FIRMAN Allah bermaksud: “Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain; dan jika seseorang yang berat tanggungannya (dengan dosa), memanggil (orang lain) untuk menolong memikul sama bebanan itu, tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya, walaupun orang yang diminta pertolongannya itu dari kerabatnya sendiri. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah memberi peringatan kepada orang-orang yang takut (melanggar hukum-hukum) Tuhan semasa mereka tidak dilihat orang dan semasa mereka tidak melihat azab Tuhan, serta mereka mendirikan sembahyang. Dan sesiapa yang membersihkan dirinya (dari segala yang dilarang) maka sesungguhnya ia melakukan pembersihan itu untuk kebaikan dirinya sendiri dan (ingatlah), kepada Allah jualah tempat kembali.” [Maksud Surah Fatir: 18]

Syariat telah menetapkan bertudung bukanlah kewajipan ke atas wanita. Namun setiap wanita wajib ke atas mereka untuk memelihara tubuh badannya (aurat), sebagaimana dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Al-Ahzab: 59]

Sesungguhnya begitu lembut dan manisnya cara Allah SWT kepada kita kaum wanita agar memelihara aurat kita masing-masing. Tidak sesekali Allah SWT menggunakan kata-kata arahan yang bersifat keras dan menghukum. Bertudung juga memberikan gambaran wanita tersebut beriman dengan perintah Allah. Banyak kebaikan yang boleh dinikmati oleh wanita bertudung, bukan hanya sebagai tanda taat kepada Allah.

Dewan Muslimat PAS Malaysia merasa bertanggungjawab atas sebarang kemusykilan dan salah faham yang berlaku perihal ‘bertudung’, seringkali menjadi bahan perbualan yang hangat sama ada dalam kalangan artis, pemimpin politik, aktivis NGO dan lain-lain.

Kami menyedari hakikat ini kian runcing dan boleh menjadi parah sekiranya tidak dibendung sebaiknya.

Kenyataan dangkal yang dikeluarkan tanpa asas ilmu dan pegangan aqidah yang kukuh sebenarnya boleh meracuni pemikiran generasi baru yang sentiasa melihat dan mengikut trend semasa.

Justeru, di kesempatan ini, pihak kami sangat berharap agar sesiapa yang telah membuat kenyataan dalam nada sinis tentang isu bertudung mahupun menutup aurat ini agar memohon maaf secara terbuka serta membuka ruang untuk belajar daripada ahli agama seperti Mufti Wilayah Persekutuan atau para asatizah bagi memahami sebaiknya tentang syariat ini.

Kami juga bersedia untuk membuka ruang bagi mengadakan sesi dialog terbuka mahupun perjumpaan tertutup kepada mana-mana entiti yang menginginkan pencerahan dan kebenaran.

Akhirnya, Allah SWT tak akan pernah sesekali membebankan hamba-Nya dengan sesuatu syariat sekiranya ia mendatangkan mudarat, sebaliknya kepada wanita di luar sana, percaya dan yakinlah bahawa hikmah disuruh kita menutup aurat terlalu luas terutamanya dalam memelihara maruah kita sebagai wanita, agar sentiasa dihormati dan dipandang tinggi, serta tidak dijadikan bahan eksploitasi dengan sewenangnya.

Semoga Allah SWT melimpahkan hidayah kepada kita semua untuk mengelakkan salah faham tentang syariat ini.

USTAZAH SALAMIAH MOHD NOR
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 4/4/2019

SUBHANALLAH
Sesungguhnya tiadalah Allah SWT menciptakan sesuatu itu sia-sia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka" [Q:S. Ali Imran: 191]
.
Selain Allah SWT tidak sesekali akan membebani seseorang dengan apa yang mereka tidak mampu
.
Maka percayalah buat ibu bapa di luar sana yang punya anak autisme, OKU atau yang lainnya
.
Bersyukurlah atas segala nikmat dan ujian dari Allah SWT.
.
Kita percaya dan yakin setiap sesuatu yang datang dari Allah SWT pasti ianya yang terbaik untuk kita
.
Ustazah juga ada seorang anak autism, kakak (anak kedua yang berusia 31 tahun).
.
Hari ini birthday kakak... Alhamdulillah sepanjang usianya kakak seorang anak yang kuat dan boleh mengurus diri sendiri
.
Ummi sentiasa doakan kakak mudah-mudahan sentiasa dalam jagaan Allah SWT selalu.
.
"Sanah Helwah anak Ummi"
.
Buat ibu bapa di luar sana,
"You all are awesome parent!"
.
Insya-Allah segala daya upaya dan kekuatan milik Allah SWT jua. Semoga kalian semua diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk mendidik dan menjaga anak autism. – HARAKAHDAILY 2/4/2019

“SAYA rasa bangga dengan kehadiran assabiqun (golongan veteran) yang masih bersama dengan jemaah dalam mesyuarat kali ini,” demikian ucapan permulaan YB Dato' Haji Husain Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu, juga Senator yang merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kemaman ke-59 pagi ini.

