menerimanya sebagai calon dan apakah sumbangannya sehingga dia diterima jadi calon.

Kuala Terengganu adalah kawasan baik bagi PAS. Mustafa Ali, Syed Azman, Wahid Endut antara calon PAS pernah menang di situ.

Dalam orang kanan PAS, PAS terima Raja Baharin jadi calon.

Jika parti itu dan amanat itu negatif bagi perpaduan Melayu dan Islam. Raja Baharin jangan dekat parti itu.

Tidak dipastikan apa masalah dia boleh berbalah dengan PAS hingga dia tidak popular dengan orang PAS.

Dipercayai masalah peribadi dengan orang PAS tetapi tidaklah kerana Amanat itu. Dia terus dipercayai, tidak faham dengan kerenah politik, maka dia tercampak daripada PAS atau dia mencampak dirinya daripada PAS.

Isu Amanat itu tercetus awal 80-an. Sejak itu yang menyertai PAS tidak kurang, bahkan ramai. Amanat itu tidak jadi kayu ukur orang benci PAS. Berduyun-duyun orang menyertai PAS.

Isu itu tidak menyebabkan Tuan Guru Abdul Hadi ditolak, bahkan beliau diterima sebagai Presiden PAS. Dalam masa pimpinannya hubungan dengan DAP bertambah rapat dan PKR terus mengosongkan tempat PAS dalam PH sehinggalah dia digantikan oleh parti serpihannya.

Sesudah pecah dengan DAP, Wan Azizah terus mengharapkan PAS wajar bersama PH sekalipun isu Amanat Haji Hadi tidak pernah dilupai orang.

Anwar Ibrahim bukan orang yang suka dengan Amanat itu, tetapi dia terima PAS dan Tuan Guru Abdul Hadi penting dalam membentuk Pakatan Rakyat dan kemudian PH.

PAS terkeluar daripada Pakatan bukanlah kerana Amanat itu tetapi PAS yang tolak Anwar, Pakatan dan PH.

Spesis Ikram yang ramai dalam PAS sejak dulu tahu buruk baik dan untung ruginya isu Amanat itu bagi PAS. Mereka tahu Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Harun Taib dan lain-lain ragu penyertaan mereka dalam PAS. Tetapi mereka senang dengan Tuan Guru Abdul Hadi yang melayan mereka walaupun mereka tahu Tok Guru itu memikul beban atas isu Amanat Haji Hadi.

Mereka kerumun PAS kerana sukakan Tok Guru.

Antara mereka Tok Guru beri layanan bilik hawa dingin. Layanan Tok Guru itu mereka sangka boleh berpeluang mengambil alih pimpinan PAS.

Ramai yang jadi pimpinan PAS selesa jadi pemimpin PAS walaupun mereka tahu kesan isu Amanat.

Amanat tidak halang mereka memenuhi PAS tetapi mereka tidak senang dengan pimpinan Tok Guru kerana Tok Guru tidak terima Anwar jadi PM dan tidak senang DAP halang PAS untuk perjuang Islam melalui Pakatan.

Adapun Raja Baharin jika PAS dan Tok Guru tidak restu bertanding dalam PAS, tidak siapa peduli dan tidaklah dia ada dalam politik. – HARAKAHDAILY 18/9/2019

DIJANGKA lebih 3,000 peserta berhimpun di Kompleks Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu pada 5 Oktober ini sempena Hari Assabiqun peringkat nasional.

Sambutan tersebut dijangka dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, yang dijangka akan memberi pesan semangat kepada kumpulan jasawan PAS yang pernah berjasa tetapi kini tidak cergas dalam parti justeru lanjut usia dan uzur.

subkyHari Assabiqun julung kali akan diadakan tahun ini di setiap negeri dan Assabiqun Kelantan menawar diri untuk jadi tuan rumah pada peringkat nasional.

Ia diadakan beberapa hari sebelum negeri Kelantan menyambut tahun ke-30 negeri itu ditadbir PAS sejak 1990. Kerajaan negeri sedang rancak menyusun sambutan festival beberapa hari Kelantan di bawah pemerintahan Membangun Bersama Islam itu.

Wan Nik Yusof, Setiausaha Sidang Assabiqun Kelantan memberitahu, SIdang Assabiqun Kelantan berbesar hati dipilih jadi negeri pelancaran Hari Assabiqun peringkat nasional.

Sambutan di Kelantan ini akan jadi model bagi lain-lain negeri mengadakan Hari Assabiqun negeri masing-masing.

Wan Nik memberitahu setiap negeri diminta menghantar 300 peserta, khususnya warga jasawan PAS yang terdiri daripada bekas aktivis parti.

