17
Thu, Oct
15 Artikel Baru

PAS Bukit Gantang santuni masyarakat Cina

Berita
Typography

BUKIT GANTANG: Berikutan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, PAS Kawasan Bukit Gantang meneruskan tradisi mengedarkan buah limau dan kad ucapan kepada masyarakat Cina di sini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad berkata, pihaknya meneruskan usaha itu bagi memeriahkan sambutan perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Ia sebahagian tradisi masyarakat Cina menyambut perayaan ini tidak kira di mana-mana.

“Sambutan yang cukup menggalakkan diterima daripada orang Cina yang ceria menerima edaran limau dan kad ucapan tahun baru," katanya.

Beliau ditemui semasa program mengedar buah limau dan kad ucapan kepada masyarakat Cina di sekitar parlimen Bukit Gantang mulai kelmarin.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman berkata, program edaran buah limau dan kad ucapan ini anjuran bersama PAS Kawasan dan Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang

"Ia diadakan setiap tahun sempena Sambutan Tahun Baru Cina.

"Lokasi penyampaian limau dan kad ini dilakukan di pusat tumpuan masyarakat Cina seperti kedai –kedai di Pekan Kuala Sepetang , Taman Kota Jaya , Pasar Simpang, Taman Kaya , Taman Sungai Mas , Sungai Kerang , Sungai Tinggi dan Trong.

“Kami mengambil masa selama beberapa hari, pagi dan petang untuk menemui masyarakat Cina di beberapa komuniti orang Cina di sini,” katanya.

Turut sama menjayakan program ini pimpinan PAS Bukit Gantang, Pemuda, Muslimat dan Unit Amal.-HARAKAHDAILY 9/2/2018