SEBAGAI ahli PAS semua mesti patuh atas pencerahan Timbalan Presidennya, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, diam saja atas video yang babitkan menteri Azmin Ali yang difitnahkan berkelakuan sumbang dan tidak senonoh.

Setiap penyokong PAS mesti diam dan tengok saja.

Biarkan ia ditangani oleh Perdana Menteri Mahathir yang kaya pengalaman atas isu seperti itu. Allah takdirkan dia dua kali jadi Perdana Menteri. Setiap kali jadi PM, ditakdirkan dia berdepan dengan kes tidak senonoh yang membabitkan orang kuatnya. Pertama dengan timbalannya, Anwar Ibrahim. Kini dengan menteri kanannya pula.

Dia ada pengalaman menangani yang pertama dulu dan biarkan dia menanganinya video Azmin ini baik seperti dulu atau berbeza.

Inilah ujian dan cabarannya dan kemudian kita masing-masing boleh hakimi layanannya atas dua kejadian itu.

Setiap sebaran dan tular seperti ini, reaksi awal semua ialah jangan percaya hinggalah ada keterangan dan kesaksian mengesah dan mensabitkannya.

Fitnah berat pernah dihadapi Nabi Musa. Ada wanita upahan mengaku Nabi Musa tidak senonoh terhadapnya. Setelah wanita itu disoal siasat dia mengaku diupah Qarun. Gara-garanyanya semua asetnya bersama Qarun sendiri ditelan bumi hingga menjadi Tasik Fayyun seluas mata memandang 100 kilometer dari Kaherah.

Lazimnya semua tidak mengaku akan tohmah dan dakwaan ke atasnya apa lagilah fitnah. Kebanyakannya mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Seperti Anwar tidak pernah mengaku, maka Azmin juga tidak mengaku.

Dan kalau Azmin mengaku sekalipun, jangan mudah percaya. Jangan terima bulat-bulat. Mungkin ada yang tidak kena menyebabkan dia mengaku.

Seorang wanita mengadu kepada Rasulullah SAW dia berzina dan minta dihukum. Baginda tidak menerima pengakuannya, menyuruh dia balik dan fikir semula pengakuannya. Kemudian dia datang lagi mengukuhkan aduannya. Baginda menolak juga. Setelah wanita itu datang lagi dan mengaku hamil, baginda menasihatkannya supaya melahirkan dulu anak.

Setelah anak dilahirkan dia merayu lagi supaya dihukum, Rasulullah SAW minta tangguh hingga bercerai susuan. Bila anak berhenti menyusu, dia menyerah diri supaya dihukum, baginda memaklumkan Allah telah mengampunkan dosanya.

Nabi sendiri seboleh-bolehnya tidak mahu cepat mempercayai segala yang ditular. Siasat dulu segala yang didengar dan yang diadu. Keadilan dalam Islam bukan sekadar tidak mahu cepat menghukum, tetapi mencari jalan bagaimana hendak membebaskan seorang yang didakwa.

Kejadian yang sejati ada pada undang-undang yang adil dan mahkamah yang adil. Masalah kita ialah ada persepsi mahkamah tidak cukup wibawa menjalankan keadilan. Undang-undang adil tetapi keadilan banyak ditentukan oleh orang bukan undang-undang.

Dalam kes Anwar orang ragu untuk berserah bulat kepada undang-undang dan mahkamah. Persepsi umum ialah keadilan itu dipengaruhi oleh Sang Perdana Menteri. Kerana keyakinan kepada mahkamah dan undang-undang rendah, maka semua berserah kepada Perdana Menteri menangani fitnah yang melanda Azmin.

Mahathir banyak pengalaman menangani kes Anwar dari dulu dan sekerang, maka menyerahkan isu Azmin kepada Mahathir adalah lebih menyenangkan fikiran. Berfikir amat memberat diri, yang senang ialah jadi sabut atau jadi batu. Yang tenggelam itu batu, yang timbul itu sabut.

Semuanya menunggu kata Mahathir, ikut cara mengadili Anwar dulu atau cara baru?

Mengapa jadi begitu? Kemerdekaan kita separuh masak – rakyat sekerat bebas sekerat terkongkong. Bila Islam tidak dipakai merdekanya lompong, fitnah berkussa dari kebenaran. Keadilan ikut batu dan sabut. – HARAKAHDAILY 18/6/2019

Masjid Rusila.

PAS dan Umno yang dipersepsi umum sebagai dua parti politik pemecah umat Melayu/Islam selama lebih separuh abad adalah pengguna masjid dan surau teramai dan terpenting di Malaysia. Tanpa kedua-duanya nescaya kosong dan terkuncilah masjid.

Adapun parti-parti yang ada Islam sebagai ahli adalah pengguna minoriti masjid. Akan orang atas pagar yang tidak berpolitik seperti Tabligh tegar dan lain-lain juga minoriti.

Sudah setengah kurun orang politik PAS dan Umno adalah maklum masjid adalah kawasan larangan politik. Larangan itu bukan untuk politik berparti. Ada orang tidak ahli mana parti politik seperti Mufti Perlis misalnya, tiba-tiba dia berceramah politik di masjid pun dilarang sedang mereka bukan ahli politik parti.

Masjid yang terkecuali yang sebuah saja iaitu Masjid Rusila. Dengan sebuah dari ratusan ribu masjid di negara kita, tidaklah di mana-mana selain daripadanya PAS mencabul larangan berpolitik itu. Umno yang kaya dengan Rumah Umno di setiap desa lebih selesa berpolitik di premisnya kerana tidak perlu tanggal kasut dan tutup aurat.

Sekalipun PAS dan Umno tidak guna masjid, rekod pepecahan umat yang dipersepsikan itu adalah paling ketara setengah kurun lalu. Masjid sebagai kawasan larangan politik tidak banyak menyumbang perpaduan yang dicari itu.

Apapun adalah silap PAS dan Umno yang sudah berdua sekarang sama-sama bergiat ibadat bulan Ramadan dengan memasang sepanduk politik dalam masjid. Sekalipun sekadar sama-sama bertadarus, tetapi memasang bendera parti boleh menyakit mata orang-orang yang menyucikan diri dari apa jua yang dikatakan politik.