Tidak semestinya kesemua 300 orang warga Assabiqun. Setiap ahli PAS termasuk Dewan Pemuda, Muslimat, Ulamak dan sekalian yang di bawah 55 tahun boleh jadi peserta atas nama Assabiqun bagi meraikan ahli-ahli Assabiqun yang banyak jasanya kepada jamaah dan perjuangan Islam.

Setiap perhubungan negeri, khususnya pesuruhjaya, wajar membantu Assabiqun negeri masing-masing memenuhi kuota 300 peserta setiap negeri.

Yang tidak jadi peserta digalakkan hadir tanpa mendaftar untuk bersama-sama menghormati para jasawan yang banyak sumbangan pada perjuangan itu.

Tetapi 300 yang ditentukan oleh Assabiqun negeri dan perhubungan negeri dikehendaki mendaftar atau mengambil cenderahati yang disediakan oleh Hari Assabiqun, sehari sebelum Hari Assabiqun sama seperti pendaftaran muktamar. Peserta juga dikenakan bayaran pendaftaran.

Orang ramai yang bukan peserta tidak dikenakan bayaran. Tuan rumah dijangka akan menyediakan jamuan kenduri rakyat, makan gulai kawah. Beberapa PAS kawasan Kelantan sudah sedia menyumbang lembu dan kerbau untuk kenduri rakyat itu.

Orang bukan PAS, khususnya penyokong Umno dalam keluarga penyatuan ummah boleh hadir dalam acara yang diadakan secara santai.

Ia tidak dipenuhkan dengan ucapan sepanjang masa. Ucapan hanya ucaptama Mursyidul Am dan kata-kata aluan oleh panitia saja.

Persiapan sedang dibuat untuk membawa Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman yang sekian lama uzur untuk mengisahkan cerita lama PAS sepanjang yang diingatnya.

Ia adalah bagi membolehkan orang ramai mendengar apa yang mereka tidak tahu tentang PAS daripada orang penting yang merancang pengambilan semula Kelantan daripada BN 30 tahun lalu. Orang yang seangkatan dengannya sudah tidak berapa ramai lagi.

Banyak masa santai bagi yang hadir. Ini adalah untuk memberi peluang kepada para hadirin untuk berbual antara satu sama lain supaya masing-masing dapat berkenalan dan menceritakan pengalaman masing-masing.

Kehadiran 3,000 dari seluruh negara itu memberi peluang kepada warga lama itu berkenalan, mungkin dengan orang yang tidak pernah mereka jumpa sepanjang hayat.

Hari Assabiqun diadakan seperti itu supaya sekaliannya bebas bergaul dan berkenalan dengan orang ramai.

Satu masa untuk semua mendengar penjelasan direct debit iaitu peluang kepada hadirin untuk menyambung berterusan kepada Assabiqun. Sekaliannya diberi peluang menyumbang setiap bulan kepada Assabiqun sebagai amal jariah dengan mengisi janji melalui bank.

Biasanya majlis-majlis PAS mengadakan derma kilat atau derma jihad. Masing-masing tidak teragak memberi sebanyak mana yang mereka ikhlas. Peluang pahala itu bila ada majlis saja. Bila tidak ceramah mereka tidak ada peluang menderma.

Tetapi melalui direct debit ini sesiapa boleh mengizin bank akaunnya menyumbang tetap sekian banyak yang ikhlas atau serendah RM10 sebulan melalui kepada Assabiqun.

Tidak disedari dia menyumbang RM120 setahun. Penyumbang tidak sedar bila dia menyumbang begitu banyak menyumbang tetapi pahalanya di akhirat nanti dia mendapati begitu banyak.

Jangan lupa masing-masing datang dan mengisi borang khas akuan menyumbang kepada Assabiqun, selain menyertai aktiviti santai lain yang disediakan.

Panitia juga sedang melihat syarat bagaimana peniaga boleh mengadakan gerai di kawasan majlis itu supaya masing-masing mudah minum dan memberi cenderahati.

Assabiqun adalah wadah jasawan PAS yang berusia 55 tahun ke atas. Mereka dulunya adalah aktivis parti. Tapi sekarang kurang tenaga oleh atas beberapa sebab, maka mereka tidak dapat bergiat.

Bagi menghargai jasa mereka, dibentuk Sidang Assabiqun, bagaimana jasawan tidak dilupakan dan supaya mereka sentiasa dikenang.

