Gaya hidup atlet e-sukan tidak teratur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil kira masalah kesihatan gaya hidup atlet e-sukan yang tidak teratur, kata Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar).

“Gaya hidup atlet e-sukan terkongkong dalam satu tempat…duduk dalam tempoh yang lama menghadap skrin, tak cukup tidur dan mengalami masalah kesihatan. Jadi, apa tindakan pihak kementerian untuk membantu atlet e-sukan,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Afnan Hamimi meminta pandangan kementerian mengenai isu industri e-sukan yang terdedah kepada gejala rasuah.

“Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan pada 6 September 2023 menyebut…e-sukan juga terdedah kepada transaksi rasuah melalui bitcoin yang sukar untuk dijejak oleh SPRM. Apa pandangan kementerian dalam isu ini?” katanya.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kementeriannya akan memantau dan memastikan isu yang ditimbulkan dapat diatasi berdasarkan mekanisme mengikut garis panduan pembangunan sukan elektronik kebangsaan.

“Kita akui ada tekanan, terutama sekali masa menghadap skrin dan sebagainya yang memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada atlet kita.

“Jadi setiap kali mereka menyertai kejohanan…kementerian melalui Institut Sukan Negara memantau tahap kesihatan mereka,” katanya.

Beliau juga memastikan bahawa mekanisme perlindungan terhadap unsur rasuah dapat dibangunkan dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut memberi perhatian. – HARAKAHDAILY 9/10/2023

- Advertisement -