Perbalahan PAS dan Umno dalam rangka taawun penyatuan sudah licin. Jangan anggap penyatuan ummah itu sudah tiada masalah lagi beribadat sambil politik di masjid termasuk memakmurkan masjid dan bulan Ramadan. Fobia politik masih ada di hati Melayu. Orang Melayu kena mandi limau tujuh masjid bagi membasuh fobia politik.

Mungkin politik PAS dan Umno yang betul bendul itu menyangka penyatuan ummah yang holistik dan penuh barakah wajar buat di masjid, justeru masjid itu adalah Rumah Allah dan hadapan Allah mereka menyatukan hati moga-moga jadi taqwa. Dengan niat iktikaf beroleh pahala. Beribadat di markas tarbiah dan Rumah Umno tidak dapat pahala iktikaf. Mana ada lokasi paling suci bagi mempamerkan perdamaian selain dari masjid?

Raja pun tentu berlapang dada jika rakyat sudah berdua, sama ngaji dan sama tadarus dalam masjid. Cuma jangan pasang lambang parti kerana payah hendak jawab takwil pacal-pacal fobia politik terutama yang tidak mengenali adanya siyasah syariyah.

Politik itu ada pahala dan ada dosa. Politik penciptaan manusia sebagai khalifah adalah yang berpahala. Iblislah yang memesongkan politik berdosa.

Mana lebih baik rakyat berdamai dan bersatu di depan raja di masjid dari mereka bersatu di belakang raja di luar masjid? Paling unggul raja rakyat berpisah tiada, ialah raja rakyat berpisah tiada di dalam masjid.

Jika terlepas laku lambang parti dipasang di masjid, bisikkan kepada orang politik bersatulah dalam masjid, tinggalkan lambang di luar pagar. Belum masa ‘Roket’ dan ‘Bulan’ boleh dibawa ke masjid.

Bukan zamannya yang tersilap bawa lambang dibangsakan derhaka. Derhaka itu di zaman Hang Jebat. Yang membangkit derhaka boleh jauhkan istana dari rakyat kerana rata-rata peka berpolitik di luar masjid. Larangan sudah ada, tidak perlu dibaharui, memadai mengingatkan adab berpolitik semasa di luar masjid. – HARAKAHDAILY 17/6/2019

TULISAN hari terakhir bulan Ramadan ini ialah perjumpaan wakil kumpulan Indian Muslim dengan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee tentang peluang dan layanan terhadap komuniti itu dalam dunia pendidikan khususnya kuota matrikulasi.

Siapa dia masyarakat Indian Muslim yang ada hari ini dari mana akar mulanya? Adakah mereka yang datang sejak kedatangan Inggeris dulu atau tiba waktu tertentu sebelum dan selepas merdeka?

Masa saya kanak-kanak sekitar 70 tahun dahulu ada seorang bernama Mat Keling. Saya kenal anak-anaknya dan cucu-cucunya. Saya tanya cucunya baru-baru ini. Adakah Mat Keling dulu asalnya Islam atau Islam sesudah di sini?

Jawabnya di sini dia memeluk Islam. Kahwin dengan orang Melayu. Mat Keling itu kami tahu dia keturunan India kerana kulitnya hitam pekat dan kerana keturunannya mewarisi kulitnya. Tetapi kehidupannya dan pergaulan dia adalah orang Melayu. Anak-anaknya walaupun berwajah India tidak jadi bukan Melayu bahkan dapat layanan hak istimewa Melayu.

Mereka bersekolah Melayu dan sekolah kebangsaan, bercakap Melayu dan berkebudayaan Melayu, apa lagi beragama dengan agama orang Melayu jadi Melayu semuanya.

Baru-baru ini kita membaca berita kematian Almarhum SM Idris pengasas dan pemimpin CAP – Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Dia lahir di India. Dia ada adik dan ramai anak saudara di sini wajah masing-masing DKK. Dia saja yang diketahui Indian Muslim, tetapi saudara maranya jadi Melayu keturunan India.

Populasi mereka penuh di Pulau Pinang tetapi semuanya macam orang Melayu. Ramai yang masuk Umno dan yang berkeluarga Mamak dan bercakap bahasa Mamak, 40 tahun dulu jadi Adun Umno. Umno itu dikatakan pekat semangat Melayunya, dan parti oang Melayu terima mereka jadi Umno.

Semua tahu datuk Dr. Mahathir orang India. Ada yang kata dia keluarga Kutti. Tetapi tiada siapa kata dia Indian Muslim. Keluarganya di Kedah semua jadi Melayu dan dapat hak istimewa Melayu. Mereka sudah jadi sebahgian dari bangsa Mlayu sama seperti Banjar, Jawa, Bugis, Batak dan lain-lain.

Kehidupan dan pergaulan hari-harinya adalah bersama Melayu, memenuhi surau dan masjid. Pada hari raya haji mereka sama-sama melapah daging korban. Bila mereka kaya dikira Melayu kaya dan yang miskin seperti Melayu miskin yang ramai itu.

Seperti Banjar dan Jawa ada kebanggaan Banjar dan Jawanya, mereka pun ada kebanggaan Indianya walau ia tidak beri apa-apa kelebihan.

Mereka tidak peka sangat dengan kelab sendiri. Bila Jawa hendak berpolitik mereka jadi PAS dan Umno. Begitu juga Banjar. Maka ramai keturunan Mamak itu masuk Umno. Yang tidak masuk Umno hanya Almarhum Tan Sri SOK Ubaidullah. Dia jadi pemimpin MIC. Kerana dia Islam banyak yang Melayu dapat. Anaknya nampak macam orang Melayu.

Kalau keturunan India dulu, kerana Islam mereka diterima jadi Melayu, apa sebab ada antara mereka sekarang hendak kekal sebagai India Muslim ada parti politik sendiri dan macam-macam kelab sendiri.

Kita tidak berhajat dalam keadaan sekarang mahu menghapuskan darah keturunan semua kaum yang ada. Biarlah Cina dengan Cinanya dan India dengan Indianya, tetapi India Muslim sejak beberapa generasi kerana Islamnya diterima dalam masyarakat Islam, mengapa mahu kelab sendiri.

