3,000 dijangka hadir Hari Assabiqun di Putik 5 Okt

Kolumnis
Typography

DIJANGKA lebih 3,000 peserta berhimpun di Kompleks Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu pada 5 Oktober ini sempena Hari Assabiqun peringkat nasional.

Sambutan tersebut dijangka dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, yang dijangka akan memberi pesan semangat kepada kumpulan jasawan PAS yang pernah berjasa tetapi kini tidak cergas dalam parti justeru lanjut usia dan uzur.

subkyHari Assabiqun julung kali akan diadakan tahun ini di setiap negeri dan Assabiqun Kelantan menawar diri untuk jadi tuan rumah pada peringkat nasional.

Ia diadakan beberapa hari sebelum negeri Kelantan menyambut tahun ke-30 negeri itu ditadbir PAS sejak 1990. Kerajaan negeri sedang rancak menyusun sambutan festival beberapa hari Kelantan di bawah pemerintahan Membangun Bersama Islam itu.

Wan Nik Yusof, Setiausaha Sidang Assabiqun Kelantan memberitahu, SIdang Assabiqun Kelantan berbesar hati dipilih jadi negeri pelancaran Hari Assabiqun peringkat nasional.

Sambutan di Kelantan ini akan jadi model bagi lain-lain negeri mengadakan Hari Assabiqun negeri masing-masing.

Wan Nik memberitahu setiap negeri diminta menghantar 300 peserta, khususnya warga jasawan PAS yang terdiri daripada bekas aktivis parti.

Tidak semestinya kesemua 300 orang warga Assabiqun. Setiap ahli PAS termasuk Dewan Pemuda, Muslimat, Ulamak dan sekalian yang di bawah 55 tahun boleh jadi peserta atas nama Assabiqun bagi meraikan ahli-ahli Assabiqun yang banyak jasanya kepada jamaah dan perjuangan Islam.

Setiap perhubungan negeri, khususnya pesuruhjaya, wajar membantu Assabiqun negeri masing-masing memenuhi kuota 300 peserta setiap negeri.

Yang tidak jadi peserta digalakkan hadir tanpa mendaftar untuk bersama-sama menghormati para jasawan yang banyak sumbangan pada perjuangan itu.

Tetapi 300 yang ditentukan oleh Assabiqun negeri dan perhubungan negeri dikehendaki mendaftar atau mengambil cenderahati yang disediakan oleh Hari Assabiqun, sehari sebelum Hari Assabiqun sama seperti pendaftaran muktamar. Peserta juga dikenakan bayaran pendaftaran.

Orang ramai yang bukan peserta tidak dikenakan bayaran. Tuan rumah dijangka akan menyediakan jamuan kenduri rakyat, makan gulai kawah. Beberapa PAS kawasan Kelantan sudah sedia menyumbang lembu dan kerbau untuk kenduri rakyat itu.

Orang bukan PAS, khususnya penyokong Umno dalam keluarga penyatuan ummah boleh hadir dalam acara yang diadakan secara santai.

Ia tidak dipenuhkan dengan ucapan sepanjang masa. Ucapan hanya ucaptama Mursyidul Am dan kata-kata aluan oleh panitia saja.

Persiapan sedang dibuat untuk membawa Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman yang sekian lama uzur untuk mengisahkan cerita lama PAS sepanjang yang diingatnya.

Ia adalah bagi membolehkan orang ramai mendengar apa yang mereka tidak tahu tentang PAS daripada orang penting yang merancang pengambilan semula Kelantan daripada BN 30 tahun lalu. Orang yang seangkatan dengannya sudah tidak berapa ramai lagi.

Banyak masa santai bagi yang hadir. Ini adalah untuk memberi peluang kepada para hadirin untuk berbual antara satu sama lain supaya masing-masing dapat berkenalan dan menceritakan pengalaman masing-masing.

Kehadiran 3,000 dari seluruh negara itu memberi peluang kepada warga lama itu berkenalan, mungkin dengan orang yang tidak pernah mereka jumpa sepanjang hayat.

Hari Assabiqun diadakan seperti itu supaya sekaliannya bebas bergaul dan berkenalan dengan orang ramai.

Satu masa untuk semua mendengar penjelasan direct debit iaitu peluang kepada hadirin untuk menyambung berterusan kepada Assabiqun. Sekaliannya diberi peluang menyumbang setiap bulan kepada Assabiqun sebagai amal jariah dengan mengisi janji melalui bank.

Biasanya majlis-majlis PAS mengadakan derma kilat atau derma jihad. Masing-masing tidak teragak memberi sebanyak mana yang mereka ikhlas. Peluang pahala itu bila ada majlis saja. Bila tidak ceramah mereka tidak ada peluang menderma.

Tetapi melalui direct debit ini sesiapa boleh mengizin bank akaunnya menyumbang tetap sekian banyak yang ikhlas atau serendah RM10 sebulan melalui kepada Assabiqun.

Tidak disedari dia menyumbang RM120 setahun. Penyumbang tidak sedar bila dia menyumbang begitu banyak menyumbang tetapi pahalanya di akhirat nanti dia mendapati begitu banyak.

Jangan lupa masing-masing datang dan mengisi borang khas akuan menyumbang kepada Assabiqun, selain menyertai aktiviti santai lain yang disediakan.

Panitia juga sedang melihat syarat bagaimana peniaga boleh mengadakan gerai di kawasan majlis itu supaya masing-masing mudah minum dan memberi cenderahati.

Assabiqun adalah wadah jasawan PAS yang berusia 55 tahun ke atas. Mereka dulunya adalah aktivis parti. Tapi sekarang kurang tenaga oleh atas beberapa sebab, maka mereka tidak dapat bergiat.

Bagi menghargai jasa mereka, dibentuk Sidang Assabiqun, bagaimana jasawan tidak dilupakan dan supaya mereka sentiasa dikenang.

Sebelah malamnya panitia bercadang mengadakan ceramah penyatuan ummah antara Assabiqun dan Kelab Veteran Umno atau Kelab Mubarak, iaitu wadah bekas YB Umno. Mungkin ceramah ini himpunan pertama di Kelantan selepas tandatangan Piagam taawun PAS-Umno pada 14 September ini di Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 11/9/2019