“Mesyuarat dan muktamar akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita sepanjang masa, (siapa yang masih ada dan telah tiada).

“11 bulan lepas kita perolehi kemenangan. Perlu disedari, ia adalah ujian, selain dari anugerah. Allah mahu lihat setakat mana kita pikul tugas ketika kemenangan. Kita menang selepas hadapi tsunami politik fitnah, terutama dari bekas pimpinan PAS yang mengkhianati perjuangan. Fitnah ini lebih mudah dipercayai, kerana ia dianggap membuka pekung dalam PAS. Fitnah RM90 juta, RM1.4 juta dan lain-lain,” ujar beliau.

“Kita mesti bersyukur kerana kita matang, dan bijak menilai. Kita adalah parti politik Islam tertua, bijak mengurus fitnah ini. Kita menang di Kelantan dan Terengganu. Ini antaranya kesan dari tarbiah yang kita lakukan kepada ahli hingga melahirkan sifat keyakinan dan kesetiaan kepada pimpinan. Inilah yang menjadi asas kepada kekuatan parti hingga tsunami fitnah tidak dapat memusnahkan kita,” sambung beliau.

“Dari sudut parti, sebelum pilihanraya, kita bawa slogan HARAP, PGU dan kita bawa tema untuk pilihanraya iaitu negara maju, berkat, sejahtera. Ia diharap supaya rakyat dapat terima. PRU14 paling tenang kerana tidak ada masalah besar. Ia adalah hasil adunan kepimpinan terdahulu melalui tarbiah. Kemenangan kita di Terengganu di luar jangka. Allah menyebut:
إن ينصركم الله فلا غالب لكم
Maksudnya: Jika Allah menolong kamu, tiada siapa yang dapat mengalahkanmu.

“Suasana mesyuarat kini berbeza, kerana kita ada agensi parti dan kerajaan. Anggota parti yang dilantik menjadi I-MITs, MPKK, ahli majlis dan lain-lain jawatan dalam kerajaan. Jentera parti dari cawangan, MTD dan kawasan mesti digabung-jalin antara memperkukuh parti, jentera kerajaan dan membina imej kepada kerajaan,” ujar beliau lagi.

“Bila bertembung tugas parti dengan kerajaan, ada ahli parti menganggap itu bukan tugasnya. Sebenarnya kita adalah tentera pada parti dan jentera kepada kerajaan. MPKK dan I-MITs tidak akan wujud jika kita tidak menjadi kerajaan. Oleh itu, kita tidak boleh lepas dari semua tanggungjawab ini.
Gabung-jalin di antara parti dan kerajaan sepatutnya menjadikan kita lebih kuat, lebih berprestij, lebih yakin.” tekan beliau lagi.

“Kita jangan tinggal pengkalan asasi kerana alasan bekerja sebagai pegawai kerajaan. Sepatutnya kita lebih bertanggungjawab apabila menjadi pegawai kerajaan kerana diberi sedikit elaun.”

“Pertandingan di kalangan AJK mesti menurut perlembagaan. Ia tidak bercanggah dengan konsep syura. Kita bertanding secara sihat, ikhlas tawar diri kerana sedia pikul amanah. Yang kalah, terus menyumbang, bukan kerana jawatan. Kita juga perlu bersikap memaafkan, berlapang dada dan berunding. Ambillah semangat Uhud. Pertandingan yang sihat, keputusan akan dapat berkat dari Allah,” sambung beliau.

