Hari akhir PASRelief di Misi Kemanusiaan Gaza

Berita
Typography
ALHAMDULILLAH, dengan penuh kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T, kami yakin setiap liku yang dilewati sepanjang misi ini memiliki hikmah yang sangat besar. 
 
Biarpun terpaksa 'berkampung' di Kaherah selama lapan hari, sambil menemui dan berunding dengan semua pihak yang berautoriti untuk membuka laluan ke Gaza, kesudahannya melegakan. Semua langkah yang boleh diakses, telah dilaksanakan, namun serangan udara dan penutupan sempadan oleh rejim Zionis mematikan langkah memasuki Gaza yang dihajatkan. 
 
Lewat malam tadi, selepas solat taraweh, PASRelief akhirnya dihubungi oleh rangkaian pihak berkuasa Gaza untuk menemui tokoh besar mereka yang menyusup masuk untuk menemui delegasi PASRelief dan Yayasan Isra' Malaysia. 
 
Pertemuan ini sekali gus menjayakan hasrat untuk menyampaikan sumbangan kemanusiaan kepada mangsa serangan bom Zionis di Gaza bagi menghadapi Ramadan dan penyediaan ubat-ubatan. 
 
Prof. Mohamad Awad, adalah Perdana Menteri (Administration Chief) Pihak Berkuasa Gaza. Sebelumnya beliau adalah Timbalan Perdana Menteri (2011-2012), Menteri Hal Ehwal Antarabangsa dan mengetuai beberapa kementerian lain. Beliau juga adalah mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Islam Gaza dan Dekan di beberapa fakulti di universiti tersebut. 
 
Pertemuan diadakan di satu lokasi yang menjadi kediaman dan pejabat wakil kerajaan Gaza di Kaherah, kira-kira 30 minit perjalanan dengan van dari pusat bandar.
 
Beliau memaklumkan pihaknya telah berusaha sehingga 24 jam terakhir untuk membawa kami memasuki Gaza, tetapi halangan yang ada di sempadan yang dikawal pihak Mesir dan Israel tidak dapat diatasi. Beliau yakin, pada masa depan, kebenaran akan diperolehi untuk memasuki Gaza dalam misi kemanusiaan berikutnya.
 
Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang sedang dijajah dan dizalimi oleh Zionis israel. 
 
Beliau turut menyampaikan salam kepada pimpinan dan ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia dan berharap penderitaan rakyat Palestin akan sentiasa berada dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia dan umat Islam seluruh dunia. 
 
Selepas 13 tahun menghadapi kepungan penuh pihak Israel, kesukaran mereka semakin 'dapat diatasi' dengan menyesuaikan diri terhadap kepayahan itu. Itulah saja ubat bagi derita rakyat Palestin. 
 
Beliau memaklumkan pengeboman terbaru Israel pada 4 dan 5 Mei 2019 meragut nyawa 26 syuhada', mencederakan 170 orang dan memusnahkan lebih 800 unit kediaman, kedai dan pejabat.
 
Ditanya berkaitan pengumuman Qatar untuk menyalurkan bantuan USD480 juta kepada Palestin, beliau berkata ia bukan bantuan sekali gus, tetapi merupakan sumbangan berjadual. USD300 juta akan disalurkan kepada pihak berkuasa Tebing Barat dan USD180 juta akan disalurkan kepada Gaza dalam tempoh 6 bulan. 
 
Beliau menyebutkan sebuah Hadis Rasulullah mengenai keutamaan mempertahankan bumi Palestin di tangan umat Islam seperti yang disebutkan oleh Nabi S.A.W iaitu memiliki sepetak tanah di Palestin yang muat sekadar dapat berdiri supaya dapat melihat Baitul Maqdis, adalah lebih baik daripada memiliki dunia ini. 
 
Penyerahan sumbangan kemanusiaan kali ini berjumlah USD72,000.00 (RM300,000), sebahagian besar daripadanya (USD60,000 @ RM250,000) adalah daripada Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief.
 
Anggota misi ini akan berangkat pulang ke Malaysia pada lewat malam 8 Mei 2019, dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6:00 petang 9 Mei 2019.
 
Misi Kemanusiaan Gaza 2.0 akan dilaksanakan sebaik sahaja kebenaran melintasi sempadan diperolehi daripada Kerajaan Mesir dan penutupan sempadan oleh rejim israel ditarik balik. 
 
Sumbangan kepada rakyat Palestin untuk Misi Kemanusiaan Gaza 2.0 boleh disalurkan melalui Tabung  Kemanusiaan  Antarabangsa (5640  7061  1352) atau PASRelief (5640  7061  2333) di Maybank.
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASRelief
Ketua Misi Kemanusiaan Gaza 2019.
4:50 AM - 8 Mei 2019 
Kaherah, Mesir.
 
Anggota misi.
1. YB Ahmad Tarmizi Sulaiman
2. YB Awang Hashim
3. Dato' Dr Hamdan Mohd Khalib
4. Hj Adram Musa
5. Hj Zulkifli Che Harun
6. Muhammad Shukri Saari
7. Shahir Abu Hassan
8. Mohd Nadzir Shafie - HARAKAHDAILY 9/5/2019
 
*atas sebab-sebab keselamatan, foto-foto tidak dapat disiarkan, manakala individu tertentu terpaksa dikaburkan bahagian wajahnya