Cina itu dan India non-Muslim ada halangan agama, payah mereka hendak jadi Melayu. Tapi India Muslim tidak sulit sangat untuk jadi Melayu. Bila bersama Melayu tidak banyak masalah peluang 90 peratus kuota matrikulasi. Beribu Bangla cari peluang jadi Melayu. - HARAKAHDAILY 12/6/2019

TAHNIAH yang tidak terhingga kepada sekalian warga Assabiqun justeru dilimpahi Allah SWT usia berada dalam bulan Ramadan baik sehari atau sepenuhnya dan demikian beroleh rahmat melaksanakan ibadat yang Dia kehendaki seadanya.

Bukan sekalian jasawan PAS yang layak menjadi warga Assabiqun yang mencapai usia 60 tahun dan menjelang 60 tahun sempat berada dalam bulan barakah Ramadan tahun ini, tetapi anda dikira bahagia berada sekali lagi dalam bulan itu dan berpeluang memenuhi tuntutannya.

Bagi yang sempat sehari dua saja sudah boleh bersyukur kerana itu rahmat dari-Nya dan dalam tempoh terhad itu dapat memenuhi tuntuan Ramadan itu, maka moga-moga ia diterima Allah, tentulah ganjarannya seperi puasa sebulan penuh, lengkap dengan rahmat penuh buat sepuluh hari pertama, rahmat pengampunan sepuluh hari kedua serta bebas dari api neraka bagi sepuluh hari terakhirnya, moga-moga termasuk rahmat Lailatul Qadar.

Bagi yang dapat menjalani sebulan penuh dan dengan izin-Nya dapa menyambut Aidilfitri moga-moga beroleh semua yang dijanjikan dalam bulan mulia itu. Moga-moga juga ia bukan Ramadan yang terakhir untuk semua.

Bagi yang tidak upaya menjalani ibadat yang dikehendaki justeru uzurnya, berada dalam bulan itu lagi sudah boleh bersyukur, tentu ada anugerah tertentu untuk semua atas barakah bulan itu.

Ramadan ini dan Aidilfitri ini adalah kali kedua saya dan sidang pimpinan Assabiqun berkhidmat dan menjadi khadam kepada para jasawan sekalian. Mungkin tidak banyak yang sudah diberi justeru kekurangan dan keupayaan yang terhad sebagai keadaan kami juga warga Assabiqun seperti yang lain.

Kami bukan orang terbaik untuk memimpin Assabiqun, tetapi kesempatan diberi amanah, ia satu peluang berharga menyambung khidmat kepada jamaah dan berbuat sesuatu kepda para jasawan yang amat berjasa kepada parti. Tentunya warga Assabiqun tidak menuntut sesuatu yang besar, tetapi mahukan perhatian bahawa masing-masing disantuni dan sentiasa didekati supaya tidak terasa tertinggal dalam perkembangan jamaah.

Assabiqun mempunyai rancangan yang banyak dan cita-cita setinggi awan. Yang layak bersama Assabiqun mencecah satu pertiga dari anggota parti yang sejuta bagi yang berusia 60. Jika dicampur dengan yang 55 tahun ke atas yang kepayaan mula terhad, bilangannya bertambah ramai. Ada juga jasawan yan di bawah 50 tahun justeru uzur dan kemalangan tidak dapat meneruskan khidmat bahkan memerlukan perhatian. Mereka juga tidak patut jadi orang yang terbiar.

Mereka dikatakan ramai tetapi dicari tidak jumpa. Rupanya nama mereka tersimpan dalam senarai ahli di kawsan-kawasan. Moga-moga setiap PAS kawasan dapat membekalkan senarai orang lama itu ke pejabat Assabiqun supaya mereka dapat dijejaki.

Assabiqun tidak dapat dekati mereka kerana idak dijumpai. Assabiqun tidak wajar tunggu mereka mencari Assabiqun. Assabiqun mesti mencari mereka.

Sekarang kita sudah tahu di mana kumpulan itu. Mereka ada di kawasan-kawasan. Semua kawasan serahkan senarai mereka dengan tidak bertangguh lagi.

Jika Assabiqun dapat diperkasa, insya-Allah ia boleh menyekat aliran para jasawan meninggalkan parti dan boleh dijadikan mekanisma mengembalikan yang tercicir itu ke pangkuan jamaah. Membawa kembali itu adalah kerja yang susah tetapi kita jangan berputus asa. Putus asa bukan watak orang Islam.

Sidang Assabiqun adalah tempat terbaik mengumpulkan sekalian yang berjasa.

Moga-moga barakat Ramadan yang mulia itu dan dengan sambutan Syawal, Assabiqun disambut bahagia oleh semua. – HARAKAHDAILY 7/6/2019

SEJAK lepas subuh Khamis 18 Ramadan hingga selesai talkin saya menonton TV siaran langsung pemakaman Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, bekas Yang di-Pertuan Agong dan bekas Sultan Pahang yang mangkat di IJN hari Rabu 22 Mei 2019.

Mangkatnya di bulan baik, Ramadan dan di hari baik 17 Ramadan hari Nuzul Quran, mula turunnya al-Quran dan Hari Badar al-Kubra, peperangan pertama antara Islam dan musyrikin yang berakhir dengan kemenangan Islam.

Berita pertama saya terima pagi 17 Ramadan itu ialah kemangkatan Sultan Haji Ahmad Shah. Kepada penyampai berita itu saya tanya, mangkat di mana?

Di IJN. Spontan reaksi saya, Almarhum mangkat di IJN.

Geringnya lama, lama sebelum PRU14. Tahap keuzurannya tidak diketahui umum. Tiada makluman rasmi. Orang ramai tertanya tentang lama tidak muncul di khalayak umum. Biasanya baginda muncul dari semasa ke semasa. Gantinya muncul Tengku Mahkota, sebagai pemangku sultan.

Tengku Mahkota telah selalu jadi pemangku Sultan sejak tempoh penggal Yang di-Pertuan Agong lagi. Sekalipun Tengku Abdullah memangku, Sultan muncul juga dalam publik hinggalah rakyat terasa tidak nampak baginda. Semuanya memahami baginda uzur tetapi tidak tahu tahap mana.

Sah uzurnya apabila baginda diumumkan turun takhta, pada ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Kelantan berundur. Gilirannya Sultan Pahang. Dipercayai baginda tiada keupayaan menjadi Agong sekali lagi, bagi membolehkan giliran itu dipenuhi Pahang, baginda turun takhta, supaya Sultan baru masuk dalam senarai giliran. Ia satu perkembangan menarik dalam sejarah takhta Yang di-Pertuan Agong.

