18
Wed, Sep
31 Artikel Baru

BN tanpa pencapaian, nikmati kejayaan almarhum Ustaz Azizan

Berita
Typography
ALOR SETAR: Dakwaan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Bakar Bata-BN) bahawa Kedah mengalami zaman gerhana ketika diperintah oleh Pakatan Rakyat penggal lalu, amat dangkal dan tidak berpijak di bumi yang nyata. 
 
Dakwaan tidak berasas itu disebut beliau yang juga Menteri Besar ketika membentang Bajet Kedah 2018 pada Sidang Dun di Wisma Darul Aman baru-baru ini. 
 
Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (Sungai Limau-PAS) menganggap kerajaan kini terlupa pembangunan yang berjaya dimajukan semasa di bawah pentadbiran Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kini dinikmati hasilnya oleh kerajaan sekarang.
 
Beliau meminta Adun Bakar Bata itu mengingati kembali sejarah Plaza Tunku Yaakob yang gagal dibangunkan selama 30 tahun oleh kerajaan Umno-BN.
 
Namun kata beliau, tidak sampai satu penggal Pakatan Rakyat mengambil alih Kedah, kini Aman Central tersergam indah dan labanya diraih oleh kerajaan sekarang.
 
"Sejarah tidak pernah salah, Mahaad Tahfiz Sains yang disebut di dalam Bajet Kedah akan ditambah bilangan itu, pembinaan awalnya bermula semasa Kedah ditadbir oleh Allahyarham Ustaz Azizan.
 
"Kampus Tetap KUIN di Kuala Ketil, atas usaha dan jerit perit kerajaan sebelumnya. Hotel Adya di Langkawi, atas usaha siapa kalau bukan semasa pentadbiran Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak?" bentak beliau pada sesi ucapan perbahasannya.
 
Selain itu, Bashah juga diingatkan mengenai bantuan awal IPTA, para imam, guru-guru Al-Quran dan kelas-kelas pengajian adalah program yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu dan kini diteruskan oleh kerajaan sekarang.
 
Disebalik itu pula bidasnya lagi, terdapat juga program-program yang bermanfaat kepada rakyat tidak diteruskan oleh kerajaan sekarang seperti program pembangunan insan, Skim Kafalah, projek pertanian, pembinaan Mahaad Tahfiz Sains di Pulau Tuba, projek Ladang Sejahtera dan lain-lain. 
 
Tegas Mohd Azam, rakyat mendapat manfaat dari program yang dilaksanakan dahulu yang bukan sahaja membantu golongan kurang berkemampuan, malah kepada golongan wanita, belia, remaja dan kanak-kanak.
 
"Kalau hendak sebut gerhana lima tahun pun, bagi saya, gerhana itu pun tidak mampu ditandingi dan jauh lebih baik dari kerajaan sekarang," ujar beliau yang mendapat perangsang dari Adun-adun Pembangkang.
 
Sambung beliau, adalah amat dangkal andainya kerajaan sekarang cuba membangkitkan isu hutang pembinaan KUIN di Kuala Ketil, sedangkan projek berkenaan adalah projek kerajaan dan siapapun menjadi pemerintah bertanggungjawab untuk menjelaskannya.
 
Hal sama terangnya, sepertimana dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang membayar hutang-hutang yang ditinggalkan BN seperti pembinaan Blok E di Wisma Darul Aman.
 
Membangkitkan persoalan Khairat Kematian yang dicanang menggantikan Skim Kafalah dan kononnya lebih menyeluruh, Adun Sungai Limau itu mempersoalkan mengenai pelaksanaannya.
 
Kerana katanya, ia memandangkan jumlah rakyat Kedah yang meninggal dunia melebihi dari peruntukan dimaklumkan di mana pada tahun 2014 hanya mencatatkan peruntukan sebanyak RM720,000 sahaja tanpa pembayaran.
 
"Manakala pada tahun 2015 pembayaran kepada 2,672 kes melibatkan peruntukan sebanyak RM668,000, (tahun) 2016 seramai 2,239 kes mewakili RM569,000 dan 2017 (peruntukan) RM290,000 untuk 1,185 kes kematian.
 
"Walau bagaimanapun, kematian rakyat Kedah mencatatkan ke angka belasan ribu dalam tempoh antara tiga hingga empat tahun kebelakangan itu. Namun, jumlah penerima hanya
sekadar 6,096 kes sahaja.
 
"Sudah tentu pelaksanaan Khairat Kematian ini tidak dilaksanakan secara menyeluruh sepertimana yang dinyatakan. Oleh itu kerajaan harus menunaikan keadilan untuk membayarnya kepada waris si mati yang tidak mendapat haknya," tegas Mohd Azam.
 
Sementara itu, kerajaan juga diminta mengkaji semula peruntukan keraian yang dilihat agak besar perbelanjaannya dan menjurus kepada pembaziran.
 
Menurut beliau, lebih RM2,000,000 dibelanjakan untuk majlis keraian Menteri Besar yang melibatkan RM873,000 pada tahun 2015, RM779,000.00 pada tahun 2016 dan tahun 2017, sebanyak RM833,000.
 
"Program itu hanya jemput orang datang makan sahaja, tidak perlulah belanja besar. Adalah lebih baik, guna peruntukan itu untuk program kebajikan rakyat yang lebih mendatangkan kebaikan.
 
"Bukannya bayaran 'One-Off' yang hanya boleh dimanfaatkan sekali sahaja," kata beliau lagi menegur perbelanjaan yang dilihat membazir dan tidak berhemah itu.