''Di Terengganu, ketua parti negeri tidak menjadi ketua negeri. Lalu bagaimana parti menguasai kerajaan? Sebenarnya 80% pimpinan parti ada dalam kerajaan. Kerangka pembangunan yang kita mahu pula ialah berasaskan kepada PITAS. Is menjadi panduan asas kepada pembangunan negeri Terengganu. 20 janji manifesto kita sudah tunaikan 60 %. Cuma ada beberapa perkara yang kita akan buat kemudian. 2 program yang diamalkan iaitu dialog MB dengan ADUN, Ahli Parlimen, Pada DUN dibuat sebulan sekali, dan program MB masuk kampung. Ia program terbuka bertemu rakyat. Ini antara bukti-bukti yang jelas bahawa parti menguasai kerajaan,” terang beliau.

“Keadaan politik semasa sekarang agak pelik. Parti minoriti Bersatu jadi tunjang kepada kerajaan. Suara Melayu Islam pula menjadi minoriti di Parlimen. Kontrak sosial banyak yang dicabul, apabila suara bukan Islam dan Melayu lebih dominan. PAS berhadapan dengan lanskap politik sebegini, mesti mengambil langkah bijak. Kita mahu sekat suara DAP yang dibanggakan oleh PAN. Kita mahu perkukuhkan blok pembangkang. Penyatuan blok pembangkang iaitu Umno dan PAS dalam bentuk ta'awun berlaku semenjak lama. Kerjasama politik juga berlaku dalam PRK Cameron Highland dan Semenyih. Timbul ura-ura kerajaan campuran. PAS tidak bincang perkara ini. Setakat ini kerjasama hanya dalam bentuk ta'awun. Rakyat mahukan PAS. Kita mesti ambil peranan dengan cara terbaik,” akhiri beliau.

Sabtu
11.16 pagi

(Catatan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kemaman kali ke-59 oleh YB Senator Dato' Husain Awang di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.)

SAYA percaya, serangan bertali arus yang dihadapkan kepada PAS sebenarnya adalah cubaan untuk menutup pekung isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Pihak SPRM telah menahan seorang ahli korporat, membekukan empat akaun syarikat dan menyita beberapa aset yang dipercayai berkaitan dengan projek tersebut.

tatawiAdakah skandal ini turut membabitkan pemimpin DAP khususnya bekas Ketua Menteri Pulau Pinang?

PAS menuntut Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk menyediakan satu butiran lengkap pelan asal projek terowong dasar laut tersebut.

a) Berapakah jumlah sebenar kos projek,

b) adakah ia ditender secara terbuka dan sekiranya ia adalah tender terbuka, sila dedahkan perincian tender tersebut.

c) apa sebenarnya terma-terma yang dipersetujui antara pemaju dan LGE, termasuk perjanjian pertukaran lot-lot tanah di lokasi strategik Pulau Pinang

d) kemukakan latar belakang pemaju dan semua rakan kongsi yang terlibat. Adakah mereka pihak yang berpengalaman dan berkemampuan untuk melaksanakan projek dengan skala ini?

Malah, kajian keboleh laksanaan (feasibility study) projek tersebut yang telah menelan belanja sebanyak RM305 juta masih belum dimuktamadkan sehingga Januari lalu.

Kini, rakyat berhak mendapatkan penjelasan sebenar projek ini setelah lebih setahun siasatan SPRM berjalan.

Justeru projek ini turut melibatkan kepentingan rakyat disebabkan terdapat dakwaan yang menyatakan bahawa kaedah pembayarannya membabitkan pertukaran tanah (land swap) dan menjejaskan ekosistem persekitaran.

Rakyat tidak boleh dinafikan hak untuk mengetahui status atau hasil siasatan skandal projek terowong dasar laut yang sedang berlaku sekarang.

eberapa tahun yang lalu, saya telah membangkitkan isu ini dan saya telah disaman oleh Ketua Menteri YAB Lim Guan Eng pada masa itu.

Kini apa yang telah saya bangkit sejak awal dulu semakin menampakkan kebenarannya.

Bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru.

NASRUDIN HASSAN
24 Jamadil Akhir 1440 | 2 Mac 2019 – HARAKAHDAILY 2/3/2019

ومن احسن قولا ممن دعا إلى الله و عمل صالحا وقال إنني من المسلمين

Maksudnya: "Dan siapakah yang lebih baik perkataannya dari orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh, dan dia berkata: “Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang Islam”.

Kita adalah umat yang bertangungjawab meneruskan perjuangan menyampaikan Islam ke seluruh alam.

Dunia akhir zaman, diberi ilmu yang sedikit berbanding Ilmu Allah tetapi begitu canggih dan hebat.