Sebelah malamnya panitia bercadang mengadakan ceramah penyatuan ummah antara Assabiqun dan Kelab Veteran Umno atau Kelab Mubarak, iaitu wadah bekas YB Umno. Mungkin ceramah ini himpunan pertama di Kelantan selepas tandatangan Piagam taawun PAS-Umno pada 14 September ini di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 11/9/2019

SEUSAI solat Maghrib hari terakhir di Kampuchea di Masjid Phnom Penh kami dibawa makan di medan selera rakyat yang menghidangkan berbagai makanan malam yang menyelerakan.
     
Sederet gerai kendali penjaja Islam penuh pelanggan, tidak cukup meja. Kami bertuah dapat meja untuk empat orang. Wanita separuh umur berskaf kepala tanda dia orang orang Islam, tuan punya warung mengambil pesanan makan Kampuchea dari kami.
      
Justeru ia tumpuan pelanggan Islam termasuk dari luar, tidak diragu halalnya.
      
Saya pesan apa saja asal ikan. Tidak daging dan tidak ayam. Yang lain memesan mihun dan mi. Beberapa cucuk sate daging lembut dimakan bersama bawang jeruk, bukan kuah kacang seperti sate kita.
     
Saya teruja dengan saya pesan. Semangkuk masih berasap. Baunya menyelera. Ikannya ada tapi kurang. Apa? Seperti laksa.
      
Ia terletak tepi jalan mengadap Sungai Mekong. Sebelah jalan tepat orang berjalan kaki menikmati keindahan bangunan seberang pantai sungai.
     
Seorang rakan Islam tempatan tiba lewat. Kami sudah selesai makan. Kami sudah berlima. Mereka bertutur bahasa Arab. Saya saja tidak tahu Arab. Seorang dari Thailand dan seorang setempat boleh berbahasa Melayu. Dua lagi tidak boleh.
      
Kami berubah medium. Menggunakan Inggeris.
       
Rakan yang baru tiba mempelawa minum ke kedai kopi. Dengan motokarnya kami dibawa melihat kawasan perniagaan baru yang sedang dibangun. Ia keluar dari kawasan sesak Phnom Penh. Kawasan itu cukup luas, bila siapa nanti boleh mengalih kawasan sedia ada kepada komersial baru.
        
Penmbangunan dikenali kotaraya berlian akan menempatkan semua gedung perniagaan dan mungkin menjadikan Phnom Penh kawasan ekonomi yang penting di rantau Asean.
       
Kampuchea bukan sebuah negara kaya menarik pelabur. Dasar kerajaan yang ada setelah ia mengekang parti pembangkang dalam pilihan raya umum yang bagi memastikan PM Hunsen terus menang, tidak negara kaya barat tertarik untuk melabur. Kecuali demokasinya digemari mereka.
       
Pengasing barat tidak menjadikan Kampuchea tidak didatangi pelabur. China menunggu peluang sedemikian. Ia menawarkan apa sahaja yang dikehendaki oleh kereajaan.
     
Briliant City itu dibangunkan sepenuhnya oleh China. Berjuta pekerja datang bagi menyiapkannya siang dan malam. Tiada orang lain yang bekerja melainkan buruh yang disediakan dari China.
      
Semua bank dan syarikat kewangan dunia disediakan tetapi untuk kepentingan ekonomi China, ia sendiri tidak campur orang lain.
      
Banyak yang sudah siap dan perniagaan pun sudah mula berjalan. Siapakah yang mengisi gedung-gedung besar itu nanti? Dipercayai peniaga China dai seluruh dunia.
        
Kami berhenti di satu kawasan yang banyak restoran makanan Cina. Dan banyak lagi yang belum siap. Antara yang sudah siap ialah restoran Islam China. Kami masuk memesan minum. Kamipun memang sudah kenyang. Kawan tempatan yang membawa kami ke situ mencadangkan makan roti keping kering ala kudapan.
      
Sepingan penuh. Yang menjalankan pernigaan adalah Cina dari China. Malam belum hidup lagi, tetapi yang ramai ialah Cina.
      
Kami diberitahu ialah adalah kawasan perniagaan yang dikuasai oleh saudagar-saudagar Cina dan ia akan jadi satu China Town yang baru di rantai ini.
      
Dalam perjalanan pulang kami ditunjukkan satu tapak bangunan yang tersergam. Ia akan negambiil beberapa tahun untuk menyiapkannya.
        
