18
Wed, Sep
31 Artikel Baru

CSR lebih penting berbanding ECRL

Berita
Typography

CADANGAN pembinaan jalan raya Kota Bharu - Simpang Pelangai, Pahang dirancang kerajaan pusat sejak 1986 namun hanya pada 2012 baru dikeluarkan tender.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastuktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, pembinaan jalan tersebut yang dikenali Central Spine Road (CSR) ditangguh dalam tempoh begitu lama.

Katanya hanya pada 2012 baru ditender projek tersebut, sedangkan ia penting kepada rakyat Kelantan terutamanya pada musim perayaan.

Hanifa Ahmad“Bagi saya CSR lebih penting berbanding Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bagi menyelesaikan masalah perhubungan rakyat.

“Lagi pun CSR hanya melibatkan kira-kira RM4 bilion berbanding ECRL menelan kos sehingga RM50 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumbuh) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya juga projek tersebut begitu penting kepada rakyat Kelantan sehingga kerajaan negeri juga mengambil peranan membina sebahagian jalan raya tersebut sejauh 10 km di Machang.

Katanya, projek tersebut bermula berhampiran UiTM Machang sehingga ke Berangan Mek Nab membabitkan kos sebanyak RM300 juta.

“Sedangkan tanggungjawab tersebut di bawah kerajaan pusat,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau juga projek CSR antara Kuala Krai – Gua Musang belum lagi dikeluarkan tender oleh kerajaan pusat sehingga sekarang. – HARAKAHDAILY 20/11/2017