Pengampunan: PAS tidak persoal keputusan Agong

Berita
Typography

PORT DICKSON: Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan menegaskan PAS tidak pernah mempersoalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam isu pengampunan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, PAS berpandangan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah bertindak mengikut undang-undang di bawah Perkara 42 dalam Perlembagaan Persekutuan yang jelas dalam kenyataan pihak Istana Negara.

"Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong beri pengampunan penuh (full pardon) kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Isunya sekarang ini adakah Anwar mendapat pengampunan bebas di bawah Perkara 48? Ini isu perundangan, bukan isu politik atau mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Teluk Kemang, hari ini.

Katanya, PAS tidak pernah mempertikaikan kedudukan Lembaga Pengampunan menasihat Yang di-Pertuan Agong dan perkara itu bukan pula 'sembah derhaka' kepada Yang di-Pertuan Agong.

Takiyuddin juga turut menjelaskan, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu membuat pentafsiran yang jelas, mereka perlu merujuk kepada mahkamah dan perlu membuat pentafsiran sebelum pilihan raya dilaksanakan.

"Sekiranya SPR tidak dapat satu tafsiran jelas, mereka perlu tangguhkan pilihan raya ini. Dapatkan dahulu satu deklarasi atau interpretasi daripada mahkamah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Beliau turut merasakan bahawa SPR tidak melaksanakan perkara yang sepatutnya dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan itu. - HARAKAHDAILY 12/10/2018