17
Tue, Sep
32 Artikel Baru

Wisma Tok Guru: Mahkamah tolak injuksi Husam

Berita
Typography

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini menolak permohonan injunksi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa bagi menghalang PAS menggunakan Wisma Tok Guru di Kampung Pendek, Salor.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache juga memutuskan untuk membenarkan PAS mengadakan program solat hajat di situ malam ini.

Ahmad Bache berkata, defendan, Mohd Yassin Yusoff merupakan pemilik sah lot tanah tersebut selepas berlaku jual beli dan telah berlaku pindah milik secara sempurna.

Oleh itu, hakim mengarahkan plaintif membenarkan defendan menggunakan lot tesebut untuk menganjurkan program solat hajat, yang telah mendapat permit daripada pihak polis.

“Lagi pun berdasar kepada kenyataan akhbar Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim menyebut tidak menghalang premis terbabit digunakan untuk solat hajat.

“Tuan punya lot tersebut boleh masuk ke tempat milik mereka. Lagi pun program yang akan diadakan malam ini merupakan program keagamaan,” katanya.

Permohonan pemimpin PAN itu ditolak dengan kos RM7,000.

Peguam Husam diketuai Zaidan Ali, manakala Mohd Yassin pula dibela pasukan peguam yang diketuai Datuk Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Husam mengemukakan permohonan injuksi bagi menghalang Wisma Pusat Khidmat Dun Salor digunakan sebelum status quo pemilikan bangunan itu diputuskan mahkamah berikutan saman pemula yang dibuat.

Pemilik hartanah tersebut, Haripah Dollah sebelum ini menjual tanah tersebut sebanyak RM700,000 kepada PAS Kelantan, yang mana Mohd Yassin sebagai salah seorang pemegang amanah.

Urusan pindah milik selesai 18 September lepas. Berikutan itu notis mengosongkan premis terbabit dihantar pada 12 Oktober lepas.

Orang ramai termasuk penyokong PAS dan PAN memenuhi galeri awam mahkamah tersebut sejak jam 9 pagi.

Sebelum itu Takiyuddin berhujah, Husam bukan penyewa premis terbabit dan hanya dibenarkan menduduki oleh pemilik asal hartanah terbabit.

Katanya juga Akta Kanun Tanah Negara menterjemahkan siapa pemilik tanah tersebut.

Malam ini akan diadakan solat hajat di lot yang menempatkan pusat khidmat Dun Salor. Program bermula jam 6 petang. Solat hajat akan diimamkan anggota jawatankuasa Ulama PAS Kelantan, Ustaz Nik Razi Nik Mat. - HARAKAHDAILY 16/11/2017