Berita 2 Kabinet ialah berita palsu, perlu ditolak

- Advertisement -
PAS kesal kenyataan Presiden diputar belit oleh The Malaysian Insight dan diulas oleh para pimpinan politik berdasarkan kenyataan yang diselewengkan itu. 
 
Wartawan yang hadir mungkin tidak memahami maksud penggunaan istilah ‘Wazaratul Tanfiz‘ dan ‘Wazaratul Tafwid‘ yang digunakan oleh Presiden atau sengaja memutar belit demi hasrat melaga-lagakan orang ramai. Tindakan tidak bertanggungjawab ini sangat dikesalkan.
 
Ucapan Presiden PAS bahawa dalam urus tadbir negara berdasarkan prinsip Islam jauh lebih adil kepada semua pihak berbanding sistem politik yang dilaksanakan di Barat seperti apabila parti Demokrat yang menang maka tidak akan ada kabinat dari parti Republikan. Begitu juga sebaliknya. 
 
Namun dalam sistem pemerintahan Islam, orang bukan Islam boleh dilantik menjadi menteri kabinet dan turut terlibat dalam melaksanakan keputusan kerajaan. 
 
Wazaratul Tanfiz ialah satu istilah dimana sesorang itu boleh membuat keputusan mutlak tanpa persetujuan orang lain. Dalam hal ini pembuat dasar yang sebegini mestilah terdiri dari penganut agama negara (Islam) kerana tidak mungkin orang bukan Islam boleh membuat keputusan berhubung dasar dan pengamalan Islam. Kerana ianya melibatkan soal hukum halal dan haram, dosa dan pahala serta mesti merujuk kepada sumber utama Islam iaitu al Quran dan Hadis. Adalah tidak masuk akal sama sekali sekiranya kementerian yang menjaga hal ehwal agama Islam diberikan kepada bukan orang Islam untuk menguruskannya. 
 
Manakala Wazaratul Tafwid ialah badan yang tiada kuasa mutlak dalam memutus sesuatu perkara dan terikat dengan keputusan kabinet. Maka ianya tidak terikat dengan syarat sebagaimana Wazaratul Tanfiz. Dengan kata lain ia boleh dianggotai oleh sesiapa sahaja rakyat yang mempunyai kebolehan dan kemampuan, termasuk menjadi menteri, Timbalan Menteri dan lain-lain jawatan. 
 
Dalam konteks negara Malaysia  hanya Perdana Menteri yang mempunyai hak sebagai Wazaratul Tanfiz, manakala para menteri adalah termasuk dalam kategori Wazaratul Tafwid yang terikat dengan keputusan mesyuarat kabinet dan keputusan Perdana Menteri.
 
Berikut ialah transkrip dialog Presiden PAS ketika berdialog di Pulau Pinang bersama NGO India pada 4 Februari yang lalu:
 
“Islam membenarkan kabinet – menteri – exco dari kalangan bukan Islam. Ini berbeza dengan demokrasi Barat. Kalau di Barat contohnya di Amerika, jika parti Democrat yang menang, Presiden Demokrat, menteri kabinet Demokrat, ketua jabatan semua Demokrat. Apabila Republican yang menang, semuanya Republican. Kalau di England, Liberal Party yang menang, semua Liberal party (yang menjawat) kecuali raja yang tak boleh dipecat kerana raja berpelembagaan.
 
“Kalau Islam memerintah, Islam membahagikan kementerian – ada dua – iaitu Wazaratul Tanfiz dan kedua Wazaratul Tafwid. Wazaratul Tanfiz ialah kementerian yang boleh membuat polisi dan dasar negara. Inilah mesti yang menganut ideologi dan akidah negara. Dalam konteks negara moden, tidak ada individu tapi jemaah menteri yang menentukan dasar tetapi melantik menteri yang eksekutif untuk mengendalikan urusan dibenarkan orang yang bukan Islam mengikut kepakaran masing-masing. Malah Islam membenarkan kerajaan teknokrat, yang bukan ahli parlimen tapi pakar boleh menjadi menteri kabinet. Ini dalam Islam – kerajaan teknokrat.” – Presiden PAS
 
Apa yang dikesali, wartawan The Malaysian Insight telah memetik kata-kata Presiden PAS dalam bentuk sedemikian yang bukan sahaja jauh menyimpang daripada kata-kata sebenar Presiden PAS, malah direka-rekanya sendiri.
 
“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua – (satu), Kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional. Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka.” – Petikan oleh wartawan The Malaysian Insight Chan Kok Leong.
 
Tindakan menggambarkan wujudnya dua kabinet adalah jelas berniat jahat dan merosakkan prefesionalisma kewartawanan. Apa yang lebih mendukacitakan ialah tindakan pengkritik tanpa merujuk dan memahami ucapan sebenar Presiden PAS yang dapat dirujuk dalam pelbagai saluran media yang ada. Jika hendak dirumuskan dalam bahasa Inggeris: “The cabinet envisaged by PAS will be comprised of Muslims who will make ideological decisions and also non-Muslims who can be like technocrats.” 
 
Pendeknya, Presiden PAS tidak pernah mencadangkan dua kabinet. Oleh itu, laporan The Malaysian Insight sebegini boleh dikategorikan sebagai bentuk berita palsu yang perlu ditolak. Sehubungan itu PAS mendesak agar setiap maklumat yang diterima diselidiki terlebih dahulu sebelum menyebar dan membuat kenyataan menentangnya.
 
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
6 Februari 2018 – HARAKAHDAILY 6/2/2018
- Advertisement -