18
Wed, Sep
30 Artikel Baru

Galak gaya hidup sihat melalui futsal

Berita
Typography
KEMAMAN: Waris Jati Diri Remaja Islam Terengganu (WAJA) dengan kerjasama Jabatan Kesenian, Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman telah menganjurkan Kejohanan Futsal Piala Ketua Pemuda.
 
Pertandingan tersebut telah disertai 32 pasukan dan berlangsung sepenuhnya di Masterscaff Indoor, Bukit Mentok, di sini semalam.
 
Ketua Lajnah WAJA Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman, Wan Ibrahim Wan Mamat berkata, penyertaan tersebut melebihi sasaran dan insya-Allah akan ditambah untuk tahun hadapan.
 
“Program sebegini bukan sahaja mengamal gaya hidup sihat, ia juga menguatkan ikatan persaudaraan dan pertautan silaturrahim antara WAJA, DACS dan Pemuda PAS Kawasan Kemaman.
 
“Saya berharap dengan program seperti ini, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman akan menjadi pilihan pemuda Kemaman dalam menjuarai isu dan minat remaja di masa akan datang,”  tambahnya.
 
Pertandingan akhir menyaksikan FJ Team dari Dun Kijal menentang Pandan JR dari Dun Chukai dan kemenangan berpihak kepada FJ Team, manakala Tok Janggut A dari Felda Kerteh 5 Kemasik mendapat tempat ketiga.
 
Pada hari sama turut berlangsung Kejohanan Futsal Tertutup Piala Yang Berhormat Chukai, juga melibatkan penyertaan 32 pasukan di Sports PC Jakar 2, Chukai, di sini.
 
Dengan kehadiran sekitar 250 penyokong, pertandingan itu menyaksikan pasukan Habiel 66 UDFF FC (B) muncul johan, manakala naib johan dimenangi Habiel 66 UDFF FC (A). - HARAKAHDAILY 19/11/2017