Cukup di akhir zaman dengan seorang rasul kerana maklumat mengenainya dapat diketahui.

Segala berita, hukum-hakam, tentang alam dilaporkan oleh Quran dengan benar.
Juga teori pemikiran dan lain-lain yang gagal menunjukkan benarnya Quran.

Allah mencabar manusia supaya datangkan seperti Quran tetapi gagal.

Islam tidak mati dengan wafatnya Nabi, tetapi ajarannya mesti disampaikan.

Teknologi maklumat, dunia tanpa sempadan, langit terbuka, boleh digunakan untuk serang Islam atau sampaikan Islam.

Allah boleh sahaja pertahankan agamaNya, sebagaimana yang pernah berlaku dalam sejarah manusia, dengan kun fa yakun, tetapi kita mesti menjadi bala tentera Allah, termasuk dalam lapangan siber.

Nabi pernah dibawa dalam peristiwa Israk Mikraj, melihat neraka. Antaranya mereka yang diazab dengan dahsyat kerana sebarkan berita hingga ke seluruh ufuk dunia. Ini disebut 1,000 tahun lampau. Kita dapati ia berlaku sekarang melalui alam siber.

Mereka yang ada kemampuan dalam bidang ini mesti pertahankan Islam, lawan balik musuh Islam.

Dalam PRU14 lepas, ramai yang terpengaruh dengan berita dari siber, hingga menyebabkan negara kini dikuasai oleh bukan Islam.

Ayat Quran janjikan pahala kepada orang yang sebarkan kebaikan, walaupun dia telah meninggal dunia. Begitu juga mereka yang berkongsi berita jahat, menulis fitnah dan lain-lain, ia berterusan walaupun sudah meninggal dunia.

Semoga ijtimak siber ini mendatangkan manfaat kepada kita sebagai amal soleh.

Catatan:
Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu
Ketua Lajnah Media Baharu, Dewan Ulamak PAS Terengganu
Sabtu 16 Feb 2019
Kemaman – HARAKAHDAILY 16/2/2019

Tulisan di atas ialah intisari ucapan penutup Ijtimak Siber, Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman oleh Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Umat Islam wajib bersatu teguh

UMAT Islam wajib bersatu. Jangan berpecah belah justeru itu adalah larangan Allah swt. Lihat penyata wahyu:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu berpecahbelah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Surah Aali Imran: 103)

Perpaduan adalah kalimah suci dan mulia namun bergantung kepada objektif dan matlamatnya. Bersatu padu mestilah diikat dengan Tali Allah iaitu Al Islam.

Kebenaran tidak boleh bersatu dengan kebathilan malah wajib berpisah dan berpecah antara Haq dan Bathil. Ia telah ditegaskan oleh Allah swt:

وَلَا تَلْبِسُوا الْحَقَّ بِالْبَاطِلِ وَتَكْتُمُوا الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan (janganlah) kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah Al Baqarah: 42)

Menyatupadukan umat Islam bagi mengembalikan kekuatan ummah dan menjulang kemuliaan Islam wajib dilakukan dan diterima secara positif oleh semua pihak.

Perpecahan umat Islam akan memulangkan fitnah kepada Islam dan ummatnya. Kecelakaan dan kebinasaan bakal menimpa mereka. Hilang kekuatan dan kehebatan ummah di mata musuh-musuh Islam. Lihat bagaimana Allah swt membuat ketetapan:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu bertelingkah antara satu sama lain; kalau tidak nescaya kamu akan celaka dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar. (Surah Al Anfaal: 46)

Musuh Islam memang sesak nafas dan sebak dada menyaksikan usaha ummat Islam menyatupadukan saf mereka dengan Islam menjadi agenda utama.

Sememangnya mereka tidak mahu umat Islam bersatu padu, sebaliknya mereka mahu umat Islam selamanya berpecah belah.

Propaganda Musuh Islam

Pelbagai propaganda dan provokasi dicetuskan agar umat Islam terus terperangkap dalam krisis perpecahan yang berpanjangan.

Saat umat Islam pecah dan retak, mereka datang dengan gerakkerja yang terancang untuk menghancurkan umat Islam secara berperingkat.

Ia telah didedah oleh Allah swt bagaimana pelan tindakan dan modus operandi musuh Islam.