Saya memang suka menonton setiap siaran langsung permakaman setiap raja. Ia dapat mengingat secara mendalam akan kematian. Mengingat kematian itu sunat. Sekadar ingat mati kadang-kadang tidak memberi apa kesan, tetapi menyaksikan sepanjang hari acara perkebumian, nescaya ingat mendalam akan kematian sendiri, terutama hikmat talqinnya.

Jika boleh saya mahu mendengar talqin itu setiap hari.

Setiap siaran langsung banyak mengimbau sejarah kehidupan si mati, macam-macam pengajaran tentang seorang raja, pemerintahan, hubungan dengan rakyat, tanggungjawab dunia akhirat. Banyak pengetahuan baru diperolehi.

Tetapi saya tidak pernah dengar juru siaran menyebut tentang raja sebagai ulil amri. Semuanya perlu dapat pencerahan tanggungjawab ulil amri yang semua patut ketahui. Ia wajar ditaati dan batas-batas ketaatan itu. Ketaatan kepada ulil amri dikaitkan dengan ketaatan mutlak kepada Allah dan Rasul. Yang mutlak terhadap Allah dan Rasul. Ketiga ulil amri, tapi tidak mutlak.

Ulil amri wajar faham batas ketaatan itu dan orang ramai juga patut tahu ketaatan yang macam mana patut diberi, supaya tidak jadi setia betul bendul dan pembantah yang tidak tentu pasal. Setialah kerana Allah dan bantahlah kerana Allah.

Raja dan rakyat berpisah tiada, tiada memadai. Konsep ulil amri dan umarak itu perlu jadi pengetahuan untuk semua.

Saya dua kali bertemu dengan Almarhum. Sekali sebelum naik takhta. Baginda menyebut perlu orang KL bantu Pekan membangun kerana Pahang kurang bijak pandai. Saya sembah, Pahang rami bijak pandai, ada jadi Perdana Menteri dan ada yang terbiar seperti Pak Sako. Reaksi awalnya tentang Pak Sako kurang menggalaknya. Tetapi saya kata, Pahang rakyat cerdik sejak sebelum merdeka. Saya tidak berhajat meyakinkan tentang Pak Sako.

Tetapi setelah naik takhta, Pak Sako diaugerah Datuk dan Pak Sako menerimanya. – HARAKAHDAILY 4/6/2019

Pelajar KITTIS.

SEBAGAIMANA restoran Cina dan India menghidangkan makanan halal mesti ada piawaan halal, masjid dan sekolah tahfiz mesti penuh syarat layak guna.

Atas logik itu dikehendaki maahad tahfiz di mana-mana memenuhi kelayakan itu dan justeru itulah JAIS mengarah tutup 13 pusat tahfiz di Selangor. Tidak perlu ia diarah istana atau tidak. Bukan sekadar sekolah tahfiz, jika masjid sendiri tidak lulus sijil layak pakai, wajar dilarang solat dan iktikaf di dalamnya.

Tetapi adakah umat Islam dari raja hingga rakyat jelata Selangor sudah berusaha untuk menyelamatkan tahfiz 13 itu? Kita kempen sedunia agar jutaan umat jayakan World # Quranhour, pantang ada bencana dilancar pungutan bantuan dari semua. Jika ada sekolah Cina diarah tutup kerana dikatakan tidak memenuhi kehendak nasional, nescaya jutaan dalam sejam mereka kumpul bagi menyelamatkannya.

Sekolah tahfiz iu adalah tuntutan Iqrak, wahyu pertama disampaikan kepada baginda Rasul supaya umat celik, hidup dan menguasai al-Quran. Produknyalah nanti akan menghidup dan memakmurkan kempen World # Quranhour.

Bukan mereka ingkar akan syarat yang dikehendaki, tetapi yang menyambut agama tauhid yang dibawa setiap rasul ia hamba, yang tiada status dalam masyarakat, ahli assabiqun dan awalun mempelajari al-Quran dari Nabi di gobok sempit dan pangkal pokok kurma.

Maka yang menyabut tahfiz diakhir zaman inipun kebanyakan anak-anak dan ibu bapa miskin, dan tergerak untuk membuka tahfiz juga adalah tok guru yang tidak kaya. Ada jutawan melimpahkan harta menaja tahfiz dan memberi bangunan besar, tetapi jarang-jarang dibandingkan permintaan yang merata dari masyarakat sekarang.

Antaranya buta jawi gara-gara dasar pendidikan songsang dulu, tetapi setelah kaya dan timbul kesedaran, mereka tebus buta jawinya itu dengan menaja tahfz supaya generasi selepasnya tidak senasibnya, biar mereka bukan sekadar menguasai jawi tetapi menguasai al-Quran. Jika mereka tidak boleh bacal-Quran, biar orang selepas mereka mahir dan hidup dengan Quran.

Dengan kos hidup tinggi, harga perkhidmatan juga melambung, sudah bersyukur jika ada sekolah Quran di bangsal pisang sesikat. Jauh dari memenuhi piawaan semasa.

Maka menutupnya adalah tindakan terakhir. Bila mati nanti sekalian warga Selangor akan tanya, baik raja dan rakyat jembelnya, apa yang dibuat bagi menyelamatkan kelas tafiz yang bangsat itu? Menutupnya? Itu kerja senang yang semua orang boleh buat. Membina dan menyelamatnya adalah cabaran bagi yang diberi nikmat.

Orang Selangor kini keluar zakat berjuta. Zakat yang diagih jabatan zakat juga berguni. Ramai yang berbelanja besar berkali-kali umrah dan haji. Tetapi membiarkan sekolah tahfiz ditutup. Mana lebih aula membantu 13 tahfiz beroleh status kelayakan atau haji berkali-kali dan umrah mewah dua tiga kali setahun?

Tanya mufti, keringkah jabatan zakat kiranya gunakan sebahagian dari pungutannya untuk melayakkan tahfiz malang itu memenuhi syarat?

Nasib 13 tahfiz di Selangor boleh dikira bencana seperti gempa bumi dan banjir besar. Jika semua NGO dan berbagai pihak menganjur bantuan kecemasan atas bencana yng terjadi, maka kempen bantuan kecemasan atas bencana 13 tahfiz adalah wajar serancak kempen World # Quranhour.

