19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

MB - Exco bercanggah pengakuan konsesi air

Berita
Typography
ALOR SETAR: Percanggahan pengakuan antara Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (Bakar Bata-BN) dengan Dato' Badrul Hisham Hashim (Kuala Nerang-BN) mengenai perjanjian konsesi air melibatkan Air Utara Indah Sdn Bhd (AUI) dan Taliworks, secara tidak langsung menunjukkan tiada keputusan tepat dapat diambil walaupun perjanjian konsesi berkenaan hampir tamat.
 
Badrol selaku Exco terbabit memaklumkan Sidang Dun Kedah, tiada sebarang keputusan yang diambil oleh pihak kerajaan untuk menyambung perjanjian yang akan tamat pada tahun 2020 itu.
 
Katanya, Akta Pembekalan Air 2006 tidak membenarkan konsesi itu dilanjutkan dan kerajaan negeri juga akan membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat.
 
Namun, dalam masa sama, Adun Bakar Bata selaku Menteri Besar pula mengatakan, keputusan menyambung perjanjian atau tidak, bergantung kepada beberapa perkara termasuk kemampuan SADA dan lain-lain yang berkaitan.
 
Beliau menegaskan, sebarang keputusan akan mengambil kira masa hadapan dan tidak dilakukan dalam keadaan terburu-buru.
 
Percanggahan pengakuan tersebut sekali gus tidak menjawab pertanyaan diajukan oleh pihak pembangkang walaupun jaminan tidak melanjutkannya telah dibuat oleh Menteri Besar sebelum ini.
 
Sementara itu menunjukkan Adun Bakar Bata masih sangsi dengan kebolehan SADA walaupun secara umumnya syarikat berkenaan mampu menggantikan operasi yang dikendalikan oleh dua syarikat berkenaan.
 
Turut menimbulkan kemusykilan kerana dalam tempoh tidak sampai tiga tahun lagi perjanjian berkenaan tamat, kerajaan negeri masih tidak membuat sebarang keputusan.
 
Sedangkan kos pembayaran terhadap syarikat berkenaan terlalu tinggi dan merugikan kerajaan di mana SADA pula mampu menyedia perkhidmatan dengan kadar lebih murah, jimat dan membawa pulangan kepada kerajaan negeri. - HARAKAHDAILY 17/11/2017