وَدَّ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَاحِدَةً

Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. (Surah An Nisa': 102)

(bersambung)

BUKAN sekarang PAS dimaki dihina, begitu juga TGHH (Tuan Guru Haji Abdul Hadi) sebagai nakhoda yang sedang memandu kami, bukan hanya sekarang bahtera perjuangan Islam berhadapan dengan gelombang ganas ini dan bukan hanya sekarang juga musuh Islam kocakkan permukaan laut perjuangan Islam agar bahtera Islam ini terbalik atau tenggelam.

Ini adalah kelansungan perjuangan Islam, telah terpahat di batuan sirah perjuangan para para Ambiya termasuk Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW:

الأنبياء ثم الأمثل فالأمثل فيبتلى الرجل على حسب دينه فإن كان دينه صلبا اشتد بلاؤه وإن كان في دينه رقة ابتلى على حسب دينه فما يبرح البلاء بالعبد حتى يتركه يمشى على الأرض ما عليه خطيئة

“(Orang yang paling keras ujiannya adalah) para nabi, kemudian yang semisalnya dan yang semisalnya, diuji seseorang sesuai dengan kadar agamanya, kalau kuat agamanya maka semakin keras ujiannya, kalau lemah agamanya maka diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka senantiasa seorang hamba diuji oleh Allah sehingga dia dibiarkan berjalan di atas permukaan bumi tanpa memiliki dosa.” (HR. At-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Ketegasan PAS menjunjung syariat Islam, menjadi kebencian musuhnya, ketenangan PAS dalam melayari bahteranya walaupun diserang dan dikocakkan laut perjuangannya dengan segila-gila gelombang sangat menyakiti hati musuhnya, tiada sesuatu pun apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Al-Quran sebagai dalil dan hujah hanya semakin meracaukan jiwanya.

Al-Quran yang menjadi dasar perjuangan PAS adalah sebaik-baik penawar yang dapat menghilangkan dari hati segala resah, bimbang dan risau.

Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَاراً

"Dan Kami turunkan Al-Quran sebagai penawar dan rahmat bagi orang yang beriman dan tidaklah menambah kepada orang yang zalim kecuali kerugian." (Al Isra': ayat 82)

Ketenangan tiada dijual, secara terus atau online, begitu juga dengan rahmat daripada Allah SWT, semuanya daripada Al-Quran, berpegang dengannya pasti akan tenang, menentangnya pasti akan kehilangan punca, akhirnya menjadi si gila yang memukul kepalanya sendiri. – HARAKAHDAILY 26/12/2018

MUNGKIR janji adalah sebahagian dari sifat orang munafik. Itulah yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah SAW sendiri.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضى الله عنه عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Daripada Abi Hurairah Rha. dari Nabi SAW telah bersabda: Tanda munafiq itu ada tiga. Apabila bercakap ia bohong, apabila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanah ia khianat. (Riwayat Imam Bukhari)

Justeru itu, mustahillah terdapat tanda munafiq pada diri Rasulullah SAW. Malah sifat wajib bagi Rasul SAW itu, antaranya ialah siddiq iaitu benar. Tidak mungkin Rasulullah SAW berbohong apatah lagi memungkiri janji.

Sementara “kegagalan” menunaikan umrah yang dikisahkan dalam peristiwa Sulh Al-Hudaibiyah bukanlah hujjah atau bukti Nabi SAW pernah memungkiri janji atau tidak menunaikan janjinya.

Sebaliknya sirah menunjukkan Nabi saw tidak pernah berjanji untuk menunaikan umrah pada tahun itu. Ianya boleh disaksikan melalui dialog Saidina Umar Al Khattab Rha dengan Nabi SAW.

Kata Umar Al Khattab Rha:

ألَمْ تَقُلْ إنك تدخل مكَّةَ آمِنا ؟

Apakah Tuan telah menyatakan bahawa Tuan akan memasuki Makkah (untuk menunaikan umrah) secara aman?

Jawab Nabi SAW:

بلى أفقُلْتُ لكم مِن عامي هذا ؟

Ya, namun apakah aku bagitahu kepada kamu bahawa ia akan berlaku pada tahun ini?

Kata Umar Al Khattab Rha:

لا

Tidak

Lalu Nabi SAW menyebut:

فهو كما قال جبريل عليه السلام فإنَّكم تأتونَه و تَطوفون فيه

Maka ia sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Jibril alaihissalam bahawa kamu akan mendatanginya (Makkah) dan melakukan tawaf padanya (Kaabah). (Sirah An Nabawiyyah oleh Ibnu Kathir)

Menisbahkan Rasulullah SAW pernah memungkiri janji seperti meletakkan tanda-tanda munafik pada diri Rasulullah SAW sedang sifat wajib bagi Rasulullah SAW itu ialah siddiq (benar), maka ia boleh menjejaskan keimanan kepada Rasulullah SAW.