Semua becakap utamakan kemahuan rakyat dari politik. Di sana sini ibu bapa hantar anak ke tahfiz adalah antara kemahuan rakyat. Banyak sekolah lengkap, tapi orang miskin pilih tahfiz. Takut menutup tahfiz itu seperti menyekat umat belajar al-Quran? – HARAKAHDAILY 27/5/2019

MEMANG banyak yang merasakan Mahathir sebagai Perdana Menteri sekarang sudah tidak sehebat dulu lagi, malah PM Najib yang disingkirnya setahun lalu mula lebih menonjol daripadanya. Yang menjadikan Najib seperti sekarang ialah persepsi tidak baik orang tentang prestasi Perdana Menteri.

Tidak seperti DAP. Penyokongnya mengira prestasi sebagai kerabat kerajaan cemerlang, maka dalam masa setahun majoriti pengundi DAP di PRK Sandakan bertambah dari 10,000 kepada 11,000.

Tetapi tinjauan suara Merdeka Center sebulan lalu mendapati populariti merudum hingga bawah 40 peratus. Meskipun tinjauan suara tidak semestinya tepat, tetapi sedunia mengira dapatan ilmiahnya membayangkan pengaruh semasanya merosot, maka masa depan pemerintahan dan partinya tidak menentu.

Merdeka Center dipercayai bekerja secara terbaik dan terbebas. Kemungkinan ia tertanya responden menyokong PH tetapi dari kumpulan tidak mahu dia jadi PM lagi selepas dua tahun. Tidak diragukan kesetiaan Bersatu dan komponennya yang meninggalkan PAS. Selama Mahathir berkuasa mereka manja dan selamat.

Tetapi DAP dan PKR diragui kesetiaannya dan lagi cepat dia berundur adalah amat dialu-alukan. Kit Siang dalam kempennya di Sandakan kira-kira bermaksud sedia mengorbankan politiknya jika Mahathir tidak memenuhi janji berkuasa setakat dua tahun.

Mahathir berjanji begitu bagi disetujui jadi calon PM bagi memudahkan Najib dan BN ditumbangkan. DAP dan PKR tiada pilihan kerana calon PM mereka selama ini dipenjara dan tiada kelayakan memegang jawatan awam.

Gara-gara persetujuan itu Mahathir dapat jadi PM semula dan Anwar Ibrahim pula diampun beribu-ribu ampun.

Sekarang kebanyakannya bimbang Mahathir tidak tunai janji. Dia masih sedia undur tapi mungkin lepas dua tiga tahun. Lagilah meragukan dia tepati janjinya.

Apa patut buat supaya Mahahir segera pergi. Timbulkan suasana dia sudah tidak popular dan PH juga ikut tidak popular berikut rudumnya popularitinya. Bagi menyelamatkan kerajaan PH, apa jua cara Mahathir mesti berundur seperti yang dijanjikan. Mahathir sayangkan kerajaan PHnya atau sayangkan kedudukannya?

Jika tidak turun, PH akan diturunkan! Apa pilihan Mahathir? Taktik itu pernah diguna penyokong Anwar dulu agar Mahathir undur atau diundurkan. Mahathir bukan jenis orang yang makan ugut. Itupun mereka faham.

Antara penyokong PH yang mahu Dr. M undur tiba-tiba ditanya Merdeka Center tentang prestasi PM dan PH. Merdeka Center mungkin tidak tahu politik mereka. Bila tertanya yang macam ini, tentulah mereka ambil peluang memburukkan PM supaya dia rudum.

Mereka mungkin orang PH yang mahu PH kekal. Dengan berbuat sesuatu supaya PM tidak disukai, maka PM rasa dia malu, dia serah kuasa, demi menyelamatkan kerajaan PH atau dari PH tumbang dalam kekuasaannya, baiklah ia tumbang di tangan orang lain.

Teorinya, responden yang menolak Mahathir itu, bukan semuanya pembangkang atau semuanya orang yang sejujur betul-betul menilai prestasinya, tetapi mungkin juga penyokong PH yang setianya bukan kepada pengerusi PH itu.

Mahathir sendri pun tahu siapa dalam PH yang bersamanya dan siapa yang tidak bersamanya. Mereka terima dia dulu kerana calon PM mereka dalam keadaan tidak buat apa-apa. Sekarang dia bebas dan bersih, maka tidak patutlah dia menunggu lagi.

Demikian andaian politik yang boleh ditanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2019

WAN Azman Wan Abdullah, awal 70-an meninggal dunia awal 20 Mei lalu dan 15 Ramadan sebagai seorang ahli PAS yang tidak seronok dengan PAS sekarang. Kerana terlalu lama tidak terlibat dalam kegiatan PAS, dia tidak memahami politik matang dan sejahera PAS yang ambil sekarang termasuklah sikap berdua PAS dengan Umno.

Kebanyakan orang-orang PAS yang rapat dengannya dan rakan seperjuangannya dulu sudah meninggal dan yang belum meninggal pula kebanyakannya meninggalkan PAS.

Kerana secara terbuka dia marahkan PAS dan sejak rapat dengan pimpinan Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor dulu dia tidak segan menyatakan yang tidak disetujuinya tentang PAS kepada mereka dan kadang depan orang ramai. Tetapi mereka memahaminya dan suka ke mana-maan bersamanya.

Dia tetap dierima sebagai aktivis penting PAS yang tidak mengira masa, tenaga dan ringgit.

Sejak lebih 20 tahun lalu dia sudah tidak ada dalam kegiatan PAS yang aktif. Sepanjang masa dulu dia bersama saya. Selama PAS Kawasan Batu ditubuhkan dan saya jadi Yang Dipertuanya, dialah setiausahanya. Banyak tahun saya jadi Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan dia jadi Setiausaha Perhubungan.

Dia sangat menyenangkan saya kerana dia buat semua kerja yang saya mahu dan semasa saya beberapa tahun berkhidmat dengan Kerajaan PAS Terengganu mulai 1999, hari minggu saja di Kuala Lumpur dia yang menggerakkan PAS Wilayah. Sebagaimana biasa tegur apa yang dia hendak tegur, tetapi saya kenal wataknya, arahan saya semua dia ikut.

Bila saya tidak jadi PJ beberapa tahun, Wan Azman terlibat pengendalian haji dan umrah, banyak masa di Mekah dan bila berada dalam negeri dia sibuk dengan pelanggannya. Masa dengan PAS kurang. Bila sayajadi PJ sekali lagi, saya tidak dapat bergantung padanya lagi.

