19
Sat, Oct
19 Artikel Baru

Mudahkan pesakit di Marang terima rawatan dialisis

Berita
Typography

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Daerah Marang telah mewujudkan Pusat Hemodialisis di Kampung Telaga Mengkudu, di sini.

Kunci premis tersebut telah diterima secara rasmi oleh Adun Alur Limbat, Ustaz Ariffin Deraman pada Majlis Penyerahan Kunci yang diadakan di pusat tersebut, pagi tadi.

Penyerahan kunci tersebut telah disampaikan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh di mana pihaknya juga akan menggerakkan operasi dan pengurusan pusat tersebut.

Peralatan dialisis di pusat itu telah disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan mampu menampung 50 pesakit dalam satu masa.

Menurut Ariffin, kewujudan pusat itu bakal memberi kemudahan kepada para pesakit buah pinggang dari daerah itu untuk mendapatkan khidmat dialisis tanpa perlu lagi ke HSNZ di Kuala Terengganu yang agak jauh.

Katanya, perhatian kepada golongan tersebut untuk mendapat kemudahan seumpama amat penting berikutan disiplin rawatannya memerlukan pesakit dirawat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu. - HARAKAHDAILY 31/12/2018