Peristiwa Sulh (perjanjian) Hudaibiyah langsung tidak mempamerkan kelemahan dan sifat negatif pada diri Rasulullah SAW. meskipun Rasulullah saw dilihat “mengalah” pada awalnya sehingga bersetuju apa sahaja syarat oleh pihak Kuffar Quraisy dalam perjanjian tersebut termasuk tidak menunaikan umrah pada tahun itu.

Sebaliknya Perjanjian Hudaibiyah yang berlangsung pada tahun ke-6 Hijrah itu menjadi anak kunci kepada pembukaan Kota Makkah yang membawa kemenangan agung kepada umat Islam pada tahun ke-8 Hijrah.

Rasulullah SAW Qudwah Sepanjang Zaman. – HARAKAHDAILY 17/12/2018

ISLAM dan umatnya yang berpegang teguh dengan syariat pasti tidak akan menyerang rumah ibadat, meskipun rumah ibadat agama lain.

Malah Islam melarang penganutnya menghina sembahan pihak lain.

Firman Allah swt:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al An’am: 108)

nasrudintaIslam bukan agama keganasan. Sebaliknya menentang sikap melampau, lalu menganjurkan keharmonian, kesejahteraan, kedamaian dan keselamatan.

Namun kita sering berdepan dengan propaganda yang mensasarkan Islam dan penganutnya agar terus tersangkar dalam polemik Islamophobia dalam kalangan masyarakat awam.

Kemelut politik semasa juga mendorong setengahnya berprasangka terhadap Islam tanpa memahami betul duduk sesuatu isu dengan tepat dan benar.

Situasi begini juga mudah benar bagi musuh Islam mengambil kesempatan untuk menuding jari kepada Islam.

Ia menjadi jalan pintas pihak yang tidak bertanggungjawab melepaskan dendam mereka kepada ummat Islam.

Provokasi turut dilepaskan oleh golongan yang mahu menangguk di air yang keruh.

Melagakan umat Islam dan orang Melayu dengan bangsa dan agama yang berbeda. Sementara mereka cepat sembunyi diri setelah melontar batu.

Saya tidak boleh mengenepikan kemungkinan bahawa terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan insiden rusuhan di USJ sebagai turning point bagi menghalang himpunan aman rakyat membantah ICERD yang dijangka berlangsung pada 8 Disember 2018 akan datang.

Sedang Himpunan Bantah ICERD akan dilangsungkan secara aman dalam sebuah negara yang mendukung demokrasi. Inilah komitmen penganjur.

Biasanya pendukung rasis yang selalu cuba mengangkat isu perkauman sebagai peluang melampias kepentingan puak dan kemahuan politik mereka.

Lantaran itu, umat Islam hendaklah senantiasa berwaspada. Jangan mudah diperalat dan terpengaruh dengan propaganda dan sentimen yang menimbulkan hura-hara.

Berpolitiklah Untuk Bangunkan Tamadun Bukan Meruntuhkannya.

NASRUDIN HASSAN
18 Rabiul Awwal 1440 / 26 November 2018 – HARAKAHDAILY 27/11/2018

ذَٰلِكَ بِأَنَّ اللَّهَ لَمْ يَكُ مُغَيِّرًا نِعْمَةً أَنْعَمَهَا عَلَىٰ قَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۙ وَأَنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Balasan yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakannya kepada sesuatu kaum sehinggalah mereka terlebih dahulu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(al-Anfal: 53)

Sebelum setiap kita dilahirkan di dunia ini, Allah terlebih dahulu telah menyediakan rezeki untuk kita dengan sempurna. Sebelum kita tahu untuk bercucuk tanam, kita telah disediakan buah-buahan yang hanya perlu untuk dipetik dan dimakan. Sebelum kita tahu menggali telaga dan menyediakan paip-paip di rumah kita, kita telah disediakan dengan air hujan dan sungai-sungai yang mengalir jernih. Begitulah rezeki kita mendahului kelahiran dan kehadiran kita di muka bumi ini.

