21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

'Bagi saya dia pengecut’

Berita
Typography

ALOR SETAR: Ketua Pembangkang, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan keputusan Adun Guar Chempedak, Ku Abdul Rahman Ku Ismail, keluar Umno di saat parti tersebut mengalami kekalahan, merupakan tindakan pengecut dan tidak seharusnya berlaku kepada seorang yang digelar pejuang.

"Bagi saya dia pengecut kerana meninggalkan kawan-kawan tatkala susah sedangkan beliaulah antara yang ke hadapan sewaktu parti itu berada di zaman kegemilangan sebelum ini," katanya yang juga Adun Jeneri.

Tambahnya lagi, alasan kononnya tindakan itu untuk kebaikan rakyat namun sebenarnya mengikut rekod lalu, Adun Guar terbabit tidak mempergunakan peruntukan untuk projek-projek di kawasannya malah kurang dikenali oleh penduduk Jerai.

Katanya, walaupun PAS tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Umno namun tindakan seumpama itu turut dikesali di mana ia tidak ubah seperti 'pejuang meninggalkan medan di kala mengalami kekalahan'.

"PAS tidak akan menerima orang seperti itu, pergilah menyertai mana-mana parti di dalam Pakatan Harapan kerana bagi saya itu lebih sesuai untuknya," ujarnya ketika ditanya wartawan adakah PAS bersedia menerimanya.

Pengumuman keputusan Adun Guar Chempedak itu, dibuat oleh Speaker Dun Kedah, Datuk Ahmad Kassim sebelum persidangan hari kedua bermula. – HARAKAHDAILY 12/11/2018