21
Sat, Sep
42 Artikel Baru

Mahu imam galak kariah imarahkan masjid

Berita
Typography
ALOR SETAR: Institusi masjid di bawah kelolaan imam kariah diharap lebih memberi penumpuan kepada program-program pembinaan insan, demikian saran Wan Romani Wan Salim(Bukit Pinang-PAS).
 
"Perkara demikian sepatutnya lebih diberi penumpuan memandangkan masalah sosial terutama dari kalangan anak-anak muda semakin berleluasa," katanya pada Sidang Dun Kedah, di sini semalam.
 
Menurutnya, pengumuman kenaikan elaun imam dari RM900 ke RM1,200 bukanlah suatu yang besar, sedangkan usaha memakmurkan masjid serta menarik minat ahli kariah berjinak-jinak dengan masjid seharusnya diberi perhatian.
 
Sungguhpun begitu, beliau tidak menafikan kenaikan elaun itu merupakan satu pengikhtirafan kepada para imam dan pengurusan masjid, namun peranan yang sepatutnya dilaksanakan oleh mereka harus juga diberi penekanan. 
 
"Kita tidak mahu kejadian cucu hantar tok (nenek) ke masjid, tapi cucu tidak naik ke masjid bersama-sama tok. Kalau boleh kita nak cucu datang bersama-sama tok berjemaah di masjid," ujar beliau.
 
Sementara itu, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat (Sungai Limau-PAS) menggesa agar bantuan perkapita kepada Sekolah-sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Mahaad Tahfiz yang telah 
diberhentikan dahulu dapat dilaksanakan semula. 
 
Kata beliau, sering kali kekurangan pasarana dan kelengkapan di sekolah-sekolah berkenaan dijadikan topik utama apatah lagi apabila berlaku kebakaran atau lainnya.
 
Namun kerajaan tidak menyedari, penafian hak perkapita terbabit menjadikan pasarana dan lain-lain yang berkenaan tidak dapat dinaik taraf dan sekolah-sekolah itu terpaksa beroperasi dalam serba kekurangan. - HARAKAHDAILY 15/11/2017