Ada dua hukum alam atau sunnatullah yang perlu kita yakini. Pertama, rezeki setiap kita sudah pun mencukupi. Allah telah pun menjaminnya. Tinggal lagi Allah mahukan manusia menyusun dan mengagihkannya dengan benar, berdasarkan hak-hak yang dimiliki masing-masing. Sebarang perlanggaran terhadap hak-hak manusia itulah yang menjadi sebab utama wujudnya jurang yang memisahkan orang-orang yang kaya raya dengan orang-orang yang fakir miskin walaupun mereka hanyalah hidup berjiran di kampung atau di negara sendiri.

Ia sebagaimana Allah melebatkan turunnya hujan di kawasan-kawasan tadahan. Ia kaya dengan air yang banyak tetapi ia bukan untuk dimiliki hutan dan bukit-bukau tersebut tetapi untuk dialirkan ke kawasan-kawasan melalui sungai-sungai yang sedia tercipta ke kawasan-kawasan kehidupan yang memerlukannya.

Begitulah kekayaan negara dan individu. Ia bukan milik sepenuhnya buat si pemilik tersebut bahkan ia adalah amanah yang perlu diagihkan sebaiknya kepada mereka yang memerlukan. Negara dan orang kaya mestilah mencipta sungai-sungai yang banyak ke setiap pelosok kehidupan rakyat agar rezeki Allah sampai kepada tuannya.

Adapun hukum alam ataupun sunnah Allah yang kedua adalah bahawa nikmat Allah ke atas manusia tidak akan kekal selama-lamanya. Tidak ada kesenangan kecuali berselang kesusahan, tidak ada kesusahan kecuali berganti kesenangan. Akan tetapi itu tidak berlaku kecuali dengan adanya sebab yang mendahului. Kehidupan ini bermula dengan nikmat, rahmat dan kasih sayang Allah. Apabila nikmat kehidupan telah dikecapi, maka Allah mahukan manusia mensyukurinya.

Dengan syukur, Allah meredai manusia dan membalasnya dengan nikmat bertambah-tambah. Maka dihantarkan peringatan demi peringatan untuk manusia melalui kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan hamba-hamba-Nya yang soleh agar manusia bersyukur kepada-Nya dengan mentaati arahan-Nya dan menjauhilah larangan-Nya. Maka kekal dan bertambahlah rezeki kehidupan dengan penuh keberkatan.

Akan tetapi apabila manusia enggan bersyukur, bahkan melakukan pelanggaran dan maksiat, maka tibalah masa dan ajalnya Allah menukarkan kenikmatan dengan bala dan musibah ke atas manusia. Bukan Allah yang memulakannya tetapi manusia. Bukan Allah yang menzalimi tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri. Begitulah, maksud ayat al-Quran yang saya bacakan tadi. Ia adalah tunjang utama falsafah pembinaan sebuah negara yang taat kepada Tuhannya.

Bajet atau Belanjawan Negara bukanlah sekadar angka dan jumlah bahkan lebih dari itu ia adalah bagaimana kita menguruskannya. Kita boleh mengutip hasil negara dan mencapai jumlah yang kita mahukan. Akan tetapi yang lebih utama adalah bagaimana kutipan itu dilakukan. Kita boleh membelanjakan perbelanjaan negara semahu yang kita mahukan. Akan tetapi yang lebih utama adalah bagaimana yang kita membelanjakannya.

Pokoknya rezeki Allah masuk dan keluarnya adalah terikat dengan hukum Allah atau halal dan haramnya. Justeru amatlah penting untuk kita mengetengahkan soal amanah dan ihsan di dalam belanjawan kita. Ia bukan soal kekukuhan fiskal negara semata-mata. Bahkan ia biarlah sebuah belanjawan ihsan yang menggamit keredaan Allah S.W.T.

(Dipetik daripada ucapan oleh Ahli Parlimen Bachok dalam perbahasan Belanjawan 2019 sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 15 November 2019)  - HARAKAHDAILY 17/11/2018

DENGAN menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Hujan renyai di luar pejabat. Memang lumrah musim hujan di hujung tahun.

Tapi mudah mudahan hujan ini hujan rahmat yang menjadi saksi. Dua perkara penting yang berlaku dalam pejabat ini. Dulu dikenali sebagai pejabat Adun N45 Dun Selat Klang YB Dr Halimah Ali. Sekarang dijenamakan semula sebagai Pusat Komuniti PAS Selat Klang.