Bila saya berundur dari pimpinan PAS lebih 10 tahun, saya tertinggal dari arus perdana politik PAS. Saya tidak tahu apa yang berlaku. Wan Azman sudah lama tertinggal politik PAS, maka lebih dia tidak tahu dan tidak faham tentang PAS.

Ketika semua yang rapat dengannya masih bersama PAS, sudah banyak dimarahnya depan mereka. Bila semuanya lari dari PAS, lagi banyak yang dia tidak faham.

Saya selalu berjumpanya, dua tiga bulan terakhir saya jumpa dia setiap hari kerana dia mengawas kerja baik pulih rumah sewanya depan rumah saya. Walaupun banyak komen tentang PAS, dia tidak kata pada saya dia keluar. Dengan wataknya itu, jika dia keluar PAS tentu dia akan kata pada saya begitu. Anaknya pun tidak sebut ayahnya tinggalkan PAS.

Itu dia Wan Azman yang saya tahu.

Satu kerja penting semasa PRK Dun Bayu di Baling. Kita tahu dulu calon PAS iaitu bekas guru agama MCKK dan pesara pensyarah USM. Wan Azman dapat kontrak dari PAS Kedah menyediakan poster calon. Kami bawa poster itu ke Baling dengan Wagonnya sebelum penamaan calon. Selepas diumumkan calon, pekerja PAS mula pasang poster. Orang yang balik dari penamaan calon tengok poster sudah dipasang. Itu idea Wan Azman.

Ketika kami mengasaskan Harakah, bermalam-malam dan berminggu Wan Azman mengedarkan naskhah sulung dan keluaran seterusnya kepada wakil pengedar parti. Hingga Wagonnya tersempak banjir. Dia pulih Wagonnya dengan duit sendiri.

Itu sebelum dia penuh masa pelanggan haji dan umrahnya sekitar 30 tahun lalu. Yang solat jenazahnya penuh di Masjid Saidina Ali, Padang Balang, Sentul. – HARAKAHDAILY 22/5/2019

 

APA yang orang Melayu boleh cakap dan boleh buat bagi menyatakan ia ada dan masa depannya terbela? Apa yang Islam boleh cakap bagi menyatakan ia ada dan masa depannya lebih baik dari masa ini?

Orang Melayu itu sejak mengenal politik berorganisasi tidak pernah sepakat. Semuanya mengakui mewarisi sepotong peri bahasa orang tua-tuanya, ‘bersatu teguh bercerai roboh’. Tetapi ia hanya untuk disebut, tidak dijadikan panduan.

Mungkin manusia itu begitu dan semua bangsa dulu dan sekarang begitu, mewarisi anak Adam dan Hawa, Qabil dan Habil yang seibu sebapa, tidak sehaluan berakhir dengan Qabil bunuh Habil. China juga demikian. Beperang komunis dan Kaumintang hingga berpecah dua wilayahnya, Tanah Besar China dan Taiwan.

Melayu itu tidak terus terjadi sebagai bangsa yang berbahasa dan berkebudayaan melainkan ada tok neneknya yang membentuk bangsa itu dan menamakannya Melayu dan bernegara. Jika tiada bekerja membentuknya, nescaya tiada Melayu di dunia sekarang.

Demikian juga Islam. Allah tidak jadikan ia terus besar lengkap sebagai agama ad-din. Allah jadi seorang Nabi seorang diri, Muhammad AW di tengah masyarakat jahiliah Arab menyembah berhala. Atas dakwah dan jihadnya Islam jadi agama besar dan dinamik. Jika Islam yang berempayar tidak dipelihara, hancurlah Empayar Uthmaniah menjadi Turki dan beberapa negara umat Islam yang tidak berkuasa, bahkan umat Islam Turki menjadi jahiliah sekular ataturkis, sudah hampir 100 tahun ia belum jadi seperti Islam zaman Uthmaniah.

Umat Islam Malaysia pasca merdeka menangisi perbedaan orang Melayu dalam PAS dan umno tanpa mengkaji dari sudut Islam mengapa mereka tidak bersama dan bagaimana pula boleh bersama. Kerana Islam mereka tidak dapat bersama dan kerana Islam pula mereka boleh bersama.

Orang Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan memperjuang hak berbahasa tunggal, hak ekonomi, pendidikan, beraja dan lain-lain. Justeru mereka tidak pernah bersama, semuanya seolah-olah tidak dapat dicapai dan payah dipertahankan.

Islam pula tidak terus terpelihara jika ia tidak diamal, didakwah dan ditarbiah. Amal, dakwah dan tarbiah itu adalah tuntutan dan ciri beragama. Jika ia diabaikan individu Islam boleh murtad, liberal dan plural, semuanya melumpuhkan Islam.

Kebanyakannya merasa mereka sudah sedar. Bagi yang sedar itu sekata perlunya penyatuan ummah. Dengan penyatuan yang Umno dan PAS setuju itu boleh menjadikan yang berjuang lama dalam Islam bertambah kuat daya juang Islamnya dan yang tidak meletakkan Islam sebagai garis daya juangnya, tumbuh meluas rasa dan seruan agamanya.

Bagi yang tidak sedar merasai memadai dengan Islam yang ada, cukup sekadar solat, puasa dan haji, cukup dengan dicatatkan dalam perlembagan Islam itu agama rasmi, dan cukup al-Quran itu dibaca dan khatam, tetapi kandungan dan ajarannya dibiarkan. Dengan Islam yang ada itu Islam cukup ia terpelihara.

Pada program penyatuan ummah itu mereka bantah ratifikasi Statut Rom, ratifikasi menyamaratakan semua perkara agama, kaum dan kesukuan yang dirasakan Islam tiapa lebih dan tiada daulat. Bila membantah, siapa cakap tentang Melayu jadi rasis dan siapa cakap tentang islam jadi pelampau agama.

Habis apa yang Melayu hendak cakap tentang bangsa? Apa Islam hendak cakap tentang agamanya? Tidak memadai sekadar rajin, kaya kalau Melayu jadi Palestin dan Islam diperintah, tidak memerintah. Hendak buat apa supaya tidak dikata rasis dan ektremis? – HARAKAHDAILY 19/5/2019

DATO’ Seri Najib adalah Perdana Menteri (PM) bongsu dari spesies Umno yang mungkin tiada lagi sambungnya hingga kiamat.