Ia adalah tapak menara yang bila siap nanti akan jadi menawar paling tinggi di Asean. Menara kembar Kuala Lumpur nanti tidak lagi jadi yang tertinggi di Asean. Yang tertinggi ialah di China Town di Phnom Penh. - HARAKAHDAILY 1/9/2019

BUKAN sekali dua, bahkan acap kali didapati media perdana, termasuk yang pro-Islam yang mempromosikan ajaran al-Quran melayan nafsu penjenayah yang pernah disabitkan mahkamah kerana  jenayah memukul Anwar Ibrahim yang ditutup matanya hingga pengsan dan berminggu matanya lebam.
      
Penjenayah itu menjaga undang-undang tetapi tidak menggunakan undang-undang terhadap Anwar bahkan menghukumnya dengan nafsu. Mahkamah telah menghukumnya sebagai penjenayah, dan hukuman itu mengeluarkannya dari orang-orang mulia.
       
Jika media melayan pandangannya adalah melayan pandangan nafsu. Media berpahala tetapi memuliakan fikiran nafsu penjenayah mencacatkan pahalanya.
      
Terakhir ketika Islam di Malaysia berdepan dengan cabaran paling getir atas isu Dr. Zakir Naik, media membesar fikiran nafsi penjenayah itu supaya Dr. Zakir diusir, serahkan kepada negara yang memburunya dan menempelak umat Islam menyambutnya sebagai tetamu dihormati seolah-olah kita tidak ada ulama dan ahli ilmu hingga menggunakan pakar asing.
     
Pakar Islam lahir di benua mana dan dari kabilah mana adalah milik Islam. Dia bukan orang asing. Kita tidak lihat Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali sebagai Arab Quraisy tetapi mereka kepunyaan Islam seluruhnya. Yang mengira Zakir pakar asing adalah fikiran asing bagi orang Islam yang diselaputi nafsu jenayahnya.
      
Mengapa kita dulu selalu mengundang Buya Hamka? Tidak adakah ulama kita sendiri? Tunku dan Tun Razak selalu mengundang ulama luar untuk muslihat tertentu sedang kita sendiri ramai ulama. Hamka  tidak dilihat sebagai orang Indonesia, tetapi beliau ada kelebihan tertentu. Malaysia acap memanggil Bill Gate dan teknologis Jepun untuk berkongsi pengalaman demi kemajuan kita.
      
Nafsu penjenayah mahu Dr. Zakir dihantar pulang untuk menghadapi tuduhan terhadapnya. Kononnya dia sanggup buat, dia mesti tanggung sendiri.
      
Menghantarnya pulang menyerahkan kepada keadilan nafsu. Dia tidak dapat adil. Samalah seperti menyerahkan Nabi Musa kepada Firaun. Nabi Musa pernah membela kaumnya berbalah dengan seorang Kibti. Ditumbuknya si Kibti lalu mati. Baginda dikehendaki oleh mahkamah Firaun. Mahkamah Firaun menjalan hukum nafsu. Musa tidak akan dapat keadilan.

Nabi Musa melarikan diri ke Madyan mendapatkan perlindungan dari Nabi Syuaib. Musa dikira salah kerana membunuh dengan satu tumbuk. Nabi Syuaib melindunginya, tidak menyerahkannya kepada Firaun.
      
Kerana dakwahnya Nabi Muhammad SAW menghadapi tekanan di Mekah. Antara tindakan mengurangkan tekanan baginda mengirim Jaafar Abu Talib dan pasukannya hijrah ke Habsah. Musyrikin Quraisy menghantar wakil minta Raja Najasyi memulangkan mereka kerana mereka dikatakan banyak menimbulkan masalah kepada masyarakat Mekah.
       
Najasyi beragama Nasara enggan menunaikan tuntutan sama seperti kerajaan Islam Malaysia sebelum ini enggan menunaikan tuntutan India memulangkan Zakir Naik. Jika Nasara Najasyi enggan memulang pelarian Islam yang datang minta perlindungan, maka mengapa kerajaan pro-Islam Malaysia tidak boleh melindungi Zakir.

Nabi Muhammad diancam bunuh di Mekah. Baginda SAW tidak menyerah untuk diadili nafsu Quraisy. Allah mengarahkan baginda SAW hijrah ke Madinah. Nabi SAW itu sentiasa dalam peliharaan dan perlindungan Allah. Dalam keadaan demikian melarikan diri dari keadilan nafsu adalah pilihan.
      
Nabi Musa memilih lari ke Madyan, Baginda Rasul memilih hijrah ke Madinah. Zakir bukan nabi seperti Musa dan Muhammad SAW. Musa AS disambut dan dilindungi di Madyan, Nabi Muhammad SAW disambut dan dilindungi di Madinah, mengapa Malaysia tidak boleh belajar dari sejarah melindungi Zakir sedang Allah muliakan Malaysia dengan Islam sebagai agama umat?
      