Takdir Allah, insan yang mengaku dirinya sebagai sahabat satu pengajian dengan YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS di Universiti Madinah dulu berkunjung di pejabat hari ini dan menyatakan keinginan beliau ikut serta berjuang dalam PAS. Beliau menyatakan sudah lama beliau memendam hasrat tetapi takut dengan komitmen mengajar seluruh negara beliau tidak boleh menyumbang kepada PAS.

Alhamdulillah, baru-baru ini beliau telah berjaya berjumpa dengan sahabat sepengajiannya yakni Tok Guru Presiden PAS di Rusila, maka semakin berkobar keinginan beliau bersama mendukung perjuangan Islam ini.
Maka kunjungan beliau berjumpa saya di pejabat PUSKOM hari ini mencatatkan sejarah penting dalam hidupnya dengan mengisi borang PAS. Alhamdulillah, akhirnya dipermudahkan oleh Allah.

Saya menghadiahkan diari terakhir mantan Adun Selat Klang dan payung kerana hujan kepada insan istimewa, Al-Fadhil Ustaz Isa Salleh warga Vietnam yang telah mendapat warganegara Malaysia. Majlis spontan itu diakhiri dengan doa yang dibaca oleh bakal ahli PAS dari golongan ulama yang mudah-mudahan diberkati oleh Allah.

Terima kasih ya Allah kerana mendatangkan hamba soleh-Mu sebagai penguat perjuangan menegakkan syariat-Mu di negara ini insya-ALLAH.

Bagi sahabat seperjuangan berimanlah dengan apa yang Allah janjikan dalam surah Muhammad: 7.

يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوٓا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.

Dr Halimah Ali
AJK PAS Pusat
Pengarah, Pusat Komuniti PAS Selat Klang
9 Safar 1440H / 18 Oktober 2018 – HARAKAHDAILY 18/10/2018

sa1

sa2

NABI SAW bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ نَبِيٍّ حَوَارِيًّا

“Sesungguhnya setiap nabi mempunyai 'hawariy'.” [HR Bukhari]

Hawariy adalah mereka yang berani menyatakan keimanan mereka walaupun di saat ramai yang mengingkari dan mendustakan agama. Mereka adalah golongan yang mengaku sebagai pembantu agama Allah yang beriman dan berserah diri hanya kepada-Nya.

Firman Allah SWT:

فَلَمَّا أَحَسَّ عِيسَىٰ مِنْهُمُ الْكُفْرَ قَالَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ ۖ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agama-Nya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah). [Surah Ali-Imran: 52]

Perkataan "أنصار الله" yang digunakan oleh hawariy memberi gambaran kepada kita agar menyandarkan perjuangan ini secara langsung kepada Allah. Bererti seruan dakwah harus sentiasa diperjuangkam walau siapa pun yang memimpin kita.

Sesungguhnya tugasan ini tidak hanya terpundak ke atas bahu lelaki, bahkan wanita juga perlu menyumbang di medan dakwah. Orang beriman lelaki dan perempuan perlu saling bekerjasama dan melengkapi dalam berdakwah kerana sasaran dakwah tidak khusus kepada mana-mana jantina.

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah, ayat 71,

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ

"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan."

Oleh itu, mereka yang mengaku sebagai pembantu agama Allah seharusnya menyambung tugas Nabi SAW menyeru manusia kepada Allah dan melawan kekufuran berpandukan manhaj Islam yang sebenarnya tanpa dipengaruhi oleh sebarang doktrin yang dimainkan oleh musuh Islam.

Kita perlu meyakinkan masyarakat bahawa hanya Islam yang mampu memimpin dengan adil dan benar.

Ingatlah bahawa kita bertanggungjawab ke atas setiap tindakan kita. Yang paling penting adalah bagaimana usaha kita dalam menyebarkan Islam dan memastikan kepimpinan yang dipilih adalah mereka yang menjadikan Islam sebagai dasar dalam memimpin. Kemudian, berserahlah diri kepada Allah dalam menentukan hasil terhadap usaha kita.

Bersempena dengan Pilihan Raya Kecil di Port Dickson kali ini, buktikanlah janji kita kepada Allah dengan memastikan setiap tindak-tanduk kita menyumbang kepada penyebaran agama Allah. Yakinlah, hanya Islam yang mampu memimpin kehidupan manusia dengan adil dan benar.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia - HARAKAHDAILY 12/10/2018