Kini mantan PM itu menghadapi lambakan dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang jika satu-satu dibicarakan mungkin sekurun pun tidak habis. Mungkin kita perlu menunggu datangnya kiamat dari menunggu semua kesnya.

Ikut sistem perundangan yang dipakai termasuk undang-undang Islam, yang dituduh tidak bersalah hinggalah ditentukan mahkamah.

PM Mahathir semasa penggal pertamanya dulu pernah berkata, seseorang tidak semestinya dihukum rasuah baru kita kata dia rasuah, tetapi disangsi bersihnya jika dia dilihat rasuah. Maka yang bersih rasuah itu bukan saja bersih rasuah tetapi mesti tidak dilihat rasuah.

Tohmah yang Najib hadapi kini sudah bertimbun, yang bakal dituduh juga bertimbun lagi. Tetapi apakah yang dilihat rasuah itu Perdana Menteri bongsu Umno itu saja? Tidakkah dia mewarisi sekalian Perdana Menteri sebelumnya?

Tiada yang sebelumnya ditakwil bersihnya kecuali Mahathir beberapa bulan sebelum menumbangkan Najib disuruhanjaya siasatan diraja dan disabitkan. Belum dikenakan hukuman.

Maka itu pun cukup untuk dikatakan tidak dilihat bersih. Siapakah sepanjang 60 tahun merdeka tidak melihat Malaysia dan pemerintahannya negara rasuah. Cuma tiada yang disebut jerung dimahkamahkan. Semua kata yang dimahkamahkan bilis-bilis belaka.

Saya pernah diberitahu Almarhum Bahaman Samsudin, menteri dalam Kabinet pertama Tunku sejak tahun 1955. Dialah pencadang Tunku Abdul Rahman Putra jadi Presiden Umno menggantikan Dato’ Onn dulu. Pernah jadi DO Lumut dan Teluk Intan. PRU 1955 dia bertanding di Hilir Perak termasuk Bagan Datok, Teluk Intan dan sebahagian Pasir Salak sekarang. PRU 1959 dia balik ke tanah airnya Negeri Sembilan. Tiada Umno menolak buntang dari ajak melainkan dia.

Awal 60-an dia bersara politik. Saya jumpa dia di rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Saya tanya mengapa tidak jadi menteri lagi? Jawabnya, tidak mahu terlibat dengan kerajaan rasuah yang sudah bermula sejak merdeka.

Dia jarang keluar dalam surat khabar. Menteri yang tidak dikacau pembangkang di Parlimen. Cakapnya boleh dipercayai.

Jika Bahaman boleh dijadikan saksi, siapakah dalam Umno yang dipercayai bersihnya?

Masa mula-mula dulu tiada badan pencegah rasuah yang khas. Mungkin rasuahnya sekadar RM10 kerana berbasikal malam tak berlampu atau langgar lampu trafik. Tunku mana pernah cukup duit. Elaun PMnya tak cukup. Menteri Kewangan Tan Siew Sin dikatakan selalu bingung kerana cek yang Tunku keluarkan tidak berduit.

Kita tidak tahu apa yang Tun Razak dan menteri-menteri buat. Lepas 13 Mei 1969 Tun Dr. Ismail jadi TPM dan BPR (Badan Pencegah Rasuah) sudah dibentuk. Diangkatnya Harun Hashim jadi Pengarah BPR. Ditangkapnya pembesar Umno termasuk Menteri Besar. Menteri MCA pun ketakutan.

Selepas Tun Razak menggantikan Tunku, BPR mulai lembik. Jerung tidak masuk perangkap lagi. Ia seolah menghadapi bilis saja.

Dari zaman Tun Razak hingga ke zaman Dollah Badawi Malaysia dirasakan sudah di belakang Indonesia, Filipina dan Thailand. Rasuah dilihat sebagai sebahagian dari budaya bangsa. Parahnya rasuah Tun Abdullah tukar BPR jadi SPRM bagi membendung rasuah.

Tapi beras tidak jadi nasi lagi. Jadi bubur semuanya. Jadilah Najib Perdana Meneri bongsu Umno. SPRM sudah tidak bergigi. Tinggal gusi, gigi palsu pun tidak lekat.

Sejak lahir Najib hidup di tengah budaya dilihat rasuah. Sangkanya rasuah itu sebahagian watak Melayu. Dia sambung saja legasi semua PM sebelumnya. – HARAKAHDAILY 18/5/2019

SEMUA menyangka pentadbiran baru Tun Dr Mahathir Mohamad agak lunak dan liberal terhadap media dan semakin tua Perdana Menteri (PM) itu percaya tiada mana-mana orang besar bebas dari kritikan.

Jika peribadinya sejak dulu tidak teragak-agak memberi komen dan kritik kepada sesiapa termasuk apa yang terjadi antaranya dengan Tunku Abdul Rahman Putra dalam kejadian surat peribadi antara kedua-duanya lepas 13 Mei 1969 dulu, maka dia juga terpaksa kebal dan tahan apa yang kata padanya.

Pandangan peribadi saya, antara lima PM dan Presiden Umno sebelum dan selepasnya dia yang paling tidak hirau atau sensitif atas akan kesan kebebasan akhbar yang agak terhad di Malaysia.

Sekalipun di zaman kongkongan itu ada, tetapi ia lebih dari penyokongnya, penyokong partinya dari dia sendiri. Lazimnya parti-parti pembangkang tidak diberi permit penerbitan dalam apa bentuk jua.

Pembangkang terpaksa edarkan siaran haram. Pantang kerajaan memberi izin siaran kepada pembangkang.

Tetapi Mahathir beri permit kepada PAS menerbit Harakah sekalipun untuk dalaman, tidak boleh diedar dalam pasaran terbuka. Sekalipun tidak bebas penuh, tapi dia benarkan. Sebelumnya tidak mungkin.

Dia tahu Harakah diedar secara tidak sah kepada umum. Bila ada amaran kementerian orang PAS edar/jual juga pada bukan ahli. Mamak pengedar sorokkan Harakah dan jual kepada orang bertanya "adakah Harakah". Bila mata-mata tidak intip, mamak pamer Harakah secara terbuka.