Malaysia jangan tunduk pada tuntutan dan fikiran nafsu penjenayah! – HARAKAHDAILY 23/8/2019

BAGI meredakan kemarahan umum terhadap tindakan kerajaan PH memansuhkan bantuan tanam semula kelapa sawit bagi pekebun kecil sawit, lalu ditawarkan skim pinjaman menanam semula dengan kadar bunga dua peratus.
       
Dipercayai tidak akan meredakan kemarahan itu kerana ia tidak dikira satu keputusan adil sekalipun dalih kerajaan adalah demi kepada semua pekebun sawit termasuk Felda dan Felcra.
       
Pekebun kecil sawit pernah bertuah memiliki kebun itu semasa harga komoditi itu stabil – tinggi. Tetapi harga stabil tidak sentiasa. Banyaknya tidak stabil seperti sekarang apabila Eropah dan Amerika memulaukan inportnya. Pernah mereka melonggarkan importnya, tetapi banyaknya memboikotnya.
      
Dalih mulanya kualitinya tidak sebaik soya, bahkan dikatakan ada nagatifnya. Setelah dibukti tiada kurangnya dari segi khasiat, isu pemulauan pun reda. Larangan itu bukan justeru rendah khasiat dan bernegatif, tetapi pengeluar soya tidak mahu sawit bersaing dengan soya dalam pasaran dunia. Bukan saja mereka mahu memonopoli penggunaan di wilayah pengeluar soya sendiri, bahkan demi menguasai pasaran dunia termasuk di negeri pengeluar sawit.
      
Kini khasit dan kualiti tidak berbangkit tetapi demi sentimen kebenuaan dan saingan pengaruh kuasa timur-barat, warna kulit, meneruskan diskriminasi bangsa/wilayah maju dan tidak maju supaya yang tidak maju terus menjadi hamba kepada yang maju.
      
Malaysia terkesan dengan diskriminasi/perlindungan itu, menjadikan ekonomi sawit lumpuh dan pekebunnya jadi miskin semula. Tanpa bantuan di sana sini dan sedikit sebanyak dari kerajaan terhadap pekebun sawit, mereka bukan sekadar tidak jadi orang senang, akan kekal miskin malah jadi fakir berikutan dengan kenaikan harga semua barang keperluan.
      
Setakat kebun itu terus mengeluarkan hasil, sudah kais pagi makan pagi, dan bila sawit perlu ditanam semula, ditarik pula bantuannya, nescaya menjadikan mereka masyarakat tidak cukup makan. Dan bila diganti dengan pinjaman dan berbunga pula, menjadikan mereka golongan berhutang sampai mati.
       
Bunga walaupun 0.01 peratus tetapi penindasan dan tetap berdosa. Pada ketika umat mahu bebas dari skim tidak patuh syariah, pinjaman bunga dua peratus mengekalkan pekebun sawit dibelenggu dosa bunga.
      
Ia tidak dirasa apa-apa bagi penyokong DAP dan konco sekularnya dalam PH, tetapi masih penindasan orang Islam yang kebanyakan pekebun kecil itu beragama itu.
     
Adakah PH yang mencari rahmatan lil alamin sudah merujuk pakar patuh syariah bunga dua peratus bebas dosa?
     
Mungkin bantuan tanam semula itu bukan satu dasar yang kekal. Bila komoditi itu kekal stabil, negara stabil olehnya dan kehidupan pemilik sawit termasuk pekebun kecil, maka bantuan boleh dikaji semula. Apa yang kerjaan wajar buat itu bagaimana harga sawit distabilkan dulu. Selagi ia tidak stabil, jangan bunuh kebun kecil dan pekebun kecil.
      
Jika ia membebankan kerajaan, mana kerajaan yang tidak mahu bertanggungjawab atas beban rakyat? Orang yang hendak jadi kerajaan mesti sedia pikul beban.
     
Selagi manusia itu di dunia termasuk yang taqwa tetap ada beban dan menjadi beban. Hanya di syurga baru bebas beban.
     
PH mahu lari dari beban bantuan tanam semula pekebun kecil. Ia menambah lagi beban rakyat setelah banyak janji pilihan raya gagal ditunaikan. Adakah PH kekal potong bantuan itu? Dipercayai ia tidak ditarik balik. Jika sampai PRU15 ia tetap tidak prorakyat, ia menempah jadi pembangkang dalam PRU15.
      
Biarkan PH dengan kebebalannya. – HARAKAHDAILY 16/8/2019