Hijrah selamatkan kemerdekaan

Pimpinan
Typography

ALHAMDULILLAH, negara kita telah merdeka daripada belenggu penjajah selama 62 tahun.

Persekutuan yang ditubuhkan hasil gabungan negeri-negeri membentuk sebuah Perlembagaan yang menjadi asas bagi negara dan kerajaan dengan Islam, Raja-raja dan Melayu menjadi teras utamanya sehingga ke hari ini.

Justeru, sejak dari itu, masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama saling hidup harmoni dan bersatu-padu memakmurkan dan memajukan negara ini dengan peranan dan sumbangan masing-masing. Nilai hormat-menghormati dan bertoleransi menjadi rukun yang dipatuhi oleh semua.

Tetapi DAP, dengan agenda Malaysian Malaysianya cuba mengkaburkan sifat dan identiti kemajmukan atau heterogen masyarakat ini kerana mahu menghilangkan “ketuanan Melayu” daripada orang-orang Melayu yang beragamakan Islam serta merupakan penduduk asal dan majoriti di negara ini.

Di era Malaysia Baharu ini, dengan pengaruh dan kuasa yang dimiliki, mereka lebih berani menggugat kedudukan dan keistimewaan orang-orang Melayu ini menerusi pelbagai saluran politik, ekonomi dan sosial serta termasuk juga melalui badan kehakiman.

Sikap apologetik sebahagian orang Melayu pula dengan tuduhan rasis yang dilemparkan sedangkan sentimen perkauman itu dicetuskan oleh DAP telah menyebabkan satu demi satu kepentingan Melayu digadaikan.

Keadaan kewangan dan ekonomi negara juga menunjukkan prestasi kurang baik. Hutang Kerajaan Persekutuan pada suku kedua 2018 sehingga suku kedua 2019 terus menunjukkan peningkatan; dari RM725.2 bilion kepada RM799.1 bilion.

Kadar pengangguran naik dari 516,000 orang kepada 521,000 orang walaupun kadar ini menurun sedikit dari Ogos hingga Oktober 2018.

IHP pula naik dari 119.6 mata kepada 121.5 mata menggambarkan keadaan sara hidup yang semakin tinggi perlu ditanggung oleh pengguna.

Sektor pertanian dan perkhidmatan juga mencatatkan prestasi yang menurun berbanding suku pertama tahun ini.

Graf pertumbuhan perbelanjaan sektor swasta (real private consumption growth) menunjukkan trend menurun sejak suku ketiga 2018 kepada serendah 7.6 peratus pada suku pertama 2019 walaupun baru-baru ini menaik sedikit kepada 7.8 peratus.

Pertumbuhan gaji dalam sektor swasta (real private sector wage growth) juga dilihat menurun sejak akhir tahun 2018 kepada 3.6 peratus pada suku tahun kedua 2019.

Indeks keyakinan pengguna (consumer confidence index) merundum daripada 132.90 mata pada suku kedua 2018 kepada 83 mata pada suku kedua 2019.

Tahap keyakinan perniagaan (business confidence index) juga menunjukkan trend yang sama iaitu menurun daripada 116.30 mata pada suku kedua 2018 kepada 94.3 mata pada suku kedua 2019.

Sudah pasti keadaan-keadaan ini semua mengkhuatirkan kita semua. Jika dibiarkan, tidak mustahil situasinya akan bertambah buruk; semua pihak saling menyalahkan dengan menjadikan perbezaan punca permusuhan.

Peristiwa hijrah yang mencetuskan bermulanya era pemerintahan berteraskan petunjuk Ilahi dan Nabawi serta sebagai ‘launching pad’ penyebaran Islam ke serata dunia mesti dijadikan iktibar bagi menyelamatkan nikmat kemerdekaan yang telah diraih selama ini.

Kata kunci pengajaran ini ialah pemimpin yang adil dan dasar yang berkebajikan. Keadilan ini hanya lahir daripada keimanan manakala berkebajikan pula adalah buah daripada ta’awun semua pihak yang meletakkan Islam sebagai matlamat.

Selamat Hari Merdeka dan Salam Maal Hijrah.

"Islam Memimpin Perpaduan"

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Selasa, 3 September 2019 | 3 Muharram 1441 – HARAKAHDAILY 3/9/2019