19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Siasat projek bekalan air terbengkalai di Pulau Gaya

Berita
Typography

PROJEK Sistem Retikulasi Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Pulau Gaya yang diperuntukkan untuk membekalkan air kepada hampir 2,441 buah rumah sehingga kini masih menjadi tanda tanya. Ia melibatkan seramai 15,000 penduduk Pulau Gaya yang masih belum menerima perkhidmatan bekalan air sewajarnya.

Peruntukan sebanyak RM93 juta untuk projek ini sepatutnya sudah lama menyelesaikan masalah bekalan air di pulau tersebut sejak tahun 2013. Namun ianya tidak dipandang serius oleh kerajaan negeri. Sehingga kini, bekalan air hanya disalurkan ke pejabat ESSCOM, sekolah dan Gayana Resort yang rata-ratanya premis kerajaan.

Penduduk di sana terpaksa membeli air dengan kadar RM7 segelen dan RM50 untuk setangki air. Sedangkan taraf hidup mereka sangat susah, apatah lagi penduduk pulau ini majoriti adalah Muslim. Walhal, Pulau Gaya berada di kawasan yang diwakili BN dalam Parlimen Putatan.

Bayangkan dalam zaman serba moden hari ini, wajarkah wujud lagi kaedah membeli air secara gelen di pinggir bandar Kota Kinabalu? Tetapi inilah realiti terpaksa ditempuh penduduk Pulau Gaya yang hakikatnya diabaikan dari realiti pembangunan, hatta untuk mendapat kemudahan paling asas.

Sekalipun ada tangki biru diletakkan di beberapa buah kampung, namun ianya hanya menjadi 'wayang' semata-mata. Kerana tiada sambungan paip yang dipasang untuk membekalkan air bagi kegunaan harian penduduk kampung yang sepatutnya menjadi keperluan asasi manusia.

Justeru, kami menggesa agar diadakan satu siasatan terhadap projek terbengkalai BALB Pulau Gaya yang dikira adalah projek berskala besar. Kami sentiasa konsisten untuk membela hak mereka yang tertindas tanpa mengira faktor ras dan agama di negeri ini untuk keadilan semua pihak.

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah
16 November 2017 | 27 Safar 1439 - HARAKAHDAILY 16/11/2017