Presiden Afrika Selatan positif Covid-19

Cyril Ramaphosa disahkan positif Covid-19 semalam, 12 Disember 2021. (FOTO CNN)
- Advertisement -

CAPE TOWN: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa disahkan positif Covid-19 dan kini sedang menerima rawatan untuk gejala ringan jangkitan virus berkenaan.

Sumber Pejabat Presiden berkata Ramaphosa, 69, yang lengkap dua dos vaksin mula berasa tidak sihat selepas pulang dari upacara peringatan negara untuk bekas Presiden, F W de Klerk di sini pada Ahad (12 Dis).

- Advertisement -

“Presiden Cyril Ramaphosa kini mengasingkan diri di Cape Town dan dipantau oleh Perkhidmatan Kesihatan Tentera Afrika Selatan,” ujar sumber dari pejabat Presiden, lapor CNN.

“Beliau telah menyerahkan semua tanggungjawab kepada Timbalannya, David Mabuza,” tambah kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada Ramaphosa telah dijangkiti dengan varian terbaharu Covid-19,  Omicron 

Varian yang sangat bermutasi yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan bulan lalu itu telah mencetuskan kebimbangan di peringkat global kerana ia lebih mudah menular berbandingan varian Covid-19 yang lain.

Pihak presiden dalam pada itu berkata, Ramaphosa dan delegasi pengiringnya telah menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebanyak beberapa kali pada minggu lalu semasa lawatan ke empat negara di Afrika Barat. 

“Beberapa individu dalam delegasi yang mengiringi Presiden diuji positif Covid-19 di Nigeria dan mereka terus dihantar kembali ke Afrika Selatan. Sepanjang baki perjalanan dalam rangka lawatan tersebut, Ramaphosa dan delegasinya negatif Covid-19,” jelas kenyataan berkenaan.

“Presiden dan delegasi kembali ke Afrika Selatan dari Republik Senegal pada hari Rabu (8 Dis) selepas mendapat keputusan ujian negatif.

“Presiden juga diuji negatif sekembalinya ke Johannesburg pada 8 Dis lalu,” tambahnya.

Kenyataan itu memetik Ramaphosa sebagai berkata bahawa jangkitannya  terhadap dirinya sendiri itu merupakan amaran kepada warga Afrika Selatran tentang kepentingan mendapatkan vaksin dan terus berwaspada terhadap pendedahan kepada Covid-19, lapor pula Al-Jazeera.

“Vaksinasi kekal sebagai perlindungan terbaik terhadap jangkitan Covid-19 terutama yang perlu dirawat di hospital.

“Individu yang merupakan kontrak rapat Presiden dinasihatkan untuk menjalani ujian Covid-19 sendiri,”  ujar kenyataan itu lagi. 

Afrika Selatan kini sedang bertarung dengan pertambahan kes baharu Covid-19 dengan kemunculan varian Omicron.

Pada awal November lalu, Afrika Selatan merekodkan kira-kira 200 kes baharu, tetapi jangkitan mula meningkat secara mendadak tidak lama kemudian.

Negara itu merekodkan lebih 18,000 kes baharu Covid-19  yang disahkan pada malam Ahad (13 Dis), dengan menurut tinjauan penjujukan genetik, lebih daripada 70 peratus kes dianggarkan berpunca dari Omicron, menurut tinjauan penjujukan genetik.

“Setakat ini, majoriti kes menunjukkan gejala agak ringan, dan peratusan kes teruk yang memerlukan oksigen adalah rendah,” ujar pihak berkuasa perubatan Afrika Selatan. – HARAKAHDAILY 13/12/2021

- Advertisement -