Kamera badan, pegawai tidak dipercayai

Bangunan SPRM, Putrajaya.

Kolumnis
Typography

DEMI menegakkan kerajaan dikatakan hilang RM3 bilion setahun gara-gara rasuah dan penyelewengan, maka kerajaan akan memperkenalkan kamera badan bagi permulaan kepada kakitangan polis, kastam dan imigresen.

Ia tidak boleh dilekangkan daripada badan sepanjang bertugas. Mungkin kena pakai juga di luar bertugas kerana onar boleh berlaku juga semasa tidak bertugas.

Beberapa negara maju atas angin sudah memakai alat ini, dikatakan amat positif dapat membantu membanteras penyelewengan.

Undang-undang dan disiplin nampaknya tidak terpakai lagi untuk menjinakkan hati manusia, maka terpaksa gunakan kecanggihan teknologi untuk menjujurkan orang.

Sejak sistem jahiliah demokrasi diperkenalkan penjajah, kita bebas daripada pentadbiran primitif totok feudal, masyarakat kita ditadbir oleh sistem jahiliah barat dengan mengekalkan feudal yang ditransformasi, memberi kepercayaan penuh kepada pegawai-pegawai kerajaan.

Sistem yang berjalan di Eropah dua kurun lalu diteruskan bila kita mencapai kemerdekaan separuh masak.

Kepercayaan penuh diberi kepada jentera kerajaan bagi menyempurnakan urusan pentadbiran dan pembangunan negara.

Kakitangan kerajaan bertindak sebagai penasihat dan pembantu kerajaan melaksanakan segala keperluan rakyat.

Waris dan peninggalan jahiliah barat pun amat selesa dengan sistem yang ditinggalkan hingga tidak dapat melihat keindahan sistem negara dan pentadbiran Islam seperti yang disirahkan oleh Khalifah Ar-Rasyidin dan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Selepas enam kurun merdeka, kerajaan semasa di bawah PH sudah tidak lagi percaya penuh kepada para pegawai yang seramai satu setengah juta itu.

Rasa tidak percaya itu disebut setiap hari oleh Perdana Menteri, khususnya apabila mengenang keburukan kerajaan BN dulu, terutama semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Kepincangan itu bukan baru bahkan telah bermula sebaik saja penjajah bedebah itu pergi secara beransur-ansur.

Pertama bila ia menolak erti kemerdekaan yang digaris Islam. Tidaklah kemerdekaan itu bererti apa-apa apabila tidak terpakai aturan dan perundangan Islam atas orang seorang dan negara.

Dunia ini sudah jahiliah dan kemerdekaan manusia terbelenggu semasa kemunculan Islam dan kedatangan Rasulullah SAW, Islam telah memerdekakannya.

Bangsa Arab yang bengis dulu jadi beradab dan tamadun dengan kedatangan Islam.

Apabila Islam dijajah, Islam tidak lagi memimpin dan mentadbir, bahkan Islam dipimpin dan ditadbir, maka datang semula jahiliah.

Jahiliah tidak menjadikan semua bertukar kafir, tetapi Islam yang dibelenggu jahiliah menjadikan iman masing-masing lemah.

Dengan iman lemah itu merdeka 60 tahun lalu tidak mengawal bibit rasuah dan penyelewengan, hingga 60 tahun kemudian Malaysia menjadi lubuk rasuah yang mencemaskan.

Rasuah tidak datang tiba-tiba. Ia bermula selepas kemerdekaan separuh masaknya. Rasuah itu bermula zaman Tunku. Ia bertambah zaman Tun Razak. Bertambah lagi selepasnya. Mari zaman Mahathir tidak ada apa yang dibuatnya. Bila diganti oleh Abdullah Badawi, rasuah tidak dapat disekat lagi. Mari Najib, nasi sudah menjadi bubur.

Ia adalah gara-gara baka Islam meminggirkan peraturan islam. Sebaliknya baka Islam itu menjunjung sistem asing peninggalan jahiliah barat.

Islam mengasuh umatnya dengan akhlak Islam agar takutkan Allah. Jika polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak kesan pegawai rasuah tetapi Allah tahu dia rasuah. Justeru takutkan Allah umat Islam takut rasuah sebaliknya jujur kepada tugas.

Pernah Saidina Umar Al-Khatab mendengar dialog seorang ibu dan anaknya. Ibu menyaran anaknya mencampur susu dengan air untuk diminum orang ketiga. Anak itu enggan kerana ia berlawanan dengan perintah khalifah.

Ibunya kata, khalifah tidak tahu. Jawab anak itu, dia patuh pada khalifah baik di depan, atau di belakang khalifah.

Erti khalifah tidak tahu, Allah tahu. Khalifah Umar pun mahu anak itu jadi menantunya. Lalu dipinang anak itu untuk puteranya, Asim. Asim beroleh putera daripada anak tadi dinamai Abdul Aziz. Anak Abdul Aziz inilah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Apabila umat Islam dilengkapkan dengan iman, mereka tidak perlu kamera badan.

Demikianlah sempurnanya akhlak Islam. Islam percaya kepada pegawai dengan melengkapkan dada mereka dengan iman, bukan menampal kamera badan di tubuh mereka.

Bila anak dilengkap dengan akhlak dan iman para pegawai dipercayai tanpa kamera badan. Yang dilengkap kamera badan kerana semuanya tidak dipercayai lagi.

Wawasan Muafakat Nasional ialah mengembalikan kepercayaan kerajaan kepada pegawai dengan membekalkan mereka iman dan akhlak, bukan mempercayainya dengan kamera badan. - HARAKAHDAILY 29/9/2019