17
Thu, Oct
16 Artikel Baru

Markaz Tahfiz OKU Penglihatan pertama di Pantai Timur

Berita
Typography

KUALA NERUS: Sebuah Markaz Tahfiz OKU Masalah Penglihatan pertama ditubuhkan di Pantai Timur telah mula beroperasi pada pertengahan Januari 2018 lalu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Terengganu (Yakep), Dr Mohd Hamdam Mohamad berkata, Markaz Tahfiz OKU Masalah Penglihatan itu mendapat sokongan dan kerjasama baik dengan Darul Quran Kuala Kubu Bharu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, lepasan pelajar ini kelak boleh meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi bagi mendapatkan diploma dan ijazah.

"Dengan tertubuhnya Markaz Tahfiz itu, inilah Pusat Markaz Tahfiz OKU Masalah Penglihatan pertama di Pantai Timur.

"Kita bersyukur kerana Allah SWT memilih Maahad Tahfiz Wal-Tarbiyyah Darul Iman (MTT) ini sebagai tempatnya. Sebagai tempat untuk kita mendidik anak-anak kita yang kelainan upaya ini.

"Kita telah mengadakan hubungan dengan Darul Quran Jakim di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Pihak Jakim berjanji akan memberi kerjasama baik kepada kita, Alhamdulillah," ujarnya.

Katanya, telah ramai OKU telah menempa kejayaan sama dengan orang yang celik penglihatan dalam pelbagai bidang.

Justeru, kata Dr Mohd Hamdam, masyarakat umat Islam harus sama-sama menyokong dan membantu bagi kelancaran perjalanan pusat tahfiz tersebut.

Mereka (pelajar) ini akan menjadi aset kepada MTT dan kita sangat perlu kepada sokongan moral dan bantuan dalam pelbagai bentuk termasuk kewangan, metarial pembangunan, peralatan pembelajaran dan lain-lain, jelasnya kepada hadirin.

Menurutnya, perancangan asal penubuhan Markaz Tahfiz OKU Masalah Penglihatan merupakan usaha idea oleh Allahyarham Dato Abu Bakar Chik yang telah meninggal dunia pada tahun 2014 lalu.

Tambah beliau, almarhum Ustaz Abu Bakar terlibat dengan kemalangan jalan raya ketika pulang dari Kuala Lumpur dalam usahanya mengumpul dana tersebut.-HARAKAHDAILY 9/2/2018