14
Mon, Oct
5 Artikel Baru

Lima perubahan dan kejutan politik era PRU14

Berita
Typography

KUALA LUMPUR: Sejak puluhan tahun, rakyat Malaysia kini sedang dan telah menyaksikan lima perubahan besar serta kejutan yang berlaku dalam politik tanah air, khususnya bertitik tolak pada era PRU14.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pertama ialah kekalahan Umno-BN setelah sekian lama berkuasa hingga terpaksa keluar daripada Putrajaya.

Kedua menurut beliau, pakatan pembangkang yang dahulunya saling berbalah sesama sendiri, tetapi sanggup membuang permusuhan dan kemudian bersatu atas nama Pakatan Harapan (PH).

Manakala ketiga katanya, PH terkejut dan membuat kejutan apabila telah berjaya mengalahkan BN dan menerima kuasa menjadi kerajaan baharu bagi negara.

Sedang keempat bentangnya, PH yang diberi harapan dan mandat oleh rakyat mentadbir Malaysia telah memungkiri serta membohongi rakyat terhadap janji manifesto mereka tanpa rasa bersalah.

Kelima utaranya, apabila Umno dan PAS yang asyik bermusuhan sebelum dan selepas merdeka, tiba-tiba kini boleh bersatu, berhimpun dan duduk sekali serta merencana agenda bersama.

Senarai itu dikemukakan beliau di hadapan lebih 200 hadirin ketika menyampaikan ceramah "Kenapa Bantah ICERD?" di Dewan Mualim Haji Wahid, Bukit Katil malam semalam.

"Ini sesuatu yang tak terbayang oleh Umno bahawa Allah Taala campak dalam hati mereka suka pada PAS. Tak terbayang oleh PAS suatu masa mereka boleh sepentas Umno. Sejak lahir, sebelum merdeka lagi dua-dua bermusuh.

"Walaupun ada perkara yang mereka bersama, tapi akhir sekali masing-masing bawa diri. Bina tapak kaki masing-masing dalam sejarah perjuangan membina negara Malaysia ini. Semua berlaku dengan kehendak Allah.

"Kita terpaksa terang nyatakan kepada rakyat. Perubahan ini semua mesti kita lalui, tak dapat tidak. Jika tak, kita ketinggalan. Kalau ikut serta, insya-Allah kita dapat yang terbaik untuk negara," ujarnya.

Namun terangnya, pada segala perubahan dan kejutan itu, setiap Muslim mempunyai dua kewajipan iaitu pertama menjaga dirinya sendiri dan kedua menjaga agamanya.

Menjaga diri peringatnya, supaya tidak disibukkan hal orang lain hingga ketika orang lain masuk Syurga, tetapi diri sendiri masuk ke Neraka dan sebagaimana doa dalam ayat 23 surah al-A'raf.

Beliau menasihati supaya setiap diri menjaga hal ehwal kewajipan asas fardu ain di sebalik pelbagai kesibukan urusan harian dan bersama orang ramai.

Manakala kewajipan menjaga agama merupakan kewajipan memastikan Islam tinggi mengatasi kepercayaan dan idealogi lain serta dilaksanakan sebagaimana ditugaskan kepada para Nabi dan Rasul. - HARAKAHDAILY 26/11/2018