Minta permit terbuka tidak diluluskannya, tetapi dia tidak serius sekat siaran terhad permitnya dari diedarkan kepada semua.

Mula-mula diizin sekali seminggu. Kerana banyak permintaan, PAS minta dua kali seminggu. Dibenarkannya.

Apa yang kita tidak kata terhadapnya. Kementerian Dalam Negeri (KDN) acap memberi amaran. Harakah tidak hiraukan. Pernah Timbalan Menteri KDN, Megat Junid sebut pada saya, komen terhadap Mahathir keterlaluan. Diingatkannya, dia tidak mahu bertindak, tetapi kalau PM komplen dia tidak dapat buat apa-apa.

Saya tanya dia, adakah PM kata apa-apa? Jawabnya tidak pernah. Ertinya jika ada masalah KDN, bukan darinya tetapi pegawai dan orang yang lebih sudu dari senduk.

Bila PM itu berundur, KDN diletak terus di bawah PM Abdullah Badawi yang semua orang jauh lebih lembut dari Mahathir tetapi digantung permit Harakah dari dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Tentu Mahathir lebih terbuka dari penggantinya. Bila Najib ambil alih diberinya Harakah dua kali seminggu.

Ertinya Mahathir tebih terbuka dari semua PM.

Bagaimanapun ada baiknya ada cacatnya juga. Tunku menulis setiap keluaran Sunday Star. Dia kritik sakan Tun Razak, Hussein Onn dan apa lagi Mahathir. Tunku lebih nekad dari penulis yang kritikal. Hilang sabar Mahathir. Digantungnya harian The Star. Jika tidak silap tiga ia tidak terbit.

The Star diterbitkan semula. Tunku tidak dibenarkan menulis dan tidak lagi jadi pengerusi harian milik MCA itu.

Ia satu cacatnya teruk terhadap media. Mungkin itu bukan dasarnya, mungkin jsu peribadi antara keduanya. Dibandingkan dengan yang lain dia terelok. Tapi keseluruhan dasar BN terhadap media memang tidak mesra.

Bila dia memerintah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sekarang, kerajaannya dirasakan lebih mesra media. Mengapa? Media bukan lagi di gedung percetakan yang memerlukan permit tahunan tetapi ia sudah di hujung jari semua orang. Semuanya jadi penyiar dan penerbit. Tidak mungkin kerajaan mengadakan penjara untuk hujung jari rakyatnya.

Memotong jari tidak termasuk dalam kesalahan hudud. - HARAKAHDAILY 15/5/2019

Papan tanda Madinah Ramadan di Kota Bharu.

CADANGAN tangguh berniaga semasa tarawih di Kelantan ditukar dari arahan wajib kepada pilihan.

Alasannya bagi mengelakkan peniaga dan penjaja rugi sepanjang tarawih berlangsung.

Ertinya kebesaran Ramadan telah dinilai dengan kerugian peniaga yang tidak beroperasi sejam atau mana lebih pendek masa bersolat.

subkyPeniaga gerai makan sekitar kawasan tarawih boleh berniaga dari masa berbuka hingga azan memanggil solat semasa Isyak. Macam di Mekah bila dilaung azan solat waktu semua tinggal perniagaan, solat berjamaah. Lepas itu kembali ke warung.

Jual beli disambung selepas tarawih. Rugikah kalau ditangguh niaga semasa solat? Banyak mana ruginya? Dan banyak kurang keuntungan sepanjang malam kerana ditangguh bagi menunai solat antara setengah jam atau kurang dari sejam?

Setelah habis Ramadan berniagalah 24 jam sehari semalam. Rugi sangatkah?

Mana lebih rugi antara tidak berniaga sekejap dengan tidak tarawih? Untung tarawih jadi bekalan di akhirat bermula dari putus nyawa hinggalah selama-lamanya di syurga. Rugi meninggalkan tarawih tidak dapat bantuan tarawih bagi meringankan kepayahan di akhirat. Bergantung kepada pahala lain-lain ibadat saja.

Untung perniagaan semasa tarawih itu boleh makan sepanjang hidupkah? Sekalipun untungnya banyak tetapi tidak sebanyak keuntungan jika bertarawih. Mati nanti keuntungan tidak dibawa ke kubur. Untung tarawih dibawa ke kubur hingga ke syurga. Banyak tarawih apa lagi tarawih itu sempurna berganda bahagianya di akhirat termasuk ringan masalahnya di kubur dan di mahsyar.

Orang berniaga semasa tarawih tidak semestinya tidak tarawih. Mereka boleh tarawih selepas tutup perniagaan. Tentulah baginya untung kedua-duanya – tarawih dan buka gerai.

Tapi berapa orang yang sedia tarawih di luar masa orang tarawih. Macam puasa enam bulan Syawal. Puasa di tengah orang tidak puasa. Yang puasa enam amat minoriti.

Lazimnya amat kurang yang tarawih lewat.

Lebih ramai yang tidak buka gerai tidak tarawih. Kita tidak buat apa kepada mereka. Tetapi yang buka gerai mungkin tidak tinggal solat dan tidak tinggal puasa. Apa kena padanya tinggal tarawih kerana berniaga.

Apabila tarawih seseorang diterima Allah tarawihnya, nescaya tiada kerugiannya selama-lamanya. Sentiasa dan terjaminlah untungnya. Pentarawihnya Ramadan ini, moga-moga dibuka Allah peluangnya terus bertarawih selagi ada usianya.

Akan tetapi orang yang memungut keuntungan berniaga dan tidak merebut keuntungan tarawih, mungkin tidak terjamin barakah keuntungannya. Allah kadang-kadang uji seseorang beroleh banyak keuntungan dari berniaga semasa tarawih, dan ini menyebabkan dia tinggal tarawih bukan sekadar Ramadan ini, bahkan Ramadan seterusnya.

Tetapi dengan tangguh perniagaan demi tarawih, insya-Allah digandakan Allah keuntungannya bagi perniagaan selepas tarawih itu.

Untung paling besar bagi peniaga ialah berniaga pada waktu yang sesuai dengan tidak mengabaikan panggilan ibadat. Untung sikit tapi barakah adalah lebih baik dari untung melimpah tetapi tidak barakah.

Jangan anggap arahan utama tarawih dari niaga menutup pintu rezeki! – HARAKAHDAILY 14/5/2019