19
Thu, Sep
52 Artikel Baru

Wisma Tok Guru: Tunggu keputusan hakim

Berita
Typography

MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini mengadakan perbicaraan terhadap permohonan injunksi Datuk Husam Musa susulan notis pengosongan premis oleh pemiliknya, Mohd Yasin Yusof sebagai defendan.

Peguam yang mewakil defendan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pada perbicaraan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk menggunakan penghujahan secara bertulis kepada Hakim, Datuk Ahmad Bahce.

Beliau berkata, keputusan injunksi tersebut perlu diberikan segera kerana PAS akan mengadakan majlis kesyukuran dan solat hajat di Perkarangan Wisma Tok Guru yang bermula selepas solat maghrib.

"Esok kalau dia (hakim) ada apa-apa keraguan, esok dia minta kita bagi penjelasan, keputusan pastinya akan diberikan esok, pasal program ini malam esok jadi kalau tidak bagi esok ni dia akan menganggu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan permohonan perintah injunksi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa di Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini hari ini.

Setiausaha Agung PAS Pusat itu berkata, hujah yang digunakan oleh PAS ialah tanah tiga lot yang menempatkan Wisma Tok Guru itu adalah kepunyaan Mohd Yasin Yusof yang merupakan Setiausaha Kerja Badan Perhubungan PAS Kelantan.

"Mengikut Kanun Tanah Negara, apabila orang itu ada hak milik kepada tanah ia dipanggil hak milik yang tidak boleh disangkal, jadi dia boleh buat apa sahaja atas tanah, dia ada geran ada nama diatas geran.

"Kami juga berhujah, mengikut Kanun ini juga, apa sahaja yang berada di atas tanah dan di bawah tanah adalah milik dia, tetapi kes ini tidak boleh diputuskan lagi kerana plaintif turut mengemukakan permintaan," katanya.

Datuk Husam Musa yang diwakili oleh peguam turut mengemukakan bantahan di Mahkamah untuk mendapatkan pampasan dengan dakwaan bahawa bangunan tersebut kepunyaannya atau beliau yang membina. – HARAKAHDAILY 15/11/2017